Kebudayaan Korea_Selatan

Pemandangan pada hari Dano

Korea Selatan berkongsi kebudayaan tradisional dengan Korea Utara, tetapi kedua-dua Korea telah mengembangkan kebudayaan kontemporari yang berbeza sekali sejak semenanjung Korea dipecahkan pada tahun 1945. Mengikut sejarah, walaupun kebudayaan Korea nyata sekali dipengaruhi oleh China, namun ia tetap berupaya mengembangkan jati diri kebudayaan yang unik dan tersendiri daripada negara jiran yang lebih besar itu.[127] Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan menggalakkan seni tradisional dan moden dengan pembiayaan dan program pendidikan.[128]

Pengindustrian dan pembandaran Korea Selatan telah membawa perubahan besar kepada cara hidup orang Korea. Perubahan ekonomi dan gaya hidup telah menyebabkan penduduk tertumpu di bandaraya utama, khususnya ibu kota Seoul, dengan rumah tangga berbilang keturunan berpecah menjadi susunan hidup keluarga asas.

Seni

Bongsan Talchum

Seni Korea kuat dipengaruhi oleh agama Buddha dan Konfusianisme yang kelihatan pada pelbagai hasil seni lukis, arca, seramik dan persembahan tradisional.[129] Hasil tembikar dan porselin Korea, seperti baekja dan buncheong dari zaman Joseon, dan seladon dari zaman Goryeo terkenal di seluruh dunia.[130] Seni persembahan Korea pula termasuk darye (upacara teh), pansori (nyanyian dengan iringan gendang), talchum (tarian bertopeng) danbuchaechum (tarian kipas berkumpulan).

Seni Korea moden pasca-perang mula berkembang pada 1960-an dan 1970-an, apabila para seniman Korea Selatan mula berminat akan bentuk geometri dan perihal yang tidak ketara. Penjalinan keharmonian antara alam dan manusia juga digemari ketika ini. Ekoran ketegangan sosial pada 1980-an, para pelukis gemar mengetengahkan isu sosial dalam karya seni. Kesenian mereka dipengaruhi oleh pelbagai acara dan pameran antarabangsa di Korea yang membawa lebih kepelbagaian, seperti[131] Taman Arca Olimpik pada tahun 1988, transposisi Whitney Biennial edisi 1993 ke Seoul,[132] penciptaan Gwangju Biennale[133] dan Astaka Korea di Venice Biennale pada tahun 1995[134].

Seni bina

Latar langit kota raya Seoul moden dan Istana Deoksu

Disebabkan sejarah Korea Selatan yang huru-hara, pembinaan dan pemusnahan berulang-ulang tanpa henti, sehingga meninggalkan bauran gaya dan reka seni bina yang menarik.[135]

Seni bina tradisional Korea bercirikan keharmonian dengan alam semula jadi. Para jurubina zaman silam menggunakan sistem pendakap yang bercirikan atap jerami dan lantai pemanas yang dipanggil ondol.[136] Golongan kelas atasan membina rumah yang lebih besar dengan atap genting berlengkung anggun dengan cucur atap yang menaik. Seni bina tradisional kelihatan di istana, tokong dan rumah lama yang bergelarhanok,[137] dan tapak warisan istimewa seperti Kampung Rakyat Hahoe,Kampung Yangdong di Gyeongju dan Kampung Rakyat Korea dekat Seoul. Seni bina tradisional juga kelihatan di sembilan Tapak Warisan Dunia UNESCO di Korea Selatan.[138]

Bulguksa, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO

Seni bina Barat mula-mula diperkenalkan di Korea di penghujung abad ke-19. Gereja, pejabat perundangan negara luar, sekolah dan universiti dibina dengan gaya-gaya baru. Apabila Korea diilhakkan oleh Jepun pada tahun 1910, rejim penjajah mengancam warisan seni bina Korea dan mewajibkan seni bina moden ala Jepun. Sentimen anti-Jepun dan Perang Koreamenyebabkan musnahnya banyak bangunan yang dibina pada zaman penjajahan.[139]

Seni bina Korea memasuki fasa pembangunan baru ketika zaman pembinaan semula pasca Perang Korea, dengan meenrapkan trend dan gaya seni bina yang moden. Kegiatan pembangunan semula yang didorong oleh pertumbuhan ekonomi pada 1970-an dan 1980-an menyaksikan pengalaman baru dalam reka bina. Selepas Sukan Olimpik Seoul 1988, Korea Selatan menyaksikan kepelbagaian gayanya semakin bertambah dalam lanskap seni bina, terutamanya disebabkan oleh pembukaan pasaran Korea Selatan kepada jurubina luar negara.[140] Usaha seni bina kontemporari sentiasa cuba mengimbangi falsafah tradisi "keharmonian dengan alam" dan pembandaran pesat yang dilalui oleh negara akhir-akhir ini.[141]

Masakan

Rencana utama: Masakan Korea
Masakan tokong Korea di Sanchon, sebuah kedai makan di Insadong, Seoul.

Masakan Korea mengalami perubahan selaras dengan berabad-abad perubahan sosial dan politik. Ramuan dan hidangannya berbeza-beza mengikut wilayah. Terdapat banyak hidangan setempat terkenal yang berkembang menjadi pelbagai variasi di seluruh negara pada zaman sekarang. Masakan istana diraja Korea pernah membawa sekala keistimewaan setempat yang unik untuk dihidangkan kepada kerabat diraja. Santapan yang dinikamti oleh kerabat diraja dan rakyat jelata Korea telah dikawal oleh budaya ketertiban yang tersendiri.

Masakan Korea banyak berasaskan beras, mi, tauhu, sayur-sayuran, ikan dan daging. Masakan tradisional Korea terkenal kerana diserikan oleh hidangan sampingan, misalnya hidangan kecilbanchan yang mengiringi nasi kukus berira pendek. Setiap hidangan diiringi oleh banyak banchan. Kimchi, sejenis hidangan sayur tertapai yang biasanya berempah, merupakan salah satu hidangan terkenal yang selalunya dihidangkan di setiap waktu makan. Makanan Korea biasanya melibatkan pemperasaan yang banyak dengan minyak bijan, doenjang (sejenis pes kacang soya tertapai),kacang soya, garam, bawang putih, halia dan gochujang (pes lada pedas).

Sup juga ketara dalam hidangan Korea dan selalunya dihidangkan dalam sajian utama. Sup di Korea dipanggil guk dan biasanya diperbuat dengan daging, kerang-kerangan dan sayur-sayuran. Serupa dengan guk, tang kurang berair dan lebih sering dihidangkan dalam restoran. Satu lagi jenis sup ialah jjigae (찌개), sejenis rendidih yang biasanya kuat diperasakan dengan lada cabai dan dihidangkan panas mendidih.

Muzik, filem dan televisyen

Lihat juga: Hallyu

Di samping mendapat tempat dalam hati rakyat tempatan, kebudayaan arus perdana Korea Selatan yang merangkumi drama televisyen, filem dan muzik popular, juga menjana pendapatan eksport yang lumayan di seluruh dunia. Fenomena yang bergelar "Hallyu" atau "Gelombang Korea" ini telah melanda banyak negara di dalam dan luar Asia.[142]

Sehingga 1990-an, muzik popular Korea dikuasai oleh trot dan balada. Kebangkitan kumpulan rap Seo Taiji and Boys pada tahun 1992 mencetuskan perubahan besar dalam muzik pop Korea, ataupun K-Pop, kerana kumpulan tersebut menerapkan unsur-unsur genre rap,rock, dan techno yang popular dalam irama dendangannya.[143] Seniman hip hop, tarian dan balada menguasai persada muzik popular Korea Selatan, namun trot masih disambut baik oleh golongan yang lebih berusia. Ramai bintang K-Pop yang terkenal di luar negara, khususnya di Asia.

Semenjak kejayaan filem Shiri pada tahun 1999, perfileman Korea mula mendapat perhatian dan sanjungan antarabangsa. Pasaran filem Korea Selatan turut dikuasai oleh filem tempatan, antara sebabnya ialah adanya kuota tayangan yang mewajibkan pawagam menayangkan filem Korea sekurang-kurangnya 73 hari setahun.[144]

Rancangan televisyen Korea, khususnya drama bersiri, turut mencuri perhatian di luar Korea, membolehkan ramai seniman Korea mendapat nama di mata dunia. Drama-drama ini khususnya disambut paling hangat di Asia. Jalan ceritanya cenderung mengutarakan asmara, seperti Boys over Flowers, Winter Sonata, Autumn in My Heart, Full House, dan All About Eve; tidak lupa juga drama bersejarah atau fantasi seperti Dae Jang Geum, The Legend, Princess Hours, dan Sungkyunkwan Scandal. Selain itu, rancangan ' variety show ' terkenal iaitu Running Man juga berasal dari negara ini yang mendapat sambutan yang hangat dan mempunyai peminatnya tersendiri daripada pelbagai negara .[145]

Budaya teknologi

Samsung Galaxy Tab

Syarikat besar Korea Selatan Samsung dan LG merupakan antara syarikat telefon bimbit yang terunggul di dunia.[146] Kira-kira 90% warga Korea Selatan memiliki telefon bimbit.[147] Selain menerima atau membut panggilan atau pesanan teks, telefon bimbit di Korea Selatan banyak digunakan untuk menonton siaran televisyen Digital Multimedia Broadcasting (DMB) atau melayari laman sesawang.[148] Lebih sejuta telefon DMB telah dijual, dan tiga syarikat pembekal komunikasi wayarles utama, iaitu SK Telecom, KT, dan LG Telecom menyediakan liputan di semua bandaraya utama dan kawasan lain.

Capaian jalur lebar secara meluas membolehkan penerapan permainan Internet dalam budaya Korea baru-baru ini. StarCraft, sebuah permainan strategi masa nyata, merupakan permainan komputer siaran TV yang terlaris di Korea Selatan.[149] Kejohanan permainan StarCraft yang dilangsungkan di tempat-tempat tumpuan penggemar seperti COEX Mall sering disiarkan secara langsung di stesen-stesen TV seperti MBCGame dan Ongamenet, di mana para pemain StarCraft yang profesional boleh mendapat gaji lumayan sebagai ahli pasukan permainan profesional yang ditaja oleh pembekal perkhidmatan telefon bimbit di Korea Selatan.[150] Permainan komputer biasanya dimainkan di "bilik PC", iaitu kafe internet yang dikhususkan untuk permainan video seperti Aion,Lineage II, Sudden Attack, Kart Rider, Maple Story, Mabinogi, World of WarCraft, dan StarCraft 2.

Sukan

Seorang pelatih taekwondo menunjuk cara jurusdollyo chagi.

Seni bela diri taekwondo berasa dari Korea. Pada 1950-an dan 1960-an, peraturan moden diselaraskan dan taekwondo menjadi acara Olimpik yang rasmi pada tahun 2000.[151] Selain taekwondo, wujudnya juga seni bela diri Korea yang lain seperti taekkyeon, hapkido, tang soo do, kuk sool won, kumdo dan subak.[152]

Bola sepak merupakan salah satu sukan yang paling digemari di Korea.[153] Tinjauan terkini mendapati 56.7% peminat sukan Korea Selatan mengakui diri sebagai penggemar bola sepak, diikuti besbol yang diminati 19.1% pen. Bagaimanapun, tinjauan tersebut tidak menyatakan sejauh mana para penjawabnya mengikut kedua-dua sukan tersebut.[154] Perlawanan bola sepak K-league bermusim tetap disiarkan ke seluruh negara dan mendapat purata 35% kongsian penonton televisyen. Liga bola sepak Eropah juga disiarkan dan ditonton ramau. Pasukan bola sepak kebangsaanmenjadi pasukan pertama dari Konfederasi Bola Sepak Asia yang layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia dalam temasya tahun 2002 yang mana Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah dalam kali pertama sepanjang sejarah dua negara sekaligus menjadi tuan rumah sebuah kejohanan Piala Dunia. Pasukan Republik Korea layak untuk setiap Piala Dunia sejak temasya Mexico 1986, dan pernah melepasi peringkat berkumpulan dua kali, iaitu pada tahun 2002, dan 2010.

Besbol mula-mula diperkenalkan di Korea pada tahun 1905; semenjak itu, besbol menjadi sebuah sukan yang semakin diminati ramai, sehingga ada pihak yang mendakwa ia mengatasi bola sepak sebagai sukan paling laris di negara.[155][156]Baru-baru ini, semakin ramai orang yang berpusu-pusu ke stadium untuk menyaksikan perlawanan besbol profesional sehingga harga tiket juga melambung naik.[157] Liga Besbol Profesional Korea, sebuah litar 8 pasukan, ditubuhkan pada tahun 1982.Pasukan kebangsaan Korea Selatan menduduki tempat ketiga di Klasik Besbol Sedunia 2006 dan merangkul naib juara di kejohanan yang sama pada tahun 2009. Perlawanan akhir Korea Selatan lawan Jepun pada tahun 2009 ditonton ramai di Korea, sehingga tersedianya sebuah skrin besar di lintasan Gwanghwamun di Seoul yang menyiarkan perlawanan itu secara langsung.[158] Di Sukan Olimpik Beijing 2008, Korea Selatan menggondol pingat emas dalam acara besbol.[159] Pada tahun 1982 juga, di kejohanan Piala Dunia Besbol, Korea meraih pingat emas. Di Sukan Asia Guangzhou, Pasukan kebangsaan Korea memenangi pingat emas.

Gerbang Keamanan Dunia di Taman Olimpik Seoul.

Korea Selatan menjadi tuan rumah Sukan Asia pada tahun 1986 (Seoul), 2002 (Busan), dan 2014 (Incheon). Ia juga mengadakan Sukan Universiti Dunia Musim Sejuk pada tahun 1997,Sukan Asia Musim Sejuk pada tahun 1999 dan Sukan Universiti Dunia pada tahun 2003. Pada tahun 1988, Korea Selatan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik di Seoul, di mana pasukan tuan rumah menduduki tangga keempat keseluruhan dengan 12 pingat emas, 10 pingat perak dan 11 pingat gangsa. Korea Selatan biasanya lebih cemerlang dalam sukan memanah, menembak, ping pong, badminton, luncur laju balapan pendek, bola baling,hoki, gusti gaya bebas, gusti Yunani-Rom, besbol, judo, taekwondo, luncur laju, luncur ais berbunga, dan angkat berat. Muzium Olimpik Seoul ialah sebuah muzium di Seoul yang didedikasikan kepada Sukan Olimpik 1988.

Para olahragawan Korea Selatan juga mempamerkan kemahiran dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk; selepas Sukan Olimpik Vancouver 2010, Korea Selatan menggondol sejumlah 45 pingat (23 emas, 14 perak, dan 8 gangsa). Korea Selatan cemerlang sekali dalam luncur laju balapan pendek; bagaimanapun, hoki ais makin mendapat sambutan apabila pasukan Anyang Hallamemenangi gelaran Liga Hoki Ais Asia pertama mereka pada tahun 2010.[160] Korea Selatan bakal menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang pada tahun 2018.

Seoul menganjurkan perlumbaan triatlon profesional yang merupakan sebahagian Siri Kejohanan Dunia Kesatuan Triatlon Antarabangsa (ITU) pada Mei 2010.[161]

Pada Oktober 2010, Korea Selatan mengadakan perlumbaan Formula Satu tahunan sulungnya di Litar Antarabangsa Korea di Yeongam yang terletak kira-kira 400 kilometer (250 mi) di selatan Seoul.[162] Pada tahun 2011, bandaraya Daegu menjadi duan rumah Kejohanan Dunia Olahraga IAAF 2011.

Korea Selatan mempunyai tiga bidang balapan lumba kuda, yang terbesarnya ialah Seoul Race Park di bandar Gwacheon, wilayah Gyeonggi.

Tuan Rumah Kejohanan Antarabangsa