Sejarah Iran

Rencana utama: Sejarah Iran
Lihat juga Empayar Parsi

Sejarah awal, Empayar Median dan Empayar Achaemenid (3200 SM – 330 SM)

Daripada tulisan-tulisan sejarah, tamadun Iran yang pertama ialah Iran-Proto, diikuti dengan tamadun Elam. Pada milenium kedua dan ketiga, Orang Arya berhijrah ke Iran dan menubuhkan empayar pertama Iran, Empayar Medes (728-550 SM). Empayar ini telah menjadi simbol kepada pengasas bangsa dan juga empayar Iran. Ia disusuli dengan Empayar Achaemenid (648–330 SM) yang ditubuhkan oleh Cyrus Agung.

Cyrus Agung juga terkenal sebagai pemerintah pertama yang mewujudkan undang-undang mengenai hak-hak kemanusiaan, tertulis di atas artifak dikenali sebagai Silinder Cyrus. Beliau juga merupakan pemerintah pertama yang memakai gelaran Agung dan juga Shah Iran. Di zaman beliau, perhambaan dilarang di kawasan-kawasan taklukan beliau (turut dikenali sebagai Empayar Parsi.) Idea ini kemudiannya memberi kesan yang besar kepada tamadun-tamadun manusia selepas zaman beliau.

Empayar Parsi kemudiannya diperintah oleh Cambyses selama tujuh tahun (531-522 M) dan kemangkatan beliau disusuli dengan perebutan kuasa dimana akhirnya Darius (522-486 M) diisytihar sebagai raja.

Ibu kota Parsi ketika zaman Darius dipindahkan ke Susa dan beliau mula membina Persepolis. Sebuah terusan di antara Sungai Nil dan Laut Merah turut dibina dan menjadikan beliau pelopor untuk pembinaan Terusan Suez. Sistem jalan juga turut diperbaharui dan sebuah lebuh raya dibina menghubungkan Susa dan Sardis. Lebuh raya ini dikenali sebagai Jalan Diraja.

Selain itu, pensyilingan di dalam bentuk daric (syiling emas) dan juga Shekel (syiling perak) diperkenalkan diseluruh dunia. Bahasa Parsi Lama turut diperkenalkan dan diterbitkan di dalam inskripsi diraja.

Dibawah pemerintahan Cyrus Agung dan Darius Agung, Empayar Parsi menjadi sebuah empayar yang terbesar dan terkuat di dunia ketika itu. Pencapaian utamanya ialah ia sebuah empayar besar pertama yang mengamalkan sikap toleransi dan menghormati budaya-budaya dan agama-agama lain di kawasan jajahannya.

Empayar Iran Ketiga: Empayar Parthia (248 SM – 224 M)

Parthia dimulakan dengan Dinasti Arsacid yang menyatukan dan memerintah Penara Iran. Ia juga turut menawan wilayah timur Yunani pada awal abad ke tiga Masihi dan juga Mesopotamia antara tahun 150 SM dan 224 M. Parthia juga merupakan musuh ketat Rom di sebelah timur, dan mereka berjaya menyekat kemaraan Rom di Anatolia. Tentera-tentera Parthia terbahagi kepada dua kumpulan berkuda, tentera berkuda yang berperisai dan membawa senjata berat, dan tentera berkuda yang bersenjata ringan dan kudanya lincah pergerakan. Manakala, tentera Rom terlalu bergantung kepada infantri, menyebabkan Rom sukar untuk mengalahkan Parthia. Tetapi, Parthia kekurangan teknik dalam perang tawan, menyebabkan mereka sukar mengawal kawasan taklukan. Ini menyebabkan kedua-dua belah pihak gagal menawan satu sama lain.

Empayar Parthia wujud selama lima abad (Berakhir pada tahun 224 M,) dan raja terakhirnya kalah ditangan empayar lindungannya, iaitu Sassanid

Sejarah Iran
Empayar Parsi - Raja Parsi
sunting

Empayar Iran Keempat: Empayar Sassanid (226–651)

Ardashir I, shah pertama bagi Empayar Sassanid, mula membentuk semula ekonomi dan tentera Parsi. Wilayahnya meliputi kawasan Iran moden, Iraq, Syria, Pakistan, Asia Tengah dan wilayah Arab. Ketika zaman Khosrau II (590-628) pula, empayar ini diluaskan sehingga ke Mesir, Jordan, Palestin, dan Lebanon. Orang-orang Sassanid pula menamakan empayar mereka Erānshahr (atau Iranshæhr, "Penguasaan Orang Arya".)

Empayar Sassanid ketika zaman kegemilangannya.

Sejarah Iran seterusnya diikuti dengan konflik selama enam ratus tahun dengan Empayar Rom dan Empayar Islam. Menurut sejarahwan, kekalahan Parsi didalam Perang al-Qādisiyyah (632 M) di Hilla, Iraq disebabkan oleh keputusan seorang panglima Parsi iaitu Rostam Farrokhzād. Beliau dikritik kerana keputusannya untuk berperang dengan orang Arab di bumi Arab sendiri. Kekalahan Sassanid di Iraq menyebabkan tentera mereka tidak keruan dan akhirnya ini memberi jalan kepada penawanan Islam ke atas Parsi.

Era Sassanid menyaksikan kemuncak tamadun Parsi, dan merupakan empayar Parsi terakhir sebelum kedatangan Islam. Pengaruh dan kebudayaan Sassanid kemudiannya diteruskan selepas pemelukan Islam oleh Parsi.

Islam Parsi dan Zaman Kegemilangan Islam Parsi (700–1400)

Selepas pemelukan Islam, orang-orang Parsi mula membentuk imej Islam Parsi, dimana mereka mengekalkan imej sebagai orang Parsi tetapi pada masa yang sama juga sebagai muslim. Pada tahun 8 M, Parsi memberi bantuan kepada Abbassiyah memerangi tentera Umayyah, kerana Bani Umayyah hanya mementingkan bangsa Arab dan memandang rendah kepada orang Parsi. Ketika zaman Abbassiyah, orang-orang Parsi mula melibatkan diri dalam pentadbiran kerajaan. Sesetengahnya pula menubuhkan dinasti sendiri.

Pada kurun ke sembilan dan ke sepuluh, terdapat beberapa kebangkitan nasionalis Parsi yang menentang idea Arab sebagai Islam dan Muslim. Tetapi kebangkitan ini tidak menentang identiti Islam. Salah satu kesan kebangkitan ini ialah penggunaan bahasa Parsi sebagai bahasa rasmi Iran sehingga ke hari ini.

Ketika zaman ini juga, ahli-ahli sains Parsi membentuk Zaman Kegemilangan Islam. Manakala Parsi menjadi tumpuan kepada penyebaran ilmu sains, filasafah dan kejuruteraan. Ini kemudiannya mempengaruhi sains di Eropah dan juga pembangkitan Renaissance.

Bermula pada tahun 1220, Parsi dicerobohi oleh tentera Mongolia di bawah pimpinan Genghis Khan, diikuti dengan Tamerlene, dimana kedua-dua pencerobohan menyebabkan kemusnahan yang teruk di Parsi.

Islam Syiah, Empayar Safawi, Dinasti Qajar/Pahlavi dan Iran Moden (1501 – 1979)

Parsi mula bertukar menjadi Islam Syiah ketika zaman Safawi, pada tahun 1501. Dinasti Safawi kemudiannya menjadi salah sebuah kuasa dunia yang utama dan mula mempromosikan industri pelancongan di Iran. Di bawah pemerintahnya, seni bina Parsi berkembang semula dan menyaksikan pembinaan monumen-monumen yang indah. Kejatuhan Safawi disusuli dengan Parsi menjadi sebuah medan persaingan antara kuasa Imperial Rusia dan Empayar Inggeris (yang menggunakan pengaruh Dinasti Qajar). Namun begitu, Iran tetap mengekalkan kemerdekaan dan wilayah-wilayahnya, menjadikannya unik di rantau itu. Permodenan Iran yang bermula pada lewat kurun ke sembilan belas, membangkitkan keinginan untuk berubah oleh orang-orang Parsi. Ini menyebabkan berlakunya Revolusi Perlembagaan Parsi pada tahun 1905 hingga 1911. Pada tahun 1921, Reza Khan (juga dikenali sebagai Reza Shah) mengambil alih takhta melalui rampasan kuasa daripada Qajari yang semakin lemah. Sebagai penyokong permodenan, Shah Reza memulakan pembangunan industri moden, jalan kereta api, dan penubuhan sistem pendidikan tinggi di Iran. Malangnya, sikap aristokratik dan ketidakseimbangan pemulihan kemasyarakatan menyebabkan ramai rakyat Iran tidak berpuas hati.

Ketika Perang Dunia Kedua, tentera Inggeris dan Kesatuan Soviet menceroboh Iran dari 25 Ogos hingga 17 September 1941, untuk menyekat kuasa-kuasa paksi dan mengawal infrastruktur penggalian minyak Iran. Kuasa-kuasa bersekutu memaksa Shah untuk melantik anak beliau, Mohammad Reza Pahlavi menggantikan beliau, dengan harapan Mohammad Reza menyokong mereka.

Malangnya, pemerintahan Shah Mohammad Reza bersifat autokratik. Dengan bantuan dari Amerika dan Inggeris, Shah meneruskan permodenan Industri Iran, tetapi pada masa yang sama menghancurkan parti-parti pembangkang melalui badan perisikannya, SAVAK. Ayatollah Ruhollah Khomeini menjadi pembangkang dan pengkritik aktif terhadap pemerintahan Shah Mohammad Reza dan kemudiannya beliau dipenjarakan selama lapan belas bulan. Melalui nasihat general Hassan Pakravan, Khomeini dibuang negeri dan dihantar ke Turki dan selepas itu ke Iraq.

Revolusi Islam dan Perang Iran Iraq (1979–88)

Mohammad Reza Pahlavi disingkirkan pada tahun 1979. Farah Pahlavi, bekas permaisuri IranAyatollah Ruhollah Musavi Khomeini, pemimpin Revolusi Islam dan juga pengasas Republik Islam Iran

Protes menentang Shah semakin meningkat dan akhirnya terjadilah Revolusi Iran. Shah Iran terpaksa melarikan diri ke negara lain selepas kembalinya Khomeini dari buangan pada 1 Februari 1979. Khomeini kemudiannya mengambil alih kuasa dan membentuk kerajaan sementara, pada 11 Februari yang dikepalai Mehdi Bazargan sebagai perdana menteri. Selepas itu, Khomeini membuat pungutan suara bagi membentuk sebuah Republik Islam. Keputusan undian menunjukkan lebih 98% rakyat Iran bersetuju dengan pembentukan itu. Sistem kerajaan baru yang dibentuk adalah berasaskan undang-undang Islam yang konservatif.

Tetapi, hubungan Iran dengan Amerika menjadi keruh selepas revolusi ini, terutamanya apabila mahasiswa-mahasiswa Iran menawan kedutaan Amerika pada 4 November 1979, atas alasan kedutaan itu menjadi pusat perisikan Amerika. Khomeini pula tidak mengambil sebarang tindakan mengenai tawanan ini sebaliknya memuji mahasiswa-mahasiswa itu. Sebagai tukaran, Iran mahukan Shah Mohammad Reza Pahlavi dikembalikan ke Iran, tetapi ini tidak dipersetujui Amerika. Selepas 444 hari didalam tawanan, akhirnya tebusan-tebusan itu dibebaskan menerusi Deklarasi Algiers.

Pada masa yang sama, Saddam Hussein, presiden Iraq ketika itu, mengambil kesempatan diatas kekabutan selepas revolusi Iran dan juga kekurangan populariti Iran di negara-negara barat, untuk melancarkan perang ke atas Iran. Tujuan utama peperangan ini ialah bagi menakluk beberapa wilayah yang dituntut Iraq, terutamanya wilayah Khuzestan yang kaya dengan sumber minyak. Saddam pula ketika itu mendapat sokongan dari Amerika, Kesatuan Soviet dan beberapa negara Arab lain. Tentera Iran pula yang suatu masa dahulu merupakan sebuah tentera yang kuat, telah dibubarkan ketika itu. Walau bagaimanapun, mereka berjaya menyekat kemaraan tentera Iraq seterusnya menawan semula wilayah Iran yang ditakluki Iraq. Dalam peperangan ini puluhan ribu nyawa, baik penduduk awam mahupun askar Iran, terkorban. Kebanyakan mereka mati kerana serangan senjata kimia yang digunakan oleh Iraq. Jumlah korban dianggarkan antara 500,000 hingga 1,000,000, menjadikannya sebagai jumlah korban senjata kimia kedua terbesar dalam sejarah manusia.