Sambutan Krismas

Hari Krismas disambut sebagai perayaan utama dan cuti umum di kebanyakan negara di dunia, termasuk yang majoriti penduduknya bukan penganut Kristian. Krismas disambut di negara bukan Kristian kerana diperkenalkan oleh bekas penjajah, diduduki oleh kelompok minoriti Kristian atau menerima pengaruh budaya asing.

Walaupun kebanyakan negara menyambut Krismas pada 25 Disember setiap tahun, namun sesetengah gereja di Rusia, Georgia, Mesir, Armenia, Ukraine dan Serbia menyambutnya pada 7 Januari kerana mengikut kalendar Julius yang tarikh 25 Disembernya jatuh pada 7 Januari dalam kalendar Gregory.

Di seluruh dunia, sambutan Krismas diraih dalam pelbagai bentuk, dicerminkan oleh kepelbagaian budaya dan tradisi sesebuah negara. Negara-negara yang hangat menyambut Krismas walaupun bilangan penduduk Kristian yang kecil seperti Jepun, telah menerima kebanyakan aspek-aspek sekular dalam sambutan Krismas seperti bertukar hadiah, hiasan lampu dan pokok Krismas.

Tradisi Gereja

Lakon pentas "kelahiran Jesus" di Jerman

Sambutan Hari Krismas sangat penting bagi gereja, iaitu sewaktu untuk mengadakan upacara atau majlis sambutan istimewa. Berikut ialah cara-cara Krismas disambut di gereja.

Paparan kelahiran Jesus Christ

Kebanyakan gereja mengamalkan adat memaparkan babak kelahiran Jesus. Dimulai oleh St. Francis dari Asissi pada abad ke-13, tradisi yang berasal dari Itali ini diperluaskan ke banyak negara lain.

Babak kelahiran ini dipaparkan dalam bentuk patung sebesar saiz manusia, ataupun sekecil kotak mancis, diperbuat dari pelbagai bahan termasuk kayu, tembikar, kertas, kain, jerami, dan logam yang berwarna-warni.

An Advent wreath on the Second Sunday in Advent

Lingkaran Kedatangan

Lingkaran Kedatangan (Advent wreath) ialah selingkaran daun-daun pain, ivy dan holi, dengan lima batang lilin di dalamnya yang digantung di dalam gereja. Lilin-lilin ini dinyalakan pada setiap Ahad pada musim Kedatangan, dan lilin di tengah dinyalakan pada pagi Hari Krismas. Gereja selalu dihiasi dengan dahan dan daun hijau, di samping juga dimasukkan pohon Krismas.

Pembacaan kitab

Pada hari Krismas, diadakan sesi pembacaan kitab yang menceritakan kisah kelahiran Jesus yang terkandung di dalam kitab Bible, di samping bacaan-bacaan suci lain yang mengisahkan tentang bahaya kerakusan hawa nafsu manusia, dan mengenai datangnya Penyelamat (Messiah) yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa manusia.

Karol

Kebanyakan gereja juga mengamalkan upacara nyanyian karol yang dipersembahkan di dalam suasana nyalaan lilin, kebanyakannya melibatkan nyanyian atau bacaan suci Bible oleh koir dan juga para penganut yang taat.

Sambutan awam dan komersil

Sebatang pokok Krismas gergasi di Lisbon, Portugal

Kawasan sekitar bandaraya sentiasa dihias indah untuk menyambut Krismas, termasuk menggantung sepanduk, panji-panji dan lampu berwarna-warni pada dinding bangunan, tiang-tiang lampu, dan pokok-pokok di sekeliling bangunan. Banyak juga bandaraya besar yang meletakkan sepohon pokok Krismas di tempat-tempat awam, seperti di Trafalgar Square di London, Times Square di New York dan Martin Place di Sydney. Tidak lupa juga kegiatan amal untuk menyeru warga kota agar menyalurkan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Waktu perniagaan kedai dan pusat beli-belah dilanjutkan sebelum hari Krismas agar orang ramai diberi lebih banyak masa bagi membeli juadah makanan dan hadiah-hadiah Krismas. Tingkap kedai sentiasa dihias babak kelahiran Jesus, termasuk di gedung membeli-belah besar yang mampu menyediakan babak animasi untuk menghiburkan kanak-kanak. Gedung beli-belah besar juga menyediakan seorang pelakon watak Santa Claus yang duduk di atas singgahsana untuk mendengar permintaan kanak-kanak pada hari Krismas, di samping diambil gambar bersama para pengunjung.

Pasar Krismas di Dresden, Jerman.

Perarakan, hiburan jalanan dan konsert Krismas juga diadakan di bandar raya. Sesetengah pekan mengadakan tradisi nyanyian karol oleh kumpulan koir dan persembahan penghibur ternama di dewan perbandaran atau di kawasan luar bangunan.

Sambutan seisi keluarga

Sebuah keluarga berhibur sempena Krismas.

Krismas merupakan hari untuk bersantai bersama sanak saudara yang tinggal berjauhan, bertemu semula untuk bertukar-tukar hadiah, berkongsi kebahagiaan hidup dan untuk bersuka ria. Ada juga yang menyertai perarakan menyanyikan karol dari rumah ke rumah. Seperti juga gereja dan tempat awam, rumah kediaman juga wajib dihiasi indah sempena sambutan Krismas, dengan gantungan rimbunan daun kehijauan pada dinding-dinding, pohon Krismas di ruang tamu dan gantungan stoking merah besar pada tempat pendiangan api.

Pokok Krismas

Tradisi menghias pohon Krismas berasal dari negara Jerman. Selalunya pokok malar hijau menjadi pilihan, khususnya pokok fir yang tidak gugur daunnya atau pudar wanginya, dibeli dari dusun atau ditebang dari hutan, namun adakalanya pokok buatan menjadi pilihan.

Rujukan

WikiPedia: Krismas http://www.britannica.com/eb/article-9082431/Chris... http://detikvideo.com/Christmas http://www.perseus.tufts.edu/cgi-bin/ptext?doc=Per... http://web.archive.org/20050218234506/www.geocitie... http://dmoz.org/Society/Holidays/Christmas/ http://www.gutenberg.org/files/16878/16878-h/16878... http://www.newadvent.org/cathen/01542a.htm http://www.newadvent.org/cathen/10402a.htm http://www.saintpetersbasilica.org/Necropolis/Scav... http://downloads.bbc.co.uk/worldservice/learningen...