Kerjaya Radhi_Khalid

Sebelum memulakan kerjaya lakonan, Radhi memulakan kerjaya awalnya sebagai pelayan restoran. Seterusnya beliau bekerja sebagai model, penari dan emcee. Radhi mendaftarkan dirinya di syarikat penerbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd. sebagai krew filem pada pertengahan 1980-an, dan kemudiannya menjadi Pengurus Produksi. Namun peluangnya terbentang luas apabila ditawarkan watak utama drama Jalan Lain Ke Mekah bersama Wafa Abdul Kadir pada 1994.[6] Beliau kemudian menjadi pembantu pengarah dan pelakon drama bersiri IQ Genius yang mendapat sambutan hangat di kalangan kanak-kanak.[6]

Radhi pernah menghaidiri uji bakat untuk menjadi salah seorang anggota kumpulan Maya Studio yang dikelolakan oleh pelakon dan pelawak Jaafar Onn. Semasa menyertai Maya Studio, Radhi sering mengadakan persembahan tarian untuk siaran TV atau menjadi model pengantin bila Maya Studio diundang mengadakan pameran pengantiin.[6]

Kerjaya lakonannya bermula pada 1986 apabila Radhi ditawarkan membintangi siri sitkom Sophia. Peranan filem beliau hadir pada 1991 menerusi filem Selubung arahan Shuhaimi Baba lakonan M. Nasir, Deanna Yusof dan Ida Nerina.[6]

Radhi juga menyumbangkan suaranya dalam siri animasi Kampung Boy karya kartunis Datuk Lat.[7] Pada 2001, Radhi menyertai barisan pelakon sitkom popular ntv7, Spanar Jaya, beliau memegang watak sebagai Abdulla, seorang pemuda Bangladesh.[8]

Radhi memegang watak sebagai Ali, rakan sekerja dan kepentingan cinta Farah Diba lakonan Erra Fazira dalam filem drama romantik Pasrah arahan Yusof Haslam yang ditayangkan pada 8 Januari 2000.[9]

Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Erik Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Saiful Apek, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.[10]

Dengan membelanjakan RM2 juta,[11][12] Radhi menerbitkan dan mengarah filem pertamanya Raju & Raja pada 2005 di bawah syarikat miliknya, Radhikal Films yang mengisahkan mengenai konflik kehidupan masyarakat India dan Melayu.[5] Bagaimanapun pada 2017, beliau memberitahu filem sulung arahannya tergendala selama lima tahun kerana kekurangan dana dan berharap dapat melihat karya sulungnya itu disiapkan sekaligus ditayangkan untuk tontonan umum.[13] Radhi bersama Tony Eusoff dan Peter Ong terlibat dalam pementasan teater Jalan Impian yang dipentaskan di KLPac pada 13 hingga 17 Julai 2005.[14]

Pada Januari 2011, Radhi menubuhkan syarikatnya Radhikal Films Sdn. Bhd. yang mengkhusukan kepada penerbitan rancangan televisyen dan filem,[15] yang mana beliau berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif. Produksi sulung syarikat ini, Baran diarahkan oleh Michael Ang lakonan Kamal Adli dan Scha Al-Yahya, diikuti oleh Daging Darah diarahkan oleh Mior Hashim Manap lakonan Radhi sendiri, Rozie Rashid, Shahzuan Aiman, Kenchana Dewi, Mazin Siraj, Louisa Chong, Mustafa Kamal, dan Rashidi Ishak.[16]

Beliau menyertai barisan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, Razak Ahmad, Kamal Adli, Julia Ziegler, dan Najwa P. Ramlee beraksi di pementasan teater Asmara Songsang arahan Rahman Adam yang dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 1 dan 2 Mac 2013.[17][18][19]

Radhi menjayakan watak sebagai Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama dalam pementasan teater The LKY Musical yang dipentaskan di Teater Sands, Marina Bay Sands, Singapura pada Ogos 2015.[20][21] Radhi kembali beraksi di pentas teater menerusi Dato' Seri yang diadaptasi dari The Tragedy of Macbeth karya William Shakespeare, ia dipentaskan di KLPac dari 1-5 Jun 2016.[22]

Radhi menjayakan peranan pembantu sebagai Sham Interpol dalam drama adaptasi novel, Cik Serba Tahu yang dibintangi oleh Remy Ishak dan Sari Yanti.[23]

Rujukan

WikiPedia: Radhi_Khalid http://www.budiey.com/teater-dato-seri/ http://www.imdb.com/name/nm1708087/ http://www.karangkraf.com/cmlink/mingguan-wanita/d... http://www.radhikalfilms.com/home.html http://www.radhikalfilms.com/index.html http://says.com/my/entertainment/muzikal-disokong-... http://proquest.umi.com/pqdweb?did=42901498&Fmt=3&... http://www.cinema.com.my/bios/details.aspx?search=... http://www.cinema.com.my/bm/articles/news_details.... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201...