Kerjaya Zul_Ariffin

Bakat beliau dikesan oleh seorang pencari bakat dan mula muncul dalam iklan-iklan di televisyen. Beliau mendapat watak lakonan pertamanya pada 2008 menerusi drama Awan Dania lakonan Scha Al-Yahya. Pada tahun 2009, beliau memegang watak utama sebagai Inspektor Ashraf dalam drama aksi kepolisan Gerak Khas arahan Yusof Haslam, bagaimanapun, 'jodoh' beliau bersama Gerak Khas tidak berkekalan apabila drama itu “direhatkan” dua tahun kemudian. Zul melangkah ke layar lebar dengan membintangi filem sulung lakonannya, Evolusi KL Drift 2 arahan Syamsul Yusof yang mana beliau memegang watak sebagai Inspektor Zam, bersama Remy Ishak sebagai Inspektor Kamal. Filem ini ditayangkan pada 25 Mac 2010 dan mencapai kutipan pecah panggung.[7]

Selepas Gerak Khas "direhatkan" dengan episod terakhirnya disiarkan pada 22 Julai 2011, beliau membintangi drama Nora Elena bersama pelakon jelita Siti Saleha yang disiarkan di Slot Akasia TV3, beliau dikatakan telah mengalami kesuraman pada 2012, pada ketika beliau mencapai berat badan yang berlebihan. Pada masa itu, beliau tidak menerima tawaran kerja selama setahun setengah. Pada 2013, Zul berlakon dalam satu-satunya drama TV lakonannya pada tahun itu, Luluhnya Sebuah Ikrar bersama Sara Ali dan Ryzal Jaafar.

Bekerja di bawah arahan pelakon senior Ellie Suriati, Zul berlakon dalam filem keduanya—filem seram berjudul Penanggal bersama Fasha Sandha dan diikuti oleh filem ketiga lakonannya, Bikers Kental bersama Awie, Zizan Razak dan Bront Palarae yang ditayangkan pada 23 Mei 2013. Beliau kembali ke bidang lakonan dan ternyata kemunculan semulanya membuahkan hasil apabila membintangi Rindu Awak 200%[8] bersama pelakon dan penyanyi yang sedang meningkat naik, Ayda Jebat yang melakonkan watak Armel Aisya dan Zul memegang watak sebagai Zill Faezrul, drama ini disiarkan di Slot Akasia TV3 dari 15 Julai hingga 1 September 2014.[9] Profil Zul sebagai pelakon bertambah teguh apabila beliau memenangi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26 menerusi persembahan cemerlangnya dalam filem Penanggal, sekaligus menewaskan pelakon lain termasuk Karl Shafek (Zaiton Ceritaku), Shukri Yahaya (Ular) dan Syazwan Zulkifli (Juvana).

Pada tahun yang sama, beliau memegang watak sebagai Airil dalam siri televisyen waktu perdana Slot Akasia TV3, Istikharah Cinta bersama heroinnya, Faye Kusairi yang memegang watak sebagai Dina Alia, seterusnya melakonkan watak ketua mafia dalam filem aksi Balistik bersama pelakon utamanya, Rosyam Nor dan Rita Rudaini. Bekerja di bawah arahan Pierre Andre, beliau bersama Mon Ryanti membintangi filem seram, Jin terbitan Empat Samudera.[10]

Pada tahun 2015, beliau memenangi kategori Pelakon TV Meletop di Anugerah MeleTOP Era 2015 menerusi lakonannya dalam Rindu Awak 200%.

Beliau digandingkan sekali lagi bersama Siti Saleha menerusi drama Uda & Dara yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama karya Allahyarham Usman Awang yang memulakan tayangan perdana di Astro Ria dari 24 Februari hingga 6 Mac 2016.[11]

Pada tahun 2017, filem lakonannya, J Revolusi ditayangkan di pawagam pada 2 Mac, beliau memegang watak sebagai Jay Zulkarnain, seorang ketua pegawai Unit Tindakan Khas (UTK).[12] Zul dilaporkan telah membeli motosikal jenama Ducati Hypermotard untuk digunakan dalam beberapa babak aksi dalam filem berkenaan.[13][14][15] Beliau berlakon bersama Nur Fathia menerusi drama Menanti Februari yang disiarkan di TV3, mengisahkan tentang tiga rakan karib iaitu Arie, Fiza dan Edi bersama-sama menaruh hati terhadap Fiza.[16]

Seterusnya, beliau membintangi drama adaptasi novel, Titian Cinta yang bersiaran di Slot Akasia TV3.[17][18] Zul muncul bersama Farid Kamil dalam filem pengembaraan epik adaptasi novel karya Ramlee Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba yang ditayangkan pada 12 Oktober 2017.[19][20][21][22][23]

Beliau bersama Izara Aishah kemudiannya menjayakan peranan utama dalam drama Mr. London Ms. Langkawi di Astro Warna, memegang watak sebagai Aidid.[24]

Projek filem beliau seterusnya ialah filem seram komedi Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid yang ditayangkan pada 9 Ogos 2018.[25] Zul bersama penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan membintangi filem seram thriller, Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof yang ditayangkan pada 21 Februari 2019, beliau memegang watak sebagai Jefri.[26][27][28]

Zul muncul kembali sebagai Inspektor Ashraf dalam Gerak Khas selepas lebih 8 tahun. Beliau ialah salah seorang dari barisan pelakon Gerak Khas musim 19 termasuk Mustaqim Bahadon dan dua pelakon asalnya, Farid Amirul dan Abby Abadi.

Beliau memegang watak sebagai atlet seni bela diri campuran Adam "The Ace" Abdullah dalam filem aksi sukan Sangkar arahan Kabir Bhatia yang menggandingkan beliau bersama Remy Ishak dan Mira Filzah. Ditayangkan pada 29 Ogos 2019, ia mengisahkan tentang permusuhan dan penebusan antara dua pejuang MMA tempatan, serta perjuangan mereka demi maruah dan keluarga.[29][30]

Rujukan

WikiPedia: Zul_Ariffin http://www.imdb.com/name/nm5795985/ http://www.mreena.com/2015/10/drama-uda-dan-dara.h... http://www.rojakdaily.com/entertainment/article/72... http://www.rotikaya.com/gayatri-beri-amaran-kepada... http://www.star2.com/entertainment/tv/2017/04/18/z... http://www.themalaymailonline.com/drive/article/fa... http://www.themalaymailonline.com/showbiz/article/... http://www.zaofficial.com/ http://www.beritasemasa.com.my/biodata-zul-ariffin... http://www1.hmetro.com.my/node/62403