Sejarah Turki

Sejarah purba

Rencana utama: Trakia

Semenanjung Anatolia yang merangkumi sebahagian besar wilayah Turki moden, ialah salah sebuah kawasan yang paling lama diduduki manusia tanpa henti di dunia. Petempatan-petempatan Neolitik yang terawal seperti Çatalhöyük (Neolitik Tembikar), Çayönü (Neolitik Pra-Tembikar A hingga Neolitik Tembikar), Nevalı Çori (Neolitik Pra-Tembikar B), Hacılar (Neolitik Tembikar), Göbekli Tepe (Neolitik Pra-Tembikar A) dan Mersin dianggap antara petempatan manusia yang terawal di dunia.[14]

Sebahagian tembok legenda Troy (VII) yang dikenal pasti sebagai medan pertempuran Perang Troy (sekitar 1200 SM).

Petempatan Troy bermula pada zaman Neolitik, dan berterusan hingga Zaman Besi. Sepanjang sejarah tertulis, penduduk Anatolia pernah bertutur dalam bahasa-bahasa Indo-Eropah, Semitik dan Kartvelia, antara lainnya. Sebenarnya, berdasarkan kepurbaan bahasa-bahasa Hitit dan Luwia yang tergolong sebagai Indo-Eropah, sesetengah ilmuwan mengusulkan bahawa Anatolia merupakan pusat hipotesis dari mana terpancarnya bahasa-bahasa Indo-Eropah.[15] Kaum Hattia ialah sebuah bangsa kuno yang menduduki bahagian tenggara Anatolia seawal-awal tahun 2300 SM. Kaum Hitit Indo-Eropah tiba di Anatolia lalu menyerap kaum Hattia sekitar 2000-1700 SM. Empayar besar pertama di kawasan itu diasaskan oleh kaum Hitit dari abad ke-18 hingga ke-13 SM. Bangsa Assyria pula menjajah sebahagian Turki tenggara seawal tahun 1950 SM hingga tahun 612 SM, apabila Empayar Assyria ditakluki oleh wangsa Chaldea di Babylon.[16][17] Selepas kejatuhan Hitit, satu lagi kelompok Indo-Eropah, iaitu kaum Phrygia mengambil alih tampuk penguasaan sehingga kerajaan mereka dihancurkan oleh orang Kimeria pada abad ke-7 SM.[18] Antara negeri-negeri perwaris Phrygia yang paling berkuasa ialah Lydia, Karia dan Lycia. Kaum Lydia dan Lycia bertutur dalam bahasa yang berumpun Indo-Eropah pada pangkalnya, tetapi kedua-dua bahasa itu telah dipengaruhi unsur bukan Indo_Eropah sebelum zaman Hitit dan Keyunanian.

Perpustakaan Celsus di Efesus, dari seawal tahun 135 M.

Bermula sekitar 1200 SM, pantai Anatolia banyak diduduki oleh orang Yunani Aeolia dan Ionia. Banyak sekali kota-kota terpenting yang diasaskan oleh kaum penjajah ini, seperti Miletus, Ephesus, Smyrna (kini Izmir), dan Byzantium (kemudian Constantinople, kini Istanbul). Negara pertama yang ditubuhkan di Anatolia dan dipanggil Armenia oleh bangsa jiran (Hecataeus dari Miletus dan Inskripsi Behistun) merupakan negeri wangsa Orontid Armenia. Anatolia ditawan oleh Empayar Achaemenid Parsi ketika abad ke-6 dan ke-5 SM, kemudian jatuh di tangan Iskandar Agung pada 334 SM.[19] Anatolia kemudian dipecahkan kepada beberapa kerajaan keyunanian kecil (termasuk Bithynia, Cappadocia, Pergamum, dan Pontus), tetapi kesemunya ditawan pula oleh Republik Rom pada pertengahan abad pertama SM.[20] Armenia Arsakiah, negeri pertama yang memeluk agama Kristian selaku agama rasmi, mempunnyai wilayah di Anatolia.

Pada tahun 324, maharaja Rom, Constantinus I memilih Byzantium selaku ibu kota baru Empayar Rom, lalu menukar namanya kepada Rom Baru (kemudian Constantinople dan Istanbul). Selepas kejatuhan Empayar Rom Barat, ia menjadi ibu kota Empayar Byzantium (Empayar Rom Timur).[21]

Kaum Turk dan Empayar Uthmaniyyah

Rencana utama: Empayar Uthmaniyyah
Empayar Uthmaniyyah di kemuncak kekuasaannya (ca. 1680).

Wangsa Seljuk merupakan satu cabang kelompok Turki Oğuz Kınık yang menetap di persisian dunia Islam, di utara Kaspia dan Laut Aral di Kekhaganan Yabghu di pergabungan Oğuz[22] pada abad ke-10. Pada abad ke-11, bangsa Seljuk mulai berhijrah dari tanah leluhur mereka ke arah kawasan timur Anatolia, yang kemudiannya menjadi tempat asal baru puak-puak Turkik Oğuz selepas Pertempuran Manzikert pada tahun 1071.

Kejayaan Seljuk ini membuka laluan kepada kebangkitan Kesultanan Seljuk Anatolia; yang berkembang sebagai cabang berasingan dalam Empayar Seljuk besar yang meliputi sebahagian Asia Tengah, Iran, Anatolia dan Asia Barat Daya.[23]

Pada tahun 1243, tentera Seljuk ditumpaskan oleh Mongol, sehingga menyebabkan kuasa empayar Seljuk beransur merosot. Ekoran daripada itu, salah satu kerajaan kecil Turki yang diperintah oleh Uthman I akan berkembang menjadi Empayar Uthmaniyyah dalam 200 tahun berikutnya, dan meluas di seluruh Anatolia, rantau Balkan dan Levant.[24] Pada tahun 1453, Uthmaniyyah melengkapkan penaklukan Empayar Byzantium dengan menawan ibu kotanya, Constantinople.

Masjid Selimiye di Edirne ialah salah sebuah mahakarya seni bina Empayar Uthmaniyyah.

Kuasa dan prestij Empayar Uthmaniyyah memuncak pada abad ke-16 dan ke-17, khususnya ketika pemerintahan Sulaiman al-Qanuni. Empayar ini sering bertembung dengan Empayar Rom Suci dalam kemaraannya tanpa putus-putus ke arah Eropah Tengah melalui rantau Balkan dan bahagian selatan Komanwel Poland-Lithuania.[3] Di laut, empayar ini bersaing dengan Liga-Liga Suci yang terdiri daripada Sepanyol Habsburg, Republik Venice dan Kesatria Santo Yohanes demi menguasai Mediterranean. Di Lautan Hindi, tentera laut Uthmaniyyah kerap bertembung dengan armada Portugis demi mempertahankan monopoli turun-temurun ke atas laluan-laluan perdagangan maritim antara Asia Timur dan Eropah Barat; laluan-laluan ini berdepan dengan persaingan baru dengan penemuan Tanjung Harapan oleh Portugis pada tahun 1488. Selain itu, Uthmaniyyah adakalanya berperang dengan Parsi gara-gara pertikaian wilayah atau disebabkan oleh perbezaan agama pada abad ke-16 hingga ke-18.[25]

Dalam hampir dua abad mengalami kejatuhan, Empayar Uthmaniyyah beransur-ansur mengecil dari segi keluasan tanah, kekuatan tentera dan kekayaan. Ia terlibat dalam Perang Dunia Pertama di sisi Kuasa Tengah dan akhirnya dikalahkan. Dalam perang ini, sekitar 1.5 juta orang Armenia diarah berpindah lalu dihapuskan dalam peristiwa Genosid Armenia.[26][27] Pembunuhan beramai-ramai secara besar-besaran turut dilakukan terhadap kelompok minoriti lain dalam empayar itu, seperti kaum Yunani dan Assyria.[28][29][30] Ekoran Gencatan Senjata Mudros pada 30 Oktober 1918, Pihak Berikat selaku pemenang memecahkan negara Uthmaniyyah melalui Perjanjian Sèvres 1920.[24]

Zaman Republik

Rencana utama: Pembaharuan Atatürk
Kemal Atatürk, presiden pertama Turki.

Pendudukan Constantinople dan Smyrna oleh Pihak Berikat selepas Perang Dunia Pertama mencetuskan penubuhan Gerakan Kebangsaan Turki.[3] Di bawah kepimpinan Mustafa Kemal Pasha, seorang komander tentera yang tersohor ketika Pertempuran Gallipoli, lancarnay Perang Kemerdekaan Turki yang bertujuan menarik balik terma-terma Perjanjian Sèvres.[31]

Pada 18 September 1922, tentera-tentera pendudukan sudahpun diusir, dan tertubuhnya sebuah negara Turki baru. Pada 1 November, parlimen yang baru ditubuhkan secara rasminya membubarkan Kesultanan, maka berakhirnya 623 tahun di bawah pemerintahan Uthmaniyyah. Perjanjian Lausanne 24 Julai 1923 membawa kepada pengakuan antarabangsa akan "Republik Turki" yang baru dibentuk sebagai negara pewaris Empayar Uthmaniyyah, dan republik tersebut diisytiharkan secara rasmi pada 29 Oktober 1923, di ibu negara baru iaitu Ankara.[3]

Mustafa Kemal menjadi Presiden Turki yang pertama lalu memperkenalkan banyak pembaharuan radikal yang bertujuan menubuhkan sebuah republik sekular baru daripada tinggalan zaman silam Uthmaniyyah.[3] Mengikut Undang-Undang Nama Keluarga, parlimen Turki memberi Mustafa Kemal nama keluarga kehormat "Atatürk" (Bapa Turki) pada tahun 1934.[31]

Turki kekal berkecuali sepanjang Perang Dunia Kedua tetapi bersekutu dengan Pihak Berikat sebagai tanda sokongan istiada pada 23 Februari 1945, kemudian menjadi salah satu anggota piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun yang sama.[4] Kesukaran yang dihadapi oleh Yunani selepas perang dalam meredakan pemberontakan komunis di samping tuntuan Kesatuan Soviet untuk membina pangkalan tentera di Selat Turki, menyeru Amerika Syarikat untuk mengisytiharkan Doktrin Truman pada tahun 1947, yang mengemukakan niat AS untuk menjamin keselamatan Turki dan Yunani, sehingga kedua-dua negara itu menerima sokongan tentera dan ekonomi AS.[32]

Selepas menyertai angkatan PBB dalam Perang Korea, Turki menyertai NATO pada tahun 1952, untuk menjadi benteng terhadap peluasan Soviet ke dalam rantau Mediterranean. Selepas sedekad keganasan antara kaum di pulau Cyprus dan rampasan kuasa tentera Yunani pada Julai 1974 yang menggulingkan Presiden Makarios lalu mengangkat Nikos Sampson sebagai diktator, Turki menyerang Republik Cyprus pada tahun 1974. Sembilan tahun kemudian, tertubuhnya Republik Turki Cyprus Utara yang hanya diiktiraf oleh Turki.[33]

Zaman parti tunggal berakhir pada tahun 1945, dan disusuli oleh zaman peralihan yang huru-hara ke arah demokrasi berbilang parti pada puluhan tahun berikutnya, tetapi ia disampuk oleh rampasan kuasa tentera pada tahun 1960, 1971, 1980 dan 1997.[34] Pada tahun 1984, PKK melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Turki. Konflik yang meragut lebih 40,000 nyawa ini masih berterusan hingga hari ini.[35] Semenjak peliberalan ekonomi Turki pada 1980-an, negara ini telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kestabilan politik yang lebih kukuh.[36]