Penerbitan Interstellar_(filem)

  • Christopher Nolan – pengarah, penerbit, penulis
  • Jonathan Nolan – penulis
  • Emma Thomas – penerbit
  • Lynda Obst – penerbit
  • Hoyte van Hoytema – sinematografi
  • Nathan Crowley – pereka produksi
  • Mary Zophres – pereka kostum
  • Lee Smith – penyunting
  • Hans Zimmer – komposer muzik
  • Paul Franklin – penyelia kesan visual
  • Kip Thorne – perunding, penerbit eksekutif

Pembangunan dan pembiayaan

Premis untuk Interstellar telah diilhamkan oleh penerbit filem, Lynda Obst dan ahli fizik teori, Kip Thorne yang bekerja bersama-sama untuk filem tahun 1997, Contact.[3][4] Kedua-dua mereka merangka satu senario, berdasarkan kerja Thorne, tentang "acara yang paling eksotik di alam semesta tiba-tiba boleh diakses oleh manusia" dan menarik minat Steven Spielberg untuk mengarah.[5] Filem ini memulakan pembangunan pada bulan Jun 2006 apabila Spielberg dan Paramount Pictures mengumumkan rancangan untuk sebuah filem sains fiksyen berdasarkan lapan muka surat ditulis oleh Obst dan Thorne. Obstditugaskan untuk menghasilkan filem ini dimana majalah Variety berkata ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum Spielberg mula mengarah.[6][7] Pada bulan Mac 2007, Jonathan Nolan telah dilantik untuk menulis skrip filem ini bertajuk Interstellar.[8]

Spielberg memindahkan studio penerbitannya, DreamWorks pada tahun 2009 daripada Paramount ke Walt Disney Studios dan Paramount memerlukan pengarah baru untuk Interstellar. Jonathan Nolan mengesyorkan abangnya, Christopher yang menyertai projek itu pada tahun 2012. Christopher Nolan berjumpa dengan Kip Thorne yang ditugaskan sebagai penerbit eksekutif untuk membincangkan penggunaan ruang-masa dalam cerita. Pada bulan Januari 2013, Paramount dan Warner Bros. mengumumkan bahawa Christopher Nolan berada dalam rundingan untuk mengarahkan Interstellar.[9] Nolan berkata beliau mahu menggalakkan matlamat penerbangan angkasa lepas manusia.[10] Beliau merancang untuk menulis skrip berdasarkan ideanya sendiri yang akan digabungkan dengan skrip adiknya.[11] Menjelang bulan Mac tahun berikutnya, Nolan disahkan akan mengarah Interstellar, yang akan dihasilkan di bawah labelnya, Syncopy dan Lynda Obst Productions.[12] The Hollywood Reporter berkata Nolan akan mendapat gaji sebanyak $20 juta serta 20% kutipan Interstellar; jumlah akhir kira-kira $121 juta.[13] Untuk penyelidikan filem ini, Nolan melawat NASA serta program angkasa, SpaceX.

Walaupun Paramount dan Warner Bros. secara tradisinya studio yang bersaing, Warner Bros., yang mengeluarkan filem Batman Nolan dan bekerja dengan Syncopy miliknya, mencari kepentingan dalam penerbitan Nolan, Interstellar untuk Paramount. Warner Bros. bersetuju untuk memberi Paramount hak untuk membiaya bersama filem seterusnya dalam francais seram Friday the 13th dan mempunyai kepentingan di dalam filem akan datang berdasarkan siri TV, South Park. Warner Bros. juga bersetuju untuk membenarkan Paramount membiayai bersama sebuah filem kelas-A milik Warners.[14] Pada bulan Ogos 2013, Legendary Pictures memuktamadkan perjanjian dengan Warner Bros. untuk membiayai 25 peratus penerbitan filem. Walaupun mereka gagal untuk memperbaharui perkongsian dengan Warner Bros., Legendary dilaporkan bersetuju untuk melepaskan pembiayaan untuk Batman v Superman: Dawn of Justice sebagai pertukaran untuk kepentingan dalam Interstellar.[15]

Penulisan dan pemilihan pelakon

Penulis skrip, Jonathan Nolan dilantik oleh Spielberg untuk menulis skrip Interstellar dan beliau bekerja untuk skrip ini selama empat tahun.[3] Untuk mempelajari sains, beliau belajar kerelatifan di Institut Teknologi California semasa menulis skrip.[16] Jonathan berkata beliau pesimis mengenai program Space Shuttle yang berakhir dan bagaimana NASA kekurangan pembiayaan untuk misi manusia ke Marikh. Beliau menjumpai inspirasi dalam filem cereka sains dengan tema apokalips seperti WALL-E (2008) dan Avatar (2009). Abang Jonathan, Christopher Nolan telah bekerja untuk skrip cereka sains yang lain tetapi mengambil keputusan untuk mengambil skrip Interstellar dan memilih pelbagai idea dikemukan oleh Jonathan dan Kip Thorne sebelum beliau menggabungkannya dengan skrip yang beliau telah bekerja selama bertahun-tahun.[17][18]

Christopher Nolan mahukan seorang pelakon yang mampu menghidupkan watak Cooper.[19] Nolan berkata beliau berminat untuk memilih Matthew McConaughey selepas melihat beliau dalam potongan awal filem tahun 2012, Mud,[20] dimana beliau mempunyai peluang untuk melihat kerana beliau merupakan kawan kepada salah seorang penerbitnya, Aaron Ryder.[3] Ketika McConaughey berada di New Orleans, Louisiana untuk pengambaran siri TV, True Detective, Nolan menjemput pelakon itu untuk melawat beliau di rumahnya.

Anne Hathaway juga dijemput ke rumah Nolan dimana beliau membaca skrip Interstellar.[21] Paramount mengumumkan pada bulan April 2013 bahawa kedua-dua pelakon telah dipilih sebagai watak utama filem.[22] Jessica Chastain telah dihubungi semasa beliau menjalani pengambaran Miss Julie di Ireland Utara dan sebuah skrip dihantar kepadanya.[21] Matt Damon telah dipilih pada lewat bulan Ogos 2013 sebagai peranan sokongan dan menjalani penggambaran babaknya di Iceland.[23]

Penggambaran

Glasier Svínafellsjökull di Iceland digunakan sebagai lokasi penggambaran untuk Interstellar.

Nolan merakam Interstellar menggunakan gegelung filem anamorfik 35 mm dan IMAX 70 mm.[24] Ahli sinematografi, Hoyte van Hoytema dilantik untuk Interstellar selepas Wally Pfister, ahli sinematografi Nolan dalam kesemua filemnya sedang bekerja untuk filem arahan pertamanya, Transcendence.[25] Kamera IMAX telah digunakan untuk Interstellar lebih banyak daripada filem-filem Nolan sebelum ini. Untuk mengurangkan penggunaan imej janaan komputer, pengarah menyuruh lokasi praktikal dibina seperti bahagian dalam kapal angkasa.[20]

Fotografi utama filem ini dijadual mengambil masa selama empat bulan.[23] Ia bermula pada 6 Ogos 2013 di Alberta.[15] Bandar di Alberta dimana penggambaran mengambil tempat termasuk Nanton, Longview, Lethbridge, Fort Macleod dan Okotoks. Di Okotoks, penggambaran mengambil tempat di Stadium Seaman dan Plaza Olde Town. Untuk satu babak ladang jagung, pereka produksi, Nathan Crowley menanam 500 ekar jagung yang akan dimusnahkan dalam satu babak ribut pasir bertujuan untuk menjadi serupa dengan ribut dialami semasa Dust Bowl di Amerika Syarikat pada era 1930-an.

Penggambaran juga mengambil tempat di Iceland dimana Nolan sebelum ini menjalani penggambaran babak untuk filem tahun 2005, Batman Begins.[26] Lokasi penggambaran di Iceland termasuk glasier Svínafellsjökull dan pekan Klaustur.[27][28] Semasa menjalani penggambaran babak air di Iceland, Anne Hathaway hampir mengalami hipotermia kerana sut kalis air yang dipakainya tidak dipasang dengan betul. Selepas penggambaran di Iceland, krew berpindah ke Los Angeles untuk penggambaran selama 54 hari. Penggambaran selesai pada bulan Disember 2013 dan Nolan mula menyunting filem ini untuk ditayangkan pada tahun 2014.[29]

Rekaan penerbitan

Interstellar memaparkan tiga kapal angkasa: Ranger, Endurance dan Lander. Fungsi Ranger sama dengan bolak-balik angkasa lepas, dapat masuk dan keluar atmosfera planet. Endurance ialah kapal induk krew, mempunyai struktur bulat dibentuk oleh 12 kapsul: empat ialah tempat peralatan penjajahan planet, empat untuk enjin dan empat lagi ialah kokpit, makmal perubatan dan tempat kediaman. Pereka produksi Nathan Crowley berkata Endurance adalah berdasarkan Stesen Angkasa Antarabangsa. Terakhir sekali, Lander mengangkut kapsul dengan peralatan penjajahan ke permukaan planet. Crowley membandingkan ia dengan "sebuah helikopter berat Rusia".[3]

Filem ini juga menampilkan dua robot, CASE dan TARS. Bill Irwin menyuarakan dan secara fizikal mengawal kedua-dua robot tetapi gambarnya secara digital dikeluarkan daripada filem dan suaranya untuk CASE telah digantikan dengan suara Josh Stewart.[3] Ruang habitat manusia menyerupai silinder O'Neill, sebuah model koloni angkasa lepas dicadangkan oleh ahli fizik, Gerard K. O'Neill pada tahun 1976.[30]

Rekaan bunyi dan muzik

Gregg Landaker dan Gary Rizzo adalah jurutera bunyi untuk filem ini, ditugaskan dengan adunan bunyi manakala penyunting bunyi, Richard King menyelia proses.[31] Christopher Nolan berkata beliau cuba untuk mencampur bunyi filem untuk menggunakan kelebihan maksimum peralatan bunyi semasa di teater.[32] Komposer, Hans Zimmer yang mencipta muzik untuk trilogi filem Batman dan Inception juga mencipta muzik untuk Interstellar. Zimmer berkata bahawa Nolan tidak memberikan kepadanya skrip atau apa-apa maklumat plot untuk menulis muzik untuk filem ini dan sebaliknya memberi komposer ini "satu halaman teks" yang lebih mempunyai kaitan dengan cerita Zimmer daripada plot filem.[33] Runut bunyi dikeluarkan pada 18 November 2014.

Kesan visual

Syarikat kesan visual, Double Negative yang membangunkan kesan untuk filem tahun 2010, Inception juga bekerja untuk Interstellar.[34] Penyelia kesan visual, Paul Franklin berkata jumlah kesan visual dalam filem ini tidaklah banyak daripada filem Nolan, The Dark Knight Rises atau Inception, tetapi untuk Interstellar, mereka mencipta kesan dahulu supaya projektor digital boleh digunakan untuk memaparkannya di belakang pelakon.[3] Filem ini mengandungi 850 kesan visual pada resolusi 5600 x 4000 : 150 babak yang telah diwujudkan dalam kamera menggunakan projektor digital dan 700 yang lain dicipta semasa pasca produksi. Daripada jumlah itu, 620 ditayangkan dalam IMAX manakala selebihnya dalam anamorfik.[35]

Rujukan

WikiPedia: Interstellar_(filem) http://www.abc.net.au/news/2015-12-29/interstellar... http://www.afi.com/members/catalog/DetailView.aspx... http://www.bbc.com/news/entertainment-arts-2983269... http://www.boxofficemojo.com/alltime/world/worldwi... http://www.boxofficemojo.com/movies/?id=interstell... http://www.boxofficemojo.com/news/?id=3957&p=.htm http://www.boxofficemojo.com/yearly/chart/?view2=w... http://deadline.com/2014/03/cinemacon-christopher-... http://deadline.com/2014/11/international-box-offi... http://deadline.com/2014/11/international-box-offi...