Etimologi Selangor

Nama negeri ini diambil daripada sebuah perkampungan di muara sungai Selangor yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor.[8]

Asal usul nama negeri ini tidak jelas kerana tiada perkataan yang seumpama wujud dalam bahasa Melayu. Para pengkaji beranggapan perkataan "Selangor" mungkin merupakan singkatan, gabungan atau  perubahan yang berlaku terhadap perkataan asal menerusi peredaran masa.[8]

Memandangkan tiada rekod sejarah mengenai nama Selangor, beberapa teori telah dikemukakan. Satu pendapat mengatakan bahawa nama "Selangor" mungkin berasal dari perkataan ‘Sarang Lang’, atau dalam bahasa Melayu moden, sarang helang.[9]

Pendapat lain pula mengatakan bahawa perkataan "Selangor" berasal daripada sebutan perkataan seekor langau, sejenis binatang merupai lalat tetapi berwarna hijau.[10] Nama ini diambil daripada cerita dongeng tempatan yang menceritakan kononya bahawa terdapat seorang pendekar yang datang dari Selatan berehat seketika dibawah sepohon pokok cukup diganggu oleh seekor langau.[10] Beliau cuba untuk memukul lalat tersebut beberapa kali tetapi gagal. Terdetik di dalam hati pendekar itu bagaimana seorang yang handal sepertinya tetap gagal menumpaskan seekor langau.[11] Selepas dikalahkan oleh seekor langau, beliau berhasrat untuk menetap di tempat tersebut dan menamakannya se-langau yang kemudiannya ditukarkan kepada Selangor.[8][12]

Pendapat lain pula mengatakan bahawa nama Selangor berasal daripada tumbuhan paya bakau yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai mentangau yang memenui perkampungan Kuala Selangor.[11] Terdapat beberapa versi cerita ini tetapi semuanya berakhir dengan menamakan perkampungan yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor sebagai Kuala Mentangau. Antara versi cerita ini adalah kisah ratusan kayu mentangau yang menyekat bahtera tentera laut Kedah daripada menakluki Selangor di muara sebuah sungai. Hal ini menyebabkan tentera Kedah tidak dapat menakluki Kuala Selangor dan menamakan sungai tersebut sebagai sungai mentangau.[10] Versi lain pula mengatakan bahawa pohon mentangau yang banyak terdapat di situ sering kali dijadikan panduan kepada pelayar ke kawasan itu. Para pelayar menggelar kawasan ini sebagai kuala mentangau.[8][11] Menerusi peredaran masa sebutan kuala mentangau berubah menjadi Kuala Selangor, tempat berakhirnya aliran Sungai Selangor.[10]

Pendapat lain pula mengatakan bahawa nama Selangor adalah berasal dari perkataan salang dan jemur.[8] Nama ini diambil daripada satu tempat di Sungai Selangor yang dahulunya dijadikantempat mendenda penderhaka dengan hukuman salang (palang kayu) dan kemudiannya dijemur dibawah terik matahari.[10] Hukuman “salang dan di jemur” kemudian diberikan kepada kawasan itu dengan sebutan Salang Ur yang memiliki sebutan yang hampir dengan nama Selangor.[11][12]

Di dalam bahasa Tamil, tempat ini dinamakan Salang ur yang bererti kampung orang salang. Pendapat ini juga boleh dipadankan dengan nama asal Singapura, yang berasal dari singgah pura atau "bandar singgah" dalam bahasa Hindu tua.[10]