Asia Hooliganisme

Keganasan dalam bola sepak merupakan perkara yang baharu di Asia. Ia berikutan pengaruh yang dibawa oleh firms dan ultras dari bola sepak Eropah. Di Asia, kumpulan penyokong fanatik bola sepak ini memilih untuk meniru gaya ultras. Namun, masalah samseng bola sepak tidak berlaku di Jepun dan kalau ada pun terpencil. Di negara-negara Asia lain pun, masalah samseng bola sepak ini tidak serius dan merupakan perkara baharu akiabt mengimport budaya dari Eropah.

Di China misalnya, hooliganisme dalam bola sepak banyak berpunca daripada tuduhan pengadil yang korup dan dakwaan persatuan bola sepak yang terlibat dalam skandal mengatur perlawanan. Dalam satu perlawanan antara Shaanxi Guoli dan Chengdu Winiu di Xi'an, penyokong bola sepak bertempur dengan pois mengakibatkan lapan orang ditahan. Pada Mac 2002 pula, beratus peminat bola sepak merusuh dalam perlawanan antara Shaanxi Guoli dan Qingdao Yizhong kerana peminat mengesyaki keputusan perlawanan itu telah diatur.

Di Bangladesh pula, 100 orang cedera selepas beribu peminat bola sepak mengamuk dan menceroboh kawasan padang selepas pengadil tidak memberikan sepakan penalti dalam perlawanna Liga B antara Mohammedan Sporting Club dan Rahmatganj Sporting Club di Stadium Nasional Bangabandhu. Di negara-negara Arab yang bergolak seperti Syria, keganasan dalam bola sepak banyak berpunca daripada sentimen politik. Pada 12 Mac 2004, 25 terbunuh dan beratus-beratus cedera dalam pertempuran antara penyokong Arab bertempur dengan Kurdish dari kelab bola sepak lawan.

Malaysia

Di Malaysia, kumpulan penyokong fanatik yang dominan ialah organisasi ultras. Ketika mula ditubuhkan pada tahun 2007, Ultras Malaya kurang dikenali, namun kini semakin popular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan rantau Asia Tenggara. Ekoran itu, banyak penyokong menubuhkan organisasi ultras untuk menyokong pasukan bola sepak negeri. Kesemua organisasi ultras ini bernaung di bawah panji Ultras Malaya.

Antara organisasi ultras penyokong pasukan negeri ialah Boy of Straits (JDT dan JFA), Ultras Kedah (Kedah FA), Ultras Sel (Selangor FA dan PKNS FC), Silver State (Perak FA), Ultras Panthers (Penang FA), Ultras Nogori9 (Negeri Sembilan FA), Ultras Tranung (Terengganu FA), Elephant Army (Pahang FA), Ultras Taming Sari (Melaka FA), North Borneo Ultras (Sabah FA), The Red Mania (Kelantan FA), Brigate Gialloblu Perlis (Perlis FA), Kuala Lumpur Ultras (Kuala Lumpur FA dan Gallore Buceros (Sarawak FA).

Walaupun ultras dominan di negara ini, terdapat juga firms seperti Inter Johor Firms (IJF) yang dituduh punca insiden penyokong Vietnam dipukul selepas perlawanan Malaysia tewas 1-2 kepada pasukan Vietnam dalam separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2014 di Stadium Shah Alam.

Pada 30 Ogos 2014, kira-kira 2,000 penyokong Sarawak merusuh di Stadium Negeri di Petra Jaya sehingga mengakibatkan tujuh buah kenderaan polis rosak termasuk satu daripadanya musnah terbakar selain lima anggota polis tercedera. Kejadian itu berlaku sebalik tamat perlawanan bola sepak antara Sarawak dan Perak yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, sekali gus menyaksikan pasukan Ngap Sayot tersingkir dalam saingan Piala Malaysia 2014.