Pemilihan Yang_di-Pertuan_Agong

Ciri yang unik di seluruh dunia dalam sistem pemerintahan beraja Malaysia, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun antara sembilan Pemerintah Negeri Melayu. Apabila menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai Pemangku dalam negeri tersebut. Yang di-Pertuan Agong yang baharu mesti dipilih oleh Majlis Raja-raja mengikut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.

Jika berlaku kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.[9]

Giliran Negeri

Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun dianggap unik. Ini kerana ia menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan dengan konsep moden berasaskan perlembagaan.

Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara.

Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dahulunya dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Negeri-negeri Melayu Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang manakala Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu ialah Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Sementara itu, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah yang tidak beraja adalah tidak berpeluang walaupun boleh diwakili dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja tahunan.

Penggiliran asal adalah seperti berikut, yang mengikut kekananan tempoh pemerintahan Raja-Raja Negeri ketika dipilih, tetapi atas urusan-urusan tertentu di dalam Meyuarat Raja-Raja Melayu seperti penolakan dan sebagainya, sistem penggiliran berlaku rombakan dan diputuskan ke dalam sistem penggiliran pertama yang sembilan.

Istana Negara, Jalan Duta kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong Malaysia
  1. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
  2. Sultan Selangor
  3. Raja Perlis
  4. Sultan Terengganu
  5. Sultan Kedah
  6. Sultan Kelantan
  7. Sultan Perak
  8. Sultan Pahang
  9. Sultan Johor

Kebiasaannya, Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan dipilih, tetapi peraturan itu tidak lagi digunapakai selepas semua Raja dari negeri-negeri telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pusingan ini berakhir selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Perak dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-9 pada 1994.

Selepas itu senarai yang penggiliran baharu disusun semula dan tidak lagi mengikut kekananan tempoh pemerintahan Raja-Raja Negeri. Senarai yang digunapakai sekarang adalah berpandukan kepada kekananan negeri yang rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini (1957-1994) mengikut Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Susunan tersebut ialah:

  1. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
  2. Sultan Selangor
  3. Raja Perlis
  4. Sultan Terengganu
  5. Sultan Kedah
  6. Sultan Kelantan
  7. Sultan Pahang
  8. Sultan Johor
  9. Sultan Perak

Dengan penolakan Brunei masuknya ke Malaysia pada tahun 1963, hanya peraturan 9 negeri diraja Semenanjung Malaysia telah dibuat layak untuk dipilih untuk tahta. Sekiranya ia diterima sebagai kerajaan diraja, Sultan Brunei akan diberikan hak untuk bertanding sebagai Yang di-Pertuan Agong oleh Persidangan.

Walau bagamanapun, penggiliran ini masih tertakluk kepada perkenan dan undi rahsia ketika Mesyuarat Pemilihan Majlis Raja-Raja.

Bagi pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16, terdapat sedikit analisis penggiliran seterusnya berikutan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengalami masalah kesihatan, jika Baginda menolak, maka Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail akan mengambil alih takhta tersebut dan sekiranya Baginda juga menolak, baharulah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah akan ditabalkan menjadi SPB Yang di-Pertuan Agong ke-16.[10]

Faktor pemilihan

Tengkolok Diraja yang menjadi salah satu alat kebesaran bagi Yang di-Pertuan Agong

Perlembagaan Persekutan memperuntukkan bahawa seseorang Raja adalah layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali tiga sebab berikut;[11]

  1. Raja itu belum dewasa;
  2. Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Baginda tidak berhasrat dipilih; atau
  3. Majlis Raja-raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa Raja itu adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima orang Raja.

Walau bagaimanapun, pemilihan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada sistem kekananan dan penggiliran yang telah ditetapkan. Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia bagi menentukan pengganti bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong seterusnya. Syarat yang akan diambil kira ialah:

  1. Kekananan di kalangan Sultan dan Raja;
  2. Baginda berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong;
  3. Tidak mengalami kelemahan atau ketidak upayaan mental;
  4. Merupakan Raja yang berada di kedudukan teratas;
  5. Mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain;
  6. Dan bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Faktor lain ialah usia dan tempoh masa pemerintahan dan kalau kita lihat daripada aspek status atau peranan yang dimainkan oleh Yang Dipertua usia dan tempoh masa pemerintahan seseorang Raja di sesebuah negeri amat penting kerana apabila baginda telah menjalankan pemerintahan dalam tempoh yang lama ini dapat menggambarkan kematangannya terhadap cara pemerintahan.

Proses pemilihan

Apabila terdapat kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja maklum perlunya pemilihan yang baharu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada Baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Di bawah kategori kelayakan seorang Raja atau Sultan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, hanya Raja-Raja yang boleh dipilih selepas baginda memberi perkenan untuk dipilih. Pada masa yang sama, hanya Raja-Raja yang boleh mengundi dan jika seorang Raja tidak dapat berangkat dalam Majlis Pemilihan, seorang Raja lain hendaklah dilantik oleh Raja itu dan layak mengundi sebagai proksi. Yang di-Pertua Negeri mahupun pemangku Raja tidak boleh ikut hadir. Dalam Mesyuarat Pemilihan itu, hanya Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan.

Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan membekalkan sekeping kertas undi kepada setiap Raja. Setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang pada giliran tersebut (satu nama sahaja) sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Pemilihan dibuat secara undi sulit dan kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama. Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Baginda.[12]

Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong lazimnya akan dipilih untuk mengira kertas undi bersama-sama dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi. Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun. Sebaik sahaja keputusan undian diumumkan semua kertas undi akan dimusnahkan di hadapan Raja-Raja.

Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas tamat kedua-dua urusan pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menghantar surat mengesahkan keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri. Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai keputusan pemilihan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.[9]

Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menjalankan fungsi rasmi selepas menandatangani sumpah jawatan dalam satu istiadat di hadapan Majlis Raja-raja dan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan dengan ditandatangani saksi oleh dua orang Raja yang dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai saksi-saksi.[9]

Kebaikan sistem

Hanya yang terpilih sahaja boleh dipilih iaitu menurut darah keturunan (monarki) tetapi di dalamnya tersemat dan tersisip peraturan yang bercorak demokrasi iaitu pemilihan secara moden.

Keunikan tradisi ini bermula sejak tahun 1957, kuasa yang dimiliki oleh Yang di-Pertuan Agong mengatasi segala Raja-Raja Melayu sepanjang tempoh perlantikannya.

Jika dibandingkan dengan England, Ratu Elizabeth II, sistem pelantikan rajanya tidaklah seunik di Malaysia, ini kerana sistem beraja England datang dari satu keluarga sahaja. Uniknya di Malaysia, pemilihan ketua negara datang dari kalangan sepuluh orang Raja yang memerintah Negeri-negeri Melayu.

Rujukan

WikiPedia: Yang_di-Pertuan_Agong http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lapan-fa... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sultan-n... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiga-seb... http://www.mtholyoke.edu/~teh20y/classweb/worldpol... http://allmalaysia.info/2012/04/10/powers-of-the-k... http://www.agc.gov.my/agcportal/uploads/files/Publ... http://prpmv1.dbp.gov.my/Search.aspx?k=paduka http://www.istananegara.gov.my/istananegara2/ http://www.kptg.gov.my/sites/default/files/article... http://www.majlisraja-raja.gov.my/index.php/bm/sej...