Kejayaan Sharifah_Aini

Setelah menjadi artis rakaman, Sharifah telah banyak menyanyikan pelbagai lagu dan menghasilkan hampir 93 album, termasuk 7 album lagu bahasa Inggeris. Beliau bukan sahaja terkenal di Malaysia, nama beliau juga tersohor di beberapa negara serantau di Asia seperti Jepun, Korea, Hong Kong, China, Singapura, Brunei dan Indonesia. Lagu Seri Dewi Malam telah menjulang nama beliau sebagai artis pujaan ketika itu. Bakat Sharifah menyerlah apabila telah diasah bakatnya oleh seorang penggubah lagu terkenal iaitu Datuk Ahmad Nawab. Lagu ciptaan Ahmad Nawab untuknya begitu berkesan kepada industri muzik dan juga semua peminat Sharifah Aini.

Sharifah juga banyak mengadakan persembahan dan mengadakan beberapa konsert besar di beberapa negara di Asia dan Timur Tengah seperti Kuwait. Beliau juga mempunyai peminat dari pelbagai golongan bangsa dan umur. Pada tahun 1976, beliau menyanyikan duet dengan Artis No. 1 Indonesia, Broery Marantika. Lagu duet mereka, iaitu Seiring Dan Sejalan telah menjadi siulan peminat di Malaysia dan Indonesia sekaligus melonjakkan namanya dalam industri muzik tanah air. Setelah melebihi 30 tahun dalam bidang hiburan, beliau telah melebarkan sayap dalam bidang perniagaan.

Pada tahun 2003, beliau telah mengadakan konsert di Istana Budaya iaitu Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini. Konsert besar yang diadakan di pentas bertaraf dunia itu juga didatangi oleh Bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah. Konsert yang begitu mewah dan berprestij itu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Kesemua penjualan tiket laris dijual. Sebelum ini, Sharifah Aini juga pernah mengadakan konsert di Singapura iaitu di Victoria Concert Hall pada tahun 2000. Paling membanggakan, beliau merupakan satu-satunya artis pertama Malaysia dan Asia yang telah diberikan penghormatan untuk mengadakan persembahan di Victoria Concert Hall yang selama ini hanya dikuasai oleh artis Barat. Sambutan yang diberikan begitu menggalakkan dan kesemua penjualan tiket laris terjual.

Sharifah telah menubuhkan syarikat beliau sendiri iaitu Pods And Pedal Giftlab. Pada tahun 2003, beliau telah menerima Pingat Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Di Pertuan-Agong, Sultan Syed Sirajjudin Putra Jamalullail kerana sumbangannya yang begitu besar dan tidak ternilai kepada bidang seni negara.

Pada 16 Ogos yang lalu, Sharifah telah mencatat sejarah yang besar dalam negara apabila beliau berjaya mengadakan konsert "Muzika Arabia Bersama Datuk Sharifah Aini" di Istana Budaya selama tiga malam berturut-turut. Aura tersendiri dan kelebihan beliau dalam menyanyikan lagu Arab dengan begitu baik sekali telah menarik penonton yang begitu ramai baik di dalam dan luar negara. Ia sekaligus menjadikan Sharifah sebagai artis pertama yang diberikan penghormatan untuk mengadakan konsert yang mempunyai unsur budaya di Timur Tengah. Sebagai penghargaan, beliau telah diberikan gelaran "Permata Negara"[2] oleh Menteri Kebudayaan Dan Kesenian, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan juga beberapa pihak lain.

Rujukan

WikiPedia: Sharifah_Aini http://www.7digital.com/artist/sharifah-aini http://www.astroawani.com/news/show/biduanita-nega... http://carmahlms.com/Sharifah%20Aini.htm http://carmahlms.com/sharifah%20aini/ArtcileindexA... http://www.carmahlms.com/sharifah%20aini/Artcilein... http://www.geocities.com/hassnyj/ http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sharifa... http://www.karangkraf.com.my/Aktiviti/APH/aph_peme... http://portalilmu.kempen.gov.my/index.php?ch=12&pg... http://mynewshub.my/main/2014/07/05/terkini-5-a-m-...