Sejarah Pasukan_bola_sepak_kebangsaan_Malaysia

Zaman kegemilangan

Pra Malaysia

Tunku Abdul Rahman dengan pasukan bola sepak Malaya berserta Piala Merdeka pada tahun 1958.Pemenang musim pertama Piala Borneo pada tahun 1962, pasukan bola sepak Borneo Utara, setahun sebelum penggabungan bagi membentuk Malaysia.

Sebelum terbentuknya Malaysia, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak, Tanah Melayu dan Singapura diwakili oleh pasukan kebangsaan masing-masing. Pasukan bola sepak Malaya dan Singapura sering bertanding di beberapa kejohanan besar pada era itu seperti Pestabola Merdeka. Pasukan bola sepak Borneo Utara dan Sarawak pula bertanding di Piala Borneo iaitu kejohanan yang melibatkan tiga negara iaitu Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Daripada keempat-empat pasukan tersebut, pasukan Malaya merupakan antara pasukan terkuat di Asia pada awal 1950-an sehingga 1960-an bersama-sama dengan pasukan bola sepak kebangsaan Korea Selatan. Pencapaian terbaik Malaya ialah berjaya memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia setelah menewaskan Vietnam Selatan 4-1. Pasukan ini memasyhurkan nama-nama pemain seperti Abdul Ghani Minhat (gelaran "Raja Bola"), Arthur Koh, G. Govindaraju, Robert Choe, Edwin Dutton dan Stanley Gabriel.[9]

Pasca Malaysia

Perlawanan pertama pasukan bola sepak Malaysia diadakan di Stadium Merdeka pada 8 Ogos 1963 dengan gabungan pemain dari Malaya dan Singapura.[r 1] Pada perlawanan itu, Malaysia tewas 3-4 kepada Jepun.[10] Pasukan ini terus menggunakan gabungan pemain dari Singapura dan Semenanjung Malaysia sehinggalah Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada 1965. Sejak itu pasukan ini hanya menggunakan pemain dari Semenanjung Malaysia kerana kekangan pada masa itu untuk ke Malaysia Timur. Hanya pada tahun 1977 barulah FAM menghantar pencari bakat ke Malaysia Timur.[11][12] Pada 1971, James Wong yang berasal dari Sabah merupakan pemain pertama dari Malaysia Timur terpilih untuk mewakili Malaysia.[13] Senarai itu diteruskan oleh James Yaakub dari Sarawak pada 1977.

Kegemilangan pasukan ini berterusan dengan para pemain ternama seperti Namat Abdullah dan Shaharuddin Abdullah, Wong Fook Chuan, N. Thanabalan, Zulkifli Norbit dan Abdullah Nordin.[9] Malaysia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dengan menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina sepanjang pusingan kelayakan. Dua tahun kemudian, Malaysia mengulangi pencapaian pada 1962 apabila sekali lagi memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran selepas menewaskan Korea Utara 2-1. Kejayaan pasukan Malaysia berterusan apabila layak berturut-turut ke Piala Asia pada 1976 dan 1980.

Pada zaman ini pasukan bola sepak memperlihatkan peningkatan satu generasi pemain lagenda, diketuai oleh penyerang kilat Mokhtar Dahari, pasangan pertahanan Santokh Singh dan Soh Chin Aun (dikenali sebagai pasangan pertahanan terbaik di Asia pada 70-an) dan R. Arumugam, digelar sebagai "Spiderman" kerana ketangkasannya menjaga gawang gol.

Selepas itu, Malaysia sekali lagi layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow di mana munculnya gandingan Hassan Sani dan James Wong tetapi kerajaan Malaysia memboikot Sukan Olimpik 1980 kerana membantah pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan. Ini menyebabkan pasukan bola sepak Malaysia tidak dapat beraksi pada kejohanan tersebut. Namun pasukan kebangsaan masih lagi dapat menghasilkan pemain berkualiti seperti "pemain pertama menjadi pemain pertahanan "overlapping" di dunia, Serbegeth Singh (atau Shebby Singh seperti dikenali sekarang), Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan Lim Teong Kim yang telah bermain untuk Hertha Berlin di Jerman pada tahun 1988.[14]

Kegemilangan dan kecemerlangan pasukan ini dilihat terhenti bagai runtuhnya sebuah bangunan kad pada 1994 kerana berlakunya rasuah terbesar yang melanda bola sepak Malaysia.[perlu rujukan] Ramai tonggak utama pasukan Malaysia yang terlibat di dalam skandal rasuah. Ada juga pemain berprofil tinggi seperti Azman Adnan dan Khairul Azman Mohamed memberi kesinambungan kepada pasukan bola sepak kebangsaan, tetapi masih tidak dapat menyaingi kehandalan pemain-pemain sebelum mereka.

Rekod 1972–1985

Dari tahun 1972, Mokhtar Dahari dianggap sebagai pemain bola sepak legenda untuk pasukan Malaysia kerana dia menempah tempat sebagai salah satu pemain terbaik di Asia. Persatuan Bola Sepak Malaysia berkata Mokhtar Dahari ialah penjaring terbanyak di Asia dengan menjaringkan 175 gol. Walau bagaimanapun, FIFA, AFC dan IFFHS menafikan keputusan itu kerana tidak ada bukti mendakwa dan berkata pemain itu sahaja menjaringkan 5 gol dalam 20 perlawanan. FIFA berkata "rekod tertinggi bagi pasukan Malaysia hanya berjaya menjaringkan lebih kurang 110 gol dalam perlawanan antarabangsa dari tahun 1972 sehingga 1985, tetapi ia masih tidak mungkin bagi pemain untuk menjaringkan 175 gol". Oleh itu, Mokhtar Dahari tidak diiktiraf oleh FIFA untuk menjadi penjaring terbanyak dalam bola sepak Asia.

Zaman Kejatuhan

Pada dekad 2000-an menampakkan kelibat Muhamad Khalid Jamlus (seorang pemain percubaan dengan Eintracht Frankfurt), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (pernah sekali bermain untuk RC Strasbourg) dan Indra Putra Mahayuddin, bersama-sama dengan pemain lain, tetapi walaupun banyak berhubung dengan pasukan Eropah, masih lagi gagal untuk menjana minat di dalam bola sepak kebangsaan.

Kemerosotan pasukan kebangsaan Malaysia datang bersama-sama dengan kemerosotan liga tempatan. Banyak peminat Malaysia menyalahkan skandal rasuah pada tahun 1994 sebagai satu pemangkin, tetapi populariti langganan TV juga melarikan kebanyakan peminat bola sepak Malaysia daripada siaran langsung perlawanan tempatan ke perlawanan Eropah yang berprofil tinggi. Dengan kekurangan minat dan dana, bola sepak kebangsaan Malaysia sekarang ini masih berbatu jauhnya jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan bola sepak pada 1970-an dan 1980-an.

Sungguhpun begitu, pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia B-23 tahun telah memberikan sinar harapan apabila berjaya memenangi pingat emas untuk Malaysia selepas mengalahkan Vietnam 1–0 walaupun menjadi pasukan underdog (bukan pilihan) pada temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-25 di Vientiane, Laos. Dengan kemenangan ini, FAM telah menaiktaraf pasukan ini menjadi pasukan kebangsaan.

Era Allan Harris

Pada bulan Disember tahun 2000, Allan Harris telah dilantik sebagai jurulatih skuad bola sepak Malaysia menggantikan tempat Claude Leroy, jurulatih dari Perancis. Allan Harris bukan nama yang begitu asing dalam persada bola sepak antarabangsa. Beliau merupakan pembantu kepada Terry Venables ketika mengendali skuad Barcelona dan baginya mengendalikan skuad bola sepak Malaysia bukanlah sesuatu tugas yang begitu sukar. Setelah beberapa tahun mengendali skuad kebangsaan Malaysia, beliau terpaksa akur bahawa mengendali skuad kebangsaan Malaysia bukanlah semudah yang beliau sangkakan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaruh harapan yang begitu tinggi terhadapnya. Dalam pada itu, beliau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pemain-pemain yang mempunyai pengalaman bermain di luar negara. Beliau juga ditugaskan untuk mengendali skuad bawah 23 tahun dan segala pembangunan pemain-pemain remaja diletakkan atas kendalian beliau.

Beliau berjaya membantu skuad Malaysia mendapat pingat perak dalam kejohanan Sukan SEA pada 2001, namun media tempatan begitu jelas mempertikaikan kredibiliti beliau sebagai seorang jurulatih professional. Kritikan tersebut telah membebankan lagi tugas beliau selaku jurulatih skuad bola sepak Malaysia dan akhirnya kontrak beliau telah ditamatkan pada 2004, setelah Malaysia tewas kepada China 0-4 dalam kelayakan Piala Dunia 2006.

Beliau sempat memberikan komen terakhirnya kepada wartawan tempatan dengan menyelar pemain-pemain Malaysia yang terlalu sukar untuk dikendalikan kerana mereka seperti tidak tahu untuk menilai kasut yang mana lebih sesuai untuk dipakai ketika bermain di padang-padang tertentu.

Era Bertalan Bicskei

Selepas pemergian Allan Harris pada tahun 2004, FAM telah mencadangkan seorang pengganti kepada Harris iaitu Bertalan Bicskei, bekas penjaga gol dan jurulatih kebangsaan Hungary, pada 1 Julai 2004. Jurulatih seperti Bob Houghton dan Dragoslav Stepanovic telah menjadi calon untuk mengisi tempat selaku ketua jurulatih pasukan Malaysia sebelum FAM akhirnya telah bersetuju mengambil Bicskei.

Bicskei telah membawa pasukan Malaysia meraih tempat ketiga pada Piala Tiger 2004, walaupun mempunyai satu pasukan yang dianggap "tidak cukup kuat" oleh media tempatan. Media tempatan tidak bersetuju dengan pemilihan Mohd Amri Yahyah dan Muhamad Khalid Jamlus, untuk diserapkan ke dalam skuad Malaysia. Walau bagaimanapun, kedua-dua pemain yang dipilih Bicskei ini menunjukkan kemampuan mereka apabila Khalid berjaya menjadi penjaring kedua terbanyak kejohanan di belakang penyerang Indonesia, Ilham Jaya Kesuma manakala Amri menjadi tonggak penting dalam kemenangan Malaysia ke atas Thailand dan Indonesia.

Semasa perlawanan persahabatan menentang Singapura di Pulau Pinang pada 8 Jun 2005, Bicskei telah melempar botol ke padang sebelum menerjah salah seorang pemain Singapura atas alasan cuba melindungi pemainnya dan tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan oleh pengadil. Pada September 2005, kontrak Bicskei telah ditamatkan FAM. Ini kerana Bicskei cuba mendapatkan lebih banyak perlawanan persahabatan untuk kemajuan pasukan Malaysia, tetapi FAM mempunyai pendapatnya sendiri.[15]

Era Norizan Bakar

Norizan Bakar menjadi ketua jurulatih pasukan Malaysia selepas tamatnya kontrak Bertalan Bicskei. Sepanjang menjadi ketua jurulatih Malaysia, Norizan dikecam hebat oleh media tempatan atas kegagalan pada kejohanan yang disertai skuad Malaysia. Walau bagaimanapun, Norizan sempat membawa Malaysia memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 2005 selepas menewaskan Indonesia 1-0 dan ke separuh akhir Piala ASEAN 2007, yang mana Malaysia tewas menerusi sepakan penalti oleh Singapura. Jawatan Norizan selaku ketua jurulatih dilucutkan oleh FAM selepas persembahan memalukan skuad Malaysia pada Piala Asia 2007 yang mana Malaysia tewas 1-5 kepada China, 0-5 kepada Uzbekistan dan 0-2 kepada Iran.

Era B. Sathianathan

Selepas pemecatan Norizan Bakar, B. Sathianathan mengambil alih selaku ketua jurulatih. Meskipun mempunyai reputasi hebat selepas membantu skuad bawah 23 Malaysia menjuarai Pesta Bola Merdeka, B. Sathianathan gagal membawa Malaysia beraksi lebih jauh pada kelayakan Piala Dunia setelah tewas 4–1 dan seri 0–0 dengan Bahrain pada pusingan kelayakan. Pada tahun 2008, B. Sathianathan membawa Malaysia sekali lagi ke peringkat akhir Pestabola Merdeka. Namun Malaysia tumpas menerusi sepakan penalti kepada Vietnam.

Pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2008, FAM mensasarkan Malaysia mara ke perlawanan akhir. Malaysia bermula baik apabila menang 3–0 dengan pasukan kebangsaan Laos. Walau bagaimanapun, Malaysia tumpas 2–3 kepada Vietnam pada perlawanan kedua kerana kesilapan penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias. Malaysia akhirnya tersingkir apabila tewas 3–0 kepada Thailand dan buat kali pertama tersingkir pada peringkat kumpulan sejak 1998. Status Sathia sebagai jurulatih mula menjadi tanda tanya apabila timbul khabar angin yang mengatakan dia akan digantikan dengan Peter Withe. Walau bagaimanapun kontrak Sathia dikekalkan dengan bersyarat dia perlu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam kedudukan FIFA.

Pada kejohanan kelayakan Piala Asia 2011, pasukan Malaysia mengalami kekalahan 0–5 kepada pasukan Emiriah Arab Bersatu. Kekalahan tersebut menyebabkan penyokong mengkritik FAM dan jurulatih Malaysia, B. Sathianathan. Lantas B. Sathianathan mengatakan dia bersedia untuk berundur untuk kemajuan pasukan Malaysia. Dia juga mengkritik Liga Malaysia dengan mengatakan Liga Malaysia bukan kejohanan bola sepak yang sebenar. Akhirnya pada Februari 2009, kontrak Sathia dan pengurus pasukan Soh Chin Aun ditamatkan FAM.[16]

Era K. Rajagopal

Pada April 2009, Datuk K. Rajagopal telah dinamakan jurulatih baru Malaysia menggantikan B. Sathianathan sebagai ketua jurulatih Malaysia. K. Rajagopal juga ialah jurulatih skuad Malaysia di bawah 23 tahun.[17] Perlawanan pertama K. Rajagopal ialah menentang Zimbabwe, yang mana Malaysia menang 4–0.[18] Rajagopal juga melatih Malaysia di dalam dua perlawanan menentang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester United, tewas kedua-dua perlawanan 2–3 dan 0–2. Semasa masanya sebagai jurulatih bawah-23, K. Rajagopal mengetuai Malaysia mendapatkan pingat emas Sukan SEA dan juga mengetuai Malaysia melayakkan ke pusingan kedua Sukan Asia 2010 sebagai salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik selepas jarak waktu 32 tahun.[19][20]Persediaan terarah ke Sukan SEA yang menyaksikan kemenangan ke atas Shanghai Zhong Bang 2-1 dalam perlawanan persahabatan di China dan menang 3-0 ke atas skuad Bawah 23 Singapura, Young Lions 3-0. Pada perlawanan persahabatan dengan pasukan sebaya Indonesia, Malaysia menang 1-0 jaringan Mohd Zaquan Adha.[21]

Era Dollah Salleh

Pada bulan Jun 2014, Dollah Salleh dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang baharu menggantikan Datuk K. Rajagopal yang tidak disambung kontraknya akhir tahun lalu. Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pemilihan itu dibuat selepas FAM mengambil kira tempoh persediaan singkat menjelang Piala Suzuki AFF dan prestasi Dollah ketika mengendali Pahang tahun lalu dan PDRM tahun ini.

Semasa Dollah membimbing skuad kebangsaan untuk pertama kali, kebanyakan peminat bola tempatan tidak meyakini prestasi harimau malaya berikutan keputusan hambar & sering tewas dalam perlawanan persahabatan. Dalam perlawanan persahabatan pertama, skuad negara tewas 1–4 pada Tajikistan. Kemudian tewas 0–3 kepada Syria & 1–3 pada Vietnam. Kebanyakannya mengkritik cara Dollah Salleh memilih pemain yang hanya berdasarkan prestasi lampau & bukan prestasi semasa. Dollah juga dikritik kerana tidak memanggil pemain yang memenangi Anugerah Penyerang Terbaik Kebangsaan, Mohd Nor Farhan Muhammad untuk mewakili negara.

Pada kejohanan AFF 2014, Malaysia diundi dalam kumpulan bersama dengan Myanmar, Thailand dan Singapura yang mana dianggap laluan yang cukup sukar memandangkan Thailand dan Singapura ialah juara bertahan piala AFF. Malaysia memulakan langkah hambar apabila seri 0–0 dengan Myanmar dan tewas 2–3 kepada Thailand di peringkat kumpulan. Ramai yang menyifatkan laluan Malaysia ke separuh akhir seperti sudah tertutup.

Tetapi keputusan tidak dijangka berlaku apabila Malaysia mencipta kejutan menewaskan Singapura 3–1 di Stadium Kallang, Singapura. Ini dibantu dengan kekalahan Singapura kepada Thailand di peringkat kumpulan yang mana mereka tewas 1–2. Perbezaan mata melayakkan Malaysia ke separuh akhir bersama-sama Thailand, Vietnam dan Filipina. Ini merupakan kejayaan manis Malaysia kerana berjaya menundukkan tuan rumah Singapura di tempat lawan.

Pada separuh akhir pertama, Malaysia bertemu Vietnam. Pertemuan ini seperti mengulang semula memori tahun 2010 bila mana Malaysia bertemu lawan yang sama di separuh akhir, iaitu Vietnam. Pada separuh akhir pertama, Malaysia kalah 1–2. Ramai yang menyifatkan perlawanan Malaysia menentang Vietnam di Shah Alam antara yang paling mengewakan kerana barisan pertahanan Malaysia seperti hilang punca dan fokus sehingga mendorong reaksi marah daripada Dollah Salleh. Imej Malaysia juga tercalar kerana berlaku rusuhan di Stadium Shah Alam yang mana penyokong Malaysia bertindak menyerang penyokong Vietnam. Ini disifatkan antara yang mengejutkan peminat bola kerana ia jarang terjadi sebegini pada penyokong tempatan. Malaysia bertandang ke Hanoi yang mana ia juga merupakan satu misi sukar kerana Malaysia memerlukan lebih 2 gol untuk layak ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014. Pada separuh akhir kedua, Malaysia sekali lagi mencipta kejutan apabila menang 4–2 ke atas Vietnam dan layak ke perlawanan akhir dengan agregat 5-3 bertemu Thailand yang menewaskan Filipina 3–0 di Stadium Rajamangala dengan agregat 3–0. Vietnam merupakan tuan rumah bersama Singapura dalam AFF 2014 yang berjaya dikalahkan Malaysia.

Pertemuan Malaysia dan Thailand di Piala AFF 2014 mengembalikan memori Piala Tiger 1996 bila mana Thailand menewaskan Malaysia 1–0 dengan jaringan Kiatisuk Senamuang, yang kini jurulatih Thailand. Ironinya, Malaysia dan Thailand merupakan peserta akhir yang tidak menggunakan khidmat jurulatih import dan pemain naturalisasi. Bahkan kedua-dua jurulatih negara merupakan bekas pemain bolasepak yang mana Kiatisuk pernah beraksi sebagai pemain import untuk pasukan Perlis dan Dollah Salleh sebagai pemain Pahang pada era 90-an. Pada perlawanan akhir pertama, Malaysia tewas 0-2 kepada Thailand di Bangkok. Menyukarkan lagi peluang Malaysia untuk mengecapi Piala AFF 2014 sepertimana pada tahun 2010.

Bagaimanapun, pada perlawanan akhir kedua Malaysia hampir mencipta kejutan apabila mendahului Thailand 3–0 di Bukit Jalil. Yang mana disifatkan peluang semakin cerah kerana Malaysia sudah berada pada agregat 3–2 mengatasi Thailand. Tetapi harapan Malaysia musnah apabila Thailand berjaya memperoleh 2 gol pada penghujung permainan. Ini kerana jika Malaysia memperoleh gol di Bangkok, situasi sudah pasti berbeza kerana kelebihan jaringan di tempat lawan sangat penting untuk perlawanan timbal balik. Malaysia akhirnya akur tewas agregat 3–4 yang mana kesudahannya Malaysia 3, Thailand 2. Tapi perbezaan agregat memusnahkan harapan Malaysia untuk menjuarai kejohanan ini buat kali kedua.

AFF 2014 dianggap perlawanan paling dramatik dalam sejarah pasukan bolasepak Malaysia kerana edisi kali ini Malaysia banyak menciptakan kejutan yang mana tidak dijangka oleh lawan mahupun penyokong tanah air.


Kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010

Juara Piala Suzuki AFF 2010 (biru), kesebelasan utama di Perlawanan Akhir Kedua.

Pada Piala AFF Suzuki 2010, pasukan Malaysia yang diketuai oleh Mohd Safiq Rahim kalah kepada Indonesia 5–1 dalam perlawanan pertama dan seri tanpa jaringan dengan Thailand pada perlawanan kedua. Malaysia bagaimanapun layak ke peringkat separuh akhir selepas membelasah Laos dengan jaringan 5–1, disertai dengan 'bantuan' Indonesia yang membenam Thailand 2–1 semasa perlawanan terakhir peringkat kumpulan A. Di separuh akhir, Malaysia berjaya menewaskan Vietnam 2–0 secara agregat dalam perlawanan timbal balik di Kuala Lumpur dan Hanoi pada 15 dan 18 Disember.[22]

Malaysia melangkah ke perlawanan akhir buat kali kedua sejak 14 tahun dan bakal bertemu dengan Indonesia. Pada 26 Disember 2010 dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 antara pasukan kebangsaan Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, pasukan Malaysia telah membenam pasukan Indonesia dengan tiga gol tanpa balas. Gol-gol telah dijaringkan oleh Safee Sali (2 gol) dan Mohd Ashaari Shamsudin (1 gol). Dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno yang merupakan stadium keramat bagi skuad Indonesia, Malaysia telah ditewaskan dengan jaringan 2–1 namun dengan berbekalkan tiga jaringan sebelum ini, Malaysia berjaya menjuarai Piala AFF buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara dengan agregat 4–2. Kemenangan ini juga telah menamatkan penantian Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki selama 14 tahun. Lalu Harimau Malaya dengan sendirinya dianggap layak dinobatkan kembali sebagai 'raja bola sepak' rantau Asia Tenggara.[23] Ini dikuatkan lagi dengan kejayaannya mempertahan pingat emas di Sukan Asia Tenggara 2011.

Rujukan

WikiPedia: Pasukan_bola_sepak_kebangsaan_Malaysia http://bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=... http://www.bernama.com/bernama/v5/newssport.php?id... http://www.fifa.com/associations/association=mas/f... http://www.fifa.com/associations/association=mas/i... http://www.harimaumalaya.com/ http://www.mysinchew.com/node/13264?tid=14 http://www.nike.com/nikefootball/teams/malaysia?lo... http://www.rsssf.com/tablesm/malay-intres.html http://www.rsssf.com/tablesp/presgold.html#83 http://www.rsssf.com/tablesv/vietnatday.html