Istilah Bangsa_Han

Peta kelompok etnolinguistik di China (Kawasan-kawasan bangsa Han berwarna hijau).

Nama Han berasal daripada nama Dinasti Han yang mewarisi Dinasti Qin. Dinasti Qin menyatukan China tetapi tidak kekal lama. Adalah semasa Dinasti Qin dan Dinasti Han bahawa berbagai-bagai puak di China mula berasa bahawa mereka tergolong dalam kelompok etnik yang sama, berbanding dengan kelompok-kelompok etnik yang lain di sekeliling mereka. Tambahan pula, Dinasti Han yang dapat memperluas kuasa dan pengaruhnya ke Asia Tengah dan Asia Timur Laut dianggap sebagai kemuncak tamadun Cina.

Dalam bahasa Inggeris, Bangsa Han juga dirujuk secara mudah sebagai "bangsa Cina". [1] Istilah "bangsa Cina" pada dirinya tidak merujuk khusus kepada bangsa Han dan boleh merujuk kepada orang-orang yang berwarganegara China.

Antara sesetengah orang Han Selatan, istilah Tángrén (唐人; secara harfiah bermaksud "bangsa Tang") dipergunakan oleh sebilangan loghat seperti bahasa Kantonis, Hakka, dan Hokkien. Istilah ini berasal daripada lagi sebuah dinasti Cina, iaitu Dinasti Tang, yang dianggap sebagai lagi satu kemuncak tamadun Cina. Istilah Tángrén telah dipergunakan untuk salah satu nama Pekan Cina, iaitu Tángrénjiē yang secara harfiah bermaksud "Jalan Bangsa Tang".

Lagi sepatah istilah yang biasa digunakan oleh orang-orang Cina perantauan ialah istilah Huaren yang berasal daripada perkataan Zhonghua, nama harfiah untuk China. Terjemahan yang biasa ialah "etnik Cina" yang merujuk kepada "orang-orang Cina" sebagai sebuah gabungan kebudayaan dan etnik, dan yang merangkumi semua orang Cina, baik di negeri China mahupun di luar negeri.