Media Konsol_permainan_video

Kartrij

Kartrij untuk konsol Nintendo 64. Barisan yang berwarna oren kekuningan itu merupakan penyambung kepada konsol.

Kartrij permainan video terdiri daripada papan litar bercetak yang diletakkan di dalam bekas plastik, mengandungi penyambung yang berfungsi sebagai alat penghubung di antara kartrij dan konsol. Papan litar bercetak pula boleh mengandungi pelbagai komponen elektronik. Secara asasnya, kartrij mengandungi ROM di mana pembangun permainan video menyimpan segala aturcara untuk permainan mereka. Kebanyakkan kartrij pula mengandungi komponen elektronik yang bertujuan untuk menambah kuasa konsol tersebut, seperti RAM tambahan dan tambahan cip mikropemproses. Komponen juga boleh ditambah untuk memperluaskan fungsi asal konsol tersebut seperti pengesan cahaya, pengesan gerakan dan giroskop[21].

Kartrij merupakan media pertama yang digunakan bersama-sama konsol dan penggunaan kartrij ini semakin meluas sehingga tahun 1995. Konsol permainan video Nintendo 64 merupakan konsol terakhir yang menggunakan kartrij[22]. Pada awal abad ke-21, kos pembuatan kartrij semakin tinggi menyebabkan pengeluar konsol beralih kepada media lain seperti cakera padat yang jauh lebih murah.

Kad pintar

Beberapa konsol permainan video seperti Sega Master System dan TurboGrafx-16 telah menggunakan pelbagai jenis kad pintar. Kad ini berfungsi sebagai tempat untuk menyimpan segala maklumat permainan video. Kad pintar ini mempunyai papan litar bercetak sama seperti kartrij namun begitu ianya lebih padat, hasilnya kad pintar mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding dengan kartrij. Kos penghasilan kad pintar adalah jauh lebih murah berbanding dengan kartrij kerana kad pintar tidak memerlukan komponen elektronik yang banyak. Walau bagaimanapun, fungsi kad pintar adalah sangat terhad. Kad pintar tidak mengandungi komponen tambahan, tidak seperti kartrij yang mempunyai komponen tambahan yang berfungsi untuk memperluaskan fungsi asal konsol.

Cakera padat mengurangkan penggunaan kad untuk menyimpan maklumat permainan video kerana saiz storan cakera padat yang lebih besar, membolehkan segala maklumat dan aturcara permainan video boleh disimpan. Kos pembuatan cakera padat pula jauh lebih murah. Namun begitu, penggunaan kad pintar tidak hanya berhenti setakat itu sahaja. Konsol permainan video seperti PlayStation 2 dan Nintendo GameCube menggunakan kad pintar sebagai storan data. Nintendo mula menggunakan kad pintar dalam konsol Nintendo 3DS atas alasan bahawa teknologi kad pintar semakin maju dan mereka tidak memerlukan kartrij lagi untuk menyimpan permainan video[23]. Manakala PlayStation Vita pula menggunakan kad pintar khas Sony Vita sebagai salah satu kaedah untuk memasarkan permainan video mereka[24].

Storan magnetik

Antara konsol pertama yang menggunakan storan magnetik adalah Bally Astrocade dan APF-M1000, kedua-duanya menggunakan pita kaset sebagai storan tambahan. Dalam kes konsol Bally Astrocade, keistimewaan ini menyebabkan banyak permainan video baru dibangunkan walaupun selepas sokongan terhadap konsol ini ditamatkan. Walaupun storan magnetik jarang digunakan sebagai media utama bagi storan permainan video, tiga konsol yang popular mempunyai ciri-ciri yang membolehkan mereka menggunakan format data dari storan magnetik ini. Konsol Starpath Supercharger mampu menjalankan permainan video yang dibuat untuk konsol Atari 2600 dalam bentuk pita kaset. Famicom Disk System merupakan produk tambahan pemacu cakera liut untuk konsol Famicom (dikenali sebagai NES untuk pasaran Jepun). Nintendo menjual cakera liut dengan harga murah dan dijual di mesin layan diri di mana pengguna boleh meminta untuk permainan video baru ditulis di dalam cakera liut sehingga 500 kali[25]. Pada tahun 1999, Nintendo sekali lagi mengeluarkan tambahan pemacu cakera liut iaitu Nintendo 64DD untuk konsol Nintendo 64 untuk pasaran di Jepun sahaja.

Storan optikal

Storan optikal seperti CD dan DVD adalah media storan paling popular masa kini.

Pada pertengahan tahun 1990-an, kebanyakkan pembangun permainan video beralih kepada media optik, khususnya CD-ROM untuk permainan video mereka. Walaupun proses memuatkan data dari cakera optik lebih lambat berbanding dengan kartrij, kos pembuatan yang lebih murah dan kapasiti storan yang lebih besar menjadi pilihan mereka beralih kepada cakera optikal. Pada awal abad ke-21, kebanyakkan konsol permainan video utama menggunakan cakera optik, biasanya mereka menggunakan DVD-ROM atau cakera optik yang lebih kurang sama dengan DVD-ROM, yang menggantikan penggunaan cakera CD-ROM untuk menyimpan data. Konsol PlayStation 3 pula menggunakan cakera optik Blu-ray yang mempunyai saiz storan yang lebih besar.

Edaran Internet

Ketiga-tiga konsol generasi ketujuh (PlayStation 3, Xbox 360 dan Wii) menyediakan khidmat edaran permainan melalui internet. Permainan video boleh dimuat turun secara berbayar ke konsol masing-masing dan disimpan di dalam storan yang terbina di dalam konsol. Konsol permainan video pada masa kini juga boleh digunakan sebagai alat untuk strim video yang disediakan di Internet seperti Netflix dan Hulu.


Rujukan

WikiPedia: Konsol_permainan_video http://www.gamesindustry.biz/articles/hirai-target... http://classicgames.about.com/od/history/p/The-Lif... http://www.atarihq.com/tsr/fds/fds.html http://www.bookdepository.com/book/9781317567165 http://www.denofgeek.com/games/24531/the-1983-vide... http://www.gameplan-books.com/gameplan_01.5_NA/ http://www.gamespot.com/articles/e3-2011-sony-play... http://www.gamingtarget.com/article.php?artid=5102 http://www.giantbomb.com/jaguar/3045-28/ http://uk.ign.com/articles/2011/09/21/ten-facts-ab...