Pengangkutan Zanzibar

Jalan raya

Zanzibar mempunyai 1,600 kilometer jalan raya, di mana 85% daripadanya adalah berturap dan separuh berturap.[petikan diperlukan] Selebihnya merupakan jalan tanah merah, yang mana dibaiki setiap tahun untuk menjadikan ia boleh dilalui sepanjang tahun.[petikan diperlukan]. Bagi memastikan jaringan jalan raya ini boleh digunakan dan diselenggara pada sepanjang tahun, Zanzibar menubuhkan Lembaga Tabung Jalan Raya, yang mana terletak di Maisala bagi tujuan mengutip dana dan menyerahkan kepada Kementerian Komunikasi.

Pengangkutan awam

Tiada sistem pengangkutan awam yang dimiliki oleh kerajaan di Zanzibar. Sistem persendirian, Daladala, mengikut nama rasminya di Zanzibar, merupakan satu-satunya sistem pengangkutan awam. Istilah Daladala berasal daripada perkataan Kiswahili, DALA atau lima shilling semasa tahun 1970-an dan 1980-an apabila pengangkutan awam berkos lima shilling.

Pelabuhan

Pelabuhan Zanzibar

Terdapat lima pelabuhan di pulau-pulau Unguja dan Pemba, kesemuanya dioperasikan dan dibangunkan oleh Perbadanan Pelabuhan Zanzibar.

Pelabuhan utama di Malindi, yang mengendalikan 90% perdagangan Zanzibar telah dibina pada tahun 1925. Pelabuhan ini dipulihkan antara tahun 1989 dan 1992 dengan bantuan kewangan daripada Kesatuan Eropah. Kontraktor daripada Itali, Salini Impregilo S.p.A., sepatutnya membina dermaga yang boleh bertahan selama 60 tahun; bagaimanapun, dermaga ini hanya dapat digunakan selama 11 tahun sebelum berderai dan rosak di sebabkan syarikat ini telah melencong daripada spesifikasi asal.[24] Setelah pertikaian undang-undang yang panjang, pada tahun 2005 syarikat Itali ini telah diperintahkan oleh Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa membayar kepada Zanzibar AS$11.6 juta.[25] Pelabuhan ini sekali lagi dipulihkan antara tahun 2004 hingga 2009 dengan Euro 31 juta geran daripada Kesatuan Eropah. Kontrak telah dianugerahkan kepada M/S E. Phil and Sons daripada Denmark. Pengarah dalam syarikat ini telah mencadangkan pemulihan ini akan bertahan sekurang-kurangnya 50 tahun. Tetapi, pelabuhan ini sekali lagi menghadapi masalah termasuk tenggelam.[24]

Kemalangan feri

Malapetaka maritim terburuk dalam sejarah Tanzania

Rencana utama: Feri karam di Zanzibar

MV Spice Islander I telah karam pada 10 September 2011 selepas berlepas daripada pulau Unguja ke Pulau Pemba. Dalam sebuah laporan ke Dewan Perwakilan Zanzibar pada 14 Oktober 2011, Timbalan Presiden Kedua Zanzibar, Duta Seif Ali Iddi, mengatakan bahawa 2,764 orang hilang, 203 mayat berjaya ditemui, dan 619 penumpang berjaya diselamatkan. Ia merupakan malapetaka terburuk dalam sejarah Tanzania.[26] Satu suruhanjaya presiden, tiga bulan selepas itu bagaimanapun melaporkan hanya 1,370 orang hilang, 203 mayat ditemui, dan 941 penumpang berjaya diselamatkan. Lebih muatan dipercayai menyebabkan feri ini karam.[27]

Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Zanzibar

Lapangan terbang

Lapangan terbang utama Zanzibar, Lapangan Terbang Antarabangsa Zanzibar, boleh mengendalikan pesawat penumpang besar sejak tahun 2011, yang mana melihat peningkatan jumlah penumpang dan kargo yang masuk dan keluar. Sejak penambahan jumlah kapasiti pada akhir tahun 2013, ia boleh mengendalikan sehingga 1.5 juta penumpang setahun.[28] Pulau ini boleh dicapai dengan menggunakan penerbangan yang diusahakan oleh Auric Air,[29] Kenya Airways,[30] Qatar Airways, FlyDubai dan Coastal Aviation[31]