Sejarah Apink

Pra–debut

Pada bulan Februari 2011, A Cube Entertainment mengumumkan pelatih pertama untuk kumpulan baru wanita, Apink, Son Na-eun yang muncul di dalam video muzik kumpulan Beast untuk lagu "Soom" (숨; "Breath"), "Beautiful" dan "Niga Jeil Joha" (니가 제일 좋아; "I Like You the Best") pada lewat tahun 2010.[4] Park Cho-rong yang muncul di dalam video muzik Bahasa Jepun Beast untuk lagu "Shock" kemudiannya menyertai sebagai ketua kumpulan.[5] Juga pada bulan Februari, A Cube mengumumkan Oh Ha-young sebagai ahli ketiga.[6] Pada bulan Mac, Jung Eun-ji diperkenalkan sebagai ahli keempat menerusi akaun Twitter A Cube dengan video dimana beliau menyanyikan lagu Jennifer Hudson bertajuk "Love You I Do".[7] Hong Yoo-kyung juga diumumkan melalui video yang menunjukkan beliau bermain piano.[8] Dua ahli terakhir, Yoon Bo-mi dan Kim Nam-joo diperkenalkan melalui rancangan realiti kumpulan ini, Apink News.[9]

Sebelum kemunculan pertama kumpulan ini, dokumentari Apink News disiarkan menerusi saluran Trend E.[10] Rancangan ini merekodkan proses pelancaran Apink. Episod-episod rancangan ini diacarakan oleh pelbagai selebriti termasuk G.NA, AJ Tan dan Joo Na dari Single G, Juliane, Jay dan Bor Je dari Osicles, Mario, Seung Ho dan G.O dari MBLAQ, Beast, 4Minute, Jinwoon dari 2AM, Sunhwa dan Hyoseong dari Secret.[11][12] Minggu sebelum kemunculan pertama Apink, mereka mengeluarkan iklan televisyen pertama mereka untuk Ceylon Tea.

2011

Kumpulan ini mengeluarkan album mini pertama mereka, Seven Springs of Apink dan video muzik untuk lagu "Mollayo" (몰라요; "I Don't Know") pada 19 April 2011. Album ini mempunyai lima lagu termasuk "It Girl" dan "Wishlist". Apink membuat persembahan pentas pertama mereka menerusi lagu "Mollayo" dalam M! Countdown pada 21 April untuk mempromosi album mereka.[13] Selepas beberapa bulan mempromosi lagu "Mollayo", mereka mula mempromosi lagu "It Girl".[5] Apink juga merekodkan lagu untuk drama Protect the Boss dimana ia dikeluarkan pada bulan September 2011.[14] Pada bulan November 2011, Apink mula merekodkan rancangan realiti bertajuk Birth of a Family bersama kumpulan Infinite.[15]

Kumpulan ini mengeluarkan album mini kedua mereka, Snow Pink pada 22 November 2011 yang menampilkan lagu "My My". Promosi untuk lagu "My My" bermula pada 25 November dalam Music Bank.[16] Juga pada bulan November, Apink menerima anugerah pertama mereka iaitu "Anugerah Rookie Wanita" di Anugerah Muzik Asia Mnet 2011 yang berlangsung di Singapura. Pada bulan Disember 2011, Apink dan Beast mengeluarkan video muzik lagu "Skinny Baby" untuk jenama uniform sekolah, Skoolooks.[17] Pada bulan Januari 2012, mereka menerima tiga lagi "Anugerah Rookie" di Anugerah Hiburan dan Kebudayaan Korea, Anugerah Golden Disk dan Anugerah Muzik Seoul High 1.[18]

2012–2013

Apink mempersembahkan "Bubibu" di Mnet M! Countdown Smile Thailand Southeast Asia pada tahun 2012.

Pada bulan Januari 2012, Apink memenangi anugerah program muzik pertama mereka dalam M! Countdown menerusi lagu "My My".[19] Pada bulan Februari, mereka menerima anugerah "Rookie Tahunan" di Anugerah Carta Gaon pertama.[20] Kumpulan ini membuat persembahan di Festival Muzik Kanada pada bulan Mac 2012.[21] Apink News juga disambung untuk tiga musim.[22] Untuk musim ketiga yang mula disiarkan pada bulan Jun 2012, ahli kumpulan Apink juga menyumbang tenaga sebagai penulis, pengendali kamera dan kerja-kerja penerbitan lain.[23]

Kumpulan ini seterusnya mengeluarkan lagu "April 19" (4월 19일) untuk meraikan ulang tahun pertama mereka. Lagu ini dicipta oleh Kim Jin-hwan dengan lirik ditulis oleh ketua kumpulan, Park Cho-rong.[24] Lagu ini dimasukkan ke dalam album studio pertama mereka, Une Année yang dikeluarkan pada 9 Mei 2012. Kumpulan ini mula mempromosi album ini menerusi penampilan mingguan dalam program muzik dan mempersembahkan lagu "Hush" sepanjang bulan Jun.[25] Mereka terus mempromosi album ini pada bulan Julai menerusi lagu ketiga dari album ini, "Bubibu".

Pada bulan Januari 2013, Apink merekodkan satu lagi lagu bersama Beast untuk mempromosi Skoolooks. Pada 5 Januari semasa konsert AIA K-POP 2013 yang berlangsung di Hong Kong, kumpulan ini mempersembahkan beberapa lagu mereka bersama-sama 4Minute dan Beast.[26] Pada bulan April 2013, Hong Yoo-kyung meninggalkan kumpulan ini untuk memberi tumpuan terhadap pelajaran.[27]

Album mini ketiga kumpulan ini, Secret Garden dan lagu "NoNoNo" dikeluarkan pada 5 Julai 2013.[28] "NoNoNo" merupakan lagu kumpulan ini dengan kedudukan carta tertinggi mereka, ditempat ke–2 dalam carta K-Pop Hot 100 oleh Billboard.[29] Pada bulan November 2013, di Anugerah Muzik Asia Mnet 2013, Apink menerima anugerah Bintang Global Generasi Seterusnya.[30] Pada bulan Disember, Apink berkolaborasi bersama Beast, 4Minute, BTOB, G.NA, Roh Ji-hoon, Shin Ji-hoon dan Kim Kiri untuk mengeluarkan lagu krismas.[31] Pada bulan yang sama, mereka merekodkan lagu bersama B.A.P bertajuk "Mini" untuk Skoolooks.[32] Pada bulan Julai 2013, Apink telah dipilih sebagai duta kehormat untuk Pameran Pelesenan dan Karakter Seoul 2013.[33]

2014

Pada 13 Januari 2014, Apink mengeluarkan lagu "Good Morning Baby" untuk meraikan hari ke–1,000 sejak kemunculan pertama kumpulan ini.[34] Lagu ini menduduki tempat ke–6 dalam carta mingguan Gaon.[35] Album mini keempat mereka, Pink Blossom dan video muzik untuk lagu "Mr. Chu" dikeluarkan pada 31 Mac.[36] Lagu ini menduduki tempat ke–2 dalam carta K-Pop Hot 100 oleh Billboard.[37] Apink memenangi enam trofi program muzik menerusi lagu "Mr. Chu".[38] Lagu ini juga merupakan lagu digital kelapan paling laris pada tahun 2014 menurut carta akhir tahun Gaon.[39]

Apink semasa perjumpaan peminat di Mokdong pada tahun 2014

Pada bulan Jun 2014, Bomi dan Namjoo membentuk sub-unit bernama Apink BnN yang mengeluarkan lagu "My Darling" untuk Projek Ulang Tahun ke–10 Brave Brothers.[40] Lagu "My Darling" kemudiannya dimasukkan ke dalam album mini Apink kelima, Pink Luv. Lagu "Break Up to Make Up" untuk projek A Cube for Season #Sky Blue, menampilkan Eunji dan Huh Gak dikeluarkan pada 8 Julai dan menduduki tempat pertama dalam carta mingguan Gaon.[41]

Pada bulan Ogos, Apink telah dipilih untuk menggantikan Beast dalam rancangan realiti MBC Every1, Showtime.[42] Apink's Showtime pertama kali ditayangkan pada 7 Ogos 2014 sebanyak lapan episod. Rancangan ini mengikuti aktiviti harian Apink.[43]

Apink membuat kemunculan pertama di Jepun menerusi persembahan pada 4 Ogos di Tokyo dan pada 15 September di Osaka dimana 6,000 peminat hadir.[44] Lagu bahasa Jepun pertama mereka, "NoNoNo" juga termasuk versi Jepun untuk lagu "My My" dikeluarkan pada 22 Oktober.[45] Lagu ini menduduki tempat ke–4 dalam carta mingguan Oricon. Lebih daripada 20,000 peminat dilaporkan hadir untuk acara kemunculan pertama mereka yang diadakan di tiga bandar Jepun.[46]

Dari bulan September sehingga November 2014, Apink mengutip dana untuk Yayasan Harapan Seungil untuk membina hospital untuk pesakit ALS.[47] Pada bulan November, kelab peminat dalam talian Apink melepasi 100,000 ahli.[48] Pada 13 November, Apink menerima anugerah Tarian Wanita Terbaik di Anugerah Muzik MelOn ke–6 untuk video lagu "Mr. Chu".[49]

Pada bulan November 2014, kumpulan ini mengeluarkan album mini kelima mereka, Pink Luv serta video muzik untuk lagu "Luv".[50] Lagu ini menduduki tempat pertama dalam carta mingguan dan bulanan Gaon.[51] Apink pertama kali mempersembahkan lagu "Luv" pada 20 November disusuli dengan persembahan dalam Music Bank pada hari berikutnya sebelum album dikeluarkan.[52] Kumpulan ini memenangi tempat pertama dalam ketiga-tiga rancangan muzik Korea terbesar untuk dua minggu berturut-turut menjadikan mereka satu-satunya kumpulan wanita untuk berbuat demikian pada tahun 2014.[53] Selain The Show dan Music Core, mereka juga memenangi triple crown dalam Inkigayo.[54] Mereka mengakhiri tahun dengan memenangi kesemua program muzik pada bulan Disember menerusi lagu "Luv".[38] Dalam ranking akhir tahun Gaon, Apink merupakan kumpulan wanita ketiga terlaris pada tahun 2014.[55]

2015

Pada 10 Januari 2015, Apink menjadi kumpulan pertama untuk memenangi lima anugerah berturut-turut dalam Music Core.[56] Pada bulan yang sama, kumpulan ini menerima anugerah "Digital Bonsang" dan "Persembahan Kumpulan Wanita Terbaik" di Anugerah Golden Disk ke–29, anugerah "Bonsang" dan "Populariti" di Anugerah Muzik Seoul, "Kumpulan Wanita Terbaik" di Anugerah Hiburan dan Kebudayaan Korea dan "Lagu Terbaik pada bulan Disember" di Anugerah K-Pop Carta Gaon. Konsert 'Pink Paradise' diadakan di Dewan Olimpik, Taman Olimpik pada 30 dan 31 Januari.[57] Apink mengeluarkan versi Jepun untuk lagu "Mr. Chu" pada 18 Februari 2015 yang juga mengandungi versi Jepun untuk lagu "Hush".[58] Lagu ini menduduki tempat ke–2 dalam carta mingguan Oricon.[59]

Apink di Anugerah Hanbitsa pada bulan Jun 2015

Pada bulan Februari 2015, Apink disenaraikan dalam Korea Power Celebrity 40 oleh Forbes Korea buat pertama kali dengan menduduki tempat ke–18.[60] Pada bulan yang sama, kumpulan ini telah dipilih sebagai salah satu daripada "3 Artis Baru Terbaik (Asia)" di Anugerah Gold Disc Jepun.[61]

Apink mengadakan konsert luar negara pertama mereka, "Pink Paradise" di Singapura pada 22 Mac.[62] Mereka muncul di Festival Muzik Korean Times yang berlangsung di Los Angeles pada bulan Mei, acara Music Bank di Hanoi, Vietnam dan mengadakan konsert Pink Paradise di Shanghai.[63][64]

Apink mengeluarkan lagu "Promise U" pada 19 April yang ditulis oleh Jung Eun-ji untuk meraikan ulang tahun ke–4 kumpulan ini.[65] Versi Jepun untuk lagu "Luv" dikeluarkan sebagai lagu single ketiga mereka pada 20 Mei bersama-sama lagu "Good Morning Baby".[66] Mereka mempersembahkan lagu ini buat kali pertama di "Girls Award 2015 Spring/Summer" yang berlangsung di Tokyo pada 29 April.[59]

Pada 16 Julai, kumpulan ini mengeluarkan album penuh kedua mereka, Pink Memory bersama-sama lagu "Remember".[67] Pada 22 dan 23 Ogos, kumpulan ini mengadakan konsert kedua mereka, "Pink Island" dimana selepas itu mereka memulakan aktiviti luar negara termasuk perjumpaan peminat di Thailand, konsert jelajah di Jepun dan persembahan konsert MTV World Stage di Malaysia.[68] Pada 26 Ogos, kumpulan ini mengeluarkan album penuh Bahasa Jepun pertama mereka, Pink Season.

Pada bulan November 2015, Apink mengumumkan jejalah konsert pertama mereka di Amerika Utara dan dijadualkan akan membuat persembahan di Vancouver, Dallas, San Francisco dan Los Angeles.[69] Lagu Jepun keempat kumpulan ini, Sunday Monday dikeluarkan pada 9 Disember bersama-sama versi Jepun untuk lagu Petal.[70] Pada akhir tahun 2015, Apink menduduki tempat 10 Teratas di Anugerah Muzik MelOn.[71] Kumpulan ini mengakhiri tahun sebagai kumpulan wanita kedua terlaris pada tahun 2015 menerusi jualan album Pink LUV dan Pink Memory.[72]

2016

Apink memulakan jelajah Amerika Utara mereka pada 5 Januari di Vancouver disusuli dengan persembahan di Dallas, San Francisco dan Los Angeles. Pada bulan yang sama, Apink menerima Bonsang di Anugerah Muzik Seoul dan Disk Bonsang di Anugerah Golden Disk.[73][74] Pada 24 Januari, Apink dijemput untuk menghadiri Anugerah Muzik KKBOX yang berlangsung di Taiwan.[75] Pada 25 Februari, kumpulan ini mengeluarkan video muzik untuk lagu Jepun mereka, Brand New days. Lagu ini merupakan lagu pembuka untuk anime, Rilu Rilu Fairilu ~Yousei No Door~.[76] Kumpulan ini membuat persembahan di Anugerah Filem Asia ke-10 pada 17 Mac.[77] Pada 2 April, kumpulan ini mengadakan konsert mini, "Pink Memory Day" di Singapura.[78] Pada 19 April, Apink mengeluarkan lagu bertajuk "The Wave" yang ditulis oleh Park Cho-rong untuk meraikan ulang tahun kelima mereka bersama-sama sebuah buku bergambar, "Girls' Sweet Repose".[79][80]

Apink di majlis pembukaan Festa Jualan Korea pada bulan September 2016

Apink membuat persembahan untuk MTV Music Evolution di Manila pada 24 Jun.[81] Apink mengadakan jelajah konsert Jepun kedua mereka bermula di Sapporo pada 7 Julai.[82] Mereka membuat persembahan di hadapan 20,000 peminat sepanjang enam konsert di lima bandar. Apink dijadual untuk mengeluarkan lagu Jepun keenam mereka, Summer Time pada 3 Ogos.[83] Untuk mempromosi lagu ini, Apink mengadakan acara pengeluaran di tujuh bandar berlainan dari 1 sehingga 7 Ogos bermula di Fukuoka disusuli dengan Hiroshima, Nagoya, Osaka, Kobe, Tokyo dan Niigata.[84]

Apink mengeluarkan album ketiga mereka, Pink Revolution pada 26 September 2016. Lagu "Only One" (내가 설렐 수 있게) digunakan untuk mempromosi album ini bersama-sama lagu "Boom Pow Love" dan "Ding Dong". Pada hari yang sama, mereka mengadakan persembahan yang disiarkan secara langsung melalui V-live. "Only One" menduduki tempat teratas dalam tujuh carta muzik di Korea beberapa jam selepas lagu ini dikeluarkan. Apink mempromosi "Only One" dan Pink Revolution selama hampir sebulan dan album ini terjual lebih daripada 50,000 salinan di Korea Selatan.[85]

Pada bulan November 2016, Apink memulakan jelajah Asia "Pink Aurora", membuat persembahan di beberapa negara Asia termasuk Taiwan dan Singapura. Plan A Entertainment juga mengumumkan konsert "Pink Party" yang berlangsung di Seoul pada 17 dan 18 Disember. Apink juga kembali ke Jepun untuk mempromosi album Jepun kedua mereka, "Pink Doll," yang dijadual dikeluarkan di Jepun pada 21 Disember. Pada 30 November, Plan A Entertainment mengumumkan melalui Naver bahawa Apink akan kembali pada 15 Disember menerusi album istimewa, Dear. Video muzik untuk lagu utama album, "Cause You're My Star" dimuat naik di laman YouTube. Album ini juga mengandungi versi instrumen dan balada lagu-lagu Apink yang terkenal termasuk "Mr. Chu," "NoNoNo," "Luv" dan "April 19th". [86]

2017

Pada 21 Mac, Apink mengeluarkan lagu single Jepun ketujuh mereka, "Bye Bye". Album mini kedua Eun-ji, The Space bersama lagu utama, "The Spring" dikeluarkan pada 10 April.[87] Pada 19 April, Apink mengeluarkan sebuah lagi lagu peminat bertajuk "Always". Konsert solo pertama Eun-ji berlangsung pada 3 sehingga 5 Jun.[88]

Pada 26 Jun, Pink UP telah dikeluarkan bersama lagu "Five" yang ditulis oleh Shinsadong Tiger. Semasa minggu pertama pengeluaran, Pink UP menduduki tempat teratas dalam Carta Album Gaon, buat pertama kali untuk kumpulan ini sejak album mini Pink Luv. [89] Lagu "Five" menduduki tempat ke–4 dalam Carta Digital.[90]

Rujukan

WikiPedia: Apink http://www.sbs.com.au/popasia/blog/2015/03/03/2015... http://www.allkpop.com/article/2011/04/netizens-di... http://www.allkpop.com/article/2015/10/b1a4-and-a-... http://www.allkpop.com/article/2015/11/a-pinks-cho... http://www.allkpop.com/article/2016/03/a-pink-is-t... http://www.allkpop.com/article/2016/04/a-pink-than... http://www.allkpop.com/article/2016/04/a-pink-to-r... http://www.allkpop.com/article/2016/09/what-did-bo... http://www.allkpop.com/article/2016/11/a-pink-to-r... http://www.allkpop.com/article/2017/04/a-pinks-eun...