Sejarah Amerika_Syarikat

Pribumi Amerika dan Pendatang Eropah

Kaum pribumi Amerika Syarikat (termasuk Alaska) dipercayai berhijrah dari Asia, sekitar 12,000–40,000 tahun dahulu.[16] Ada di antara mereka yang berjaya mendirikan pertanian canggih, seni bina hebat dan masyarakat kenegaraan, seperti kebudayaan Mississippi pra-Columbus. Semenjak datangnya orang Eropah untuk menduduki benua Amerika, jutaan pribumi Amerika mati akibat wabak penyakit diimport seperti cacar air.[17]

Kapal Mayflower, mengangkut para Pilgrim ke dunia baru pada tahun 1620, seperti yang digambarkan dalam The Mayflower in Plymouth Harbor oleh William Halsall, 1882

Pada tahun 1492, seorang pengembara dari Genoa, Christopher Columbus, di bawah kontrak kerajaan Sepanyol, menemui beberapa pulau di Karibia, lantas berhubung dengan orang asli buat julung kalinya. Pada 2 April 1513, konkuistador Sepanyol, Juan Ponce de León mendarat di tempat yang dinamainya "La Florida"—catatan sulung ketibaan orang Eropah di tanah besar AS. Petempatan Sepanyol di kawasan ini disusuli oleh kawasan barat daya AS yang menarik ribuan dari Mexico. Pedagang bulu Perancis menubuhkan kota kara Perancis Baru di sekitar Tasik-Tasik Besar; lama-kelamaan, Perancis menuntut sebahagian besar pedalaman Amerika Utara, hingga ke Teluk Mexico. Orang Inggeris mula-mula berjaya mendirikan petempatan iaitu Koloni Virginia di Jamestown pada tahun 1607, disusuli Koloni Plymouth oleh golongan Pilgrim pada tahun 1620. Pada tahun 1628, Koloni Teluk Massachusetts menerima piagamnya sehingga menarik gelombang penghijrah; pada tahun 1634, New England diduduki oleh kira-kira 10,000 orang Puritan. Mulai akhir 1610-an hingga zaman Revolusi Amerika, kira-kira 50,000 banduan dihantar ke koloni British di Amerika.[18] Mulai tahun 1614, orang Belanda menduduki sekitar hilir Sungai Hudson, termasuklah New Amsterdam di Pulau Manhattan.

Pada tahun 1674, Belanda menyerahkan wilayahnya di Amerika kepada England, maka wilayah Belanda Baru diberi nama baru iaitu New York. Ramai lagi penghijrah baru, terutamanya ke kawasan Selatan, merupakan kuli kontrak—kira-kira dua pertiga semua pendatang Virginia dari tahun 1630 hingga 1680.[19] Menjelang awal abad ke-18, hamba abdi dari Afrika menjadi sumber utama tenaga buruh terikat. Ekoran pembahagian Carolina (1729) dan penjajahan Georgia (1732), tertubuhnya 13 jajahan British yang bakal membentuk Amerika Syarikat. Kesemua jajahan tersebut ada kerajaan tempatan yang dipilih oleh kebanyakan warga lelaki yang bebas, kuat berpegang pada hak orang Inggeris kuno sambil berkerajaan sendiri, sehingga merangsang semangat republikanisme. Perdagangan hamba Afrika tidak dilarang di kesemua jajahan itu. Oleh sebab kadar kelahiran tinggi, kadar kematian rendah, dan kedatangan penghijrah yang mantap, bilangan penduduk jajahan-jajahan semakin ramai. Pergerakan kebangkitan Kristian pada 1730-an dan 1740-an, dikenali sebagai Kebangkitan Besar memupuk minat terhadap agama dan kebebasan beragama. Dalam Perang Perancis dan Indian, tentera British merampas Kanada dari Perancis, tetapi kawasan penutur bahasa Perancis masih terpencil siasahnya dari jajahan-jajahan selatan. Kesemua 13 jajahan itu diduduki oleh 2.6 juta orang pada tahun 1770, bersamaan satu pertiga penduduk Britain, tidak termasuk kaum pribumi (“Indian”); kira-kira satu perlima penduduk Amerika ini adalah hamba berkulit hitam.[20] Walaupun terpaksa membayar cukai kepada kerajaan British, penduduk koloni Amerika tidak mendapat perwakilan di Parlimen Great Britain.

Kemerdekaan dan perluasan

Perisytiharan Kemerdekaan oleh John Trumbull, 1817–18

Ketegangan antara penduduk koloni Amerika dan British ketika zaman Revolusi Amerika pada 1760-an dan awal 1770-an, membawa kepada Perang Revolusi Amerika yang berlarutan dari tahun 1775 hingga 1781. Pada 14 Jun 1775, Kongres Kebenuaan yang bersidang di bandar Philadelphia, menubuhkan Tentera Kebenuaan yang diketuai oleh George Washington. Atas perisytiharan bahawa "setiap manusia diciptakan sama taraf" yang diberi "hak-hak yang tidak boleh dinafikan," Kongres menerima Perisytiharan Kemerdekaan yang dirangka terutamanya oleh Thomas Jefferson, pada 4 Julai 1776. Pada tarikh inilah, Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat disambut setiap tahun. Pada tahun 1777, Perkara-Perkara Pergabungan menubuhkan sebuah kerajaan gabungan lemah yang bertahan sehingga tahun 1789.

Setelah British tewas kepada angkatan Amerika dengan bantuan Perancis, Great Britain akhirnya akur kepada kemerdekaan Amerika Syarikat dan kedaulatan negeri-negeri berkenaan atas wilayah Amerika di barat Sungai Mississippi. Sebuah konvensyen perlembagaan diaturkan pada tahun 1787 oleh pihak yang ingin menubuhkan kerajaan kebangsaan yang kukuh dengan kuasa mengenakan cukai. Perlembagaan Amerika Syarikat diratifikasi pada tahun 1788, maka Senat dan Dewan Perwakilan sulung republik baru ini, serta presidennya, George Washington, menyandang tugas masing-masing pada tahun 1789. Perakuan Hak yang melarang sekatan terhadap kebebasan peribadi serta menjamin berbagai-bagai perlindungan undang-undang oleh kerajaan persekutuan, diterima pada tahun 1791.

Pendirian terhadap perhambaan semakin berubah; terdapat satu fasal dalam Perlembagaan yang mempertahankan perdagangan hamba Afrika sehingga tahun 1808. Negeri-negeri Utara mengharamkan amalan perhambaan pada tahun 1780 hingga 1804, maka tinggal negeri-negeri Selatan sahaja sebagai negeri hamba yang mempertahankan "institusi khusus" ini. Kebangkitan Besar Kedua yang bermula sekitar tahun 1800, menjadikan evangelikalisme penggerak pergerakan pembaharuan seperti faham penghapusan.

Perolehan wilayah mengikut tarikh

Keinginan Amerika Syarikat untuk meluas ke arah barat mencetuskan serantaian peperangan yang berlarutan dengan kaum Indian. Pembelian Louisiana dari wilayah tuntutan Perancis di bawah kepimpinan Presiden Thomas Jefferson pada tahun 1803 sedikit sebanyak menggandakan keluasan negara. Perang 1812 yang diisytiharkan terhadap Britain atas bermacam-macam ketidakpuasan hati antara kedua-dua pihak, sehingga berakhir dengan seri, mengukuhkan lagi semangat kebangsaan AS. Serangan mendadak tentera AS terhadap Florida berulang-ulang akhirnya memaksa Sepanyol untuk menyerahkan negeri itu dan wilayah Pantai Teluk lain yang dituntutnya pada tahun 1819. Peristiwa Jejak Air Mata pada 1830-an merupakan contoh dasar penyingkiran Indian yang merampas tanah yang diduduki oleh orang pribumi. Amerika Syarikat mengilhakkan Republik Texas pada tahun 1845. Pada masa yang sama, konsep “Masa Depan Tersurat” (Manifest Destiny) semakin mendapat sambutan hangat.[21] Perjanjian Oregon 1846 dengan Britain membawa kepada penguasaan wilayah yang kini menjadi Barat Laut Amerika Syarikat. Kemenangan AS dalam perang Mexico memaksa Mexico menyerahkan negeri California dan sebahagian besar kawasan Barat Daya Amerika pada tahun 1848. Kerubut Emas California pada tahun 1848–49 mendorong lagi penghijrahan ke arah barat, dimudahkan lagi oleh pembinaan landasan kereta api baru yang pada masa yang sama memburukkan lagi perselisihan dengan pribumi Amerika. Sepanjang setengah abad lebih, hampir 40 juta ekor bison Amerika disembelih untuk kulit dan dagingnya serta memudahkan peluasan landasan kereta api. Kemerosotan populasi bison ini yang menjadi sumber utama untuk kehidupan kaum Indian dataran, menyebabkan kewujudan budaya pribumi teruk terjejas.

Perang Saudara dan pengindustrian

Pertempuran Gettysburg, litograf oleh Currier & Ives, ca. 1863

Perselisihan antara negeri hamba dan “negeri bebas” memuncak dengan perbalahan mengenai hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan, serta kekecohan gara-gara berleluasanya perhambaan ke negeri-negeri baru. Abraham Lincoln, calon Parti Republikan yang menentang keras perhambaan, dipilih untuk menjadi presiden pada tahun 1860. Sebelum beliau sempat mengangkat sumpah, tujuh negeri hamba mengisytiharkan pemisahan dari AS (walaupun dianggap tidak sah di sisi undang-undang oleh kerajaan persekutuan) lalu membentuk Negeri-negeri Gabungan Amerika. Selepas Fort Sumter diserang oleh Gabungan, bermulalah Perang Saudara Amerika dan empat lagi negeri hamba yang menyertai Gabungan itu. Pengisytiharan Pembebasan oleh Lincoln pada tahun 1863 mengisytiharkan kebebasan kaum hamba di negeri-negeri Gabungan. Selepas kemenangan Kesatuan pada tahun 1865, tiga pindaan dibuat pada Perlembagaan AS untuk untuk menjamin kebebasan bagi hampor empat juga orang Amerika Afrika yang diperhambakan selama ini,[22] serta memberikan kewarganegaraan dan hak mengundi kepada mereka. Peperangan itu dan peleraiannya membawa kepada meningkatnya lagi kuasa persekutuan AS.[23]

Para penghijrah di Pulau Ellis, Pelabuhan New York, 1902

Selepas peperangan, kejadian pembunuhan Lincoln meradikalkan dasar-dasar Pembinaan Semula parti Republikan yang bertujuan menyepadukan dan membina semula negeri-negeri Selatan sambil menjamin hak-hak kaum hamba yang baru dibebaskan. Namun demikian, peleraian kepada pertikaian pilihanraya presiden 1876 oleh Kompromi 1877 menamatkan proses Pembinaan Semula; disusuli oleh undang-undang Jim Crow yang melucutkan hak mengundi kaum Afrika. Di Utara, proses pembandaran dan kemasukan penghijrah beramai-ramai dari Eropah Selatan dan Timur mempercepat pengindustrian negara ini. Gelombang penghijrahan yang berkekalan hingga tahun 1929, menyediakan tenaga kerja yang mencukupi sambil mengubah wajah budaya Amerika. Pembangunan prasarana negara mendorong lagi pembangunan ekonomi. Pembelian Alaska dari Rusia pada tahun 1867 melengkapkan peluasan tanah besar negara. Pembunuhan beramai-ramai Wounded Knee pada tahun 1890 merupakan konflik bersenjata besar terakhir dalam rantaian Perang Indian. Pada tahun 1893, pemerintahan beraja pribumi di Kerajaan Hawaii di Lautan Pasifik, digulingkan oleh rampasan kuasa yang diterajui oleh penduduk Amerika; AS mengilhakkan kepulauan tersebut pada tahun 1898. Pada tahun yang sama, kemenangan perang terhadap Sepanyol menunjukkan bahawa AS merupakan sebuah kuasa dunia sambil membolehkan negara itu mengilhakkan Puerto Rico, Guam, dan Filipina.[24] Filipina mencapai kemerdekaan setengah abad kemudian; Puerto Rico dan Guam kekal sebagai wilayah AS.

Perang Dunia dan Kemelesetan Besar

Sebuah ladang yang terbiar di Dakota Selatan ekoran peristiwa Dust Bowl, 1936

Pada saat meletusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, Amerika Syarikat mengambil pendirian berkecuali. Ramai warga Amerika bersimpati dengan British dan Perancis, tetapi ramai juga yang tidak setuju AS campur tangan.[25] Pada tahun 1917, Amerika Syarikat Pihak Berikat untuk membantu menumpaskan Kuasa Pusat. Selepas perang, Senat tidak meratifikasi Persetiaan Versailles yang menubuhkan Liga Bangsa-Bangsa, sebaliknya mengamalkan dasar unilateralisme yang hampir-hampir memencilkan negara daripada hal-ehwal dunia.[26] Pada tahun 1920, pergerakan hak wanita menjayakan pindaan perlembagaan yang memberikan hak mengundi kepada wanita. Kemakmuran yang dinikmati pada 1920-an berakhir dengan Kejatuhan Wall Street 1929 yang mencetuskan Kemelesetan Besar. Setelah dipilih menjadi presiden pada tahun 1932, Franklin D. Roosevelt bertindak melaksanakan dasar-dasar New Deal yang menguatkan campur tangan kerajaan dalam ekonomi. Kejadian Dust Bowl pada tengah 1930-an menyebabkan ramai komuniti petani kemiskinan lalu mencetuskan gelombang baru penghijrahan ke arah barar.

Askar Divisyen Infantri Pertama Tentera A.S mendarat di Normandy pada D-Day, 6 Jun 1944

Amerika Syarikat yang kekal berkecuali pada awal Perang Dunia Kedua apabila Jerman Nazi menyerang Poland pada September 1939, mula membekalkan bahan mentah kepada Pihak Berikat mulai Mac 1941 menerusi rancangan Lend-Lease. Pada 7 Disember 1941, Empayar Jepun melancarkan serangan mengejut terhadap Pearl Harbor, sehingga mendorong AS untuk menyertai Pihak Berikat untuk menentang kuasa Paksi sambil menahan ribuan orang keturunan Jepun dalam negara.[27] Penglibatan AS dalam peperangan mendorong pelaburan modal sambil memperbesar kapasiti industri. Amerika Syarikat menjadi satu-satunya negara penempur utama yang menjadi lebih kaya ekoran perang ini, berbanding negara-negara lain yang kemiskinan.[28] Persidangan Pihak Berikat di Bretton Woods dan Yalta menggariskan sistem pertubuhan antarabangsa baru yang meletakkan AS dan Kesatuan Soviet sebagai tumpuan utama hal ehwal dunia. Selepas kejayaan perang di Eropah, sebuah persidangan antarabangsa diadakan di San Francisco pada tahun 1945, untuk menerbitkan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkuatkuasa selepas perang.[29] AS yang membangunkan senjata nuklear pertama di dunia, menggunakannya untuk meledak bandaraya-bandaraya Hiroshima dan Nagasaki pada bulan Ogos. Jepun menyerah kalah pada 2 September, maka berakhirnya peperangan.[30]

Perang Dingin dan politik bantah-membantah

Lihat juga: Perang Dingin dan Perang Vietnam
Martin Luther King, Jr. menyampaikan ucapan "Saya Mempunyai Impian", 1963

Selepas Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat dan Kesatuan berebut-rebut untuk kekuasaan dalam Perang Dingin, mendominasi hal-ehwal ketenteraan Eropah melalui NATO dan Pakatan Warsaw. AS memupuk demokrasi liberal dan kapitalisme, manakala pihak Soviet memupuk fahaman komunisme dan ekonomi terancang pusat. Kedua-dua pihak memberikan sokongan kepada kerajaan diktator serta melibatkan diri dalam perang proksi. Tentera Amerika melawan angkatan China Komunis dalam Perang Korea pada tahun 1950–53. Jawatankuasa Kegiatan Bukan Amerika House menjalankan siasatan berturut-turut terhadap unsur-unsur subversi haluan kiri, sementara Senator Joseph McCarthy menjadi tokoh sentimen anti-komunis utama.

Pelancaran penerbangan manusia pertama di angkasa oleh pihak Soviet pada tahun 1961 mendorong seruan Presiden John F. Kennedy agar AS menjadi negara pertama yang mendaratkan manusia di bulan; ini tercapai pada tahun 1969. Kennedy juga berdepan dengan pertempuran nuklear yang hebat dengan kuasa Soviet di Cuba. Sementara itu, AS menikmati peluasan ekonomi yang mapan. Sebuah pergerakan hak awam yang dilambangkan dan dipimpin oleh kaum Amerika Afrika seperti Rosa Parks, Martin Luther King, Jr., dan James Bevel, menggunakan cara tanpa keganasan untuk melawan pengasingan dan diskriminasi kaum. Ekoran pembunuhan John F. Kennedy pada tahun 1963, Akta Hak Awam 1964 dan Akta Hak Mengundi 1965 diluluskan di bawah kepimpinan Presiden Lyndon B. Johnson. Johnson dan penggantinya, Richard Nixon, meluaskan perang proksi di Asia Tenggara ke dalam Perang Vietnam yang tidak menyebelahi AS. Berleluasanya pergerakan budaya saingan yang didorong oleh penentangan terhadap perang Vietnam, nasionalisme kulit hitam, dan revolusi seks. Betty Friedan, Gloria Steinem, dan lain-lain menerajui gelombang feminisme baru yang memperjuangkan kesaksamaan politik, sosial dan ekonomi untuk kaum wanita.

Kesan skandal Watergate pada tahun 1974, Nixon menjadi presiden AS pertama yang meletak jawatan supaya mengelak daripada dicabar atas tuduhan menyekat proses kehakiman dan salah guna kuasa, lalu menyerahkan jawatannya kepada Naib Presiden Gerald Ford. Pentadbiran Jimmy Carter pada akhir 1970-an dibelenggui oleh stagflasi dan krisis tebusan Iran. Pemilihan Ronald Reagan selaku presiden pada tahun 1980 mengarak perubahan haluan politik AS ke arah kanan, yang dicerminkan dalam perubahan besar dalam keutamaan percukaian dan perbelanjaan. Penggal kedua beliau menyaksikan skandal Iran-Contra dan makin eratnya hubungan diplomatik bersama Kesatuan Soviet. Keruntuhan Soviet akhirnya menamatkan Perang Dingin.

Terkini

World Trade Center pada waktu pagi 11 September 2001

Di bawah kepimpinan George H. W. Bush, AS memainkan peranan utama dalam Perang Teluk dengan kelulusan PBB. Peluasan ekonomi terlama dalam sejarah moden AS—dari Mac 1991 hingga Mac 2001—melingkungi zaman pentadbiran Bill Clinton dan gelembung dot-com.[31] Kejadian tuntutan mahkamah awam dan skandal seks menyebabkan Clinton dicabar pada tahun 1998, tetapi beliau berjaya mengharunginya dan mengekalkan jawatannya. Pilihan raya presiden 2000, antara yang paling sengit dalam sejarah AS, dileraikan oleh keputusan Mahkamah Agung AS bahawa George W. Bush, anak kepada George H. W. Bush, menjadi presiden.

Pada 11 September 2001, pengganas al-Qaeda menghempas World Trade Center di Bandaraya New York City dan The Pentagon dekat Washington, D.C., menyebabkan hampir tiga ribu orang terkorban. Sebagai tindak balas, kepimpinan Bush melancarkan Perang Terhadap Keganasan sedunia. Pada Oktober 2001, tentera AS mengetuai serangan terhadap Afghanistan untuk menggulingkan kerajaan Taliban serta memburu kem latihan al-Qaeda; sehingga kini, mereka masih melawan pemberontak Taliban dalam perang gerila. Pada tahun 2002, kerajaan Bush mula menggesa perubahan rejim di Iraq atas sebab-sebab yang penuh kontroversi.[32] Tanpa sokongan NATO atau mandat PBB untuk campur tangan ketenteraan, Bush menganjurkan “campuran pihak yang rela” (campuran kerelaan); angkatan campuran menyerang Iraq pada tahun 2003 dan berjaya menggulingkan diktator Saddam Hussein. Pada tahun 2005, Taufan Katrina mengakibatkan kemusnahan berleluasa di sepanjang rantau Pantai Teluk, sehingga meranapkan bandar New Orleans. Pada 4 November 2008, dalam economic recession, Barack Obama dilantik sebagai presiden keturunan Afrika pertama di AS. Pada tahun 2010, beliau menyelia pelaksanaan pembaharuan penjagaan kesihatan dan sistem kewangan secara besar-besaran. Kejadian tumpahan minyak Deepwater Horizon di Teluk Mexico yang bermula pada April 2010 menjadi bencana minyak masa aman yang terbesar dalam sejarah dunia.[33]

Rujukan

WikiPedia: Amerika_Syarikat http://adage.com/digital/article?article_id=116136 http://www.airforce-magazine.com/MagazineArchive/M... http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/616563/U... http://www.cbsnews.com/stories/2010/07/01/national... http://www.cheskin.com/view_news.php?id=2 http://www.clearlycultural.com/geert-hofstede-cult... http://www.dinsdoc.com/butler-1.htm http://dsc.discovery.com/convergence/supervolcano/... http://www.emarketer.com/Article.aspx?R=1004830