Penerbitan Hikayat_Merong_Mahawangsa_(filem)

Pembikinan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa menelan belanja RM 8 juta[4] (termasuk sekitar RM2 juta untuk membiayai set, prop dan busana[5], walaupun perbelanjaan sebanyak RM 6.82 dilaporkan kepada FINAS[1]), menjadikannya filem Melayu kedua termahal selepas Puteri Gunung Ledang (2004) yang menelan kos RM 16.6 juta.[2] Oleh sebab filem ini ditujukan kepada pasaran antarabangsa, mula-mula dilaporkan bahawa filem ini terdiri daripada 70% bahasa Inggeris[6] dan selebihnya dalam bahasa Melayu Klasik dan lain-lain. Akan tetapi, pada Mei 2010, ketika proses pascapenerbitan dijalankan, pihak KRU mengesahkan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa keluar dalam dua versi, iaitu versi Malaysia yang melebihkan dialog bahasa Melayu, dan versi pasaran antarabangsa yang mengutamakan bahasa Inggeris.[7]

Menurut presiden eksekutif KRU Studios dan penerbit eksekutif filem Hikayat Merong Mahawangsa, Norman Abdul Halim, sebab utama filem ini dibikin merupakan percubaan projek berdaya tarikan antarabangsa dengan tema sejagat, berisi dialog dwibahasa yang dituturkan oleh latar masyarakat pelbagai bangsa, termasuk Rom dan Cina atas dasar kebebasan kreatif.[5] Penggambaran filem Hikayat Merong Mahawangsa diadakan selama 52 hari[8], bermula pada 9 Jun 2009 dan berakhir pada 8 Ogos[9], dengan menyempurnakan 90% penggambarannya di negeri Terengganu, dan selebihnya di negeri lain seperti Pahang dan Kuala Lumpur.

Untuk menjimatkan perbelanjaan, KRU memanfaatkan teknologi CGI yang diusahakan oleh 12 orang juruanimasi[5] untuk menghasilkan sekitar 3,000 syot[10] latar bersejarah, selain prop dan latar fizikal yang hanya terdiri daripada empat buah kapal, perkampungan Melayu pada abad ke-2, pelabuhan kapal, set gambaran istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India.[9] Walau bagaimanapun, pengurangan prop fizikal tidak bermakna penggambaran berjalan lancar. Apabila ditanya mengenai pengalamannya, pengarah Yusry Abdul Halim mengimbau, "Kami juga terpaksa mengharungi ribut taufan sehingga set dan kapal kami pecah. Nak kawal lebih 300 orang di set juga bukan mudah. Alhamdulillah, tidak ada sebarang insiden yang serius berlaku. Kesemua mereka memberi komitmen yang bagus. Bagi saya, ia sesuatu benda yang baru dan banyak ilmu serta pengalaman yang saya dapat, Kelebihan saya ialah ada ramai kru di belakang saya yang banyak membantu."[11]

Yusry memaklumkan pihak akhbar bahawa skrip filem ditulis berpandukan buku dan sumber Internet serta kajian yang dilakukan kru produksi. "Kita tidak mengambil keseluruhan cerita, sebaliknya hanya bahagian penting yang menguatkan jalan cerita. Ini kerana cerita asalnya banyak mitos dan kita menukarnya menjadi logik dan mudah difahami," katanya. "Sebagai contoh, watak burung garuda dalam cerita asal kita tukar kepada watak lanun, tetapi masih mengekalkan namanya."[12]

Norman Abdul Halim menambah, skrip filem disemak 17 kali demi cerita yang lebih logik dan berintegriti.[8] Selain gugurnya adegan burung garuda, perjumpaan Merong Mahawangsa dengan Nabi Sulaiman a.s. seperti dalam manuskrip asal juga tidak disertakan.[8] Bagaimanapun, jalan cerita ditokok dengan perihal ibunda Merong Mahawangsa berasal dari Kedah supaya kaitan Hikayat dengan negeri itu lebih jelas.[8] Perkara ini turut diakui oleh Yusry, yang mengulas, "Secara jujur, filem ini banyak mencabar keupayaan saya. Tiap-tiap hari ada saja tekanan termasuklah dari sudut penggunaan CGI."[11].

Ketika ditanya mengenai pemilihan Stephen Rahman-Hughes sebagai pemegang watak utama, Yusry menjawab, "Kami memilih Stephen kerana dalam filem ini dia mempunyai darah Iskandar Agung. Dia dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, boleh belajar bahasa Melayu dan betul mendalami karakter[12]," sebagai menyentuh penceritaan catatan asal bahawa Merong Mahawangsa mendakwa dirinya keturunan raja Macedonia handalan tersebut. Yusry juga dikatakan menyediakan tiga skrip khas untuk membantu pemahaman pelakon utama berbangsa Inggeris ini, iaitu skrip pertama dalam Bahasa Inggeris keseluruhannya, skrip kedua dalam terjemahan bahagian dialog berbahasa Melayu ke bahasa Inggeris, dan skrip terakhir ialah "terjemahan secara langsung untuk setiap ayat."[13]

Proses penerbitan Hikayat Merong Mahawangsa dilaporkan menggunakan tenaga kerja seramai 2,000 kakitangan, termasuk sekali kru, pelakon utama, ekstra, dan pakar lagak ngeri (termasuk 10 orang dari Hong Kong yang pernah bekerja bersama Jackie Chan).[8] [14]Selain itu, Norman juga mengakui bahawa pihak penerbitan filem mengimport senjata dari China dan Amerika Syarikat yang terpaksa dihapuskan selepas sesi penggambaran atas arahan Kementerian Dalam Negeri[8].

Yusry juga pernah mengatakan bahawa filem Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem besar terakhir arahannya kerana "ingin memberi peluang kepada pengarah lebih berbakat mengarahkan filem terbitan KRU Studios."[12] Dalam temubual Berita Harian bersama Edry dan Norman di majlis pratonton pada 7 Mac, mereka mengulas bahawa kerja Yusry dalam pengusahaan filem ini banyak membawa tekanan kepada hidupnya, ibarat "menatang minyak yang penuh sehingga keadaan dirinya terabai begitu saja".[13] Jelas Norman, "Pernah sewaktu saya bercakap dengan Yusry menerusi telefon, Yusry menangis kerana tidak tahan berdepan dengan cabaran yang terpaksa ditempuhinya sewaktu mengarahkan filem ini. Saya faham situasi yang terpaksa dilaluinya. Bukan mudah untuk mengendalikan sebuah produksi yang berskala mega seperti ini."[13] Tambah Edry, "Terus terang, saya melihat Yusry macam orang gila kerana terpaksa melalui pelbagai situasi yang mencabar kesabarannya. Apapun, saya kagum dengan semangat yang ditunjukkannya itu dan alhamdulillah, selepas melihat hasilnya, kami semua merasa bangga dengan hasil kerjanya."[13]

Dokumentari

Selain pembikinan filem, KRU Studios mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah dokumentari berbelanja RM80 ribu yang juga berjudul Hikayat Merong Mahawangsa untuk disiarkan di TV3 pada 25 Februari 2011 sebelum filem ditayangkan, untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai mengenai kisah legenda ini apabila filemnya disiarkan dua minggu selepas itu.[15] Untuk dokumentari yang mula dirakam pada November 2010[15] itu, mereka merakamkan temu ramah bersama para ilmuwan yang terdiri daripada Dato’ Wira Mohd Shaarif Bin Abu Samah (wakil Istana Kedah), Mohan a/l Shanmugam (Presiden Hindu Sangam Malaysia), Dato’ Prof Khoo Kay Kim (Sejarawan Malaysia), Dato’ Dr. Wan Shamsudin Bin Mohd Yusof (Sejarawan Negeri Kedah) dan Dato’ Dr Siti Hawa Salleh (Ahli Filologi dan Pengkaji Buku HMM).[15].

Rujukan

WikiPedia: Hikayat_Merong_Mahawangsa_(filem) http://pneumedic.blogspot.com/2012/10/keputusan-pe... http://www.budiey.com/filem-hikayat-merong-mahawan... http://www.facebook.com/notes/kru-studios/gua-yusr... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.malaychronicles.com/ http://ohartis.com/2011/03/gambar-review-filem-hik... http://www.ohbulan.com/anugerah-blockbuster-senara... http://www.thesundaily.com/article.cfm?id=57666 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/4harida... http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Merongb...