Pendidikan Korea_Selatan

Di Korea Selatan, pendidikan dipandang berat sebagai penting buat kejayaan seseorang, maka persaingan di sini sengit sekali. Mengikut hasil Program Penilaian Pelajar Antarabangsa OECD 2006, Korea Selatan menduduki tangga pertama dalam penyelesaian masalah, ketiga dalam matematik dan ketujuh dalam sains.[94] Sistem pendidikan Korea Selatan maju dari segi teknologi, kerana negara ini ialah negara pertama yang menyediakan capaian internet jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi kepada setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Dengan menggunakan prasarana ini, negara ini telah memajukan buku teks digital yang pertama di dunia yang akan diedarkan secara percuma ke setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menjelang tahun 2013.[95]

Pentadbiran berpusat di Korea Selatan memantau proses pendidikan kanak-kanak dari tadika hingga tahun terakhir sekolah tinggo. Korea Selatan telah menerima guna program pendidikan baru untuk menambah jumlah pelajar asing hingga tahun 2010. Mengikut anggaran Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi, menjelang tahun 2010, bilangan biasiswa untuk pelajar asing di Korea Selatan akan berganda, manakala bilangan pelajar asing akan mencapai 100,000 orang.[96]Tahun persekolahan dibahagikan kepada dua penggal. Penggal pertama bermula pada awal bulan Mac dan berakhir di pertengahan Julai; penggal kedua bermula pada lewat Ogos dan berakhir pada tengah Februari. Jadual pembelajaran tidak diseragamkan dan berbeza-beza dari sekolah ke sekolah.Kebanyakan sekolah menengah rendah dan tinggi di Korea Selatan mewajibkan pelajarnya memakai pakaian seragam yang berasaskan pakaian ala barat. Pakaian lelaki biasanya terdiri daripada seluar panjang dan kemeja putih, manakala perempuan pula memakai skirt dan kemeja putih.