Politik Brazil

Kongres Negara di Brasília, ibu negara Brazil.

Persekutuan Brazil merupakan “kesatuan berkekalan” yang menyatukan tiga entiti politik yang berbeza, iaitu: Negeri-Negeri, Majlis-Majlis Perbandaran dan Wilayah Persekutuan.[9] Kesatuan, negeri-negeri dan Wilayah Persekutan, serta majlis-majlis perbandaran, merupakan “lingkungan kerajaan”. Persekutuan terletak pada lima prinsip asas:[9] kedaulatan, kewarganegaraan, martabat insan, nilai sosial buruh dan kebebasan perusahaan, serta kemajmukan politik. Kedudukan tiga cabang kerajaan (eksekutif, perundangan, dan kehakiman di bawah sistem sekatan dan imbangan) dimantapkan secara rasmi oleh Perlembagaan.[9] Badan eksekutif dan perundangan ditubuhkan secara berasingan di ketiga-tiga lingkungan kerajaan, manakala cabang kehakiman hanya ditubuhkan di peringkat persekutuan dan negeri/Wilayah Persekutuan.

Kesemua ahli badan eksekutif dan perundangan dipilih secara langsung.[144][145][146] Para hakim dan pegawai-pegawai kehakiman yang lain dilantik selepas lulus dalam peperiksaan kemasukan.[144] Brazil mengamalkan sistem berbilang parti sepanjang kebanyakan sejarahnya. Mengundi adalah wajib bagi warga-warga yang celik huruf dan berusia 18 hingga 70 tahun, tetapi tidak wajib bagi golongan yang buta huruf, yang berusia 16 hingga 18 tahun atau melebihi 70 tahun.[9] Selain beberapa parti kecil, terdapat empat buah parti politik yang menonjol, iaitu: Parti Buruh (PT), Parti Demokrasi Sosial Brazil (PSDB), Gerakan Demokratik Brazil (PMDB), dan Demokrat (DEM). Hampir kesemua fungsi kerajaan dan pentadbiran dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan agensi-agensi yang bersekutu dengan badan Eksekutif.

Kerajaan Brazil berbentuk republik demokratik yang bersistem presiden,[9] yang mana Presiden merupakan ketua negara dan ketua kerajaan Kesatuan, dan dipilih oleh rakyat untuk penggal empat tahun,[9] dengan kemungkinan dipilih semula untuk penggal kedua berturut-turut. Presiden Brazil sekarang ialah Dilma Rousseff yang mengangkat sumpah pada 1 Januari 2011.[147] Presiden melantik Menteri-Menteri Negeri untuk membantu kerajaan.[9] Badan-badan perundangan di setiap entiti politik merupakan punca utama undang-undang di Brazil. Kongres Negara merupakan perundangan dwidewan Persekutuan yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Senat Persekutuan. Lembaga kehakiman melaksanakan tugas kehakiman sendiri.

15 buah parti politik mempunyai wakil dalam Kongres. Adalah kebiasaan bagi ahli politik untuk bertukar parti, maka perkadaran kerusi kongres yang diduduki oleh parti tertentu sering berubah-ubah.

Undang-undang

Tribunal Persekutuan Agung.

Undang-undang Brazil berasaskan tradisi Romawi-Germanik[148] dan konsep undang-undang sivil mengatasi amalan common law. Kebanyakan undang-undang Brazil adalah dikanunkan, namun statut-statut yang tidak dikanunkan juga cukup banyak dan memainkan peranan sebagai pelengkap. Keputusan mahkamah menjelaskan garis panduan pentafsiran; tetapi, ia jarang mengikat dalam kes-kes lain yang tertentu. Hasil kerja berkenaan doktrin dan ilmuwan undang-undang kuat mempengaruhi penggubalan dan kes undang-undang.

Sistem undang-undang Brazil berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang diisytiharkan pada 5 Oktober 1988, yakni undang-undang asas Brazil. Semua keputusan perundangan dan mahkamah yang lain mesti mematuhi ketetapan peraturan persekutuan.[149] Tepat pada April 2007, Perlembagaan Brazil dipinda 53 kali. Setiap negeri mengamalkan perlembagaan sendiri, asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negara.[150] Majlis-majlis perbandaran dan Wilayah Persekutuan mengamalkan “undang-undang organik” ([leis orgânicas] error: {{lang}}: teks mempunyai penanda italik (bantuan)) yang serupa fungsinya dengan persekutuan.[9][151] Entiti perundangan merupakan punca utama statut, namun adakalanya lembaga kehakiman dan eksekutif boleh menggubal norma undang-undang.[9] Kuasa ditadbir oleh entiti-entiti kehakiman, tetapi jarang sekali Perlembagaan Persekutuan membenarkan Senat Persekutuan meluluskan penghakiman.[9] Juga terdapat mahkamah khas untuk tentera, buruh dan pilihanraya.[9] Mahkamah tertinggi Brazil ialah Mahkamah Persekutuan Agung.

Sistem ini pernah menerima bidasan selama puluhan tahun lalu kerana lambat mengeluarkan kata putus muktamad. Tuntutan mahkamah yang dirayu mungkin memakan bertahun-tahun untuk dileraikan, ataupun adakalanya lebih sedekad sebelum keputusan akhir dilakukan.[152] Namun demikian, Tribunal Persekutuan Agung merupakan mahkamah pertama di dunia yang memancarkan sesi-sesinya menerusi corong televisyen dan juga YouTube.[153][154] Baru-baru ini, mulai Disember 2009, Mahkamah Agung menggunakan Twitter untuk memaparkan perkara-perkara dalam perancang harian para menteri, memaklumkan hal-ehwal harian di Mahkamah dan keputusan paling penting yang dibuatnya.[155]

Brazil masih mengalami kadar jenayah yang tinggi dalam beberapa hasil statistik, walaupun keadaan bertambah baik akhir-akhir ini. Lebih 500,000 orang dibunuh oleh senjata api di Brazil pada tahun 1979 hingga 2003, menurut laporan PBB.[156] Pada tahun 2010, 473,600 orang banduan dikurung dalam penjara dan pusat penahanan di Brazil.[157]

Hubungan luar

Negara-negara yang menerima misi diplomatik Brazil.

Brazil merupakan peneraju politik dan ekonomi di Amerika Latin.[158][159] Bagaimanapun, masalah sosial dan ekonomi menghalangnya daripada menjadi sebuah kuasa global yang berkesan.[160] Sejak Perang Dunia Kedua hingga 1990, kerajaan demokratik mahupun tentera ingin meluaskan pengaruh Brazil di dunia dengan mengejar dasar industri pimpinan negara dan dasar luar negara yang bebas. Baru-baru ini, negara ini berusaha mengukuhkan hubungan dengan negara-negara lain di Amerika Selatan, serta menjalin diplomasi pelbagai hala melalui PBB dan Pertubuhan Negara-Negara Amerika.[161]

Dasar luar Brazil sekarang berdasarkan kedudukan negara selaku kuasa serantau di Amerika Latin, sebuah peneraju di kalangan negara-negara membangun, dan kuasa dunia yang makin bangkit.[162] Pada umumnya, dasar luar Brazil kini mencerminkan fahaman pelbagai hala, penyelesaian pertikaian secara damai, dan tidak bercampur tangan dalam urusan negara-negara lain.[163] Perlembagaan Brazil juga menentukan bahawa negara ini mesti mengejar persepaduan ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan bangsa-bangsa Amerika Latin.[9][164][165][166]

Dasar luar negara Brazil juga mahir memanfaatkan kebolehan menghulurkan bantuan selaku penderma kepada negara-negara membangun yang lain.[167] Brazil bukan sahaja menggunakan kekuatan ekonomi yang membangun untuk menghulurkan bantuan kewangan, bahkan juga menyediakan tahap kepakaran yang tinggi dan penting sekali, diplomasi senyap tanpa konfrontasi untuk meningkatkan tahap ketadbiran.[167] Jumlah nilai bantuan dianggarkan sebanyak $1 bilion setahun, termasuk[167]:

  • kerjasama teknikal sekitar $480 juta ($30 juta pada tahun 2010, dibekalkan secara langsung oleh Agensi Kerjasama Brazil (ABC))
  • kepakaran bukan wang bernilai sekitar $450 juta, dibekalkan oleh institusi-institusi Brazil yang berkepakaran dalam kerjasama teknikal

Selain itu, Brazil menguruskan misi pengamanan di Haiti ($350 juta) serta menghulurkan sumbangan kebendaan kepada Program Makanan Sedunia ($300 juta)[167], di samping bantuan kemanusiaan dan sumbangan kepada agensi-agensi pembangunan pelbagai pihak. Jumlah sumbangan amal Brazil setara dengan China dan India, dan jauh di depan banyak negara-negara barat.[167] Program bantuan Selatan-Selatan Brazil disifatkan sebagai "bakal contoh global".[168]

Tentera

Angkatan tentera Brazil terdiri daripada Tentera Darat Brazil, Tentera Laut Brazil, dan Tentera Udara Brazil. Dengan seramai 371,199 kakitangan aktif,[169] Brazil memiliki angkatan tentera terbesar di Amerika Latin.[170] Tentera Darat bertanggungjawab atas operasi tentera di daratan dan dianggotai 235,978 orang aktif.[171]

Polis Tentera (Polis Tentera Negeri) disifatkan sebagai angkatan bantuan Tentera Darat mengikut perlembagaan, tetapi di bawah penguasaan gabenor setiap negeri.[9] Tentera Darat bertanggungjawab atas operasi tentera laut serta mempertahankan perairan wilayah Brazil. Ia merupakan angkatan tentera terlama di Brazil dan satu-satunya tentera laut di Amerika Latin yang mengendali kapal induk pesawat udara, iaitu NAe São Paulo (dahulunya FS Foch oleh Tentera Laut Perancis).[172] Tentera Udara merupakan cabang pertempuran udara dalam angkatan tentera Brazil, dan juga tentera udara terbesar di Amerika Latin, dengan sekitar 700 buah pesawat berjuruterbang yang berkhidmat.[173]

Pembahagian pentadbiran

Rencana utama: Negeri di Brazil

Brazil merupakan sebuah persekutuan yang terdiri daripada 26 negeri, satu wilayah persekutuan (yang diduduki ibu negara, Brasília) dan kawasan-kawasan perbandaran.[9] Setiap negeri mempunyai sistem pentadbiran yang berautonomi, mengutip cukai sendiri dan menerima kongsian cukai yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan. Setiap negeri dipimpin oleh seorang gabenor dan sebuah badan perundangan ekadewan yang dipilih secara langsung oleh para pengundi. Setiap negeri juga mempunyai Mahkamah Undang-Undang yang bebas untuk keadilan am. Meskipun demikian, negeri-negeri kurang mendapat autonomi untuk menggubal undang sendiri berbanding di Amerika Syarikat. Misalnya, undang-undang jenayah dan sivil hanya boleh diundi oleh Kongres dwidewan persekutuan dan diseragamkan di seluruh negara.[9]

Negeri-negeri dan wilayah persekutuan di Brazil boleh digolongkan kepada lima kawasan besar, iaitu: Utara, Timur Laut, Barat Tengah, Tenggara dan Selatan. Kawasan-kawasan ini sekadar bahagian geografi, bukan bahagian politik mahupun pentadbiran, apatah lagi tiada bentuk kerajaan sendiri. Walaupun ditetapkan oleh undang-undang, namun kawasan-kawasan di Brazil ini paling berguna untuk tujuan statistik serta menetapkan penggunaan dana persekutuan kepada projek pembangunan.

Kawasan-kawasan perbandaran juga mengamalkan pentadbiran autonomi, mengutip cukai sendiri dan menerima kongsian cukai yang dikutip oleh Kesatuan dan kerajaan negeri.[9] Setiap perbandaran ada seorang datuk bandar dan sebuah badan perundangan yang dipilih, tetapi tiada Mahkamah Undang-Undang yang berasingan. Sememangnya, sebuah Mahkamah Undang-Undang yang dikelola oleh kerajaan negeri boleh merangkumi banyak perbandaran dalam sebuah bahagian pentadbiran kehakiman tunggal yang dipanggil comarca (kaunti).

Rujukan

WikiPedia: Brazil http://www.ctgas.com.br/conteudo/img_upload/Projec... http://www.jusbrasil.com.br/noticias/74894/futebol... http://www.mzweb.com.br/santosbrasil/web/conteudo_... http://www.obamonteverde.com.br/ http://aulete.uol.com.br/site.php?mdl=aulete_digit... http://michaelis.uol.com.br/moderno/portugues/inde... http://valetudo.com.br/ http://www.cpatsa.embrapa.br/servicos/dadosmet/cem... http://www.bcb.gov.br/htms/relinf/ing/2004/06/ri20... http://www.brasil.gov.br/?set_language=en