Sejarah Kuala_Lumpur

Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak (kiri) dan Sungai Klang (kanan) pada tahun 2014
Rencana utama: Sejarah Kuala Lumpur
Gabungan sejarah

 Selangor 1857–1974
 Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1895–1942; 1945–1946
 Empayar Jepun 1942–1945
Malayan Union 1946–1948
 Persekutuan Tanah Melayu 1948–1963
 Malaysia 1963–kini

Sejarah moden Kuala Lumpur bermula pada 1850-an, ketika ketua Melayu Klang, Raja Abdullah,[14] mengupah buruh Cina untuk membuka lombong bijih timah yang baru dan lebih besar.[15] Mereka tiba di kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang untuk membuka lombong di Ampang.[15] Sungai Gombak pernah dikenali sebagai Sungai Lumpur, maka nama asal untuk bandar ini ialah "Pengkalan Lumpur", lama-kelamaan diberi nama Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, lombong timah dibuka di Pudu dan Batu.

Lombong-lombong ini berkembang menjadi kawasan perdagangan yang semakin diterima sebagai bandar sempadan. Banyak sekali kemelut yang dialami Kuala Lumpur yang masih muda itu, terutamanya Perang Saudara Selangor, di samping diserang wabak penyakit, kejadian kebakaran dan banjir.[15] Sekitar 1870-an, Kapitan Cina Kuala Lumpur, Yap Ah Loy menjadi pemimpin yang bertanggungjawab memastikan ketahanan diikuti pertumbuhan sistematik bandar ini. Beliau mula membangunkan Kuala Lumpur dari sebuah tempat kecil yang tidak dikenali menjadi bandar perlombongan yang giat sekali ekonominya.[16] Pada tahun 1880, ibu negeri Selangor berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur yang jauh lebih strategik.[17]

Pembinaan semula

Kapitan Yap Ah Loy pengasas dan pemacu kota Kuala Lumpur moden.[18]

Pada tahun 1881, berlakunya malapetaka kebakaran besar disusuli banjir besar, memusnahkan struktur kayu atap bangunan-bangunan Kuala Lumpur. Residen British di Selangor, Frank Swettenham, bertindak dengan mewajibkan semua bangunan dibina daripada batu-bata dan jubin sahaja.[17]

Kapitan Yap Ah Loy telah membeli hartanah di sebuah tanah pinggiran kota dan menyarankan penghasilan batu-bata untuk pembinaan semula kota Kuala Lumpur. Tempat tersebut kini dikenali Brickfields. Kesannya, bangunan-bangunan atap daun nipah telah digantikan batu-bata. Kebanyakan bangunan batu-bata baru menyerupai rumah kedai di China Selatan, dengan ciri-ciri "kaki lima" dan juga hasil kemahiran pertukangan kayu Cina, maka menyerlahkan seni bina eklektik rumah kedai tersendiri yang biasa terdapat di rantau ini. Pengangkutan ke bandar ini dipermudahkan lagi dengan landasan keretapi. Selepas itu, Kapitan Yap Ah Loy telah membelanja wang sejumlah $20,000 untuk membina jalan raya. Jalan-jalan tersebut merangkumi Jalan Ampang (Ampang Road), Jalan Pudu (Pudoh Road), Jalan Petaling (Petaling Street) yang kini merupakan arteri utama kota KL. Sekolah pertama Kuala Lumpur juga diasaskan sekitar masa ini oleh Kapitan Yap Ah Loy. Sebagai Kapitan Cina, kuasa dikurniakannya setaraf pembesar Melayu, beliau menggubal pelbagai undang-undang dan peraturan dan menyusun semula struktur penempatan.

Di samping itu, perkilangan tepung ubi dibangunkannya di Jalan Petaling. Sultan Selangor Sultan Abdul Samad mempunyai kepentingan dalam projek tersebut. Beliau juga telah menegakkan keamanan dan ketenteraman kota dengan bantuan hanya 6 orang polis. Kapitan telah membina penjara besar yang mampu memuatkan 60 tahanan pada suatu masa.[19] Beliau juga menggalakkan orang Melayu berusaha padi di sekitar kota untuk menampung pembangunan kota. Dengan inilah, asas yang kukuh telah disediakan untuk pembangunan pesat Kuala Lumpur berikutnya. Berikutan kepesatan pembangunan pada 1890-an, maka wujudnya sebuah Lembaga Kebersihan (Sanitary Board). Pada tahun 1896, kejayaan Yap Ah Loy membangun kota menyebabkan Kuala Lumpur dipilih sebagai ibu negara Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru. Kuala Lumpur turut dinamakan ibu negara Persekutuan Malaysia yang berdaulat.[20]

Perang Dunia Kedua

Tentera Jepun membersihkan jalanan Kuala Lumpur ketika Perang Dunia II.

Pelbagai komuniti berlainan keturunan mencari tempat tinggal di merata Kuala Lumpur. Kaum Cina menetap di sekitar pusat perdagangan Medan Pasar (Market Square) di timur Sungai Klang, ke arah Pekan Cina (Jalan Petaling). Kaum Melayu, Chettiar India, dan India Muslim pula menetap di sepanjang Java Street (kini Jalan Tun Perak). Padang yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka, merupakan pusat pejabat pentadbiran British.[15]

Ketika Perang Dunia Kedua, Kuala Lumpur ditawan oleh tentera Jepun pada 11 Januari 1942 dan menguasainya bersama seluruh Tanah Melayu sehingga 15 Oktober 1945, apabila panglima besar Tentera Kawasan Ketujuh Jepun di Singapura dan Tanah Melayu, Seishirō Itagaki, menyerah kalah kepada pentadbir British selepas pengeboman atom Hiroshima dan Nagasaki.[21] Kuala Lumpur meredah zaman peperangan, kejatuhan nilai getah dan timah dan zaman darurat ketika Tanah Melayu berdepan dengan pemberontakan komunis.[17] Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu merdeka dari pemerintahan British.[22] Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Peristiwa 13 Mei dan selepasnya

Tanggal 13 Mei 1969 menyaksikan salah satu rusuhan kaum di Malaysia yang meletus antara kaum Melayu dan Cina di Kuala Lumpur.[23]. Rusuhan ini menyebabkan 196 orang terkorban,[23] lantas menyebabkan pembaharuan besar dalam dasar ekonomi negara untuk keadilan sosial yang menyeluruh.

Kuala Lumpur mencapai status bandar raya pada tahun 1972,[24] menjadikannya petempatan pertama di Malaysia yang dikurniakan status itu sejak mencapai kemerdekaan. Pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan,[25] lalu menyerahkan status ibu negeri Selangor kepada Shah Alam pada tahun 1978.[26]

Pada 14 Mei 1990, Kuala Lumpur menyambut 100 tahun kerajaan tempatannya dengan memperkenalkan lagu dan bendera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tahun 1998, sebuah pergerakan politik yang dikenali sebagai Reformasi bergiat di bandaraya ini,[27] berikutan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di samping mencetuskan berkali-kali perarakan bantahan sehingga tahun 1999, yang mana para penyokong Anwar menyesakkan jalan-jalan untuk menggesa pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan, antara lainnya.[27]

Pada 1 Februari 2001, Putrajaya diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dan juga pusat kerajaan persekutuan Malaysia.[28] Fungsi-fungsi pentadbiran dan kehakiman kerajaan beralih dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Namun begitu, Kuala Lumpur masih mengekalkan fungsi perundangan,[29] dan juga kekal sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong.[30]

Rujukan

WikiPedia: Kuala_Lumpur http://www.theage.com.au/news/take-five/top-five-w... http://army.gov.au/news/armynews/special_elements/... http://english.peopledaily.com.cn/200505/04/eng200... http://english.peopledaily.com.cn/200609/02/eng200... http://www.a1gp.com/(S(1i3rbrmttvedn03utuqdy155))/... http://www.adherents.com/adhloc/Wh_193.html http://www.answers.com/topic/democracy-novel-2 http://business.asiaone.com/Business/SME+Central/D... http://www.asiaweek.com/asiaweek/asiacities/kualal... http://malaysiahotelnews.blogspot.com/2006/10/thre...