Politik Turki

Turki ialah republik berpresiden sejak 9 Julai 2018. Semenjak penubuhan republik pada tahun 1923, Turki telah mengembangkan tradisi sekular yang utuh.[37] Perlembagaan Turki mentadbir kerangka undang-undang negara, dan menggariskan rukun-rukun utama kerajaan serta menetapkan Turki sebagai negara unitari yang terpusat.

Presiden Republik ialah ketua negara yang pokoknya berperanan istiadat. Presiden dipilih untuk penggal lima tahun oleh pilihan raya langsung. Abdullah Gül dipilih sebagai presiden oleh undian parlimen pada 28 Ogos 2007, mengganti Ahmet Necdet Sezer.[38]

Kuasa eksekutif dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Majlis Menteri-Menteri yang membentuk pemerintahan, manakala kuasa perundangan pula terletak di tangan parlimen ekadewan, iaitu Perhimpunan Kebangsaan Agung Turki. Para menteri selalunya tetapi tidak semestinya ahli parlimen.Cabang kehakiman pula bebas daripada badan eksekutif dan perundangan, dan Mahkamah Perlembagaan ditugaskan untuk memastikan kepatuhan undang-undang dan dekri-dekri negara dengan perlembagaan. Majlis Negara ialah tribunal muktamad bagi kes-kes pentadbiran, sementara Mahkamah Rayuan Tinggi pula sama untuk kes-kes lain.[39]

Perdana menteri dipilih oleh parlimen secara undi percaya dalam kerajaan dan selalunya merupakan ketua parti politik yang paling banyak kerusinya di parlimen. Perdana menteri sekarang ialah bekas datuk bandar İstanbul, Recep Tayyip Erdoğan, dari parti AKP yang memenangi majoriti mutlak kerusi parlimen di pilihan raya umum 2002 yang diadakan ekoran krisis ekonomi tahun 2001, dengan 34% undian.[40]

Recep Tayyip Erdoğan telah dua kali dipilih sebagai Perdana Menteri sejak 2002, dan partinya memenangi 47% undian pada pilihan raya umum 2007.

Pada tahun 2007, selepas AKP mempertahankan majoriti di Parlimen pada pilihan raya umum,[41] timbulnya beberapa peristiwa yang menyentuh dasar sekular negara dan peranan kehakiman dalam cabang perundangan. Antaranya ialah pemilihan Abdullah Gül sebagai Presiden, yang pernah terlibat dengan parti-parti Islamis;[42] serta cadangan kerajaan untuk memansuhkan larangan bertudung dalam universiti yang dibatalkan oleh Mahkamah Perlembagaan, menyebabkan parti pemerintah didenda dan hampir diharamkan.[43]

Hak mengundi sejagat untuk kedua-dua jantina telah dilaksanakan di seluruh Turki sejak tahun 1933. Setiap warganegara Turki yang mencapai usia 18 tahun berhak untuk mengundi. Pada tahun 2004, terdapat 50 parti politik yang berdaftar di negara.[44] Mahkamah Perlembagaan boleh menarik balik pembiayaan awam parti politik yang didapatinya anti-sekular atau pemisah, ataupun mengharamkan kewujudannya sama sekali.[45][46]

Terdapat 550 orang ahli parlimen yang dipilih untuk penggal empat tahun oleh sistem perwakilan berkadar senarai parti dari 85 daerah pemilihan yang mewakili 81 wilayah pentadbiran di Turki (İstanbul terbahagi kepada tiga daerah pilihan raya, manakala Ankara dan İzmir masing-masing dibahagikan kepada dua kerana jumlah penduduknya yang ramai). Untuk mengelakkan parlimen tergantung yang boleh mendatangkan perpecahan politik yang berlarutan, hanya parti-parti yang meraih sekurang-kurangnya 10% undian yang dibuang dalam pilihan raya parlimen negara yang mendapat hak pewakilan dalam parlimen.[44] Disebabkan had minimum ini, dalam pilihan raya 2007 hanya tiga parti yang memasuki parlimen secara rasmi (berbanding dua pada tahun 2002).[47][48]

Hubungan luar

Turki ialah sebuah negara pengasas OECD dan G-20 ekonomi utama.

Turki ialah sebuah negara pengasas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (1945), OECD (1961), OIC (1969), OSCE (1973), ECO (1985), BSEC (1992) dan G-20 ekonomi utama (1999). Pada 17 Oktober 2008, Turki dipilih untuk menjadi seorang ahli bukan tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.[49] Keanggotaan Turki dalam majlis tersebut bermula pada 1 Januari 2009.[49] Turki pernah menganggotai Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1951–1952, 1954–1955 dan 1961.[49]

Selaras dengan orientasi kebaratannya, hubungan dengan Eropah sentiasa menjadi titik tengah dasar luar Turki. Turki pernah menjadi anggota pengasas Majlis Eropah pada tahun 1949, memohon keahlian sekutu Komuniti Ekonomi Eropah (pendahulu Kesatuan Eropah) pad tahun 1959 lalu menjadi ahli sekutu pada tahun 1963. Setelah berpuluh-puluh tahun berunding, Turki memohon keahlian penuh EEC pada tahun 1987, menjadi ahli sekutu Kesatuan Eropah Barat pada tahun 1992, mencapai persetujuan Kesatuan Kastam dengan EU pada tahun 1995 dan pernah rundingan rasmi demi menyertai EU sejak tahun 2005.[10]

Sejak tahun 1974, Turki tidak memperakui Republik Cyprus (atau Cyprus Yunani) sebagai pemerintah tunggal pulau itu, sebaliknya menyokong masyarakat Cyprus Turki dalam bentuk Republik Turki Cyprus Utara de facto yang hanya diiktiraf oleh Turki.[50]

Satu lagi aspek penting dalam hubungan luar Turki ialah hubungannya dengan Amerika Syarikat. Atas dasar ancaman bersama dari Kesatuan Soviet, Turki menyertai NATO pada tahun 1952 untuk mengeratkan hubungan dua hala dengan Washington sepanjang Perang Dingin. Dalam suasana pasca–Perang Dingin, kepentingan geostrategik Turki beralih ke arah kehampirannya dengan Timur Tengah, Kaukasus dan Balkan. Sebagai balasan, Turki mendapat faedah daripada sokongan politik, ekonomi dan diplomasi Amerika Syarikat, termasuk isu-isu utama seperti bidaan Turki untuk menyertai EU.

Kemerdekaan negara-negara Turkik dari Kesatuan Soviet pada tahun 1991, yang berkongsi warisan kebudayaan dan bahasa dengan Turki, membolehkan Turki meluaskan hubungan ekonomi dan politiknya ke dalam Asia Tengah,[51] sekaligus membolehkan penyiapan talian paip petroleum dan gas asli yang bernilai berbilion dolar dari Baku, Azerbaijan ke pelabuan Ceyhan di Turki. Talian paip Baku–Tbilisi–Ceyhan membentuk sebahagian strategi dasar luar Turki untuk menjadi pembuluh tenaga ke Barat. Bagaimanapun, sempadan Turki dengan Armenia, sebuah negara Kaukasus, masih ditutup berikutan pendudukan wilayah Azerinya ketika Perang Nagorno-Karabakh.[52]

Tentera

Rencana utama: Angkatan Tentera Turki
Turki menganggotai NATO pada tahun 1952.

Angkatan Tentera Turki terdiri daripada Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Gendarmerie dan Pengawal Pantai beroperasi di bawah Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negara pada zaman damai, tetapi masing-masing dibawa ke bawah perintah Tentera Darat dan Laut sewaktu berperang, barulah mereka mendapat penguatkuasaan undang-undang dalaman dan fungsi ketenteraan.[53]

Tentera Turki merupakan angkatan bersenjata yang paling ramai anggota tetap dalam NATO, mengekori Tentera Amerika Syarikat, dengan sejumlah lebih sejuta kakitangan beruniform yang berkhidmat di kelima-lima cabangnya.[54] Turki dianggap sebagai kuasa tentera terbesar di Timur Tengah di samping Israel.[55]

Setiap warganegara lelaki Turki yang tegap diwajibkan untuk berkhidmat dalam tentera (melainkan dilarang) dalam masa tiga minggu hingga 15 bulan, bergantung pada pendidikan dan tempat kerja.[56] Turki tidak menerima pengingkar turut hati nurani dan tidak menawarkan alternatif awam kepada khidmat tentera.[57]

Boeing 737 AEW&C MESA Peace Eagle of the Turkish Air Force.

Turki adalah salah satu daripada lima buah negara anggota NATO yang membentuk dasar perkongsian nuklear dalam perikatan, bersama dengan Belgium, Jerman, Itali, dan Belanda.[58] Sejumlah 90 bom nuklear B61 ditempatkan di Pangkalan Udara Incirlik; 40 daripadanya diperuntukkan kepada Tentera Udara Turki.[59]

Pada tahun 1998, Turki mengumumkan program pemodenan bernilai AS$160 bilion sepanjang tempoh 20 tahun dalam pelbagai projek termasuk kereta kebal, pesawat pejuang, helikopter, kapal selam, kapal perang dan raifal gempur.[60] Turki ialah sebuah penyumbang Tahap 3 kepada program Joint Strike Fighter (JSF).[61]


Turki telah menghantar tenteranya ke misi antarabangasa di bawah PBB dan NATO sejak 1950, termasuk misi pengamanan di Somalia dan bekas Yugoslavia, serta menyokong tentera campuran dalam Perang Teluk. Turki menyimpan 36,000 orang askar di Cyprus utara; kehadiran mereka disokong dan dihalalkan oleh kerajaan tempatan de facto, tetapi Republik Cyprus dan masyarakat antarabangsa menganggapnya sebagai tentera pendudukan haram, dan kehadirannya pernah dikecam dalam beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB.[62] Turki pernah menghantar tentera ke Afghanistan untuk menyertai angkatan penstabilan AS dan Angkatan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) perintahan NATO yang diluluskan oleh PBB sejak tahun 2001.[54][63]

Ketua Turus Am dilantik oleh presiden dan bertanggungjawab kepada perdana menteri. Majlis Menteri-Menteri bertanggungjawab kepada parlimen atas hal-ehwal keselamatan negara serta kebersediaan tentera untuk mempertahankan negara. Bagaimanapun, kuasa untuk mengisytiharkan perang serta menghantar Tentera Turki ke negara luar atau membenarkan tentera negara asing berpangkalan di Turki hanya terletak dalam tangan parlimen.[53] Komander sebenar tentera ialah Ketua Turus Am General Işık Koşaner sejak 30 Ogos 2010.[64]