Kerjaya Syafiq_Yusof

2008–2013: Penglibatan awal

Syafiq (kanan), bersama bapanya, Datuk Yusof Haslam (tengah) dan abangnya, Syamsul (kiri).

Sebelum menduduki kerusi pengarah, Syafiq Yusof terlebih dahulu memulakan kerjaya awalnya dalam bidang lakonan dengan melakonkan watak pembantu dalam beberapa episod dalam siri drama kepolisan paling lama bersiaran Gerak Khas, sejak dari itu, beliau berkhidmat sebagai pengarah bersama untuk beberapa episod bersama abang tirinya, Faizal Yusof dan juga mengarahkan beberapa episod Roda-Roda Kuala Lumpur yang mana beliau turut berlakon. Beliau menduduki kerusi pengarah dengan menghasilkan beberapa filem pendek termasuk Abangku Gengster (2010) dan Along (2011).

Pada tahun 2012, filem pertama arahan beliau, SAM: Saya Amat Mencintaimu yang bergenre romantik psiko thriler, ditayangkan pada 19 Ogos sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, dibintangi oleh Shaheizy Sam, Lisa Surihani dan abangnya Syamsul.[2][3] Percubaan sulung beliau dalam pengarahan filem cetera melayakkan Syafiq memenangi Pengarah Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26 dan menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai Pengarah Paling Termuda.[4]

Pada tahun yang sama, beliau bersama sepupunya yang juga pelakon, Rizal Ashreff mengarahkan bersama siri drama 26 episod, Evolusi KL Drift: The Series yang diadaptasi dari filem Evolusi KL Drift yang mendapat sambutan dari penonton.[5] Syafiq sendiri turut berlakon dalam drama ini, yang mana beliau memegang watak sebagai Daniel, adik kepada Zack lakonan abangnya, Syamsul dalam dua filem asal.[6]

Pada 11 Januari 2013, Syafiq bersama dua rakan niaganya menubuhkan Viper Studios yang mengkhususkan kepada penerbitan filem, kesan visual, pasca-penerbitan dan animasi, yang mana beliau turut berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.[7]

2014–kini: Kejayaan arus perdana

Syafiq di majlis tayangan perdana filem arahannya, Abang Long Fadil.

Filem kedua arahannya, Abang Long Fadil ditayangkan pada 29 Mei 2014, merupakan terbitan turunan dari filem KL Gangster dibintangi oleh Zizan Razak, dan Kamal Adli.[8] Pada tahun berikutnya, beliau mengarahkan filem ketiganya, filem pertama arahannya bagi genre seram - Villa Nabila[9] yang diinspirasikan dari kisah benar misteri banglo Villa Nabila,[9] dibintangi oleh Pekin Ibrahim dan Tisha Shamsir,[9] filem ini ditayangkan pada 15 Januari 2015.[9] Pada November 2015, Syafiq tampil dengan mengarahkan sebuah drama bersiri 26 episod bertajuk Cinta Dari Marikh[10] yang menggandingkan pelakon yang mula mencipta nama Fattah Amin dan Chacha Maembong, bersama A. Galak, Amyza Aznan, Harun Salim Bachik dan ramai lagi.[10] Drama ini berkisarkan tentang Aiman, seorang jejaka yang jatuh cinta dengan makhluk asing dari Planet Marikh iaitu Nova (Chacha).[10][11]

Beliau bersama Pekin Ibrahim mengarahkan filem drama aksi pengembaraan Mat Moto yang mana beliau berkhidmat sebagai pengarah bersama.[12] Menurutnya, beliau ditawarkan menjadi pengarah bersama filem itu kerana idea yang diutarakan oleh Pekin.[13] Ditayangkan pada 14 Januari 2016, ia mengisahkan tentang seorang 'mat moto' yang bernama Al (Pekin) mengembara di seluruh Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan empat topi keledar bagi memenuhi hajat sahabat karibnya. Ia dibintangi oleh Pekin dan pendatang baru dalam bidang lakonan, Falisha Crossley yang memegang watak Sikha. Beliau kembali dengan filem keempat arahannya, Desolasi yang ditayangkan pada 8 Disember 2016,[14] dibintangi oleh abangnya, Syamsul Yusof dan Bella Dally,[14] yang menuntut Syafiq untuk "mengosongkan" beberapa kawasan sibuk di Kuala Lumpur menggunakan teknik kesan khas.[15][16][17] Untuk filem ini, beliau mengetengahkan penyakit Anton-Babinski (sejenis simptom ganjil kerosakan otak yang berlaku di lobus oksipital) sebagai subjek di dalam jalan cerita.[18][19][20]

Filem keenam arahan beliau, Abang Long Fadil 2 ditayangkan pada 24 Ogos 2017,[21] dengan mengekalkan Zizan Razak dengan penambahan pelakon baru termasuk Wak Doyok, Shuib Sepahtu, Achey Bocey dan Tania Hudson. Dengan belanjawan yang dianggarkan RM 3.2 juta, filem ini menjadi kejayaan komersial, dengan mendapat kutipan paling tertinggi sebanyak RM 18.15 juta, mengatasi filem Munafik arahan abangnya, yang mencecah RM 17.04 juta.[22] Syafiq dilaporkan berkata mahu menjadikan Abang Long Fadil sebagai sebuah francais.[23][24][25]

Pada Disember 2017, Syafiq dilaporkan akan mengarahkan drama KL Gangster: Underworld, siri TV terbitan turunan dari siri filem KL Gangster yang diterbitkan untuk siaran di rangkaian perkhdmatan video atas permintaan, iflix dan turut diarahkan bersama oleh Faisal Ishak.[26][27] Filem ketujuh arahan beliau, KL Special Force, yang dibintangi oleh abangnya Syamsul, Rosyam Nor dan Fattah Amin ditayangkan di pawagam pada 8 Mac 2018[28][29] dan mencipta rekod baharu industri perfileman negara dengan meraih kutipan pecah panggung tertinggi sebanyak RM12.1 juta dan menerima ulasan positif dan bercampur-campur dari pengkritik filem.[30][31]

Selain itu, filem Abang Long Fadil 3 arahannya dalam perancangan.[32] Syafiq bersama Faisal mengarahkan drama aksi jenayah 6 episod, KL Gangster: Underworld, siri TV terbitan turunan daripada siri filem KL Gangster, memulakan tayangan perdana di iflix bermula 16 Ogos 2018. Barisan pelakon terdiri daripada Beto Kusyairy, Azhan Rani, Zahiril Adzim, Ezzaty Abdullah, Dynas dan ramai lagi.[33][34]

Filem kelapan arahan beliau, Misteri Dilaila yang bergenre seram thriler menjalani penggambaran pada 26 Mac 2018 di Bukit Fraser, Pahang. Dikeluarkan pada 21 Februari 2019, filem ini dibintangi oleh Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Rosyam Nor dan Sasqia Dahuri.[35] Ia mengisahkan tentang pasangan suami isteri iaitu Jefri dan Dilaila yang bercuti di sebuah rumah banglo di Bukit Fraser milik arwah bapa Dilaila, namun percutian tersebut bertukar menjadi satu misteri apabila Dilaila hilang dan Jefri menghubungi polis untuk mengesan isterinya yang hilang.[36] Ia menjadi kejayaan komersial sekaligus muncul sebagai filem Malaysia pertama dengan dua versi penamat berbeza.

Ia telah diumumkan pada September 2019 yang beliau akan mengarahkan siri ketiga filem Polis EVO dengan Shaheizy Sam dan Zizan Razak menjayakan kembali watak mereka.[37]

Rujukan

WikiPedia: Syafiq_Yusof http://prod-astrogempak.pink.cat/artikel/4515/bern... http://www.mynewshub.cc/artis/syafiq-yusof-isteri-... http://youth.bernama.com/v2/news.php?id=1349439 http://www.gempak.com/artikel/25021/Polis-Evo-3-Ba... http://www.gempak.com/artikel/6317/mungkin-akan-ad... http://www.imdb.com/name/nm5366442/ http://kakimuvee.com/2015/07/5-fakta-filem-mat-mot... http://www.malaysiandigest.com/hiburan/721300-nuur... http://www.rojakdaily.com/entertainment/article/69... http://www.rotikaya.com/syafiq-yusof-isteri-selama...