Budaya São_Paulo

Muzik

Rencana utama: Muzik Brazil
Sala São Paulo.

Adoniran Barbosa ialah seorang tokoh nyanyian dan gubahan muzik samba termasyhur yang mengecapi kejayaan ketika zaman kegemilangan radio di São Paulo. Barbosa yang lahir di bandar Valinhos pada tahun 1912, terkenal sebagai komposer untuk rakyat jelata, khususnya pendatang Itali yang menetap di ruang inap Bela Vista (juga dikenali sebagai "Bexiga" dan Brás), dan juga penduduk cortiços atau rumah pangsa di bandaraya ini. Lagu-lagu beliau bertemakan kehidupan golongan pekerja bandar, yang menganggur dan yang hidup sebatang kara. Lagu hit besar pertamanya ialah “Saudosa Maloca” ("Gubuk Kenangan Indah" – 1951) yang menceritakan tiga sekawan tanpa rumah yang mengenang rumah gubuk yang diimprovisasi oleh mereka, tetapi dirobohkan oleh tuan tanah untuk membuka tanah untuk dibina bangunan. Dalam rakaman "Trem das Onze" ("Keretapi Sebelas Malam") pada tahun 1964 yang dianggap sebagai salah sebuah lagu samba terunggul dalam sejarah, watak utama menjelaskan kepada kekasihnya bahawa mereka tidak boleh bersama lagi kerana dia harus menaiki keretapi terakhir ke pinggir bandar Jaçanã untuk menjenguk ibunya yang tidak sabar menanti kepulangannya.

Pada akhir 1960-an, sebuah kugiran rock yang bernama Os Mutantes menerajui persada muzik avant garde negara. Kejayaan mereka dipercayai ada kaitan dengan kejayaan pemuzik tropicalia yang lain, tetapi mereka terkenal kerana gaya muzik yang tersendiri. Os Mutantes menerbitkan lima album kesemuanya sebelum penyanyi utama mereka, Rita Lee keluar pada tahun 1972 untuk membentuk kumpulan baru, iaitu Tutti-Frutti. Walaupun hanya terkenal di Brazil ketika itu, Os Mutantes akhirnya menarik cukup perhatian di luar sempadan negara selepas 1990-an. Pada tahun 2000, album Tecnicolor yang dirakam oleh kugiran ini pada awal 1970-an dalam bahasa Inggeris keluar dengan kulit baru rekaan Sean Lennon.

Auditorium Ibirapuera.

Setelah dua kejutan minyak pada 1970-an, negara Brazil mengalami kemelesetan ekonomi yang berpanjangan pada 1980-an, diburukkan lagi oleh kerajaan tentera yang memerintah negara ketika itu secara penindasan. Selepas pemerintahan tentera tamat pada awal 1980-an, munculnya kugiran "Ultrage a Rigor" (Penceroboh Bergaya) di bandaraya ini dengan gaya rock yang ringkas tetapi luar biasa, dengan lirik yang menggambarkan perubahan dalam masyarakat dan budaya yang bukan sahaja dialami di São Paulo, malah seluruh negara Brazil ketika itu. Maka tercetusnya pergerakan punk dan garage yang kukuh pada 1980-an, bersempena senario pengangguran yang menggerunkan serta beberapa perspektif benar dari pandangan kaum belia. Antara kugiran-kugiran yang berakar umbi dari pergerakan ini termasuk Ira!, Titãs, Ratos de Porão dan Inocentes. Pada 1990-an, bangkitnya pula pergerakan muzik dram dan bes di São Paulo, mengetengahkan seniman-seniman seperti DJ Marky, DJ Patife, XRS, Drumagick, dan Fernanda Porto.[60] Ramai juga kugiran heavy metal yang berasal dari São Paulo, seperti Angra, Torture Squad, Korzus dan Dr. Sin.

Muzik klasikal juga mendapat tempat istimewa di bandaraya ini. Ramai penggubah klasikal terkenal dari Brazil seperti Amaral Vieira, Osvaldo Lacerda dan Edson Zampronha, adalah kelahiran São Paulo. São Paulo mempunyai dua dewan opera terkemuka, iaitu Teatro Municipal de São Paulo dan Theatro São Pedro, tetapi tidak lupa juga teater lain seperti Dewan Credicard yang juga mengadakan persembahan opera. Penyanyi bariton anak jati, Paulo Szot telah meraih sanjungan antarabangsa dan pencalonan Anugerah Tony kerana persembahannya dalam muzikal South Pacific yang dipentaskan pada tahun 2008. Orkestra Simfoni Negeri São Paulo ialah salah sebuah orkestra terunggul di Amerika Latin dan seluruh dunia.

Rujukan

WikiPedia: São_Paulo ftp://ftp.ibge.gov.br/Estimativas_Projecoes_Popula... ftp://geoftp.ibge.gov.br/documentos/cartografia/ar... http://www.aprenda450anos.com.br/450anos/vila_metr... http://www.bmfbovespa.com.br/English/NewExchange.a... http://www.bmfbovespa.com.br/en-us/home.aspx?idiom... http://www.colunista.com.br/sp450/index.htm http://www.dcomercio.com.br/especiais/mooca450anos... http://www.dersa.com.br/ http://www.dersa.com.br/rodoanel http://www.estadao.com.br/noticias/geral,sp-sera-6...