Sejarah Jakarta

Peta Batavia (1888).

Sunda Kelapa (397–1527)

Jakarta pertama kali dikenali sebagai salah sebuah pelabuhan Kerajaan Sunda yang bernama Sunda Kelapa, yang terletak di muara Sungai Ciliwung. Ibu kota Kerajaan Sunda yang dikenali sebagai Dayeuh Pakuan Pajajaran atau Pajajaran (kini Bogor) boleh dicapai dari pelabuhan Sunda Kalapa selama dua hari perjalanan. Menurut sumber Portugis, Sunda Kalapa merupakan salah sebuah pelabuhan milik Kerajaan Sunda selain pelabuhan Banten, Pontang, Cigede, Tamgara dan Cimanuk. Sunda Kalapa, atau disebut Kalapa dalam teks ini, dianggap pelabuhan yang terpenting kerana dapat didatangi dari ibu kota kerajaan, Dayo (dalam bahasa Sunda moden: dayeuh bermaksud ibu kota) dalam tempoh dua hari. Kerajaan Sunda sendiri merupakan kesinambungan Kerajaan Tarumanagara pada abad ke-5 sehingga kewujuan pelabuhan ini disusur kembali hingga abad itu, sebagai ibu kota Tarumanagara yang bernama Sundapura.

Pada abad ke-12, pelabuhan ini dikenal sebagai pusat perdagangan lada yang sibuk. Kapal-kapal asing yang berasal dari China, Jepun, India Selatan, dan Timur Tengah sudah berlabuh di pelabuhan ini membawa barang-barang seperti tembikar, kopi, sutera, kain, wangian, kuda, anggur, dan pewarna untuk ditukar dengan rempah-ratus yang menjadi komoditi dagang pada zaman itu.

Jayakarta (1527–1619)

Orang Portugis merupakan orang Eropah pertama yang datang ke Jakarta. Pada abad ke-16, Surawisesa, raja Sunda meminta bantuan Portugis yang ada di Melaka untuk mendirikan perkubuan di Sunda Kelapa sebagai perlindungan dari kemungkinan serangan Cirebon yang akan berpecah dari Kerajaan Sunda. Usaha permohonan bantuan Surawisesa kepada Portugis di Melaka itu dirakam oleh orang Sunda dalam cerita pantun seloka Mundinglaya Dikusumah, yang mana Surawisesa diselokakan dengan nama gelarnya yaitu Mundinglaya. Namun sebelum pendirian perkubuan tersebut terlaksana, pelabuhan tersebut diserang oleh pihak Cirebon dengan bantuan Demak. Orang Sunda merintih peristiwa itu sebagai tragedi kerana serangan tersebut memusnahkan kota pelabuhan tersebut serta membunuh ramai rakyat Sunda di sana, termasuk syahbandar pelabuhan. Penetapan hari jadi Jakarta pada tarikh 22 Jun oleh Sudiro, walikota Jakarta, pada tahun 1956 adalah berdasarkan tragedi pendudukan pelabuhan Sunda Kalapa oleh Fatahillah pada tahun 1527. Fatahillah menukar nama kota tersebut menjadi Jayakarta yang bererti "kota kemenangan". Selanjutnya Sunan Gunung Jati dari Kesultanan Cirebon, menyerahkan hak pentadbiran Jayakarta kepada puteranya, Sultan Maulana Hasanuddin yang menjadi sultan di Kesultanan Banten.

Batavia (1619–1942)

Orang Belanda datang ke Jayakarta sekitar akhir abad ke-16, setelah singgah di Banten pada tahun 1596. Pada awal abad ke-17, Jayakarta diperintah oleh Pangeran Jayakarta, salah seorang kerabat Kesultanan Banten. Pada 1619, syarikat VOC pimpinan Jan Pieterszoon Coen menduduki Jayakarta setelah mengalahkan pasukan Kesultanan Banten, kemudian mengubah namanya menjadi Batavia. Sepanjang zaman penjajahan Belanda, Batavia berkembang menjadi bandaraya yang besar dan penting. Untuk pembangunan kota, Belanda banyak melibatkan diri dalam pengimportan hamba abdi yang kebanyakannya berasal dari Bali, Sulawesi, Maluku, Tiongkok, dan pesisir Malabar, India. Ada yang berpendapat bahawa mereka inilah yang tidak lama kemudian membentuk komuniti yang dikenali sebagai suku Betawi. Sewaktu itu, keluasan Batavia hanya mencakupi kawasan yang kini dikenali sebagai Kota Tua di Jakarta Utara. Sebelum kedatangan hamba-hamba tersebut, sudah ada masyarakat Sunda yang tinggal di wilayah Jayakarta seperti masyarakat Jatinegara Kaum. Sedangkan suku-suku dari etnis pendatang, pada zaman penjajahan Belanda, membentuk wilayah komuniti masing-masing. Maka, di Jakarta ada wilayah-wilayah bekas komuniti itu seperti Pecinan, Pekojan, Kampung Melayu, Kampung Bandan, Kampung Ambon, Kampung Bali, dan Manggarai.

Pada tanggal 9 Oktober 1740, terjadinya rusuhan di Batavia yang meragut nyawa 5,000 orang Cina. Berikutan kejadian ini, ramai orang Cina yang lari ke luar bandaraya dan mengadakan penentangan terhadap Belanda.[6] Setelah pembinaan Koningsplein (Gambir) siap pada tahun 1818, Batavia berkembang ke arah selatan. Pada tahun 1920, Belanda membangunkan kota taman Menteng, dan wilayah ini menjadi tempat baru untuk pembesar Belanda, menggantikan Molenvliet di utara. Pada awal abad ke-20, Batavia di utara, Koningspein, dan Mester Cornelis (Jatinegara) telah terintegrasi menjadi sebuah kota.

Pada 1 Januari 1926, kerajaan Hindia Timur Belanda mengeluarkan peraturan untuk pembaharuan sistem desentralisasi dan penyahtumpuan kuasa yang lebih luas. Di Pulau Jawa dibentuk kerajaan autonom provinsi. Provincie West Java adalah provinsi pertama yang dibentuk di wilayah Hindia Belanda yang dirasmikan dengan surat keputusan bertarikh 1 Januari 1926, dan diundangkan dalam Staatsblad (Lembaran Negara) 1926 No. 326, 1928 No. 27 jo No. 28, 1928 No. 438, dan 1932 No. 507. Batavia menjadi salah satu keresidenan dalam Provincie West Java disamping Banten, Buitenzorg (Bogor), Priangan, dan Cirebon.

Kemerdekaan

Pada tahun 1942, penjajah Jepun menggantikan nama Batavia menjadi Jakarta untuk menambat hati para penduduk pada Perang Dunia Kedua. Kota ini juga merupakan tempat berlangsungnya Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia pada 17 Ogos 1945, tetapi diduduki oleh Belanda sehingga kedaulatan Indonesia diiktiraf pada tahun 1949.

Sebelum tahun 1959, Djakarta merupakan sebahagian Provinsi Jawa Barat. Pada tahun 1959, taraf Kota Djakarta berubah dari sebuah kotapraja di bawah walikota menjadi daerah tingkat satu (Dati I) yang dipimpin oleh gabenor (gubernur). Gabenor pertamanya ialah Dr. Sumarno Sosroatmodjo, seorang doktor tentera. Pelantikan Gubernur DKI ketika itu dilaksanakan oleh Presiden Sukarno. Pada tahun 1961, status Djakarta diubah dari Daerah Tingkat Satu menjadi Daerah Khusus Ibukota (DKI); Sumarno kekal sebagai gabenornya.[7]

Semenjak diisytiharkan sebagai ibu kota, bilangan penduduk Jakarta meningkat melambung kerana keperluan tenaga kerja kerajaan yang semakin berpusatkan Jakarta. Dalam masa lima tahun, bilang penduduknya berlipat lebih dua kali ganda. Berbilang kantung pemukiman kelas menengah baru kemudian dibangunkan, seperti Kebayoran Baru, Cempaka Putih, Rawamangun, dan Pejompongan. Pusat-pusat pemukiman juga banyak dibangunkan oleh kementerian-kementerian dan institusi-institusi milik negara seperti Perum Perumnas.

Sewaktu zaman pentadbiran Sukarno, Jakarta melakukan pembangunan projek besar, antara lainnya Gelora Bung Karno, Masjid Istiqlal, dan Monumen Nasional. Pada masa ini pula Poros Medan Merdeka-Thamrin-Sudirman mulai dikembangkan sebagai pusat perniagaan bandaraya, menggantikan poros Medan Merdeka-Senen-Salemba-Jatinegara. Pusat pemukiman besar pertama yang dibuat oleh pihak pembangun swasta adalah Pondok Indah (oleh PT Pembangunan Jaya) pada akhir dasawarsa 1970-an di wilayah Jakarta Selatan.

Banjir merupakan masalah jangka panjang yang terus melanda Jakarta.

Kepesatan pertambahan penduduk ini pernah cuba dibendung oleh gabenor Ali Sadikin pada awal 1970-an dengan menjadikan Jakarta sebagai "kota tertutup" bagi pendatang. Dasar ini nyata tidak berjaya lalu diketepikan oleh kepemimpinan gabenor selanjutnya. Hingga saat ini, Jakarta masih terpaksa bergelut dengan masalah-masalah yang terjadi akibat kepadatan penduduk, seperti banjir, kesesakan lalu lintas, serta kekurangan alat transportasi umum yang memadai.

Pada Mei 1998, terjadinya rusuhan di Jakarta yang menyebabkan ramai penduduk kaum Cina terkorban. Gedung MPR/DPR diduduki oleh para mahasiswa yang menginginkan reformasi. Kesan rusuhan ini adalah perletakan jawatan Presiden Soeharto selaku presiden.