Kapal_pengangkut_pesawat

Kapal induk pesawat udara atau kapal pengangkut pesawat (Bahasa Inggeris: aircraft carrier[1] - kapal induk pinjam terjemah Bahasa Belanda: moederschip[2]) ialah kapal perang terbesar yang memainkan peranan untuk melancar dan mendaratkan jet-jet pejuang. Kapal jenis ini mampu membenarkan pasukan tentera laut untuk meletakkan kuasa udara di jarak jauh tanpa bergantung kepada pangkalan tempatan di darat bagi menyediakan landasan untuk kapal terbang berlepas/mendarat. Tentera laut moden, yang mengendalikan kapal sedemikian menganggap kapal pengangkut pesawat sebagai unit pusat angkatan, peranan yang sebelumnya dimainkan oleh kapal tempur. Pertukaran, sebahagian daripada pertumbuhan kuasa udara sebagai sebahagian kuasa penting dalam perperangan, berlaku ketika Perang Dunia II. Kapal pengangkut pesawat tanpa kapal pengiring dianggap lemah terhadap serangan peluru berpandu dan dengan itu bergerak sebagai sebahagian pasukan tempur kapal induk.Kapal ini biasanya merupakan kapal terbesar dikendalikan oleh tentera laut; kapal pengangkut pesawat Kelas Nimitz digerakkan dengan menggunakan dua reaktor nuklear dan empat reaktor turbin stim. Ia sepanjang 333 meter (1092 kaki) dan berharga sekitar AS$ 5 bilion. Amerika Syarikat memiliki kebanyakan kapal induk dengan lebih sedozen dalam perkhidmatan, dan kapal pengangkut pesawatnya merupakan batu asas (cornerstone) untuk menunjukkan keupayaan peluncuran kuasa Amerika Syarikat.Sembilan negara memiliki kapal pengangkut pesawat: Amerika Syarikat, Perancis, India, Rusia, Sepanyol, Brazil, Itali, Thailand, dan United Kingdom. Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China memiliki kapal pengangkut pesawat bekas Kesatuan Soviet Varyag, tetapi kebanyakan pakar analisis percaya mereka tidak berminat mengendalikannya, tetapi menggunakan Varyag untuk mempelajari operasi kapal pengangkut pesawat bagi kapal pengangkut pesawat masa depan China.