Fonon
Fonon

Fonon

Dalam fizik, fonon ialah mod getaran yang terkuantum yang berlaku dalam kekisi hablur tegar, seperti kekisi atom bagi sesuatu pepejal.[1] Pengajian fonon adalah bahagian yang penting dalam fizik keadaan pepejal, kerana fonon memainkan peranan yang penting dalam banyak sifat fizikal bagi pepejal, termasuk pengaliran haba dan elektrik dalam bahan. Lebih terperinci lagi, sifat panjang gelombang fonon menyebabkan bunyi dalam pepejal -- maka nama fonon berasal dari Yunani φονή (phonē) = suara.[2] Dalam penebatan pepejal, fonon adalah mekanisma utama apabila pengaliran haba berlaku. Fonon adalah mekanik kuantum bagi pergerakan getaran yang khas, yang dikenali sebagai mod normal dalam mekanik klasik, iaitu setiap bahagian kekisi berayun dengan frekuensi yang sama. Normal mod ini adalah penting kerana, menurut keputusan yang terkenal dari mekanik klasik, mana-mana pergerakan getaran sembarang bagi satu kekisi boleh dikatakan sebagai superposisi bagi mod normal dengan pelbagai frekuensi; iaitu, mod normal adalah getaran asas dalam kekisi. Walaupun mod normal adalah bercirikan gelombang dalam mekanik klasik, mod normal mempunyai beberapa ciri zarah apabila kekisi dianalisa menggunakan mekanik kuantum (lihat kedualan gelombang-zarah.) Mereka ini dikenali sebagai fonon. Boleh dikatakan juga, fonon adalah boson yang mempunyai spin integer.