Geografi Singapura

Rencana utama: Geografi Singapura
Garis bentuk Singapura, pulau-pulau dan perairan di kelilingnya pada peta tahun 2006

Singapura terdiri daripada 63 pulau, termasuk sekali tanah besar Singapura. Pulau besar dikenali ramai sebagai Pulau Singapura (Singapore Island) tetapi nama rasminya ialah Pulau Ujong. Terdapat dua sambungan buatan manusia ke negeri Johor, Malaysia, iaitu Tambak Johor-Singapura di utara, dan Laluan Kedua Tuas di barat. Pulau Jurong, Pulau Tekong, Pulau Ubin dan Sentosa merupakan pulau-pulau kecil terbesar di Singapura. Puncak semula jadi tertingginya ialah Bukit Timah pada aras 166 m (545 ka).[52]

Singapura menjalankan projek penebusgunaan tanah yang diperoleh dari bukit-bukau, dasar laut, dan negara jiran. Hasilnya, keluasan daratan Singapura membesar dari 581.5 km2 (224.5 bt2) pada 1960-an, kepada 704 km2 (271.8 bt2) pada masa kini, dan mungkin menokok 100 km2 (38.6 bt2) lagi pada tahun 2030.[53] Adakalanya, projek-projek sebegini melibatkan penggabungan pulau-pulau kecil secara penebusgunaan tanah untuk membentuk pulau yang lebih besar dan berguna, misalnya Pulau Jurong.

Iklim

Taman Botanik Singapura, sebuah taman botani sebuah 67.3-hektar (166-ekar) di Singapura yang merangkumi Taman Anggerik Negaea yang menyimpan lebih 3,000 spesies anggerik

Mengikut sistem pengelasan iklim Köppen, Singapura mengalami iklim iklim hutan hujan tropika tanpa peralihan musim yang ketara, suhu dan tekanan yang setara, kelembapan tinggi, dan curahan hujan yang lebat. Suhunya adalah di antara 22 hingga 34 °C (71.6 hingga 93.2 °F). Purata kelembapan relatifnya sekitar 90% pada waktu pagi dan 60% pada waktu petang. Ketika hujan lebat berpanjangan, kelembapan relatif sering mencapai 100%.[54] Suhu terendah dan tertinggi yang tercatat sepanjang sejarah maritim adalah 19.4 °C (66.9 °F) dan 35.8 °C (96.4 °F).

Bulan Mei dan Jun paling panas sekali, manakala November dan Disember membentuk musim monsun tengkujuh.[55] Dari bulan Ogos hingga Oktober, Singapura kerap mengalami jerebu kesan kebakaran hutan di negara jiran Indonesia, adakalanya cukup teruk untuk mengancam amaran kesihatan awam. Jangka waktu siang di Singapura lebih kurang sekata sepanjang tahun kerana kedudukan negara yang dekat dengan Khatulistiwa.

Kira-kira 23% kawasan darat Singapura terdiri daripada kawasan simpanan hutan dan alam semula jadi.[56] Proses pembandaran telah menghapuskan kebanyakan kawasan hutan hujan, sehingga tinggal Hutan Simpanan Bukit Timah sebagai satu-satunya hutan asal di negara. Di Singapura terdapat sebilangan taman alam, seperti Taman Botanik Singapura.

Rujukan

WikiPedia: Singapura http://www.24hrart.org.au/pdf's/Utama_Every.pdf http://english.peopledaily.com.cn/90001/90780/9134... http://business.asiaone.com/Business/News/SME+Cent... http://www.channelnewsasia.com/stories/afp_asiapac... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporebu... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporebu... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/specialrepo...