Sejarah Suzhou

Suzhou, tempat bermulanya kebudayaan Wu, ialah salah satu daripada bandar-bandar yang tertua di Lembangan Yangzi. 2500 tahun dahulu pada akhir Dinasti Shang, puak-puak tempatan yang menamai diri sebagai "Gou Wu" tinggal di kawasan ini yang kemudian menjadi Suzhou.

Pada tahun 514 SM semasa Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh, Raja Helu (阖闾) dari Wu mengasaskan "Kota Agung Helu", nama kuno untuk Suzhou, sebagai ibu kotanya. Pada tahun 496 SM, Helu mangkat dan dikebumikan di Huqiu (Bukit Harimau 虎丘).

Pada tahun 473 SM, Wu ditewaskan oleh Yue, lagi sebuah kerajaan di timur yang tidak lama kemudian diilhakkan oleh Chu pada tahun 306 SM. Zaman kegemilangan Suzhou sudah lepas. Saki baki kebudayaannya termasuk saki baki tembok dan pintu tembok di Pintu Pan yang wujud sejak dari 2,500 tahun lagi.

Menjelang zaman Dinasti Qin, kota ini dikenali sebagai Kaunti Wu. Xiang Yu (项羽) memulakan pemberontakan bersejarahnya di sini pada tahun 209 SM yang membantu menggulingkan Dinasti Qin. Pada tahun 589 semasa Dinasti Sui, kota ini dinamai semula sebagai Suzhou.

Apabila Terusan Agung siap dibina, Suzhou mendapati diri terletak di tempat yang strategik pada sebuah laluan perdagangan yang utama. Pada sepanjang sejarah China, ia merupakan sebuah metropolis perindustrian dan perdagangan yang utama di pantai tenggara China.

Semasa Dinasti Tang (825 Masihi), pemuisi agung Bai Juyi (白居易) membina Terusan Shantang (dipanggil "Shantang Jie" atau 山塘街) untuk menghubungkait kota ini dengan Huqiu bagi manfaat para pelancong. Kemudian pada tahun 1035, Fan Zhongyan (范仲淹), pemuisi dan penulis agung, membina Kuil Confucius yang kemudian dipergunakan untuk menjalankan Peperiksaan Awam Empayar.

Pada bulan Februari 1130, angkatan tentera Dinasti Jin yang mara dari utara menjarah dan membunuh beramai-ramai di kota ini. Ini disusuli oleh serangan Mongol pada tahun 1275 dan pemusnahan kota diraja (di tengah kota yang bertembok) pada permulaan Dinasti Ming pada tahun 1367.

Selepas itu, Suzhou mengalami suatu tempoh yang lebih makmur. Banyak daripada taman-taman peribadi yang masyhur dibina oleh para ningrat dinasti-dinasti Ming dan Qing. Bagaimanapun, askar-askar Taiping menawan kota itu dan pada bulan November 1863, Angkatan Tentera Yang Sentiasa Menang (Ever Victorious Army ) yang diketuai oleh Charles Gordon menawan semula kota itu daripada angkatan tentera Taiping.

Krisis berikut yang melanda Suzhou ialah serangan Jepun pada tahun 1937. Banyak tamannya dimusnahkan menjelang akhir peperangan. Pada awal dekad 1950-an, kerja-kerja membaik pulih dibuat oleh Zhuo-Zheng Yuan (Taman Pentadbir Rendah Hati), Dong Yuan (Taman Timur), dan orang-orang lain.

Pada tahun 1981, kota kuno ini disenaraikan oleh Majlis Negara Republik Rakyat China sebagai salah satu daripada empat buah bandar raya (yang lain ialah Beijing, Hangzhou, dan Guilin) yang perlindungan warisan sejarah dan kebudayaan serta pemandangan semula jadinya diperlakukan sebagai sebuah projek keutamaan. Sejak dari masa itu, dengan projek-projek ekonomi subbandar, Suzhou telah berkembang menjadi salah satu bandar raya yang paling makmur di China.

Taman-taman klasik di Suzhou dimasukkan ke dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun-tahun 1997 dan 2000. Adalah mungkin untuk membuat lawatan maya ke Taman-taman Klasik Suzhou yang mengagumkan ini melalui panografi laman web UNESCO.