Kerjaya Zizan_Razak

Televisyen

Beliau merupakan naib juara Raja Lawak Astro musim pertama bersama Johan. Melalui rancangan inilah beliau dikenali sebagai "Zizan Raja Lawak". Beliau juga mengambil bahagian dalam Maharaja Lawak, yang merupakan siri kedua pertandingan untuk finalis setiap musim Raja Lawak. Dalam rancangan itu, beliau digandingkan bersama Johan. Mereka dikenali sebagai Jozan.[2][3] Mereka berdua mengacarakan rancangan bual bicara santai dengan menggunakan nama kumpulan ini, yang bertahan selama satu musim. Zizan juga menjuarai Super Spontan Superstar sebanyak dua kali.[4] Zizan juga pernah digandingkan bersama Sherry Ibrahim menerusi drama komedi Chapalrela yang bersiaran di Astro Warna.[5]

Zizan memegang watak sebagai Sunny, seorang bapa ayam yang bertanggungjawab memisahkan Kenji dan ibunya, Cuwie (Dira Abu Zahar) dalam telefilem Karlos Bolos yang bersiaran pada Hari Raya Aidilfitri 2013, dibintangi oleh Johan As'ari dan Syazwan Zulkifly.[6] Ini merupakan pertama kali Zizan menjayakan watak serius dalam kerjaya lakonannya. Beliau bersama Shaheizy Sam kembali bekerja di bawah arahan Ghaz Abu Bakar menerusi telefilem Baby Bro! yang turut menampilkan Izara Aishah dan Nur Qistina Raisah. Telefilem ini mengisahkan tentang kehidupan seharian dua orang pemuda, Joe dan Sham, yang mencari rezeki dengan cara tersendiri di kota Kuala Lumpur. Kehidupan mereka berubah serta-merta dengan kehadiran seorang bayi yang tidak diketahui dari mana asalnya, ia menemui penonton di Astro First Eksklusif pada 30 November 2017.[7][8][9]

Filem

Zizan memulakan kerjaya filemnya menerusi filem Duhai Si Pari-Pari (2009) arahan Azmi Hatta lakonan Liyana Jasmay, yang mana beliau membuat penampilan khas. Beliau juga mempunyai peranan sama dalam filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie (2010). Zizan menjayakan peranan utama sebagai Atoi dalam filem aksi komedi adiwira Kapoww!! arahan Azizi ‘Chunk’ Adnan yang turut dibintangi oleh Lisa Surihani sebagai Siti Nurhasnita.[10][11]

Pada 9 Jun 2011, Zizan menjadi tunjang utama filem aksi jenayah yang meraih kutipan pecah panggung KL Gangster arahan Syamsul Yusof lakonan Aaron Aziz, Ady Putra, Soffi Jikan dan Syamsul; Beliau menjayakan peranan Fadil, seorang samseng dan rakan karib Malek.[12] Beliau kembali menjayakan peranannya dalam prekuelnya yang ditayangkan pada 3 Oktober 2013.[13]

Zizan memegang watak sebagai Amran, seorang budak penghatar piza yang gemar berlumba motor drag secara haram dalam filem aksi komedi seram Hantu Bonceng yang menggandingkan beiau bersama Juliana Evans yang memegang dua watak—Ayu dan Maya. Filem ini ditayangkan pada 31 Ogos 2011, bersempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54.[14][15] Persembahannya dalam filem ini melayakkan Zizan memenangi Anugerah Hero Terhebat di Anugerah Blokbuster 2012. Zizan meminjamkan suaranya bagi watak seekor kura-kura bernama Nico dalam filem komedi romantik Cinta Kura Kura arahan Nizam Zakaria lakonan Tiz Zaqyah dan Aeril Zafrel.[16] Zizan kembali meneruskan kerjasamanya bersama Syamsul menerusi filem Jalan Kembali: Bohsia 2 yang ditayangkan pada 7 Jun 2012; beliau memegang watak sebagai Ejan.[17]

Beliau menjadi bintang utama bersama Siti Saleha, Izara Aishah dan Usop Wilcha di dalam filem komedi pasca-apokalips adaptasi dari novel Zombijaya karya Adib Zaini terbitan Buku Fixi, KL Zombi arahan Woo Ming Jin yang ditayangkan pada 29 Ogos 2013[18] mengisahkan lima sekawan yang mempunyai impian dan cita-cita hidup yang tersendiri. Namun, segalanya menjadi porak peranda apabila sejenis wabak merbahaya yang menukarkan manusia menjadi zombi telah merebak di sekitar Kuala Lumpur.[19] Gandingan beliau bersama Siti telah melayakkan beliau menerima pencalonan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-27 bagi Gandingan Serasi di Layar Lebar.[20]

Zizan kembali menjayakan peranannya sebagai Fadil dalam filem aksi komedi Abang Long Fadil arahan Syafiq Yusof.[21] Filem ini merupakan terbitan turunan daripada KL Gangster arahan Syamsul Yusof dan ia menjadi satu-satunya filem lakonan beliau bagi 2014.[22] Zizan melengkapkan portfolio kerjaya filemnya pada 2015 dengan menjayakan peranan utama sebagai Man dan Cicak-Man dalam filem Cicakman 3[23][24] arahan Yusry KRU dan arahan bersama oleh Ghaz Abu Bakar, yang menemui penonton di pawagam pada 12 Mac 2015, beliau menggantikan Saiful Apek yang berlakon dalam dua filem terdahulu, filem ini menggandingkan beliau bersama Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Linda, isteri kepada Man/Cicakman.[25]

Zizan membintangi filem aksi komedi Polis EVO arahan Ghaz Abu Bakar dengan melakonkan watak sebagai Inspektor Sani, filem ini turut dibintangi oleh Shaheizy Sam dan Nora Danish. Filem ini merupakan kejayaan komersial dan mendapat sambutan daripada penonton sekaligus meraih kutipan kasar RM 18 juta,[26] malah turut menjadi antara 10 carian terbanyak[27] serta filem dengan carian terbanyak di Google Malaysia untuk bulan September 2015.[28][29]

Beliau sekali lagi menjayakan peranan utamanya dalam filem Abang Long Fadil 2 yang ditayangkan pada 24 Ogos 2017.[30] Beliau mengakui kejayaan Abang Long Fadil 2 bukan hanya beliau seorang sahaja, tetapi semua wargakerja termasuk pengarahnya, Syafiq Yusof.[31]

Zizan merupakan antara pelakon yang menjayakan filem animasi Wheely arahan Yusry Abdul Halim yang ditayangkan pada 16 Ogos 2018; Zizan menyumbangkan suaranya untuk watak Wheely.[32] Zizan dan Sam kembali menjayakan semula watak utama mereka dalam kesinambungan filem Polis Evo yang ditayangkan pada 22 November 2018,[33][34] dan Abang Long Fadil 3 yang kini menjalani pos-produksi.[35][36][37]

Zizan kembali beraksi dalam filem Bikers Kental 2, kesinambungan dari filem 2013 dengan judul sama yang dijangka akan ditayangkan pada 14 Mac 2019.[38][39] Ia telah diumumkan pada September 2019 bahawa beliau bersama Shaheizy Sam menjayakan kembali watak mereka masing-masing dalam Polis EVO 3 arahan Syafiq Yusof.[40][41]

Muzik

Selain menjadi pelakon dan pelawak, Zizan juga berbakat dalam bidang muzik. Pada tahun 2011, beliau merakamkan single solo sulungnya bertajuk "Selamat Tinggal" yang menampilkan Dina Nadzir yang dirakam dan digunakan untuk lagu latar semasa sesi penyingkiran dalam rancangan Raja Lawak Astro.[42] Zizan memulakan kolaborasi sulungnya bersama penyanyi Kaka Azraff dan seterusnya muncul bersama lagu "Bawaku Pergi" hasil nukilan Malique, bekas penyanyi kumpulan Too Phat. Lagu ini menjadi kontroversi kerana ia mengandungi lirik yang berbaur hasutan yang menggalakkan remaja keluar dari rumah, sehingga isu ini dibangkitkan di Parlimen.[43][44][45]

Beliau kembali meneruskan kerjasama bersama Kaka menerusi lagu "Infiniti Cinta" yang dicipta oleh Audi Mok dan Omar K serta lirik ditulis oleh Zizan sendiri.[46] Muzik videonya dilancarkan pada 25 September 2013 dan diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar.[47][48] "Infiniti Cinta" berjaya mara ke saingan Separuh Akhir dalam rancangan Muzik-Muzik yang berlangsung pada 21 November 2014.[49] Selain itu, Zizan turut menyumbangkan suaranya untuk muzik dan runut bunyi Abang Long Fadil 2 menerusi lagu "Kaki Licik".[50] Pada 16 Mac 2018, Zizan muncul dengan single terbarunya "Kita OK" di bawah syarikat Rocketfuel Entertainment.[51][52] Zizan melancarkan single terbarunya, "Kau Takkan Tahu" pada 8 Ogos 2018[53][54][55] dengan duet bersama Melda Ahmad.[56][57]

Rujukan

WikiPedia: Zizan_Razak http://www.astroawani.com/berita-hiburan/abang-lon... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/calonnya-... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/impak-pol... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/polis-evo... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/polis-evo... http://www.budiey.com/filem-hantu-bonceng-kutip-rm... http://www.budiey.com/senarai-penuh-pemenang-anuge... http://www.budiey.com/zizan-razak-kini-miliki-rest... http://www.gempak.com/artikel/25021/Polis-Evo-3-Ba... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac...