Demografi George_Town,_Pulau_Pinang

Pembukaan Terusan Suez juga menyumbang kepada pembangunan Georgetown. Pembangunan Georgetown telah menarik pelbagai jenis orang dari serata dunia. Selain Melayu, Cina, India dan British; terdapat komuniti Acheh, Arab, Armenia, Burma, Eurasia, Filipina, Jerman, Jepun, Switzerland dan Yahudi. Sungguhpun komuniti-komuniti ini kecil tetapi kehadiran mereka dapat dirasai. Banyak nama jalan yang berkait rapat dengan komuniti-komuniti ini seperti Acheen Street, Siam Road, Armenian Street, Burma Road, Rangoon Road, Gottlieb Road, Katz Street dan Jalan Yahudi (Jalan Zainal Abidin) di mana terdapatnya perkuburan Yahudi. Terdapat juga sinagog orang Yahudi di Jalan Nagore, Georgetown (tetapi ditutup pada tahun 1976).

Yahudi

Orang Yahudi yang pertama datang ke Georgetown ialah Ezekiel Menassah yang berhijrah dari Baghdad pada tahun 1895. Selama 30 tahun, Menassah merupakan satu-satunya penganut Yahudi di Pulau Pinang. Selepas Perang Dunia Pertama, ramai orang Yahudi yang berhijrah ke Georgetown. Semasa Perang Dunia II, kebanyakan orang Yahudi melarikan diri ke Singapura. Mereka yang terus menetap di Georgetown dipaksa memakai lilitan merah dan putih di lengan untuk tujuan pengenalan semasa penaklukan Jepun, tentera Jepun mengesyaki komuniti Yahudi di Georgetown bertindak sebagai pengintip. Pada tahun 1963, terdapat 20 keluarga Yahudi di Georgetown. Hari ini, jumlah komuniti Yahudi di Georgetown dianggarkan seramai 100 orang (sumber: The Jewish Virtual Library), kebanyakannya berketurunan Parsi dan Rusia.

Jepun

Komuniti Jepun dipercayai bertapak di Pulau Pinang sejak 1880. Kebanyakannya ialah kaum wanita. Banyak daripada wanita-wanita ini terlibat di dalam kegiatan pelacuran. Pada tahun 1910, 86% daripada 149 orang wanita Jepun terlibat dalam kegiatan pelacuran. Mereka dikenali sebagai Karayuki-san, majoritinya berasal dari Kyushu, Jepun. Orang Cina Pulau Pinang memanggil Lebuh Cintra sebagai Jipun Kay (Jalan Jepun) dan Kampung Malabar sebagai Jipun Sin Lo (Jalan Jepun Baru). (sumber: The Star 22 April 2002)

Filipina

Komuniti Filipina di Georgetown tertumpu di kawasan-kawasan Roman Katolik seperti Penang Road (Jalan Penang), Argyll Road (Jalan Argyll), Farquhar Street (Lebuh Farquhar) dan di sekitar Gereja Assumption, Jalan Transfer. Orang-orang Filipina di Georgetown kebanyakannya mempunyai kemahiran bermain muzik.

Eurasia

Pada tahun 2000, terdapat hampir 1500 orang Eurasia atau dikenali sebagai Serani di Pulau Pinang, majoritinya di Georgetown. Georgetown dipercayai mempunyai komuniti Eurasia yang terbesar di Malaysia, bancian yang dijalankan pada tahun 2000 menunjukkan hampir 13% golongan Eurasia di Malaysia menetap di Pulau Pinang, majoritinya di sekitar Georgetown. Hampir 90% golongan Eurasia ini beragama Kristian, hampir 4% Islam, 3% lain-lain dan selebihnya beragama Buddha atau Hindu.Di Pulau Tikus, Georgetown terdapat Kampung Serani.

Rujukan

WikiPedia: George_Town,_Pulau_Pinang http://goseasia.about.com/od/penang/a/georgetown_p... http://asiancorrespondent.com/2012/08/exploring-ge... http://www.dromoz.com/directory/maps/?dipe=19920 http://maps.google.com/maps?ll=5.415559,100.336075... http://penangmonthly.com/an-analysis-of-penang/ http://www.talkmalaysia.com/georgetown-penang.html http://thestar.com.my/metro/story.asp?file=/2008/7... http://www.thestar.com.my/news/nation/2015/03/25/p... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt... http://mbpp.gov.my/