Sifat Haiwan

Haiwan mempunyai beberapa sifat yang membezakannya daripada hidupan-hidupan yang lain. Haiwan adalah eukariot dan kebanyakannya multisel,[1] yakni berbeza dengan bakteria dan kebanyakan protis. Haiwan merupakan heterotrof,[2] iaitu umumnya mencerna makanan dalam kebuk dalaman, yakni berbeza dengan tumbuhan dan alga.[3] Haiwan juga berbeza dengan tumbuhan, alga dan kulat kerana ketiadaan dinding sel yang kukuh.[4] Semua haiwan adalah motil,[5] walaupun pada peringkat hidup yang tertentu. Bagi kebanyakan haiwan, embrio melalui peringkat blastula,[6] iaitu sifat yang hanya terdapat pada haiwan.

Struktur

Haiwan mempunyai badan yang terdiri daripada pelbagai tisu, kecuali beberapa jenis yang tertentu, terutama sekali bunga karang (Filum Porifera) dan Placozoa. Antara tisu-tisu ini ialah otot yang boleh mengecutkan dan mengawal gerak alih, dan tisu saraf yang menghantar dan memproses isyarat. Biasanya, juga terdapat kebuk pencernaan dalaman dengan satu atau dua bukaan.[7] Haiwan yang bersusunan sebegini dipanggil metazoa, ataupun eumetazoa bagi memaksudkan haiwan pada umumnya.[8]

Semua haiwan mempunyai sel-sel eukariot yang dikitari oleh matriks luar sel yang terdiri daripada kolagen dan glisoprotein anjal.[9] Ini boleh dikapurkan untuk membentuk struktur-struktur seperti cangkerang, tulang, dan spikul.[10] Ketika berkembang, ia membentuk rangka yang agak mudah lentur[11] di mana sel-sel boleh bergerak-gerak dan bersusun semula, maka membolehkan struktur yang rumit. Berbeza pula dengan organisma-organisma multisel yang lain seperti tumbuhan dan kulat yang sel-selnya ditahan oleh dinding sel, oleh itu berkembang secara pertumbuhan progresif.[7] Selain itu, simpang-simpang antara sel ini juga hanya terdapat dalam sel haiwan: simpang ketat, simpang renggang, dan desmosom.[12]

Pembiakan dan perkembangan

Sebutir sel paru-paru bengkarung air dengan pencelup pendarfluor yang menjalani peringkat anafasa awal dalam mitosis.

Hampir kesemua haiwan menjalani suatu bentuk pembiakan seks.[13] Ia mempunyai beberapa sel pembiakan khusus yang menjalani meiosis untuk menghasilkan spermatozoon yang kecil tetapi motil, atau ovum yang besar tetapi tidak motil.[14] Spermatozoon dan ovum ini bergabung untuk membentuk zigot yang berkembang menjadi individu baru.[15]

Juga terdapat banyak haiwan juga mampu membiak tanpa seks.[16] Ini boleh terjadi secara partenogenesis, yang mana telur yang subur dihasilkan tanpa mengawan, bercambah ataupun berpecah.[17]

Zigot mula-mula berkembang menjadi suatu bentuk sfera yang cembung, iaitu blastula[18] yang menjalani proses penyusunan semula dan penceraian. Bagi bunga karang, larva blastula berenang ke tempat baru lalu berkembang menjadi bunga karang baru.[19] Bagi kebanyakan kelompok yang lain pula, blastula menjalani penyusunan semula yang lebih rumit.[20] Mula-mula, ia berinvaginasi untuk membentuk gastrula dengan kebuk pencernaan, dan dua lapisan germa yang berasingan, iaitu ektoderma luaran dan endoderma dalaman.[21] Selalunya, juga berkembangnya mesoderma di antara ektoderma dan endoderma itu.[22] Kemudian, lapisan-lapisan germa ini berpecah-pecah untuk membentuk tisu dan organ.[23]

Makanan dan penyumberan tenaga

Semua haiwan merupakan heterotrof, iaitu boleh makan hidupan lain secara langsung atau tidak langsung.[24] Lazimnya, haiwan dibahagikan lagi kepada kelomok-kelompok seperti maging, maun, omnivor, dan parasit.[25]

Pemangsaan ialah interaksi biologi yang mana pemangsa (heterotrof yang memburu) memakan mangsanya (organisma yang diserangnya).[26] Pemangsa ini boleh tetapi tidak semestinya membunuh mangsa sebelum memakannya, tetapi apapun, tindakan pemangsaan ini sentiasa berkesudahan dengan kematian mangsa.[27] Satu lagi kategori pemakanan yang lain ialah detritivori, iaitu pengambilan jirim organik yang mati.[28] Kadang-kadang, adalah sukar untuk membezakan kedua-dua tabiat pemakanan ini, misalnya yang mana spesies parasit memangsakan organisme perumah, kemudian bertelur di atasnya supaya zuriatnya boleh memakan bangkainya yang reput. Tekanan berpilih yang dikenakan ke atas satu sama lain telah menimbulkan perlumbaan senjata evolusi antara mangsa dan pemangsa, oleh itu menyebabkan pelbagai penyesuaian anti-pemangsa.[29]

Kebanyakan haiwan secara tidak langsungnya menggunakan tenaga matahari dengan memakan tumbuhan atau haiwan yang memakan tumbuhan. Kebanyakan tumbuhan menggunakan cahaya untuk menukarkan molekul-molekul tak organik dalam persekitarannya kepada molekul organik, misalnya gula ringkas, dalam fotosintesis. Bermula dengan molekul-molekul karbon dioksida (CO2) dan air (H2O), fotosintesis menukarkan tenaga cahaya matahari kepada tenaga kimia yang disimpan sebagai karbon terturun (cth. glukosa) serta melepaskan molekul oksigen. Kemudian, gula-gula ini digunakan sebagai bahan binaan untuk pembesaran tumbuhan.[7] Apabila haiwan memakan tumbuhan ini (atau memakan haiwan lain yang pernah makan tumbuhan ini), gula-gula yang dihasilkan oleh tumbuhan itu pun diambil oleh haiwan berkenaan.[30] Sama ada gula itu digunakan secara langsung untuk pembesaran haiwan, ataupun dipecah-pecahkan untuk melepaskan tenaga suria yang tersimpan dan memberi haiwan itu tenaga yang diperlukan untuk pergerakan.[31] Proses ini dipanggil glikolisis.[32]Haiwan yang hidup berdekatan lohong hidroterma dan tiris sejuk di dasar laut tidak bergantung pada tenaga cahaya matahari.[33] Sebaliknya, arkea dan bakteria kimiasintetis membentuk asas rantaian makanan.[34]

Rujukan

WikiPedia: Haiwan http://www.britannica.com/search?query=predationpr... http://books.google.com/?id=GS5YAAAAMAAJ http://mrw.interscience.wiley.com/emrw/97804700159... http://www.ucmp.berkeley.edu/glossary/gloss7/lopho... http://employees.csbsju.edu/SSAUPE/biol116/Zoology... http://micro.magnet.fsu.edu/cells/animalcell.html http://adsabs.harvard.edu/abs/1999Sci...283.1919R http://adsabs.harvard.edu/abs/2000PNAS...97.4453A http://nationalzoo.si.edu/Animals/GiantPandas/Pand... http://www.windows.ucar.edu/tour/link=/earth/Life/...