Kerjaya Noor_Neelofa_Mohd_Noor

Dewi Remaja

Beliau dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2009/2010, mengatasi saingannya yang lain termasuk Anzalna Nasir dan Izara Aishah.[6] Sebelum menyertai Dewi Remaja, Neelofa merupakan seorang peragawati sepenuh masa dan pernah muncul dalam muzik video beberapa penyanyi tempatan seperti Awi Rafael dan Akim.

Televisyen dan filem

Kerjaya lakonan Neelofa bermula pada 2011 apabila beliau memegang watak utama sebagai Najihah dalam siri televisyen, Kasih Najihah di TV9. Beliau juga diberi peranan utama sebagai Wardina dalam drama seram fantasi TV3, Sumpahan Anjasmoro. Neelofa kemudiannya membintangi bersama Fazura dan Tiz Zaqyah dalam drama keagamaan, Tahajjud Cinta yang juga bersiaran di TV3 bermula 8 Julai sehingga 14 Oktober 2011, Neelofa memegang watak pembantu sebagai Suraya. Pada tahun 2012, beliau meraih kejayaan komersial menerusi watak utama sebagai Alisya dalam drama Kau Yang Terindah yang turut dibintangi oleh Nazim Othman dan Emma Maembong, ia disiarkan pada 6 Ogos hingga 20 September di TV3.

Neelofa membuat penampilan sulungnya di layar lebar[7] pada tahun sama menerusi pembikinan semula filem Azura arahan Aziz M. Osman, yang diadaptasi daripada versi asal filem ini yang ditayangkan pada 1984 arahan Deddy M. Borhan lakonan Ogy Ahmad Daud dan Jamal Abdillah, turut berlakon dalam versi baru filem ini ialah pelakon utamanya, Shahz Jaszle.[8] Filem kedua lakonannya, SAM: Saya Amat Mencintaimu arahan sulung Syafiq Yusof, lakonan bersama Shaheizy Sam dan Lisa Surihani menemui penonton di pawagam pada Hari Raya Aidilfitri 21 Ogos 2012, dalam filem ini beliau memegang watak pembantu sebagai Zura, rakan sekerja Lisa yang dilakonkan oleh Lisa sendiri, diikuti oleh filem ketiga lakonannya, Hantu Kapcai arahan Ghaz Abu Bakar lakonan Zizan Raja Lawak dan Remy Ishak. Ulasan positif beliau telah diberikan dalam akhbar dan daripada orang ramai bagi lakonannya dalam Lukisan Takdir dan Wan Embong.[9]

Sebagai pengacara TV, Neelofa telah mengacarakan pelbagai rancangan televisyen, termasuk, Nona (TV3), Sekolahku Hebat (Astro Ceria) dan meleTOP (Astro Ria).

Beliau kembali ke bidang lakonan pada 2016 menerusi drama Suri Hati Mr. Pilot gandingan bersama pelakon drama Playboy Itu Suami Aku dan Gerak Khas, Fattah Amin. Drama ini merupakan drama pertama lakonannya yang menampilkan beliau bertudung.[10]

Neelofa tampil dalam program realiti atas talian, #FollowLofa terbitan Hurr.TV yang disiarkan bermula 26 April 2017.[11] Neelofa pada mulanya pernah beberapa kali menolak untuk berkongsi kehidupannya dengan peminat.[11] Namun kelonggaran pihak produksi yang membenarkan beliau menentukan beberapa hal penerbitan membuatkan hatinya terbuka.[11] Menurutnya, 98 peratus daripada sorotan kehidupannya yang bakal ditayangkan adalah benar.[11]

Projek televisyen beliau seterusnya ialah drama romantik adaptasi novel Red Velvet gandingan beliau bersama Alif Satar yang bersiaran di Astro Ria bermula 23 Oktober 2017.[12][13] Pada April 2018, New Straits Times melaporkan bahawa Neelofa bakal menjayakan peranan suara dalam siri animasi pra-sekolah Omar & Hana.[14]

Neelofa muncul bersama Zul Ariffin dalam drama adaptasi novel karya Suri Ryana, Ti Amo Sweetheart 100 Hari yang bersiaran pada Hari Raya Aidilfitri di Astro Ria.[15][16]

Neelofa mengumumkan pada Disember 2019 yang beliau akan meninggalkan meleTOP sebagai pengacaranya selepas tujuh tahun[17] kerana ingin fokus kepada perancangan lain dalam kerjayanya.[18][19] Beliau sebelum ini pernah menafikan khabar angin mengatakan beliau akan meninggalkan MeleTOP sekitar 2017.[20]

Teater

Pada 20 hingga 24 Ogos 2014, Neelofa melibatkan dirinya dalam teater apabila beliau menyertai barisan pelakon pementasan teater Bahayanya Wanita arahan Erma Fatima yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya. Beliau melakonkan watak gadis Thailand dalam teater yang dipentaskan untuk kali ketiga.[21][22]

Penulisan

Neelofa juga bergiat aktif dalam bidang penulisan dengan menulis ruangannya di akhbar Metro Ahad. Pada tahun 2016, beliau melancarkan buku pertamanya, The Chic Codes yang diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya.[23] Menurutnya niatnya menulis buku itu sekadar berkongsi pengalaman hidup untuk dijadikan ilmu yang menjadi panduan pada orang lain khususnya remaja. Sama ada layak atau tidak menulis, Neelofa menyatakan jika bukan sekarang, bila lagi. Menariknya, buku berkenaan mengandungi 12 bab mengenai cinta, hidup dan perniagaan. Dalam temuramah bersama mStar Online, beliau berkata: "Ia sebuah buku tentang perjalanan hidup dan karier saya selain ingin berkongsi tentang kejayaan, kesilapan dan pengalaman dari prespektif seorang wanita. Saya juga ingin berkongsi pengalaman dalam bidang perniagaan dan mendidik wanita yang ingin menceburi bidang ini."[24][25]

Perniagaan

Neelofa terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan termasuk kanta lekap Lofalens, produk pil penjagaan kesihatan Beautea Slim, dan jenama pakaian wanita Muslimah, Naelofar Hijab[26] untuk wanita.[27] Pada Mei 2012, Neelofa menerusi syarikat miliknya, BellaVita Healthcare International Sdn Bhd telah menghasilkan suplemen kesihatan dan kecantikan yang mengabunggkan sinergi dua dunia iaitu dunia moden dan tradisional. Pengambilan makanan seimbang serta buah-buahan dan sayuran setiap hari akan memberikan kesan yang sangat positif kepada kesihatan dan kecantikan.[28]

Rujukan

WikiPedia: Noor_Neelofa_Mohd_Noor http://www.agendadaily.com/Hiburan/neelofa-terbit-... http://english.astroawani.com/malaysia-news/neelof... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/hampir-se... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/neelofa-u... http://www.dailyseni.com/v4/neelofa-continues-swee... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.imdb.com/name/nm4871549/ http://izyan.com/2013/12/saya-dengan-caprice-meman... http://malaysiandigest.com/frontpage/29-4-tile/676... http://www.malaysiandigest.com/frontpage/29-4-tile...