Pencapaian Hikayat_Merong_Mahawangsa_(filem)

Jualan

Filem Hikayat Merong Mahawangsa membuka tayangan umumnya dengan cemerlang sekali, apabila ia menduduki tangga teratas dalam carta kutipan pawagam pada hujung minggu pertamanya (13–16 Mac 2011)[16] dengan meraih sebanyak RM2.2 juta[17] dari 67 buah pawagam di Malaysia dan dua di Brunei. Ini termasuk sekitar RM500 ribu pada hari pertamanya[18], RM700 ribu pada hari Sabtu dan RM600 ribu pada hari Ahad.[19] Jumlah kutipan tersebut dilaporkan meningkat kepada RM3.3 juta[20] selepas genap seminggu ditayangkan di pawagam, sempena musim cuti sekolah.

Ulasan

Ulasan terhadap filem Hikayat Merong Mahawangsa kebanyakannya berbau positif. Antara aspek-aspek yang dipuji oleh para pengulas filem termasuk keberkesanan set penggambaran, busana dan senjata serta penggunaan CGI yang terhasil daripada ketelitian sutradara, Yusry Abdul Halim dalam menekankan perincian visual sewaktu menyelia filem ini dalam sesi penggambaran mahupun pascapenerbitan; kebolehan dan bakat lakonan Stephen Rahman-Hughes, Ummi Nazeera dan Khir Rahman, dan pendekatan realistik untuk adaptasi kisah mitos. Bagaimanapun, filem ini mendapat sedikit kritikan kerana terdapat cacat-cela kecil dalam penggunaan CGI, ketidakfasihan Rahman-Hughes berbahasa Melayu dan kurang tumpaun kepada sifat tamsilan karya asal dalam penyampaian adaptasi ini.

Pada minggu pembukaannya kepada umum, Hikayat Merong Mahawangsa mulai menerima ulasan yang positif dari pengulas filem yang disiarkan dalam media ketika ini. Setelah menontonnya dalam Malam Gala pada Isnin, 7 Mac, pengulas bagi portal hiburan Tupai/Cinema Online memberi markah empat daripada lima bintang kepada filem ini dengan ulasan bahawa "filem ini ibarat menonton filem aksi Thai dan kesan visualnya pula seperti menonton filem Hollywood".[21][22] Tambahnya, aksi yang ditunjukkan dalam filem ini memang "dahsyat" atas khidmat kumpulan seni bela diri bimbingan Chan Man Cheong yang terkenal kerana menjayakan aksi-aksi lasak dalam siri filem Rush Hour dan Police Story, tetapi mereka meluahkan rasa hairan dengan kesesuaian laras bahasa dalam babak Kamawas cuba menggoda Puteri Meng Li Hua, serta pencahayaan gambar yang "agak gelap". Yusry menjelaskan bahawa pencahayaannya memang sengaja dibuat begitu "untuk menunjukkan dua keadaan yang berbeza."[21][22]

Portal hiburan Murai.com.my turut memberikan ulasan yang agak memberangsangkan untuk Hikayat Merong Mahawangsa dan memuji Yusry kerana "berjaya mempersembahkan suatu pemahaman sejarah negeri Kedah dalam bentuk yang segar serta mudah untuk difahami", serta "kareografi untuk aksi berlawan yang ditonjolkan dalam filem ini bagi penulis memang cukup hebat."[23] Penulis ulasannya memuji pembawaan watak Stephen Rahman-Hughes sebagai Merong, yang "bukan sahaja tangkas dalam mengatur langkah dalam setiap aksi lawannya, malah mempunyai karektor sebagai seorang hero yang mana Malaysia ketandusan pelakon sepertinya", begitu juga dengan lakonan Ummi Nazeera yang "mampu memberi impak kepada keseluruhan filem ini" walaupun babak wataknya hanya beberapa, serta Khir Rahman selaku pemegang watak jahat yang membuatkan pengulas "rasa benci dengan wajahnya serta gerun dengan aksinya".[23] Akan tetapi, antara keluhan dalam ulasannya termasuk sedikit kecacatan dalam teknik CGI dan gambar sepia, serta lakonan Gavin Stenhouse yang kurang menonjol sebagai Putera Rom.[23]

Dalam ulasan mStar Online mengenai filem ini, peningkatan kematangan Yusry selaku sutradara sejak filem Cicak-Man mendapat pujian kerana "penterjemahan hikayat tersebut mengikut stail dan kreativitinya secara teknik imbasan semula … penggunaan prosa Melayu klasik yang menyaluti skrip filem, kostum dan set yang relevan, imej janaan berkomputer (CGI) serta kesan bunyi turut memberangsangkan" walapun dipagari keterbatasan modal, tenaga, sumber dan kepakaran[24], tetapi mengulas serba sedikit kelemahan dari segi pertuturan dwibahasa watak utama yang terasa "canggung", serta aspek garapan dan lakon layar yang mana babak Putera Marcus berbual dengan Lycius seakan "tampak begitu terikat dengan skrip … [dan] dirasakan kurang berkesan dan tidak bersahaja".[24]

Untuk laporan akhbar Berita Harian, Farihad Shalla Mahmud turut memuji filem Hikayat Merong Mahawangsa sebagai filem yang "setimpal" dengan kos pembikinnya yang mencecah RM 8 juta, apatah lagi berpendapat bahawa Stephen Rahman-Hughes menunjukkan kesungguhan untuk memastikan kemantapan watak Merong Mahawangsa.[13] Tapak web berita hiburan Oh! Artis memberikan 4.5/5 bintang kepada filem ini atas sebab-sebab jalan cerita yang amat menarik, sistem bunyi yang "teramat hebat", teknik CGI yang menakjubkan.[25] Akhbar Sinar Harian turut membuat ulasan ringkas yang positif mengenai filem ini atas sebab "rekaan set, kostum serta aksi … membuatkan penonton tidak terasa tempoh tayangan selama 1 jam 50 minit."[26]

Ulasan dalam akhbar New Straits Times pula mengatakan bahawa filem Hikayat Merong Mahawangsa ini menampakkan visual yang mememeranjatkan hasil kebijaksanaan penggunaan teknologi, banyak tumpuan diberikan kepada perincian set, busana dan senjata, serta runut bunyi yang melodi dan menghantui fikiran penonton, tetapi kurang gaya karya zaman kerana "di sebalik segala persembahan ranggi ini tersiratnya kisah tamsilan yang tidak dicungkil sebaik-baiknya sehingga kadang-kadang penceritaanya kelihatan agak cetek."[27]

Filem ini walaupun mendapat reaksi positif dari pelbagai pihak, tetapi ia tidak bagi golongan penggiat filem dan pencinta sastera. Menerut mereka pada forum Hikayat Merong Mahawangsa: Daripada Sastera Klasik ke Filem, filem tersebut tidak menonjolkan ciri-ciri kemelayuan. Mereka turut menyatakan bahawa pelakon yang melakonkan watak dalam cerita tersebut tidak menggambarkan watak tersebut. Selain itu, mereka beranggapan filem tersebut mempunyai unsur sejarah yang longgar.[28]

Anugerah & Pencalonan

AnugerahKategoriPenerimaMenang/Pencalonan
Anugerah Skrin 2011Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FilemKhir RahmanDicalonkan
Craig Robert FongDicalonkan
Lakon Layar Terbaik FilemAmir Hafizi/Yusry Abdul HalimDicalonkan
Festival Filem Malaysia ke-24Filem TerbaikKeseluruhanMenang
Pengarah TerbaikYusry Abdul HalimDicalonkan
Pelakon Pembantu Lelaki TerbaikKhir RahmanDicalonkan
Lakon Layar TerbaikYusry Abdul HalimDicalonkan
Penyuntingan TerbaikWan Mohd HafizDicalonkan
Sinematografi TerbaikMohd Noor Mohd KassimMenang
Skor Muzik Asal TerbaikEdry Abdul HalimMenang
Penataan Bunyi TerbaikSazaliDicalonkan
Pereka Kostum/Busana TerbaikRosada Abdul HamidMenang
Penataan Seni TerbaikAnuar Paharudin/Kek Teng LimMenang
Lagu Tema Terbaik"Sedetik Lebih" - Anuar ZainMenang
Kesan Visual TerbaikYusry Abdul HalimMenang
Poster TerbaikMenang
Anugerah Blockbuster Astro 2012[29][30]Anugerah Filem TerhebatYusry Abdul HalimDicalonkan
Anugerah Tuan Direktor TerhebatDicalonkan
Anugerah Filem Aksi TerhebatDicalonkan
Lagu Tema Terbaik"Sedetik Lebih" - Anuar ZainDicalonkan

Rujukan

WikiPedia: Hikayat_Merong_Mahawangsa_(filem) http://pneumedic.blogspot.com/2012/10/keputusan-pe... http://www.budiey.com/filem-hikayat-merong-mahawan... http://www.facebook.com/notes/kru-studios/gua-yusr... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.malaychronicles.com/ http://ohartis.com/2011/03/gambar-review-filem-hik... http://www.ohbulan.com/anugerah-blockbuster-senara... http://www.thesundaily.com/article.cfm?id=57666 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/4harida... http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Merongb...