Kerjaya Janna_Nick

2012–13: Permulaan kerjaya

Janna memulakan kerjaya awalnya sebagai model iklan komersial dan video korporat sebelum muncul dalam pelbagai rancangan televisyen. Ketika itu, usia beliau dalam 5 hingga 7 tahun tetapi mengambil keputusan berhenti kerana ingin menumpukan perhatian pada pelajarannya. Janna mendapat tawaran menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arau, Perlis tetapi menolak kerana ingin menumpukan kepada bidang lakonan. Beliau berhasrat untuk meneruskan pengajian di ibu negara. Berminat dengan bidang lakonan sejak kecil dan sering memaksa ibunya membawa kemana ke mana-mana sesi uji bakat diadakan. Cita-citanya mahu menjadi pelakon dan usahawan berjaya. Selepas mendapat keputusan A dalam semua subjek mata pelajaran sekolah, Janna terus memohon keluar dari MRSM untuk bersekolah harian biasa.[11]

Peranan lakonan pertamanya pada 2012 ialah menerusi telefilem Cinta Vlog, yang mana beliau memegang watak pembantu sebagai Risa, bersama pelakon utamanya, Aliff Aziz dan Wawa Zainal, telefilem ini disiarkan di TV9. Seterusnya beliau berlakon dalam drama Ikatan, yang dibintangi oleh Ayu Raudhah dan Iqram Dinzly, yang bersiaran di TV2. Pada 2013, beliau membawakan peranan sebagai Elle dalam siri TV Jodoh lakonan Dazrin Kamarudin yang bersiaran di Astro Ria dan sebagai Nur dalam siri Tanah Kubur (Musim 8) episod "Minyak Murai Gila" di Astro Oasis. Beliau memegang dua peranan dalam dua siri televisyen di TV1, iaitu watak sebagi Astri dalam Syurga Di Wajahmu dan watak sebagai Aishah dalam Di Penghujung Dendam. Beliau turut membintangi drama online, Dan Calonnya Adalah di laman web Tonton.com.my, memegang watak sebagai Shai. Pada tahun berikutnya, Janna membawakan kembali watak Elle dalam musim kedua siri drama Jodoh, serta muncul dalam dua drama TV, Puasa Oh Puasa dan Kasih Berbisik.

2014–15: Kejayaan awal, Syurga Nur dan Kau Aku Kita

Namanya menjadi perhatian ramai apabila bergandingan bersama Amar Asyraf dan Azrel Ismail menerusi siri drama Syurga Nur, yang mana beliau memegang watak utama sebagai Nur Jannah, drama ini diarahkan oleh Azman “Jinggo” Yahya dan diterbitkan oleh Sheila Rusly menerusi JS Pictures dan disiarkan di Slot Akasia TV3, drama ini mengisahkan Nur yang kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya. Sejak itu, Nur dibesarkan oleh makciknya yang sering menderanya. Nur melarikan diri dari rumah dan berjumpa dengan Sarina yang menyayanginya seperti anak kandungnya. Drama ini turut dibintangi oleh Raja Ilya, Dayana Roza, Erwin Dawson[12] Janna berlakon dalam drama 60 episod, Keluarga Karaoke yang mana beliau membawakan watak sebagi Shirley. Drama yang disiarkan di Astro Mustika HD dan Astro Bella ini turut dibintangi oleh Elyana, Raja Ema, Sherry Ibrahim dan Elfaeza Ul Haq. Profil beliau sebagai pelakon terus berkembang dengan membintangi telefilem Bila Cinta Berbunga lakonan Uqasha Senrose dan Zahiril Adzim yang bersiaran di TVi, Janna memegang watak pembantu sebagai Amira. Beliau turut membintangi drama Bila Hati Telah Hitam di Astro Oasis menerusi episod "Fanatik" dengan memegang watak lakonannya sebagai Azwa. Pada tahun sama, beliau berlakon bersama Idris Khan, Cat Farish dan Shahz Jaszle menerusi drama Abang Sado Jemur Kain yang bersiaran di Slot Iris TV3 dan membintangi muzik video lagu "Mikraj Cinta" nyanyian Datuk Siti Nurhaliza, dimana dalam muzik video ini, Janna memegang watak sebagai seorang wanita yang sedang asyik berswafoto sambil memandu keretanya sehingga mengakibatkan kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga. Beliau turut membintangi drama online, Si Montel di HyppTV (kini Unifi TV).[13]

Pada tahun yang sama, Janna kemudiannya membintangi dua telefilem di TV1 — Bejalai (watak sebagai Julia) dan Cinta & Coklat (watak sebagai Sheila), serta satu telefilem di TV3, Sayang Suria. Beliau sekali lagi bekerja di bawah bimbingan Sheila Rusly dan suami, Azman Yahya menerusi siri drama Kau Aku Kita yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama karya Orkid Edyliyne terbitan Fajar Pakeer, beliau memegang watak sebagai Iman Firdaus,[14] bergandingan bersama Saharul Ridzwan sebagai Im Aus dan bersiaran di TV3 menerusi Slot Lestary.[14] Drama ini melayakkan beliau memenangi Aktres Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016.[15] Gandingannya bersama Saharul juga memenangi Pasangan Pilihan di anugerah sama, drama Kau Aku Kita mencapai penarafan sebanyak 4.7 penonton, pertama kali dalam Slot Lestary dan paling tertinggi dalam drama adaptasi dan sejarah televisyen Malaysia. Pada awal 2016, beliau membintangi bersama Ardell Aryana dan Shakilla Khoriri dalam siri drama waktu perdana Anakku Diva di TV3 di mana beliau memegang watak Melati dan Suami Tanpa Cinta di Astro Ria, yang mana beliau melakonkan watak sebagai Ain Syifa dan bergandingan bersama Shukri Yahaya.[16] Janna meluahkan rasa syukur diatas penerimaan penonton terhadap keserasian beliau bersama Shukri di dalam drama itu. Namun beliau akan cuba untuk mengelak melakukan adegan berpelukan melampau sehingga boleh menimbulkan kemarahan.[17][18] Beliau juga melibatkan diri dalam pementasan teater apabila membintangi teater yang bertajuk Zombie La La La yang dipentaskan pada 13 hingga 21 Februari 2016 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, beliau memegang watak utama sebagai Me Mang Nak.[19]

2016–kini: Pengiktirafan meluas dan kerjaya muzik

Janna semasa memenangi Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016.

Pada Januari, Janna melancarkan single sulungnya, "Mungkin Saja"[20][21] yang menjadi lagu tema drama Suami Tanpa Cinta lakonannya. Ia menjadi percubaan sulungnya dalam industri muzik Malaysia, lagu yang berentak pop ini dicipta dan ditulis oleh Kuncidemak dan diterbitkan oleh syarikat rakaman Hikayat Records. Bagaimanapun, Janna menepis tuduhan segelintir pihak kononnya beliau tamak dalam mengejar populariti apabila membuat keputusan untuk menjadi penyanyi.[22][23] Ternyata percubaan terbarunya sebagai penyanyi membuahkan hasil apabila "Mungkin Saja" telah terpilih untuk layak ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 31. Lagu ini juga menduduki tangga ke-11 di Carta Era. Semua ini juga adalah sebagai memenuhi permintaan para peminatnya yang mengikuti perkembangan kerjaya lakonannya.[24] Pada Mac, Janna memenangi anugerah Aktres Pilihan dan Pasangan Pilihan (bersama Saharul Ridzwan) di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 menerusi lakonannya dalam drama Kau Aku Kita, ini merupakan anugerah pertama yang dimenanginya.[25] Pada April, beliau menerima pencalonan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016 menerusi kategori Artis Baharu Wanita Popular, tetapi tewas kepada pelakon drama Cinta Si Wedding Planner, Mira Filzah serta pencalonan di Anugerah Melodi 2016 anjuran TV3, Harian Metro dan Hot FM. Pada masa yang sama, beliau membintangi telefilem Anak Ibu Buangan Ibu arahan Ellie Suriati yang bersiaran di Slot Cerekarama TV3 pada 5 Mac sempena Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016) beliau memegang watak sebagai Putri Aishah, seorang remaja yang degil dan nakal, telefilem ini turut dibintangi oleh Johan As'ari, Aida Aris dan Azri Iskandar.[26] Pada bulan yang sama, Janna menerima dua pencalonan di Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) bagi kategori Aktres Terbaik Pilihan Online (beliau dicalonkan bersama Ayda Jebat, Mia Ahmad, Mira Filzah dan Zara Zya) dan Wanita Anggun Pilihan DNARS, anugerah APO2016 dianjurkan oleh mStar Online dan stesen radio Suria FM, untuk mengiktiraf kepentingan media digital dan mereka yang telah membuat perbezaan di platform, anugerah APO2016 diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 30 April.[27][28]

Beliau turut membuat penampilan khas dalam sitkom J.K.K di TV3 menerusi episod "Hari Keluarga". Selepas muncul dengan beberapa projek televisyen dan single terbaru, Janna memperlahankan aktiviti lakonan kerana ingin meluangkan masa bersama keluarga bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak.[29] Beliau mengakui teruja menanti ketibaan Ramadan kerana sudah lama tidak berehat panjang apabila sering diasak kesibukan hingga menyebabkan ibunya mengeluh ekoran dirinya jarang mempunyai masa bersama keluarga dan hanya akan kembali ke lokasi penggambaran seminggu selepas sambutan Aidilfitri nanti,[29] sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Janna membintangi dua teledrama khas sempena Hari Lebaran, Kau Aku Kita Raya di TV3 dan Syurga Tanpa Cinta Raya di Astro Ria, beliau juga tampil sebagai tetamu jemputan dalam rancangan Ketuk-Ketuk Syawal di TV1 dan sebagai pelakon dengan watak sebagai Sakinah dalam telefilem Tragedi Hari Raya di Astro Prima.[29]

Pada Oktober, Janna membatalkan hasrat untuk menarik diri daripada saingan separuh akhir Muzik Muzik 31 pada 4 November selepas dipujuk komposer dan penulis lirik lagu nyanyiannya "Mungkin Saja" iaitu Kunci Demak, sebelum ini dia berhasrat untuk menarik diri kerana merasakan dirinya kurang kemampuan sebagai penyanyi.[30][31][32] Kegagalan "Mungkin Saja" ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak mematahkan semangat Janna untuk tampil dengan lagu kedua.[33][34] Beliau bergandingan bersama Ashraf Muslim dalam drama Biar Aku Jadi Penunggu yang bersiaran di Slot Akasia TV3 yang mana beliau memegang watak sebagai Iffat Hamani.

Janna membuat kemunculan sulung di layar lebar menerusi filem Kimchi Untuk Awak arahan Michael Ang yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.[35] Penggambaran filem yang diadaptasi daripada novel karya Suri Ryana dengan judul sama ini juga dijalankan di Seoul, Korea Selatan. Turut membintangi filem ini ialah Aiman Hakim Ridza, Emma Maembong dan Natasha Elyzza, filem ini mengisahkan tentang Bella, seorang pelajar di universiti Korea Selatan menghabiskan cuti semesternya di Malaysia. Hidup Bella menjadi kucar-kacir sejak insiden dia terlanggar seorang lelaki kacukan Melayu Korea bernama Danial Lee Jae Hwan. Filem ini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 30 Mac 2017, beliau memegang watak antagonis bernama Zara.[36]

Beliau sekali lagi digandingkan bersama Saharul Ridzwan dalam supertelefilem bertajuk Bo Bajet arahan Bak Chee Hong. Untuk menjayakan watak sebagai inspektor polis, Janna memotong rambutnya agar ia menjadi pendek seperti rambut lelaki.[34] Filem televisyen ini akan ditayangkan di Astro First Eksklusif (Saluran 480) atau Astro On Demand bermula 27 April 2017.[37] Janna dijangka bakal melancarkan single terbaru bertajuk "Lena Yang Tenang" hasil nukilan penyanyi muda yang sedang meningkat naik Ippo Hafiz dan liriknya ditulis sendiri oleh beliau.[38] Filem kedua lakonannya, Kerja Kahwin mula ditayangkan di pawagam pada 20 Julai 2017.[39] Projek beliau seterusnya ialah drama 60 episod berjudul Dia, hasil kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia. Dalam drama berkenaan, beliau bersama Izara Aishah digandingkan bersama pelakon Indonesia, Irwansyah.

Bermula 27 November 2017, Janna digandingkan bersama Fattah Amin menerusi drama My Coffee Prince yang diadapasi daripada drama Korea Selatan 2007 yang menjadi kegilaan ramai, The 1st Shop of Coffee Prince. Ia disiarkan menerusi slot MegaDrama di Astro Ria bermula tarikh tersebut, beliau memegang watak gadis tomboi bernama Dani.[40] Beliau juga menyanyikan lagu tema drama ini, bertajuk "Akan Bercinta".[41]

Bermula 7 Januari 2018, Janna bersama Ajak Shiro menjadi pengacara rancangan hiburan TV3, Melodi memggantikan Awal Ashaari dan AG yang telah mengacarakan rancangan itu selama 4 tahun.[42] Janna berlakon di samping Fikry Ibrahim dalam telefilem Enam/6 yang memulakan tayangan perdana di Astro Citra dan Astro Mustika HD pada 28 April 2018.

Beliau menjayakan watak Ana Julia dalam drama Isteri Untuk Diiktiraf yang dibintangi oleh Redza Rosli dan Elvina Mohamad, yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama terbitan Dear Novels. Ia memulakan siaran di RTM TV1 pada 16 Mei 2018.[43]

Rujukan

WikiPedia: Janna_Nick http://www.mynewshub.cc/hangat/210366/ http://www.mynewshub.cc/utama-sensasi/206350/ http://www.mynewshub.cc/utama-sensasi/instagram-di... http://www.agendadaily.com/Hiburan/drama-syurga-nu... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/instagram... http://dramamovieon9.blogspot.com/2017/10/biodata-... http://www.budiey.com/tv3-tv9-lancar-kempen-ramada... http://www.encikshino.com/ketahui-biodata-janna-ni... http://www.imdb.com/name/nm9101169/ http://www.jiwarosak.com/biodata-dan-gambar-janna-...