Penerbitan BoBoiBoy_Galaxy

Nizam Razak, pencipta BoBoiBoy, berkata bahawa idea penukaran jalan cerita datang pada 2014 apabila beliau berada di Jepun. Beliau berasa kagum dengan kepelbagaian barangan Pokémon. Kemudian, beliau mendapat idea untuk mempelbagaikan Power Sphera. Mereka mula membuat siri ini selepas tamatnya siri BoBoiBoy pada pertengahan 2016 dan menukar jalan cerita untuk menjadi lebih aktif di mana BoBoiBoy akan mengembara sekitar galaksi berbanding menunggu musuh datang ke Bumi. Latar dalam siri ini bertambah satu hingga dua tahun dari siri BoBoiBoy tetapi jalan ceritanya masih sesuai untuk semua peringkat umur. Animonsta Studios bercadang untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 300 episod, dengan filem muncul setiap dua tahun.[1]

Animonsta Studios telah mengumumkan BoBoiBoy Galaxy secara tidak rasmi pada tahun 2013, di mana mereka mengeluarkan gambar poster BoBoiBoy Galaxy dengan apa yang dipercayai adalah pakaian baru untuk BoBoiBoy Blaze dan BoBoiBoy Ais. Pihak Animonsta kemudiannya mendedahkan perancangan mereka untuk BoBoiBoy Galaxy di laman web mereka[2].

Animonsta Studios kemudian membuat pengumuman secara rasmi di akaun Facebook mereka, di mana BoBoiBoy Galaxy akan mula disiarkan pada Jun 2016.[3] Selepas BoBoiBoy: The Movie, mereka mengeluarkan pengumuman baru yang lebih terperinci: jalan ceritanya akan memaparkan wira-wira muda itu mengembara ke seluruh galaksi untuk mencari Power Sphera, dan mengambil tempat 2 hingga 3 tahun selepas BoBoiBoy: The Movie. Animonsta juga akan mengeluarkan komik dahulu sebelum siri animasi. Mereka juga mengumumkan bahawa produksi akan bermula tak lama selepas itu dan mereka menjangkakan kumpulan episod pertama akan ditayangkan antara September sehingga Disember 2016.[4]

Pada Julai 2016, mereka akhirnya mengumumkan bahawa BoBoiBoy Galaxy akan disiarkan pada cuti sekolah akhir tahun di TV3 di Malaysia manakala tayangan perdana di MNCTV di Indonesia adalah pada Januari 2017.[5]