Ekonomi Amerika_Syarikat

Petanda ekonomi
Pengangguran9.6% (September 2010)[55]
Pertumbuhan KDNK2.0% (3Q 2010)
[-2.6% (2009)]
[56]
Inflasi indeks harga pengguna1.1% (September 2009 – September 2010)[57]
Kemiskinan14.3% (2009)[58]
Hutang negara$13.61 trillion (October 8, 2010)[59]
Nilai bersih isi rumah$54.2 trillion (4Q 2009)[60]

Amerika Syarikat mengamalkan ekonomi campuran kapitalis yang dijana oleh kekayaan sumber alam, prasarana yang cukup maju, dan daya keluaran tinggi.[61] Menurut Kumpulan Wang Antarabangsa (IMF), KDNK AS pada $14.4 trilion bersamaan dengan 24% keluaran dunia kasar pada kadar tukaran pasaran, dan hampir 21% keluaran dunia kasar pada pariti kuasa beli (PPP).[8] Ia menikmati KDNK kebangsaan tertinggi di dunia, meskipun kurang sekitar 5% daripada KDNK Kesatuan Eropah pada PPP pada tahun 2008.

Amerika Syarikat merupakan pengimport barangan terbesar dan pengeksport ketiga terbesar, biarpun eksport per kapita agak rendah. Pada tahun 2008, jumlah defisit perdagangan AS adalah $696 bilion.[62] Antara rakan-rakan dagang utamanya ialah Kanada, China, Mexico, Jepun, dan Jerman.[63] Pada tahun 2007, kenderaan merupakan komoditi import dan eksport terbesar negara ini.[64] Jepun dan China merupakan negara pemegang hutang negara AS terbesar di luar negara.[65]

Bursa Saham New York di Wall Street.

Pada tahun 2009, sektor swasta dianggarkan menyumbangkan 55.3% ekonomi negara, diikuti 24.1% dari kegiatan kerajaan persekutuan dan 20.6% yang selebihnya dari kerajaan negeri dan tempatan (termasuk pindah milik dari persekutuan).[66] Ekonomi AS adalah pasca industri, yang mana sektor perkhidmatan menyumbangkan 67.8% KDNK. Namun demikian, AS kekal sebagai kuasa perindustrian.[67] Bidang perniagaan terbesar dari segi penerimaan perniagaan kasar ialah perdagangan borong dan runcit; dari segi pendapatan bersih pula ialah perkilangan.[68] Bidang perkilangan pula diterajui oleh produk kimia.[69] AS ialah pengeluar minyak ketiga terbesar di dunia, dan juga pengimport terbesarnya.[70] Ia merupakan pengeluar nombor satu tenaga elektrik dan nuklear, dan juga gas asli cecair, sulfur, fosfat, dan garam. Sungguhpun pertanian hanya menyumbangkan kurang 1% KDNK,[67] namun AS merupakan pengeluar terbesar bagi tanaman jagung[71] dan kacang soya.[72] Bursa Saham New York ialah bursa saham yang terbesar di dunia dari segi nilai jumlah dagangan dalam dolar.[73][74] Coca-Cola dan McDonald's merupakan antara jenama-jenama paling terkenal di dunia.[75]

Pada Ogos 2010, tenaga buruh AS terdiri daripada 154.1 juta orang. Sektor kerajaan paling ramai tenaga kerjanya dengan 21.2 juta orang, manakala sektor swasta yang paling ramai pekerjanya ialah kesihatan dan bantuan sosial, dengan 16.4 juta.[55] Kira-kira 12% pekerja menyertai kesatuan sekerja, berbanding 30% di Eropah Barat.[76] Bank Dunia meletakkan AS di tangga teratas dari segi kemudahan mengambil dan memecat pekerja.[77] Pada tahun 2009, AS menikmati daya keluaran per orangan ketiga tertinggi di dunia, di belakang Luxembourg dan Norway; ia juga keempat paling produktif per jam, di belakang dua negara tersebut dan Belanda.[78] Berbanding dengan Eropah, kadar cukai pendapatan harta dan korporat di AS agak tinggi, manakala cukai penggunaannya lebih rendah.[79]

Pendapatan dan pembangunan insan

Menurut Biro Banci Amerika Syarikat, median pendapatan isi rumah sebelum cukai pada tahun 2007 adalah $49,777. Mengikut kaum pula, isi rumah Asia mendapat median $65,469 manakala isi rumah Afrika pula $32,584.[58] Dengan menggunakan kadar tukaran pariti kuasa beli, median keseluruhan bersamaan dengan kelompok paling mewah di negara-negara maju. Setelah banyak merosot pada pertengahan abad ke-20, kadar kemiskinan AS telah mendatar sejak awal 1970-an, dengan 11–15% warga AS di bawah ambang kemiskinan setiap tahun, dan 58.5% pernah mengalami kemiskinan selama sekurang-kurangnya setahun di antara usia 25 hingga 75 tahun.[80][81] Pada tahun 2009, 43.6 juta orang Amerika berada dalam kemiskinan.[58]

Sumbangan kebajikan AS adalah antara yang paling kurang memuaskan di kalangan negara maju, sekadar mengurangkan kemiskinan relatif dan mutlak pada kadar yang kurang daripada min negara kaya,[82][83] namun perbelanjaan sosial swasta dan awam per kapita lebih tinggi daripada negara-negara Nordik.[84] Walaupun kebajikan AS berkesan dalam mengurangkan kemiskinan di kalangan warga emas,[85] namun golongan muda pula kurang menerima bantuan.[86] Kajian kesejahteraan kanak-kanak yang dijalankan oleh UNICEF di 21 negara berindustri pada tahun 2007, meletakkan AS di tangga kedua terakhir.[87]

Sains dan teknologi

Angkasawan Buzz Aldrin ketika pendaratan sulung manusia di bulan, 1969

AS merupakan peneraju penyelidikan sains dan inovasi teknologi sejak akhir abad ke-19. Pada tahun 1876, Alexander Graham Bell menerima paten pertama AS untuk ciptaan telefon beliau.[88] Makmal Thomas Edison membangunkan ciptaan peti nyanyi, mentol lampu tahan lama pertama, dan kamera filem pertama yang berdaya maju. Nikola Tesla mempelopori arus ulang-alik, motor AC, dan radio. Pada awal abad ke-20, perusahaan kereta Ransom E. Olds dan Henry Ford melariskan sistem barisan pemasangan. Pada tahun 1903, Wright bersaudara melakar sejarah dengan menjayakan penerbangan berkuasa terkawal dan berterusan yang pertama dengan jentera yang lebih berat daripada udara.[89]

Kebangkitan Nazi pada 1930-an menyebabkan ramai saintis Eropah seperti Albert Einstein dan Enrico Fermi berhijrah ke AS. Ketika Perang Dunia Kedua, Projek Manhattan membangunkan senjata nuklear, maka bermulanya Zaman Atom. Perlumbaan Angkasa mencetuskan perkembangan pesat dalam sains roket, sains bahan, dan komputer. AS banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan ARPANET dan pewarisnya, iaitu Internet. Kini, sejumlah besar dana penyelidikan dan pembangunan, iaitu 64%, dihulurkan oleh sektor swasta.[90] Rakyat AS amat banyak memiliki barangan pengguna berteknologi,[91] dan kira-kira separuh jumlah isi rumah di seluruh AS mendapat kemudahan Internet jalur lebar.[92] negara ini merupakan pembangun dan penanam utama makanan ubah suai genetik yang menghasilkan separuh daripada tanaman bioteknologi sedunia.[93]

Pengangkutan

Sistem Lebuhraya Antara Negeri yang menjangkau 46,876 batu (75,440 km)[94]

Kereta merupakan kaedah pengangkutan peribadi seharian yang paling meluas di AS. Pada tahun 2003, terdapat 759 buah kereta bermotor per 1,000 orang AS, berbanding 472 buah perseribu penduduk di Kesatuan Eropah pada tahun berikutnya.[95] Kira-kira 40% kenderaan persendirian di AS ialah van, SUV, atau lori ringan.[96] Orang dewasa AS biasanya (termasuk pemandu dan penumpang kereta) menghabiskan 55 minit memandu sepanjang 29 batu (47 km) setiap hari.[97]

Seluruh industri penerbangan awam AS adalah milik swasta, tetapi kebanyakan lapangan terbang utama adalah milik awam. Empat sistem penerbangan terbesar di dunia dari segi jumlah angkutan penumpang adalah dari AS; Southwest Airlines adalah nombor satu.[98] Antara 30 lapangan terbang penumpang yang paling sibuk di dunia, 16 terletak di AS, termasuk yang paling sibuk sekali, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta.[99] Walaupun kereta api banyak digunakan untuk mengangkut barang-barangan, namun tidak ramai sangat penumpang yang memilih pengangkutan rel, baik dalam bandar mahupun antara bandar.[100] Pengangkutan alihan massa hanya menyumbangkan 9% jumlah perjalanan kerja AS, berbanding 38.8% di Eropah.[101] Penggunaan basikal di negara ini juga amat sedikit, jauh kurang berbanding di Eropah.[102]

Tenaga

Lombong arang di Wyoming. AS mempunyai 27% simpanan arang sedunia.[103]

Pasaran tenaga Amerika Syarikat sebanyak 29,000 jam terawatt setahun. Penggunaan tenaga per kapita adalah 7.8 tan kesamaan minyak setahun, berbanding 4.2 tan di Jerman dan 8.3 tan di Kanada. Pada tahun 2005, 40% tenaga AS berpunca dari petroleum, 23% dari arang, dan 22% dari gas asli; yang selebihnya dibekalkan oleh kuasa nuklear dan sumber tenaga boleh baharu.[104] AS merupakan pengguna petroleum terbesar di dunia.[105] Berpuluh tahun lamanya, kuasa nuklear telah memainkan peranan yang agak kecil jika dibandingkan dengan negara maju yang lain; antara sebab-sebabnya ialah persepsi awam ekoran kemalangan Three Mile Island pada tahun 1979.

Rujukan

WikiPedia: Amerika_Syarikat http://adage.com/digital/article?article_id=116136 http://www.airforce-magazine.com/MagazineArchive/M... http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/616563/U... http://www.cbsnews.com/stories/2010/07/01/national... http://www.cheskin.com/view_news.php?id=2 http://www.clearlycultural.com/geert-hofstede-cult... http://www.dinsdoc.com/butler-1.htm http://dsc.discovery.com/convergence/supervolcano/... http://www.emarketer.com/Article.aspx?R=1004830