Kerjaya Nad_Zainal

Karya terawal

Pada tahun 2008, ketika berusia 18 tahun, Nad membuat penampilan sulungnya di televisyen menerusi drama komedi Sunsilk Impian lakonan Diana Amir; beliau menjayakan watak sebagai Laila, ketika itu beliau dikreditkan sebagai Farah Nadia, iaitu nama sebenarnya.[10] Pada tahun 2009, beliau berlakon di samping Qi Razali, Nas-T dan Julie Woon dalam siri televisyen Blogger Boy yang memulakan tayangan perdana di 8TV pada 8 Mei dan berakhir pada 28 Mei 2010; beliau memegang watak Atiqah.[11]

Selepas menjayakan beberapa watak pembantu dalam telefilem dan drama, Nad mendapat peranan utama pertamaya dalam Bukan Bidadari hasil nukilan sutradara Faisal Ishak. Ia mengisahkan Inas yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran demi mengecapi sebuah kehidupan mewah. Namun takdir telah menemukan Inas dengan beberapa orang lelaki yang tidak berhati perut yang sanggup menghancurkan hidupnya.[12] Drama ini menggandingkan beliau bersama Sharnaaz Ahmad.[13] Bertitik tolak dari drama inilah nama Nad mula meniti di bibir peminat. Beliau kemudian berlakon di samping Kamal Adli dan Miera Leyana dalam drama berat Putera Rayyan di Slot Samarinda TV3 yang mana beliau memegang watak sebagai Arisa yang merupakan suami kepada Putera Rayyan lakonan Kamal.[14]

2012 menandakan penampilan sulung Nad di layar lebar apabila beliau menjayakan peranan kecil dalam filem komedi Jidin Sengal lakonan Angah Raja Lawak dan Along Cham. Pada tahun sama, Nad memegang watak seorang gadis periang bernama Kay dalam siri drama tajaan jenama tuala wanita Kotex, Memberku Hawa arahan Bernard Chauly yang turut menggandingkan beliau bersama Faezah Elai yang memegang watak sebagai Hawa.[15] Ia mengisahkan dua orang rakan baik (Hawa dan Kay) yang sedang mencari kerja. Tetapi, hanya Hawa sahaja yang mendapat pekerjaan yang baik manakala Kay tidak dapat pekerjaan yang diinginkannya. Drama ini memulakan tayangan perdana di TV3 pada 15 April 2012.[16][17]

Nad muncul dalam drama yang diadaptasikan daripada novel iaitu drama Kampung Girl dalam Slot Zehra pada waktu bersiaran hari Jumaat bersama penyanyi Akim Ahmad pada tahun 2013.[18] Drama itu telah mencapai lebih daripada 4 juta penonton kerana gandingan serasi mereka menerusi drama tersebut.[19] Di atas permintaan ramai, mereka akhirnya telah muncul dalam drama telefilem sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu Kampung Girl Raya pada pertengahan 2014.[20]

Pada tahun 2013 juga, Nad digandingkan bersama pelakon Rosyam Nor menerusi telefilem Mawar Putih Tanda Perpisahan yang mengisahkan tentang Dahlia yang telah kehilangan suaminya yang terkandas di laut, berkahwin dengan seorang lelaki pertengahan usia bernama Sudin. Telefilem ini memulakan tayangan perdana di Astro Box Office Tayangan Hebat sepanjang Mei 2013,[21] ia memenangi Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2013.[22][23] Beliau merupakan salah seorang pengacara bersama di Anugerah Skrin 2013.

Nad meraih peningkatan kerjaya lakonannya selepas menjayakan beberapa peranan pembantu dan kecil. Beliau memegang watak utama sebagai Fiqa dalam drama Seindah Sabarmu yang mengisahkan ketabahan seorang gadis yang disisihkan oleh bapanya setelah kematian ibunya.[24] Beliau kembali menjayakan peranannya sebagai Kay dalam musim kedua Memberku Hawa. Pada September 2013, Nad kembali aktif di pentas teater menerusi pementasan teater Maduku Kalut arahan Muhammad Azhar Zainal dan turut membariskan para pelakon termasuk Izzue Islam, Jihan Muse, Karl Shafek dan lain-lain.[25][26][27]

Karya terkini

Nad mendapat peranan utama Intan Asha Areen dalam drama komedi adaptasi novel Tuan Rumah Pembantu Rumah karya Orkid Edyliyne yang menggandingkan beliau bersama Hisyam Hamid, Ramona Zamzam dan Zoey Rahman. Drama ini mengisahkan tentang Intan Asha Areen yang kecewa dengan tunangnya, Taufeeq yang curang bersama wanita lain.[28][29] Sepanjang 2014, Nad membintangi 12 telefilem, antaranya ialah Adnan Balik Raya, Dari Pintu Neraka, Kantin Cinta, Sekali Sayang dan Kisah Hidup Jai (TATU).

Nad bersama-sama Diana Danielle, Mila Jirin dan Sara Ali, membintangi filem komedi muzikal seram, Kami Histeria arahan Shamyl Othman terbitan Redfilms yang ditayangkan pada 6 Februari 2014. Beliau memegang watak sebagai Peanut, salah seorang ahli kumpulan Histeria.[30] Nad memegang watak utama dalam drama cereka sains #Antidot yang mengisahkan tentang beberapa orang saintis pakar virus yang bersaing untuk menghasilkan penawar melawan virus yang boleh menyebabkan manusia mati dan bertukar menjadi zombi di Malaysia. Beliau berlakon bersama Remy Ishak, Kamal Adli, Nabila Huda, Shahriza Mahmud dan Puteri Syasya.[31][32] Nad mengakui amat mengagumi Remy yang disifatkannya sebagai pelakon yang senang memberikan kerjasama.[33]

Dari 11 hingga 16 Februari 2015, Nad menjayakan watak sebagai setiausaha menteri dalam pementasan teater Diari Wanita… Episod Kak Ani & Nyonya yang berlangsung di Istana Budaya. Untuk menjayakan peranannya, Nad mengisi masanya dengan banyak bermonolog. Dengan bantuan Rosminah Tahir (bekas pensyarah ASWARA), beliau percaya dengan keyakinan terhadap wataknya. Nad berkata: “Tugas menteri bukan goyang kaki di pejabat yang mewah atau hidup dalam dunia glamour, sebaliknya bagaimana mereka cuba menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat hingga mengetepikan kepentingan serta keluarga sendiri,”[34] Andai Bukan Khilaf Itu, yang mana Nad memegang watak sebagai Suri, seorang gadis Orang Kurang Upaya (OKU), yang menghidap autisme menggandingkan beliau bersama pelakon kanak-kanak pemenang anugerah, Puteri Balqis yang memegang watak Tasya, seorang kanak-kanak terbiar dan turut dibintangi oleh Kamal Adli. Ia disiarkan di TV2 pada 24 September 2015.[35]

Nad dilaporkan bakal menduduki kerusi pengarah bagi melengkapkan diari kerjayanya.[36] Beliau kembali beraksi di pentas teater menerusi pementasan teater Ombak Rindu... Tiada Penghujung yang dipentaskan pada 22 April lalu hingga 1 Mei 2016, turut dijayakan oleh Keith Foo dan Uqasha Senrose.[37]

Pada tahun 2017, Nad juga muncul dalam filem Aku Haus Darahmu yang ditayangkan pada 2 Februari 2017.[38] Bekerja di bawah arahan Shuhaimi Lua Abdullah, Nad menjayakan watak utama bersama Redza Rosli dalam telefilem Fatonah Azali yang mana Nad memegang watak sebagai Fatonah, seorang gadis terencat akal yang menghidapi penyakit autisme.[39][40][41] Beliau muncul bersama Sharifah Sakinah dan Aiman Hakim Ridza dalam drama Girlfriend Aku Dari Neraka yang diadaptasi dari telefilem dengan tajuk sama.[42]

Beliau muncul bersama anak beliau, Fahad Ibrahim dalam Darlie Mamaku Terer bersama artis lain. Program ini mengenai masa terluang ibu dengan anak mereka dan bagaimana mereka menguruskan anak mereka seorang diri serta menunjukkan mereka seorang ibu yang hebat. Ia mula bersiaran pada 9 Mac 2017. Nad memegang watak sebagai Suraya, yang menghidap penyakit leukemia dalam siri TV waktu perdana Jurnal Suraya.[43] Ia mengisahkan ketabahan Suraya dalam meneruskan kehidupan sebagai penghidap leukemia. Kekuatan yang dimiliki oleh Suraya untuk menghadapi kehidupan seharian ketika hendak menamatkan pengajiannya ternyata dikagumi oleh rakan-rakan yang senasib dengannya.[44][45]

Nad bersama-sama dengan Zizan Razak, Kamal Adli, Nabila Huda dan beberapa selebriti lain membawa peminat bertuah bercuti ke luar negara, menerusi rancangan travelog #ProjekThemePark 2018 yang kembali dengan musim terbaru yang memulakan siaran di Astro Ria bermula 6 Mac 2018.[46] Beliau seterusnya diberi kepercayaan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi pengacara rancangan Citarasa Malaysia yang disiarkan sepanjang Ramadan 2018 di TV Okey.[47][48]

Nad bersama-sama Kaka Azraff menjayakan drama radio Sumpahan Stiletto karya Eda Zuraida yang bersiaran di Kool FM; melakonkan watak Sarah.[49] Beliau menjalani penggambaran dua telefilem, masing-masing berjudul Terima Kasih Ibu dan Sehelai Selendang Putih untuk siaran di TV3 dan serta Geng Mak-Mak, yang turut menampilkan Sazzy Falak dan Fatin Afeefa.[50]

Pada tahun 2019, Nad memegang watak sebagai Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dalam filem biopik Hasmah Bila Deh Bertemu Det terbitan Tune Production, Nad bergandingan dengan Hasnul Rahmat yang berlakon sebagai Tun Dr. Mahathir Mohamad.[51][52]

Beliau kini menjalani penggambaran telefilem Sebelum Pulang arahan Bade Hj. Azmi, yang turut dibintangi oleh Wan Maimunah, Jalaluddin Hassan dan Amyza Aznan.[53]

Rujukan

WikiPedia: Nad_Zainal http://www.astroawani.com/berita-hiburan/zizan-raz... http://youth.bernama.com/v2/news.php?id=1329099 http://www.budiey.com/filem-aku-haus-darah-mu/ http://www.budiey.com/senarai-penuh-top-5-anugerah... http://galaksi-media.com/semasa-femesxnadzainal-na... http://www.gempak.com/artikel/657/alahai-comel-sun... http://www.gempak.com/artikel/728/nad-zainal-selam... http://www.gempak.com/artikel/9962/nad-zainal-deda... http://herinspirasi.com/fesyen-kecantikan/nad-zain... http://www.imdb.com/name/nm8313914/