Pendidikan São_Paulo

Rencana utama: Pendidikan di Brazil

Sistem persekolahan rendah dan menengah São Paulo cukup memuaskan, baik sekolah awam mahupun swasta, ataupun sekolah vokasional. Lebih 90% penduduknya celik huruf, dan juga lebih kurang sama kadar kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun yang bersekolah. Dalam sektor pendidikan tinggi, institusi yang terbesar dan paling sergah di sini ialah Universiti São Paulo (USP), sebuah institusi danaan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1934, serta memperbadankan Kolej Undang-Undang (Faculdade de Direito) yang bersejarah di Dataran São Francisco lama. USP disegani kerana mendaftarkan sebilangan besar penuntuk kedoktoran Brazil serta melahirkan pelbagai institut penyelidikan dan pusat penggubalan dasar. Antaranya ialah Institut Butantan, sebuah pusat penyelidikan ular dan penghasilan toksin dan antitoksin.

Universiti Katolik Paus São Paulo ditubuhkan pada tahun 1946, dan telah membina reputasi yang amat disegani di kalangan institusi pengajian tinggi swasta di Amerika Selatan. Satu lagi maktab pengajian yang tak kurang ternama di metropolis ini ialah Sekolah Pentadbiran Perniagaan Yayasan Getúlio Vargas.

Kesusasteraan

Rencana utama: Kesusasteraan Brazil
Perpustakaan Mário de Andrade.

São Paulo dijadikan tempat tinggal mubaligh Jesuit pertama di Brazil pada awal abad ke-16. Mereka melaporkan tanah baru dan orang aslinya yang ditemui mereka kepada kerajaan Portugis, serta menggubah puisi dan lagu untuk soal jawab agama. Antaranya, Manuel da Nóbrega dan José de Anchieta yang tinggal di dalam atau berdekatan jajahan yang ketika itu bernama Piratininga. Mereka turut membantu mendaftarkan bahasa Tupi Lama, termasuk sekali kosa kata dan nahunya.

Pada tahun 1922, Pergerakan Modernis Brazil yang dilancarkan di São Paulo, turut mulai mencapai kebebasan kebudayaan dengan pelbagai cara. Brazil telah melalui peringkat-peringkat pembangunan yang sama dengan seluruh Amerika Latin, tetapi kemerdekaan politik dan kebudayaannya hanya beransur-ansur menyusul. Maharaja pertama Brazil, Pedro I, merupakan ahli kerabat diraja Portugal yang sah. Sungguhpun baginda mengisytiharkan kemerdekaan Brazil dari Portugal pada tahun 1822, namun negara ini kekal di bawah pemerintahan raja dan kekuasaan istana di Rio de Janeiro sehingga tahun 1889.

Perpustakaan Amerika Latin Victor Civita.

Kesan pertalian Brazil dengan budaya Portugal, para penulis Brazil hanya sedikit demi sedikit memikul tanggungjawab untuk mengetengahkan bumi yang dipijak mereka serta kepelbagaian kaumnya. Keramaian bekas hamba abdi turut menyerikan kebudayaan Brazil dengan ciri-ciri Afrika, disusuli oleh gelombang penghijrah bukan Portugis dari merata Eropah yang membantu negara baru ini mencari identiti tersendiri.

Mário de Andrade dan Oswald de Andrade merupakan perintis sastera modernis. Dengan karya puisi urban seperti "Paulicéia Desvairada" dan "Paulicéia Desvairada" (1922), Mário de Andrade menubuhkan sebuah pergerakan kebudayaan modernis di Brazil. Novel rapsodi beliau, Macunaíma (1928), dengan kekayaan unsur budaya rakyat Brazil, melambangkan kemuncak prosa nasionalis modernisme menerusi penciptaan wira negara anak jati yang luar biasa. Puisi eksperimen, manifesto provokatif dan prosa avant garde Oswald de Andrade, tertuamanya novel Serafim Ponte Grande (1933), mencerminkan perpecahan pergerakan ini dari norma masyarakat ketika itu. Para seniman dan penulis modernis memilih Teater Perbandaran São Paulo untuk melancarkan manifesto Modernis mereka. Teater tersebut merupakan benteng kebudayaan Eropah yang mempersembahkan opera dan muzik klasikal yang dibawa dari Jerman, Perancis, Austria, dan Itali. Sebab tempat sebegini menjadi tempat pelancaran pergerakan mereka adalah kerana golongan atasan canggih yang selalu berkunjung ke situ mengetepikan jati diri Brazil mereka dengan bertutur dalam bahasa lain seperti Perancis di dalam dewan opera sahaja. Lebih-lebih lagi, mereka berkelakuan seolah-olah negara dan budaya Brazil tidak penting ataupun tidak wujud langsung. Maka, Mário de Andrade and Oswald de Andrade mencatat sejarah sebagai bapa pemodenan sastera Brazil.

Teater

Teater Perbandaran São Paulo

Ramai sejarawan percaya bahawa pementasan teater pertama di Brazil diadakan di São Paulo. Mubaligh Jesuit Sepanyol, José de Anchieta (1534–1597) mengarang drama pendek yang dipersembahkan dan ditonton oleh orang asli Tupi-Guarani. Malangnya, tidak lama kemudian, wilayah São Paulo ditubuhkan dan kegiatan kebudayaan menjadi lembap. Pada awal abad ke-20 barulah warga kota keturunan Eropah menghidupkan semula bidang pementasan teater, hasil kekayaan yang dibawa oleh perdagangan kopi. Teater-teater seperti Pedro II, di Ribeirão Preto, mengalu-alukan rombongan yang pernah berlakon di Manaus, Rio de Janeiro dan Buenos Aires. Seni pementasan menikmati zaman kegemilangan di São Paulo pada zaman avant-garde. Di São Paulo juga, sebuah syarikat profesional bernama Teatro Brasileiro de Comédia, (TBC, Teater Komedi Brazil) mengadakan persembahan sulungnya. Pada 1960-an, produksi teater utama di São Paulo dan Brazil dipersembahkan oleh dua kumpulan, iaitu Teatro de Arena dan Teatro Oficina.

Teatro de Arena diasaskan oleh sekumpulan pelajar dari Escola de Arte Dramática (Sekolah Seni Drama) yang ditubuhkan oleh Alfredo Mesquita pada tahun 1948. Pada tahun 1958, kumpulan ini cemerlang dengan drama "Eles não Usam Black-tie," sebuah maha karya Gianfrancesco Guarnieri yang menjadikan pekerja buruh sebagai protagonis buat julung kalinya dalam sejarah drama Brazil. Selepas rampasan kuasa yang ditaja oleh AS pada tahun 1964, persada teater mulai menumpu perhatian kepada sejarah Brazil (Zumbi, Tiradentes). Teatro de Arena menjadi pentas perjuangan demokratik yang dibelenggui oleh penapisan ketat sewaktu kediktatoran tentera.

Teatro Oficina juga memainkan peranan penting kerana melancarkan pergerakan Tropikalis dengan mengadakan drama yang melakonkan semula peristiwa bersejarah, misalnya "O Rei da Vela", "Galileu Galilei" (1968), "Na Sela das Cidades" (1969) dan "Gracias Señor" (1972). Kini, bermacam-macam drama pentas dipersembahkan di puluhan teater di São Paulo, tak kira muzik klasikal, balet mahupun drama avant-garde dan muzikal Broadway.

Muzium

Ipiranga Museum, "Museu do Ipiranga."
  • Museu PaulistaMonumen pertama yang dibina khusus untuk menjaga kenangan Kemerdekaan Brazil, dibuka pada 7 September 1895, dengan nama Museu de Ciências Naturais (Muzium Sains Alam), juga dikenali dengan “Muzium Ipiranga”. Pada tahun 1919, ia diubah menjadi muzium sejarah. Seni bina Ipiranga dipengaruhi oleh Istana Versailles di Perancis. Himpunan muzium ini diisi sekitar 100,000 karya seni, perabot, pakaian, dan peralatan yang pernah dimiliki oleh orang ternama yang berperanan besar dalam sejarah Brazil, termasuk penjelajah, pemerintah, dan pejuang kebebasan. Bangunan Ipiranga juga menempatkan sebuah perpustakaan 100,000 buku dan sebuah Centro de Documentação Histórica (Pusat Dokumentasi Sejarah) yang menyimpan 40,000 manuskrip.
  • Memorial da América LatinaDengan keluasan lebih 78,000 m2 (19 ekar), Memorial da América Latina (Memorial Amerika Latin) dibayangkan sebagai tempat penyepaduan negara-negara Amerika Latin, asal-usul dan budayanya. Memorial ini merupakan tempat terletaknya Parlamento Latino-Americano atau “Parlatino” (Parlimen Amerika Latin). Memorial rekaan Oscar Niemeyer ini juga dilengkapi astaka pameran yang menempatkan pameran kekal hasil kraf di benua ini; sebuah perpustakaan yang diisi buku, suratkhabar, majalah, video, filem dan rekod sejarah Amerika Latin; dan sebuah auditorium yang boleh menampung 1,679 orang penonton.
  • Museu da Imigração e Memorial do Imigrante
Memorial do Imigrante
  • Hospedaria do Imigrante (Asrama Pendatang) dibina pada tahun 1886 lalu dibuka setahun kemudian untuk menempatkan kaum pendatang pertama di bandaraya ini. Asrama ini dibina di Brás untuk menyambut ketibaan penghijrah yang datang ke Brazil menerusi Pelabuhan Santos, mengkuarantin orang yang kurang sihat serta membantu pendatang baru mencari kerja di dusun kopi di negeri São Paulo Barat, Utara dan Barat Daya, dan negeriParaná Utara. Dari tahun 1882 hingga 1978, 2.5 juta pendatang dari lebih 60 bangsa dan kaum bertamu di sini,[61] kesemua mereka berdaftar dalam buku dan senarai muzium seperti yang sewajarnya. Asrama ini pernah menampung purata kira-kira 3,000 orang pada satu masa, tetapi atas sebab-sebab istimewa, bilangannya pernah mencapai 8,000 orang. Asrama ini menyambut pendatang terakhirnya pada tahun 1978.[62]
  • Pada tahun 1998, Asrama ini menjadi muzium, dan memelihara dokumentasi, kenangan dan tinggalan para pendatang ke Brazil demi harapan baru dan kekayaan. Muzium ini mengisi sebahagian asmara yang merupakan salah sebuah daripada sebilangan kecil bangunan berusia seabad lebih yang masih tinggal di kota São Paulo. Selain memaparkan sejarah penghijrah kepada umum, muzium ini juga memulihkan gerabak keretapi kayu dari bekas perkhidmatan São Paulo Railway. Terdapat dua buah gerabak dalam muzium ini, iaitu satu dari tahun 1914, dan satu lagi dari tahun 1931. Memorial do Imigrante memberi penghormatan kepada leluhur jutaan rakyat Brazil yang tiba menerusi pelabuhan Santos lalu menjadikan São Paulo pintu masuk utama ke Brazil. Tidak sukar untuk mencari nama semua pendatang yang bertamu di sini dari tahun 1888 hingga 1978.[63]
  • Museu de Zoologia da USPMengisi tapak seluas 700 m2 (837 ela2), haiwan-haiwan yang dipamerkan dalam muzium ini merupakan contoh fauna tropika di negara yang diawet lebih 50 tahun dahulu. Di dewan pintu masuk, terletaknya papan penerangan tentang kegiatan utama yang dijalankan oleh kakitangan USP dan para penyelidik muzium. Haiwan-haiwannya dikelompokkan mengikut pengelasan, iaitu ikan, amfibia, reptilia, burung dan mamalia, di samping invertebrata seperti karang, krustasia dan moluska. Perpustakaan zoologinya mempunyai kemudahan dan kelengkapan moden yang dikhususkan untuk para saintis dan orang awam. Ia menyimpan 73,850 hasil kerja, termasuk 8,473 buku dan 2,364 suratkhabar, dan selebihnya kertas tesis dan peta.
  • Museu de Arte de São Paulo
Muzium Kesenian São Paulo, "Museu de Arte de São Paulo" di Pusat Bandaraya São Paulo.
  • Muzium ini ditubuhkan oleh wartawan Assis Chateaubriand dan Pietro Maria Bardi. Ibu pejabatnya sekarang dibuka pada tahun 1968, hasil rekaan jurubina Lina Bo Bardi. Dua deretan tiang gergasi menyokong binaan seberat 9.2 tan, di atas ruang legar sepanjang 74 meter. MASP mempunyai salah sebuah himpunan seni Eropah yang terunggul di Amerika Latin, termasuk karya-karya seniman tersohor seperti Degas, Renoir, Modigliani dan Bonnard, antara lainnya.
  • Acervo do Palácio dos BandeirantesIbu pejabat Kerajaan Negeri juga menyimpan sebuah himpunan seni hebat dari karyawan Brazil seperti Portinari, Aldo Bonadei, Djanira, Almeida Júnior, Victor Brecheret, Ernesto de Fiori dan Aleijadinho. Selain itu, ia juga mengumpulkan perabot, artifak kulit dan perak, dan dewangga Eropah dari zaman penjajahan. Dindingnya disaluti oleh panel yang memerikan sejarah São Paulo secara eklektik.
  • Museu da Imagem e do SomDibuka pada Mei 1990, tujuan utama Museu da Imagem e do Som (Muzium Imej dan Bunyi) adalah menyimpan dan memelihara manifestasi bidang muzik, perfileman, fotografi, dan seni grafik, dan juga mana-mana bentuk manifestasi lain yang berkaitan dengan kehidupan kontemporari Brazil. MIS menyimpan himpunan lebih 200,000 gambar yang dibahagikan kepada koleksi bertema yang beraneka isi kandungan. Ia mengandungi lebih 1,600 pita video cereka, dokumentari dan muzik, dan 12,750 judul yang dirakam dalam bahantara Super 8 dan 16 mm. Selain itu, MIS mengadakan konsert, pesta filem dan video, dan pameran fotografi dan seni grafik.

Rujukan

WikiPedia: São_Paulo ftp://ftp.ibge.gov.br/Estimativas_Projecoes_Popula... ftp://geoftp.ibge.gov.br/documentos/cartografia/ar... http://www.aprenda450anos.com.br/450anos/vila_metr... http://www.bmfbovespa.com.br/English/NewExchange.a... http://www.bmfbovespa.com.br/en-us/home.aspx?idiom... http://www.colunista.com.br/sp450/index.htm http://www.dcomercio.com.br/especiais/mooca450anos... http://www.dersa.com.br/ http://www.dersa.com.br/rodoanel http://www.estadao.com.br/noticias/geral,sp-sera-6...