Kerjaya Mamat_Khalid

1998–2005: Kerjaya awal dan filem pertama

Penglibatan sulung beliau dalam industri perfileman Malaysia adalah apabila beliau mula-mula mencadangkan sebuah siri televisyen yang mengisahkan legenda Puteri Gunung Ledang. "Pada mulanya, saya bercadang menjadikannya projek kecil-kecilan untuk stesen televisyen ntv7 dalam bentuk bersiri. Saya cuba memecahkan projek itu kepada 20 episod yang bukan saja dimuatkan dengan cerita hikayat Melayu lama PGL, malah sarat dengan hikayat lain seperti Badang Pahlawan Gagah dan sebagainya." Bagaimanapun, Enfiniti Productions yang menerima cadangan Mamat itu menukarkannya menjadi sebuah filem untuk tayangan pawagam, arahan Saw Teong Hin yang dibintangi oleh Tiara Jacquelina dan M. Nasir.[7] Filem Puteri Gunung Ledang yang menelan belanja lebih RM 16 juta, iaitu filem Malaysia yang paling mahal dalam sejarah,[8] sungguhpun dilaporkan tiketnya cepat dijual habis, namun hanya mampu mengaut hasil RM 2.90 juta sejak keluar pada bulan Ogos 2004.[9] Namun demikian, filem ini turut menikmati tayangan khas di festival filem luar negara, iaitu di Venice[10] dan di Los Angeles.[11]

Pada tahun 2003 juga, Mamat menjadi pengarah filem buat kali pertama, iaitu filem komedi Lang Buana yang dibintangi oleh kumpulan Senario. Mengikut penerbit eksekutif Grand Brilliance ketika itu, Lazizah Ahmad, filem Lang Buana memakai 'formula yang serba berlainan' seperti yang dicadangkan oleh Mamat yang ingin cerita yang lebih mencabar.[5] Filem yang menelan belanja RM 1.76 juta ini mengaut kutipan sebanyak RM 1.79 juta daripada 27 buah pawagam.[12]

Minatnya terhadap muzik rock diakui mengilhamkan beliau untuk menulis dan mengarah filem Rock pada tahun 2005.[2] Mengikut satu ulasan, Mamat dikatakan ingin menyampaikan mesej mengenai dilema yang dihadapi ramai pemuzik berbakat pada zaman kegemilangan rock 1980-an: "Itu yang cuba Mamat ketengahkan menerusi watak Zack (lakonan Hasnul Rahmat). Anak muda yang berjaya meraih trofi gitaris terbaik ini terpaksa memilih antara memenuhi kemahuan keluarga, kawan dan teman wanita."[13] Filem inilah yang mengurniakan anugerah pertama Mamat daripada Festival Filem Malaysia, iaitu untuk Lakon Layar Terbaik.

2006–2013: Kejayaan dan Hantu Kak Limah Balik Rumah

Pada tahun 2006, Mamat membuat penampilan sebagai juri jemputan di Akademi Fantasia,[14] biarpun tidak dikenali memegang sebarang peranan dalam industri muzik selain menjadi pengarah muzik dalam filem. Pada tahun yang sama, beliau kembali menghasilkan filem drama melalui Man Laksa yang memberikan dua pencalonan Festival Filem Malaysia.[15] Di samping itu, beliau juga diberi kepercayaan menulis skrip untuk filem Tipah Tertipu The Movie arahan Ahmad Idham lakonan kumpulan Ruffedge dan Intan Ladyana.[16][17] Beliau mencuba genre komedi seram menerusi filem Zombi Kampung Pisang, filem buatan Malaysia pertama yang menampilkan puaka zombi (mayat hidup).[18]

Ketika memberi ucapan semasa Anugerah Skrin selepas dinobat Pengarah Filem Terbaik Anugerah Skrin untuk filem Kala Malam Bulan Mengambang

Mamat turut mencabar diri dengan membikin sebuah filem hitam putih pada abad ke-21, iaitu Kala Malam Bulan Mengambang (2008), sebuah filem noir yang dibintangi Rosyam Nor dan Umie Aida. Biarpun dilaporkan kurang mendapat sambutan penonton walaupun dihujani ulasan positif,[19] namun filem ini berjaya merangkul lima anugerah di FFM, termasuk Filem Cereka Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik.[20] Mamat membuat kemunculan khas dalam filem My Spy arahan Afdlin Shauki.

Filem Estet arahan Mamat keluar pada tahun 2010, menceritakan kisah hubungan antara orang Melayu dan India di sebuah perkampungan getah, sebagai azamnya untuk memaparkan keeratan persaudaraan sesama kaum di Malaysia melalui filem.[21] Sungguhpun mendapat pujian pengulas filem, namun kutipannya di pawagam agak mengecewakan dengan hanya RM 350,000 daripada 47 buah pawagam.[22] Meskipun begitu, Mamat sekali lagi merasai kejayaan besar selaku sutradara apabila Hantu Kak Limah Balik Rumah menjadi filem tempatan kedua tertinggi kutipan kasarnya di negara dengan RM7.9 juta daripada 39 buah pawagam, mengekori filem Ngangkung sahaja.[22]

Mamat juga sedang mengusahakan filem animasi pertamanya, berjudul Kelip-Kelip yang dilaporkan menerima khidmat lakonan suara Datuk Siti Nurhaliza.[23] Filem kelapan arahan beliau, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, kesinambungan daripada Hantu Kak Limah Balik Rumah ditayangkan di pawagam pada 7 Februari 2013, dengan mengekakan sebahagian besar pelakon asalnya termasuk Awie dan Delimawati serta penambahan beberapa pelakon baru termasuk Ezlynn dan Rashidi Ishak. Dengan kos pembikinan sebanyak RM1.65 juta, filem ini mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM5.89 juta.[24][25]

2014–kini: Apokalips X dan projek filem terkini

Pada 3 April 2014, filem Apokalips X yang menjadi filem cereka sains fantasi pertama arahan beliau memperlihatkan Mamat lari dari kebiasaan dari filem-filem terdahulunya sekaligus mencuba sesuatu yang berbeza dari filem Melayu Malaysia.[26] Filem ini menggunakan 70 peratus imej janaan komputer (CGI) dan menggambarkan keadaan Malaysia pada 2046.[27][28] Walau bagaimanapun, Apokalips X merupakan kegagalan komersial dan hanya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM 253,446.[29] Beliau kemudiannya mengarahkan filem komedi jenayah Amir dan Loqman Pergi ke Laut lakonan Shuib Sepahtu dan Shuk Balas.[30]

Pada tahun 2015, Mamat melancarkan tiga filem arahan serentak, komedi seram Rumah Pusaka Di Simpang Jalan,[31] komedi gelap Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh.[32] dan komedi sejarah Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium[33] yang kedua-duanya menampilkan Usop Wilcha yang sebelum ini pernah bekerja dengan beliau menerusi beberapa filem terdahulu.

Filem arahan beliau, Lebuhraya Ke Neraka,[34][35] merupakan filem pertamanya yang bergenre kerohanian dan juga filem pertamanya yang tidak mengetengahkan genre komedi.[36] Ditayangkan pada 4 Mei 2017, ia berkisarkan sekumpulan remaja yang dibawa ke alam barzakh atau halusinasi dalam alam koma semasa berkonvoi merentas desa. Filem ini mengambil masa 6 tahun untuk disiapkan.[37][38]

Pada 8 Jun 2017, Mamat muncul dengan supertelefilem arahannya, 16 Puasa yang dibintangi oleh Sabri Yunus, Bell Ngasri, Aziz M. Osman dan Jue Aziz dan bersiaran di Astro First Eksklusif. Ia mengisahkan kisah sekumpulan kawan baik di sebuah kampung yang ponteng puasa dan menyembunyikan aktiviti mereka daripada pengetahuan isteri masing-masing. Mereka juga menetapkan jadual siapa yang akan membeli makanan di pekan dan kemudian makan di tempat-tempat terlindung. Telefilem ini juga diselitkan dengan adegan sinis dan memperlihatkan Mamat yang dikatakan menyidir orang yang suka ponteng berpuasa,[39] menurutnya, jalan cerita tersebut dicipta untuk memberi kesedaran kepada umat Islam yang mencari alasan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan.[40] Bagaimanapun, Mamat meluahkan perasaan kecewanya apabila 16 Puasa "bocor" di internet hingga dijual dalam bentuk DVD, tetapi beliau berbangga kerana telefilem itu mendapat sambutan daripada penonton.[41][42]

Pada 19 Oktober 2017, Mamat menjalani penggambaran filem Hantu Kak Limah 3, kesinambungan daripada dua siri filem Hantu Kak Limah. Filem ini masih mengekalkan barisan pelakon asal termasuk Awie dengan penambahan pelakon baru termasuk Zul Ariffin dan Uqasha Senrose. Mamat mengakui perubahan pada filem ini tidak akan disedari penonton kerana dikaburi jenaka.[43][44] Dalam temuramah bersama Astro Gempak pada November 2017, Mamat mengakui bersedih atas kehilangan tiga pelakon penting dalam siri filem Hantu Kak Limah—Zami Ismail, Azwan Annuar dan Man Kadir. "Tanpa kita sedar, tiga pelakon penting filem Hantu Kak Limah telah tiada namun filem ini tetap akan diteruskan dan saya harap ia akan menjadi filem yang paling lawak pernah saya hasilkan."[45] Ditayangkan pada 9 Ogos 2018, Hantu Kak Limah 3 menerima ulasan positif dan bercampur-campur daripada pengkritik dan telah meraih kutipan tertinggi sebanyak RM27.5 juta dalam masa 15 hari di seluruh negara, sekaligus menjadikannya sebagai filem dengan kutipan terbanyak di Malaysia.[46][47]

Mamat dijangka bakal muncul dengan filem terbaru arahannya, Manaf Karaoke, namun tarikh tayangan filem itu masih belum diumumkan.[48]

Rujukan

WikiPedia: Mamat_Khalid http://english.astroawani.com/entertainment-news/f... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/apokalips... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/husin-mon... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/manap-kar... http://www.astroawani.com/video-hiburan/16-puasa-s... http://tempurungpecah.blogspot.com http://www.budiey.com/filem-zombi-kampung-pisang-k... http://www.calmille.com/news/?p=708 http://www.filemkita.com/filem/t/tipah_tertipu_01.... http://www.gempak.com/artikel/7486/hantu-kak-limah...