Budaya Vietnam

Rencana utama: Kebudayaan Vietnam
Panggung Bandaraya Ho Chi Minh

Kebudayaan Vietnam berkembang selama berabad-abad semenjak budaya kuno Đông Sơn yang berasaskan ekonomi pertanian padi. Sesetengah elemen budaya kebangsaan berasal dari Cina yang menerapkan unsur-unsur Konfusianisme dan Taoisme pada sistem politik dan falsafah tradisional. Struktur masyarakat Vietnam berkisarkan làng (kampung leluhur); semua orang Vietnam menyambut ulang tahun nenek moyang sepunya pada 10 hari bulan tiga takwim lunar.[73] Juga ternyata pengaruh budaya kaum pendatang seperti Cina Selatan padahal agama Buddha amat bersangkut-paut dengan budaya rakyat. Akhir-akhir ini juga terdapat pengaruh budaya Barat, khususnya dari Perancis dan Amerika Syarikat.

Dewan Opera Hanoi ialah satu contoh seni bina Kolonial Perancis di Vietnam.

Budaya Vietnam tradisional tertumpu pada kemanusiaan (nhân nghĩa) dan keharmonian (hòa); nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan amat diberi penekanan. Antara lambang-lambang kebudayaan Vietnam yang diangkat tinggi ialah haiwan mitos seperti Lạc Long Quân, "Bapa Bangsa Vietnam" yang digambarkan sebagai naga keramat, dan Âu Cơ, "Ibu Bangsa Vietnam" yang digambarkan sebagai burung lạc keramat. Juga diangkat gambaran-gambaran kura-kura dan kuda.[74]

Kini, budaya hidup Vietnam amat dipengaruhi oleh program budaya dan media kawalan kerajaan. Selama puluhan tahun ditangkisnya pengaruh budaya luar khususnya dari barat. Akan tetapi sejak 1990-an, Vietnam kian terdedah kepada budaya dan media Asia, Eropah dan Amerika.[75]

Salah sejenis pakaian tradisional Vietnam yang terlaris ialah "Áo Dài" yang dipakai untuk peristiwa khas seperti perkahwinan atau pesta. Áo dài berwarna putih dijadikan pakaian seragam yang diwajibkan untuk pelajar perempuan di kebanyakan sekolah tinggi di Vietnam. Áo Dài dahulunya dipakai oleh kedua-dua jantina tetapi kini hanya dipakai oleh perempuan, kecuali untuk peristiwa kebudayaan tradisional penting yang tertentu di mana ada lelaki yang memakainya.

Masakan Vietnam kurang berminyak dan banyak bersayur. Hidangan-hidangan utama banyak berdasarkan nasi, kicap, dan sos ikan. Rasa-rasa makanan ini biasanya manis (gula), pedas (lada serrano), masam (limau), nuoc mam (sos ikan), dan diperisakan lagi oleh beraneka pudina dan selasih.

Muzik Vietnam menampakkan sedikit perbezaan antara tiga rantau: Bắc (Utara), Trung (Tengah), dan Nam (Selatan). Muzik klasik Utara adalah yang tertua di Vietnam dan lebih bersifat formal. Muzik klasik Vietnam boleh dikatakan berasal daripada serangan Mongol, apabila orang Vietnam menawan sekumpulan opera China. Muzik klasik Tengah menunjukkan pengaruh budaya Champa dengan melodinya yang melankolik. Muzik selatan pula menghasilkan sifat laissez-faire yang bertenaga.

Bola sepak ialah sukan paling popular di Vietnam. Selain itu, badminton, tenis, ping pong, dan catur juga tidak kurang popular di kalangan rakyat. Bola tampar, khususnya yang bola tampar wanita, turut disaksikan ramai orang Vietnam. Masyarakat ekspatriat Vietnam membentuk sebahagian penting dalam kehidupan kebudayaan Vietnam dengan memperkenalkan sukan, filem, muzik dan kegiatan kebudayaan Barat yang lain kepada negara. Vietnam juga merumahkan sebuah industri perfileman yang kecil.

Di kalangan pelbagai majlis tradisional Vietnam, perkahwinan tradisional Vietnam adalah antara yang terpenting. Meskipun mengalami pembaratan, kebanyakan adat lama dalam perkahwinan Vietnam masih dirai oleh orang Vietnam di dalam dan luar negeri, dengan sering menggabungkan unsur timur dan barat.

Pelancongan

Rencana utama: Pelancongan di Vietnam

Bilangan pengunjung ke Vietnam untuk tujuan pelancongan dan percutian naik mendadak sepanjang sepulu tahun dahulu. Lebih kurang 3.56 juta tetamu luar melawat Vietnam pada tahun 2006, iaitu peningkatan sebanyak 3.7% daripada tahun 2005. Negara ini sedang melaburkan modal kepada kawasan pantai yang sudahun popular kerana pantai dan pelancongan botnya. Kakitangan hotel dan pemandu pelancong di kawasan-kawasan ini cukup fasih berbahasa Inggeris.

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Vietnam http://www.smh.com.au/travel/vietnam-to-build-high... http://www.stopusa.be/scripts/texte.php?section=CL... http://www.angelfire.com/vt/vietnamesemuslims/hstr... http://www.asianartmall.com/vietnamhistory.htm http://www.businessinsider.com/willem-buiter-3g-co... http://www.bvom.com/resource/vn_history.asp?pConte... http://www.economist.com/specialreports/displaysto... http://www.etravelblackboardasia.com/article.asp?i... http://www.indexmundi.com/vietnam/geography_profil... http://www.indexmundi.com/vietnam/waterways.html