Budaya Itali

Rencana utama: Kebudayaan Itali

Itali dikatakan sebagai sebuah negara yang pelbagai warisan budaya kerana ia hanya disatukan pada tahun 1861, dengan perbezaan ketara antara daerah-daerah. Itali telah menyebarkan pengaruh budaya secara meluas di dunia, juga kerana ramai orang Itali berhijrah ke negara lain dalam sejarah.


Seni dan sastera

Menara Condong Pisa.

Di Itali letaknya jumlah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terbanyak (45) setakat ini, serta menyimpan kekayaan seni, budaya dan sastera sedunia dari pelbagai zaman. Di Itali letaknya sejumlah kira-kira 100,000 monumen yang beraneka jenis (muzium, istana, binaan, patung, gereja, balai seni, vila, pancutan air, rumah bersejarah dan tinggalan arkeologi).[150] Antara binaan-binaan terhebat dalam seni bina Barat terletak di Itali, seperti Colosseum, Gereja Besar Milan,Gereja Besar Florence, Menara Condong Pisa dan reka bina kota Venice.

Bidang seni lukis Itali menemui kemuncak kegemilangannya pada zaman-zaman Romanesque, Gothik, Pembaharuan dan Barok, apabila lahirnya pelukis-pelukis handalan seperti Michelangelo, Leonardo da Vinci, Donatello, Caravaggio, Bernini, Titian dan Raphael. Kesenian Itali bangkit semula pada abad ke-20 dengan gaya Futurisme, terutamanya hasil seni Umberto Boccioni dan Giacomo Balla, disusuli oleh lukisan metafizik Giorgio de Chirico yang berpengaruh hebat terhadap gerakan Surealisme dan generasi-generasi seniman yang seterusnya.

Asas bahasa Itali moden ditetapkan oleh pemuisi Florence, Dante Alighieri yang karya paling agungnya, Divina Commedia (Komedi Kudus), diangkat sebagai kenyataan sastera terulung yang dihasilkan di Eropah pada Zaman Pertengahan. Sasterawan-sasterawan berbangsa Itali tiada kurangnya: Giovanni Boccaccio, Giacomo Leopardi, Alessandro Manzoni, Torquato Tasso, Ludovico Ariosto, dan Francesco Petrarca yang terkenal kerana mencipta gaya puisi soneta. Itali juga berbangga kerana namanya diharumkan oleh ramai sasterawan moden yang memenangi hadiah Nobel pula termasuk pemuisi nasionalis Giosuè Carducci (1906), pengarang realis Grazia Deledda (1926), pengarang teater Luigi Pirandello (1936), pemuisi Salvatore Quasimodo (1959) dan Eugenio Montale (1975), ahli satira dan pengarang teater Dario Fo (1997).[151]


Kesenian Itali diserikan lagi oleh industri fesyen yang hebat dan banyak berpusat di bandaraya Milan. Jenama-jenama fesyen utama dari Itali seperti Gucci, Prada, Versace, Valentino,Armani, Dolce & Gabbana, Missoni, Fendi, Moschino, Max Mara dan Ferragamo, dipandang sebagai syarikat-syarikat fesyen yang terunggul di dunia. Begitu juga, Vogue Italia disanjungi sebagai majalah fesyen yang paling terkemuka dan berprestij di dunia.[152]

Muzik dan filem

Giacomo Puccini, penggubah Itali yang terkenal kerana karya opera yang tersohor, seperti La bohème, Tosca, Madama Butterfly, dan Turandot[153][154]

.

Muzik klasikal sebati dengan jati diri Itali, di mana terciptanya alat-alat muzik seperti piano dan biola, di samping banyak jenis muzik klasikal yang menonjol seperti simfoni, konserto, dan sonata, yang dikatakan lahir sekitar abad ke-16 dan ke-17. Antara penggubah-penggubah muzik terkenal dari Itali termasuklah Palestrina, Monteverdi, Vivaldi, Rossini, Verdi dan Puccini pada zaman Pembaharuan dan Moden Awal. Muzik pop pula diserikan oleh Berio dan Nono yang terkenal sebagai perintis muzik eksperimental dan elektronik, serta artis-artis yang disanjungi di mata dunia seperti Andrea Bocelli, Laura Pausini, dan Eros Ramazzotti. Walaupun tradisi muzik klasikal masih teguh di Itali, seperti yang terbukti dengan puluhan dewan opera yang terkenal seperti La Scala di Milan dan San Carlo di Naples, serta para seniman seperti pemain piano Maurizio Pollini dan penyanyi tenor mendiang Luciano Pavarotti, namun rakyat Itali tidak kurang menyambut baik persada muzik kontemporari yang rancak di negara itu.

Luciano Pavarotti, salah seorang tenor termasyhur sepanjang zaman.

Itali terkenal sekali sebagai tempat kelahiran opera.[155] Opera Itali dipercayai diasaskan pada awal abad ke-17, di bandar-bandar Itali seperti Mantua dan Venice.[155] Lama-kelamaan, karya-karya yang digubah oleh tokoh Itali pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 seperti Rossini, Bellini, Donizetti, Verdi dan Puccini, berada di kalangan opera-opera paling sohor yang pernah digubah dan kini masih dipersembahkan di dewan-dewan opera di merata dunia. Dewan opera La Scala di Milan merupakan salah sebuah dewan opera yang terunggul di dunia. Antara bakat-bakat nyanyian opera Itali yang termasyhur sekali ialah Enrico Caruso, Alessandro Bonci, Luciano Pavarotti, Andrea Bocelli, dan ramai lagi.

Sejarah perfileman Itali bermula beberapa bulan selepas Lumière bersaudara memulakan pameran wayang gambar bergerak. Filem buatan Itali yang sulung hanya beberapa saat panjangnya, menunjukkan Paus Leo XIII menyampaikan restu ke hadapan kamera. Industri perfileman Itali pada awalnya terbukti mendapat perhatian di pasaran dunia. Kemudian, ia juga dimanfaatkan oleh Benito Mussolini yang mengasaskan studio Cinecittà yang masyhur di Rom untuk penghasilan bahan dakyah Fasis hingga Perang Dunia Kedua.[156] Selepas peperangan, filem-filem Itali tetap diminati di dunia sehingga 1980-an apabila ia mengalami kemerosotan kesenian. Antara pengarah-pengarah filem Itali yang terkenal dari zaman tersebut termasuk Vittorio De Sica, Federico Fellini, Sergio Leone, Pier Paolo Pasolini, Luchino Visconti, Michelangelo Antonioni dan Dario Argento. Antara filem-filem Itali yang menjadi pusaka perfileman sedunia ialah La dolce vita, Il buono, il brutto, il cattivo dan Ladri di biciclette. Baru-baru ini, persada perfileman Itali sekali-sekala mendapat perhatian antarabangsa, antaranya La vita è bella arahan Roberto Benigni dan Il postino oleh Massimo Troisi.

Sukan

Itali mengamalkan tradisi kesukanan sejak sekian lama. Dalam pelbagai sukan, baik berpasukan mahupun perseorangna, Itali bermaruah tinggi dan mencapai banyak kejayaan. Sukan yang paling diminati ramai tak lain tak bukan bola sepak, diikuti oleh bola keranjang dan bola tampar yang turut dikuasai oleh Itali. Pasukan bola sepak Itali memenangi empat Piala Dunia FIFA setakat ini, kali terakhir pada tahun 2006.[157] Itali juga mempertaruhkan jaguh-jaguh handalan dalam sukan lumba basikal, tenis, balapan dan padang, lawan pedang, sukan musim sejuk dan ragbi. Scuderia Ferrari dari Itali ialah pasukan paling lama yang masih aktif dalam perlumbaan Grand Prix semenjak mulai bertanding pada tahun 1948, apatah lagi ia juga pasukan Formula Satu yang paling cemerlang dalam sejarah dengan rekod 15 kejuaraan pemandu dan 16 kejuaraan pengeluar kereta (setakat 2010).

Masakan

Piza Neapolitan yang asli.

Masakan Itali moden telah berevolusi seiring dengan perubahan sosial dan politik berabad-abad, dengan akar umbinya seawal-awal abad ke-4 SM. Perubahan hebat berlaku apabila Dunia Baru ditemui dan jenis sayur-sayuran baru ditemui, seperti ubi kentang, tomato, cili kembung dan jagung. Bagaimanapun, ramuan-ramuan utama masakan Itali moden ini tidak diperkenalkan secara besar-besaran sebelum abad ke-18.[158]

Ramuan dan hidangan tempatan berbeza-beza mengikut setempat. Bagaimanapun, banyak juga hidangan daerah yang telah tersebar ke merata negara dalam pelbagai bentuk kelainan. Keju dan wain sebati sekali dalam masakan Itali kerana memainkan peranan-peranan yang berbeza di peringkat daerah dan negara dengan kepelbagaian jenisnya serta undang-undang Denominazione di origine controllata (penamaan terlaras). Tidak lupa juga minuman kopi, khususnya espresso, yang sudah menjadi mustahak sekali dalam masakan kebudayaan Itali. Some famous dishes and items include pasta, pizza, cappuccino, spaghetti, maccheroni, salami, lasagna, focaccia, dan gelato.

Rujukan

WikiPedia: Itali http://209.85.129.132/search?q=cache:m5-u7afI-asJ:... http://213.253.134.43/oecd/pdfs/browseit/0406041E.... http://www.censusdata.abs.gov.au/ABSNavigation/pre... http://www12.statcan.ca/english/census06/data/high... http://globalization.kof.ethz.ch/static/pdf/press_... http://www.adnkronos.com/AKI/English/Religion/?id=... http://www.allempires.com/article/index.php?q=ital... http://www.boston.com/news/world/europe/articles/2... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/297241/I... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/297474/I...