Mazhab Islam

Taburan penganut Islam mengikut mazhabCabang dalam Islam

Sunah

Rencana utama: Ahli Sunah Waljamaah

Islam Sunah merupakan kumpulan terbesar dalam Islam (sehingga 90%[8][127]) daripada 1.5 bilion Muslim di dunia). Dalam bahasa Arab, as-Sunnah secara harfiah bermaksud "prinsip" atau "laluan". Al-Qur'an dan Sunnah (contoh kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang direkodkan dalam hadith) merupakan asas utama doktrin Sunah. Sunnah dilihat sebagai penting dalam membantu mentafsirkan Qur'an.[128]

Sunah (atau Sunni) percaya bahawa empat khalifah pertama merupakan pewaris benar kepada Nabi Muhammad s.a.w.; kerana Allah tidak menunjukkan mana-mana ketua tertentu untuk mewarisinya, ketua itu perlu dipilih.[127] Sunah mengakui empat mazhab (aliran pemikiran) utama yang sah: Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali. Keempat-empat mazhab ini menerima kesahihan yang lain dan seorang Muslim boleh memilih mana-mana yang menyenangkannya,[129]. Terdapat juga gerakan ultra-ortodoks di dalam Sunah, contohnya Salafi yang mengambil generasi pertama Muslim sebagai model teladan.[130]

Syi'ah

Rencana utama: Syiah

Syiah membentuk 10–20% Muslim dan adalah rumpun kedua terbesar Islam.[10][9] Mereka percaya dalam kepimpinan Imam dari keturunan Ali bin Abi Talib, yang mengikut kebanyakan Syiah tidak mungkin berbuat salah. Mereka percaya bahawa Saidina Ali yang merupakan sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pewaris sebenar baginda, dan mereka memanggil beliau Imam pertama, menolak keabsahan khalifah Muslim sebelumnya. Bagi mereka, seorang Imam memerintah dengan hak perlantikan ketuhanan dan memiliki "kuasa kerohanian mutlak" di kalangan Muslim, mempunyai kata terakhir dalam hal doktrin dan wahyu.[131][132] Islam Syi'ah mempunyai beberapa rumpun, yang terbesar ialah Syiah Imam Dua Belas (iṯnāʿašariyya), di mana istilah Syiah secara umum lazimnya merujuk kepada kumpulan ini. Walaupun Imam Dua Belas berkongsi banyak amalan teras dengan Sunah, dua rumpun ini tidak bersetuju mengenai taraf kepentingan dan kesahihan sebahagian koleksi hadith. Syiah Imam Dua Belas mengikuti tradisi hukum yang dipanggil fiqh Ja'fari.[133] Kumpulan Syiah lain termasuklah Ismailiyah dan Zaidiyah, yang berbeza dari segi senarai Imam dan kepercayaan teologi.[134]

Kesufian

Rencana utama: Kesufian

Kesufian atau sufisme merupakan satu bentuk pendekatan mistik-astetik terhadap Islam. Dengan memfokuskan lebih pada aspek kerohanian agama, Sufi berusaha untuk memperoleh pengalaman terus dari Allah dengan mengguna pakai "daya gerak hati dan emosi" yang harus dilatih seseorang untuk diguna.[135] Sufisme dan syariat Islam biasanya dianggap menjadi pelengkap, walaupun Sufisme telah dikritik oleh kumpulan Salafi sebagai bidaah tidak wajar. Kebanyakan golongan Sufi, atau tarekat, boleh dikelaskan sebagai sama ada Sunah atau Syiah, walaupun ada yang mengelaskan diri mereka hanya sebagai Sufi.[136]

Lain-lain

Khawarij adalah mazhab yang berasal pada zaman awal Islam. Rumpun Khawarij yang masih hidup ialah Ibadi. Tidak seperti kebanyakan kumpulan Khawarij, Ibadi tidak menganggap Muslim berdosa sebagai kafir. Imam merupakan topik penting dalam kesusasteraan hukum Ibadi, yang mensyaratkan bahawa ketua patut dipilih menurut hanya pengetahuan dan kewarakannya, dan hendaklah disisihkan jika bertindak zalim. Kebanyakan Muslim Ibadi tinggal di Oman dengan sedikit komuniti di Afrika Utara.[137]

Ahmadiyyah merupakan satu gerakan yang muncul di akhir abad ke-19, bermula dari kehidupan dan ajaran Mirza Ghulam Ahmad. Beliau mengaku sebagai Mujaddid abad ke-14 takwim Islam, Al-Masih dan Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu.[138][139] Ahmadi menekankan kepercayaan bahawa Islam ialah hukum terakhir kemanusiaan dan keperluan mengembalikan intipati sebenarnya, yang telah hilang ditelan zaman. Ahmadi melihat diri mereka sebagai pendahulu pemulihan dan penyebaran aman Islam.[140] Terdapat sekatan undang-undang terhadap Ahmadi di beberapa negara Muslim, khususnya Pakistan.[141]

Terdapat juga Muslim yang menolak Hadith, dipanggil golongan al-Quran sahaja atau anti-Hadith.

Rujukan

WikiPedia: Islam http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=b... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2008-07/09/c... http://www.adherents.com/Religions_By_Adherents.ht... http://www.adherents.com/Religions_By_Adherents.ht... http://www.al-shia.com/html/eng/p.php?p=shia'&url=... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/295507/I... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/574006/S... http://www.britannica.com/eb/article-9105852/Islam http://www.cair.com/Portals/0/pdf/The_Mosque_in_Am... http://www.etymonline.com/index.php?term=Islam