Kerjaya Fattah_Amin

2011–2014: Penglibatan awal dan Playboy Itu Suami Aku

Penerbit dan pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam ialah bapa saudara Fattah menerusi pertalian saudara melalui bapanya. Namun, tanpa mahu terlalu berharap kepada Skop Productions, Fattah cuba masuk dalam industri dengan bekerja sebagai kru penggambaran.[2] Sepupunya, pelakon dan pengarah Syafiq Yusof menawarkannya menjadi kru untuk filem SAM: Saya Amat Mencintaimu lakonan Shaheizy Sam, Lisa Surihani dan Syamsul Yusof pada tahun 2011.[3][4]

Setelah itu, beliau bekerja untuk produksi drama Gerak Khas ketika masih menunutut di kolej. Fattah mula bergiat aktif dalam bidang lakonan menerusi watak tambahan dalam siri drama televisyen Memberku Hawa bersama pelakon utamanya, Nad Zainal. Daripada situ, beliau cuba berjinak sebagai pelakon secara suka-suka.

Fattah menjadi salah seorang finalis Hero Remaja 2011/12 bersama Saharul Ridzwan, Hafidz Roshdi, Syafiq Kyle, Ben Amir, Nazrief Nazri, Fendy Bakry dan Hafreez Adam, sekaligus beliau merangkul gelaran juara.[5]

Filem pertama Fattah ialah Manisnya Cinta Di Cappadoccia arahan Bernard Chauly sebagai watak tambahan bernama Farhan pada tahun 2014 yang mana mempertemukan Fattah dengan pelakon Nur Fazura yang menjadi pelakon utama filem tersebut.

Beliau mula meniti puncak kemasyhuran menerusi drama Playboy Itu Suami Aku lakonan bersama Nur Risteena yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama. Fattah memegang watak sebagai Adrian Benjamin. Setelah penampilan sulungnya dikritik kerana kurang persediaan sebagai pelakon, Fattah menunggu selama dua tahun untuk membuktikan bakatnya. Risteena juga berdepan dengan situasi sama.[6][7]

2015–2016: Hello, Mr. Perfect! dan Gerak Khas

Pada tahun 2015, nama Fattah diterima umum sebagai pelakon kerana peningkatan yang ditonjolkannya dalam beberapa drama seperti Bencinta, Plan Cinta Tak Jadi serta berpeluang mengembangkan bakat ke Indonesia menerusi telefilem Ku Kejar Cinta Ke Malaysia dan From Hater To Lover.[8]

Pada November 2015, Fattah tampil dengan sebuah drama bersiri 26 episod bertajuk Cinta Dari Marikh arahan Syafiq Yusof yang menggandingkan beliau bersama Chacha Maembong, turut dibintangi oleh A. Galak, Amyza Aznan, Harun Salim Bachik dan ramai lagi. Drama ini berkisarkan Aiman, seorang jejaka yang jatuh cinta dengan makhluk asing dari planet Marikh iaitu Nova (Chacha).[9] Fattah muncul bersama Ruhainies dalam siri drama adaptasi novel Hello, Mr. Perfect!; Fattah memegang watak Izzul Islam yang mengisahkan Ariff dan Ainul pasangan kekasih yang ingin berkahwin.[10]

Pada tahun 2016, Fattah telah dipilih untuk menjayakan watak Inspektor Haikal dalam siri drama polis Gerak Khas.[11] Beliau digandingkan bersama Mira Filzah sebagai bintang utama siri TV waktu perdana TV3, Ketupat Palas Mr. Handsome; Fattah memegang watak sebagai Kruz, seorang pemuda yang lahir daripada keluarga berada.[12]

Beliau memegang watak sebagai Kapten Ejaz Fakhri dalam drama Suri Hati Mr Pilot yang menggandingkan beliau bersama Neelofa. Drama tersebut menjadi fenomena dengan mendapat sambutan hangat setiap minggu dan mendapat pemeringkatan tertinggi iaitu 5 juta tontonan dan telah direkodkan sebagai antara drama dengan pemeringkatan tertinggi di Malaysia.[13][14][15]

2017: Hero Seorang Cinderella dan My Coffee Prince

Fattah memasuki set drama Hero Seorang Cinderella yang menggandingkannya dengan pelakon, Nur Fazura pada awal April 2017. Beliau yang membawa watak Tengku Ian Uzzam, seorang usahawan yang pulang ke tanah air bagi melaksanakan sebuah rancangan, bertemu dengan Nura Medina, seorang pelajar universiti, yang dilakonkan oleh Fazura. Niat asalnya untuk membantu merapatkan tali persaudaraan antara sahabatnya, Farrizam dengan Medina, telah menghasilkan pertemuan demi pertemuan dengan Medina hingga menimbulkan perasaan cinta antara mereka. Drama ini telah mencetuskan fenomena luar biasa bagi peminat drama tanah air, hasil daripada gandingan mantap dan serasi antara Fattah dan Fazura yang akhirnya menyatukan mereka sebagai suami isteri yang sah dalam kehidupan sebenar. Drama ini mendapat catatan carian Google tertinggi untuk carta drama tempatan untuk tahun 2017, dan disahkan menjadi drama yang mempunyai permintaan tertinggi di laman sesawang Kepala Bergetar.[16][17]

Pada 27 November 2017, Fattah digandingkan bersama Janna Nick dalam drama My Coffee Prince yang berdasarkan daripada drama Korea Selatan 2007, The 1st Shop of Coffee Prince di Astro Ria.[18][19][20]

2018–kini: Kejayaan arus perdana

Filem terbaru beliau, KL Special Force arahan Syafiq Yusof ditayangkan pada 8 Mac 2018 yang mana Fattah memegang watak sabagai ASP Zul, pegawai baru Unit Tindakan Khas (UTK).[21] Bagi menjayakan watak ASP Zul, beliau melakukan beberapa aksi lasak dan ekstrem sendiri untuk filem tersebut.[22][23] Fattah dalam satu temu ramah bersama Berita Harian berkata impian untuk bekerja bersama pelakon senior Datuk Rosyam Nor menjadi kenyataan dalam filem ini: "Memang saya teruja dapat berlakon dengan idola yang saya ikuti setiap lakonannya sejak di bangku sekolah. Sepanjang di lokasi, beliau seorang aktor berpengalaman yang tidak kedekut berkongsi ilmu."[24]

Bekerja di bawah arahan Syamsul Yusof, Fattah menjayakan peranan utama sebagai Awang dalam filem biopik sejarah Mat Kilau yang mengisahkan perjuangan pahlawan Melayu terkenal, Mat Kilau. Biopik Mat Kilau turut dijayakan oleh Ady Putra, Beto Kusyairy, Johan As'ari, Farid Amirul, A. Galak, Yayan Ruhiyan, Nadiya Nisaa dan bintang baru, Ali Karimie.[25][26][27]

Fattah melancarkan lagu Raya pertamanya, bertajuk "Syawal Kali Ini" ciptaan Aizat Amdan dan lirik oleh Mel Ramlan.[28] Beliau disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 Lelaki Paling Seksi di Dunia oleh portal hiburan Filipina, Starmometer. Beliau ialah satu-satunya selebriti Malaysia yang disenaraikan dalam senarai itu.[29]

Rujukan

WikiPedia: Fattah_Amin http://www.astroawani.com/berita-hiburan/fattah-am... http://mybuletinmalaysia.blogspot.com/2016/10/fatt... http://www.gempak.com/artikel/1000/makan-empat-kal... http://www.imdb.com/name/nm9592822/ http://ohbulan.com/finalis-hero-remaja-2012-fattah... http://ramenpedas.com/2016/02/fattah-amin-jadi-ang... http://www.rojakdaily.com/entertainment/article/13... http://www.rojakdaily.com/entertainment/article/69... http://eh.com.my/artikel/penangan-drama-suri-hati-... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&d...