Demografi Kota_Surabaya

Suku Jawa ialah suku bangsa majoriti di Surabaya, dan merupakan 53% daripada jumlah penduduknya. Berbanding dengan masyarakat Jawa pada umumnya, suku Jawa di Surabaya memiliki pembawaan yang lebih keras dan egalitarian. Salah satu sebabnya adalah jauhnya Surabaya dari Kraton yang dianggap sebagai pusat kebudayaan Jawa.

Surabaya juga merupakan tempat tinggal untuk berbagai-bagai suku bangsa di Indonesia, termasuk suku Tionghoa (25.5%), Madura (7.5%), dan Arab (7%). Sebagai pusat komersil wilayah, banyak ekspatriat juga tinggal di daerah Surabaya, terutamanya di daerah Surabaya Barat, dengan kaum-kaum Tionghoa, Korea, dan Jepun merupakan kaum-kaum ekspatriat yang terbesar.

Sebagai pusat pendidikan, Surabaya juga merupakan tempat tinggal untuk para mahasiswa dari berbagai-bagai daerah di seluruh Indonesia, bahkan antara mereka juga terbentuk komuniti-komuniti tersendiri.

Agama

Agama Islam ialah agama yang terutama di Surabaya. Surabaya merupakan salah satu pusat penyebaran agama Islam yang paling awal di tanah Jawa. Masjid Ampel dibina di sini pada abad ke-15 oleh Sunan Ampel, salah satu perintis walisongo. Di Surabaya terdapat juga penganut Islam Syiah pada jumlah yang cukup ketara.

Agama-agama lain yang dianuti di Surabaya termasuk agama Kristian, Katolik, Hinduisme, Buddhisme, dan Konfusianisme.

Bahasa

Surabaya memiliki loghat bahasa Jawa yang khas yang dipanggil "Boso Suroboyoan". Loghat ini yang dipengaruhi oleh bahagian timur provinsi Jawa Timur dituturkan di daerah Surabaya dan sekitarnya. Boso Suroboyoan terkenal kerana sifat egalitarian, terus-terang, dan tidak membezakan ragam tingkat bahasa seperti bahasa Jawa baku pada umumnya. Masyarakat Surabaya juga dikenali kerana sifat fanatik dan bangga terhadap bahasa mereka.