Ekonomi Singapura

Rencana utama: Ekonomi Singapura
Pelabuhan Singapura, yang paling sibuk di dunia, berlatar belakang latar langit Singapura

Singapura mengamalkan ekonomi pasaran yang cukup maju, yang selama ini berkisar pada perdagangan entrepôt yang luas. Di samping Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan, Singapura ialah salah satu daripada Empat Harimau Asia. Ekonominya amat bergantung pada eksport dan perhalusan barang import, terutamanya dalam bidang perkilangan, yang membentuk 26% KDNK Singapura pada tahun 2005[57], tetapi tidak dilupakan juga sumbangan besar dari sektor elektronik, penapisan petroleum, kimia, kejuruteraan mekanik dan sains bio-perubatan. Pada tahun 2006, Singapura menghasilkan kira-kira 10% keluaran wafer faundri sedunia.[58] Singapura juga bertuah dengan salah sebuah pelabuhan tersibuk di dunia dan pusat perdagangan tukaran asing keempat terbesar di dunia, di belakang London, New York dan Tokyo.[59] Singapura dinilai oleh Bank Dunia sebagai pusat logistik terunggul di dunia.[60]

Singapura diletakkan dalam senarai sepuluh ekonomi paling terbuka,[61] kompetitif[62] dan inovatif[63][64] di dunia. Dinilai sebagai ekonomi yang paling mesra perniagaan di dunia,[65][66] Singapura menyambut beratus-ribu ekspatriat dari luar negara yang bekerja dalam syarikat multinasional, di samping mengambil kerja beratus-ribu lagi buruh kasar asing.

Pemandangan Singapore Central Business District (CBD)

Singapura memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) dengan kadar permulaan 3% pada 1 April 1994, untuk menambah S$1.6 bilion (US$1b, €800m) lagi kepada dana kerajaan, sekaligus menstabilkan kewangan kerajaan.[67] Kadar GST yang boleh dicukai dinaikkan ke 4% pada tahun 2003, 5% pada tahun 2004, dan 7% pada 1 Julai 2007.[68]

Pengangkutan

Pelabuhan Singapura dengan pulau Sentosa di latar belakang

Singapura ialah sebuah hab pengangkutan antarabangsa utama di Asia yang letaknya di persilangan laluan perdagangan laut dan udara.

Pelabuhan Singapura yang diurus oleh pengendali pelabuhan, PSA International dan Jurong Port, merupakan pelabuhan kedua tersibuk di dunia pada tahun 2005, dari segi jumlah berat hantaran pada 1.15 bilion tan kasar, dan dari segi lalu lintas berkontena pada 23.2 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU). Selain itu, Pelabuhan Singapura adalah yang tersibuk di dunia bagi lalu lintas pemunggahan, dan juga pusat pengisian semula bahan api kapal terbesar di dunia.[69]

Sebuah tren di Stesen MRT Eunos dalam sistem Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT), satu daripada tiga laluan pengangkutan penumpang massa di Singapura

Singapura merupakan hab penerbangan untuk rantau Asia Tenggara dan sebuah perhentian di laluan Kanggaru di antara Australasia dan Eropah. Lapangan Terbang Changi Singapura mempunyai serangkaian 80 sistem penerbangan yang menghubungkan Singapura dengan 200 bandaraya di 68 negara. Ia pernah dinilai sebagai salah sebuah lapangan terbang antarabangsa terbaik di dunia oleh majalah-majalah pelancongan antarabangsa, termasuk dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik buat julung kalinya pada tahun 2006 oleh Skytrax.[70] Kini, lapangan terbang ini ada tiga terminal penumpang, dan sebuah penumpang bajet yang memberi kemudahan kepada Tiger Airways dan Cebu Pacific. Sistem penerbangan negara ialah Singapore Airlines (SIA). Lapangan Terbang Changi diswastakan pada tahun 2009 dan kini milik mutlak Changi Airport Group.

Prasarana pengangkutan domestik menyediakan sistem jalan raya yang menyeluruh di seluruh pulau, termasuk satu rangkaian lebuh raya ekspres. Sistem jalan raya awam dipermudah oleh perkhidmatan bas negara dan sebilangan syarikat pengendali teksi berlesen.

Sistem tren alihan massa utama negara, iaitu Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (Mass Rapid Transit, MRT) beroperasi sejak tahun 1987. Sistem MRT ini dilengkapkan lagi dengan Sistem Rel Ringan (Light Rail Transit, LRT) untuk memperluas capaian kepada kawasan perumahan. Sistem EZ-Link yang dilancarkan pada tahun 2001 membolehkan kad pintar tanpa sentuh berfungsi sebagai tiket nilai simpanan untuk digunakan dalam sistem pengangkutan awam di Singapura.

Pelancongan

Merlion, lambang kebangsaan Singapura

Singapura ialah sebuah destinasi popular yang menyumbang kepada perkembangan industri Singapura. Jumlah kedatangan pelawat adalah 10.2 juta pada tahun 2007.[71] Untuk menarik lebih ramai lagi pelancong, kerajaan memutuskan untuk menarik balik larangan berjudi dan membenarkan pembinaan dua tempat penginapan kasino yang dibangunkan di Marina South dan Sentosa pada tahun 2005.[72] Untuk menyaingi bandaraya-bandaraya serantau seperti Bangkok, Hong Kong, Tokyo dan Shanghai, kerajaan telah mengumumkan bahawa kawasan bandaraya diberi perubahan untuk menjadi sebuah tempat yang mengujakan dengan mencerahkan lagi bangunan awam dan perdagangan.[73] Makanan juga dijadikan tarikan utama kepada pelancong dengan Singapore Food Festival yang diadakan setiap bulan Julai untuk meraikan masakan Singapura.

Singapura turut mempromosikan diri sebagai pusat pelancongan perubatan; kira-kira 200,000 warga asing menerima jagaan perubatan di sini setiap tahun. Perkhidmatan perubatan Singapura berazam untuk memberikan khidmat kepada sejuta orang pesakit menjelang tahun 2012 untuk menjana pendapatan AS$ 3 bilion.[74] Kerajaan menyatakan bahawa ini boleh membuka kira-kira 13,000 peluang pekerjaan baru dalam industri kesihatan.

Mata wang

Rencana utama: Dolar Singapura

Mata wang Singapura ialah dolar Singapura yang dilambangkan oleh S$ atau singkatan ISO-nya, SGD. Bank pusatnya ialah Penguasa Kewangan Singapura (Monetary Authority of Singapore) yang bertanggungjawab mengeluarkan mata wang. Singapura menubuhkan Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang pada tahun 1967[75]untuk mengeluarkan wang syiling dan kertas pertamanya.[76] Dolar Singapura boleh ditukar setara dengan ringgit Malaysia sehingga tahunl 1973[76], tetapi masih mengekalkan kesalingbolehtukaran dengan dolar Brunei hingga kini.[76][77] Pada 27 Jun 2007, sempena ulang tahun ke-40 perjanjian mata wang dengan Brunei, wang kertas peringatan S$20 dilancarkan; muka belakangnya seiras dengan wang kertas B$20 yang dilancarkan serentak dengan wang kertas Singapura itu.[77]

Rujukan

WikiPedia: Singapura http://www.24hrart.org.au/pdf's/Utama_Every.pdf http://english.peopledaily.com.cn/90001/90780/9134... http://business.asiaone.com/Business/News/SME+Cent... http://www.channelnewsasia.com/stories/afp_asiapac... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporebu... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporebu... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/specialrepo...