Politik Kanada

Rencana utama: Politik Kanada
Bukit Parlimen di ibu negara Kanada, Ottawa

Kanada mempunyai tradisi demokratik kukuh yang diluhurkan oleh kerajaan berparlimen dalam binaan raja berperlembagaan, iaitu monarki Kanada sebagai asas kepada cabang-cabang eksekutif, perundangan, dan kehakiman dan kewibawaannya yang berpunca daripada rakyat Kanada.[94][95][96][97] Ketua negara ialah Ratu Elizabeth II, yang juga ketua negara 15 negara Komanwel lain dan bersemayam di United Kingdom. Oleh itu, wakil baginda, iaitu Gabenor Jeneral Kanada (kini David Lloyd Johnston[98]), melaksanakan tugas-tugas diraja di Kanada.[99]

Penyertaan kerabat diraja dan wizurai dalam pentadbiran kerajaan adalah terhad, namun;[97][100][101][102] secara amali, penggunaan kuasa eksekutif mereka diarah oleh Jemaah Menteri yang terdiri daripada menteri-menteri Mahkota yang bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat dan diketuai oleh Perdana Menteri Kanada (kini Stephen Harper[103]) selaku ketua kerajaan. Untuk memastikan kestabilan kerajaan, Gabenor Jeneral biasanya melantik pemimpin semasa parti politik yang boleh meraih keyakinan kemajmukan dalam Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri yang memilih Jemaah Menteri.[104] Oleh itu, Jabatan Perdana Menteri (Prime Minister's Office, PMO) ialah salah sebuah institusi paling berwibawa dalam kerajaan yang memulakan perundangan untuk kelulusan parlimen serta memilih untuk perlantikan oleh Raja, selain yang dinyatakan tadi, gabenor jeneral, leftenan gabenor, senator, hakim mahkamah persekutan, dan ketua-ketua perbadanan-perbadanan Mahkota dan agensi-agensi kerajaan.[100] Ketua parti yang kedua terbanyak kerusinya biasanya menjadi Ketua Pembangkang Setia Baginda (kini Michael Ignatieff[105]) dan membentuk sistem parlimen pertentangan yang bertujuan mengawal tindakan kerajaan.

Dewan Senat dalam Centre Block di Bukit Parlimen

Setiap Ahli Parlimen Dewan Rakyat dipilih secara kemajmukan mudah dari setiap daerah pilihan raya. Pilihan raya umum mesti diumumkan oleh gabenor jeneral atas nasihat perdana menteri, dalam masa empat tahun pilihan raya sebelumnya, ataupun boleh dicetuskan oleh pemerintah yang kalah dalam undian kepercayaan dalam Dewan Rakyat.[106] Ahli-ahli Senat diperuntukkan kerusi mengikut kawasan dan berkhidmat hingga usia 75 tahun.[107]

Struktur persekutuan Kanada mengagihkan tanggungjawab pemerintahan antara kerajaan persekutuan dan sepuluh provinsinya. Badan-badan perundangan provinsinya adalah ekadewan dan serupa kefungsiannya dengan Dewan Rakyat.[108] Tiga wilayah Kanada juga ada cabang perundangan, tetapi tidak berdaulat dan kurangnya tanggungjawab berperlembagaan berbanding provinsi di samping perbezaan struktur.[109][110]

Undang-undang

Perlembagaan Kanada ialah undang-undang tertinggi negara yang terdiri daripada perkara-perkara bertulis dan resam-resam tak bertulis.[111] Akta Perlembagaan 1867 (dikenali sebagai Akta Amerika Utara British hingga tahun 1982) menegaskan ketadbiran berasaskan duluan parlimen yang "serupa prinsipnya dengan United Kingdom"[112] dan membahagikan kuasa antara kerajaan persekutuan dan provinsi; Statut Westminster 1931 memberikan autonomi penuh; dan Akta Perlembagaan 1982 memperkenalkan Piagam Hak dan Kebebasan Kanada yang menjamin hak-hak dan kebebasan asas yang biasanya tidak boleh diatasi oleh mana-mana tahap kerajaan—kecuali satu notwithstanding clause yang membenarkan parlimen persekutuan dan badan perundangan provinsi untuk membatalkan seksyen-seksyen tertentu pada Piagam selama lima tahun—serta membubuh formula pemindaan perlembagaan.[111]

Interaksi awal orang Kanada keturunan Eropah dengan golongan Bangsa Pertama dan Inuit agak damai walaupun bukan tanpa pertelagahan. Ditambah pula dengan pembangunan ekonomi yang lewat di sesetengah kawasan, sejarah kedamaian ini membolehkan orang Pribumi Kanada memberikan pengaruh yang agak kuat kepada budaya negara sambil memelihara jati diri sendiri.[113] Kerajaan Kanada dan golongan orang asli mula berhubungan sesama sendiri sewaktu zaman penjajahan Eropah, melibatkan pengasasan Perjanjian bernombor, Akta Indian, Akta Perlembagaan 1982 dan undang-undang kes.[114] Sebelas perjanjian berturut-turut ditandatangani oleh golongan Pribumi di Kanada dan Raja Kanada mulai tahun 1871 hingga 1921.[115] Perjanjian-perjanjian dengan Kerajaan Kanada ini ditadbir oleh undang-undang Pribumi Kanada dan dipantau oleh Menteri Hal Ehwal Indian dan Pembangunan Utara. Peranan perjanjian tersebut ditegaskan lagi oleh Seksyen 35 Akta Perlembagaan 1982 yang "mengiktiraf dan menegaskan hak-hak Pribumi dan perjanjian yang sedia ada".[114] Antara hak-hak ini termasuk peruntukan perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan dan pengecualian daripada pencukaian.[116] Kerangka undang-undang dan dasar yang diusahakan oleh Kanada dan Bangsa-Bangsa Pertama ini diformalkan lagi pada tahun 2005, menerusi First Nations–Federal Crown Political Accord (Muafakat Politik Bangsa Pertama–Kerajaan Persekutuan), yang mengasaskan kerjasama sebagai "batu asas persahabatan antara [kerajaan] Kanada dan Bangsa-Bangsa Pertama".[114]

Mahkamah Agung Kanada di Ottawa, di barat Bukit Parlimen

Cabang kehakiman Kanada memainkan peranan penting dalam mentafsir undang-undang serta berkuasa membatalkan undang-undang yang menyalahi Perlembagaan. Mahkamah Agung Kanada ialah mahkamah tertinggi dan pemutus muktamad pertikaian undang-undang di Kanada.[117]Ahli-ahlinya yang sembilan orang dilantik oleh gabenor jeneal atas nasihat Perdana Menteri dan Menteri Keadilan. Semua hakim di peringkat tertinggi dan rayuan dilantik selepas rundingan dengan badan-badan perundangan bukan kerajaan. Kabinet persekutuan juga melantik hakim ke dalam mahkamah tinggi di peringkat provinsi dan wilayah. Jawatan kehakiman di peringkat rendah provinsi dan wilayah pula diisi oleh kerajaan masing-masing.[118]

Common law diamalkan di seluruh negara kecuali Quebec yang didominasi oleh undang-undang sivil.[119]Undang-undang jenayah dipertanggungjawabkan kepada persekutuan sahaja dan adalah seragam di seluruh Kanada.[119] Penguatkuasaan undang-undang, termasuk mahkamah jenayah, ialah tanggungjawab provinsi, tetapi di kawasan luar bandar semua provinsi kecuali Ontario dan Quebec, kerja polis dikontrak kepada Polis Berkuda Kanada Diraja.[120]

Hubungan luar dan tentera

Sebuah pesawat CF-18 Hornet milik Kanada di Cold Lake, Alberta. CF-18 telah menyokong rondaan kedaulatan udara NORAD serta menyertai pertempuran dalam Perang Teluk dan krisis Kosovo dan Bosnia.

Kanada dan Amerika Syarikat berkongsi sempadan tanpa pertahanan yang terpanjang di dunia, bekerjsama dalam kempen dan latihan ketenteraan, dan juga rakan dagang terbesar satu sama lain.[121] Walau apapun, Kanada mengamalkan dasar luar negara yang bebas, terutamanya menjalin hubungan penuh dengan Cuba serta menolak pelawaan untuk mengambil bahagian secara rasmi dalam Perang Iraq. Kanada juga menjalin hubungan bersejarah dengan United Kingdom dan Perancis serta bekas tanah jajahan British dan Perancis yang lain menerusi keahlian Kanada dalam Negara-Negara Komanwel dan Francophonie.[122]Kanada terkenal kerana menjalin hubungan yang utuh dan positif dengan Belanda, dan kerajaan Belanda mengamalkan tradisi menghadiahkan bunga tulip (satu lambang Belanda) ke Kanada setiap tahun untuk memperingati sumbangan Kanada kepada pembebasan Belanda.[61]

Sekarang, Kanada mempunyai angkatan tentera sukarelawan profesional yang terdiri daripada seramai 67,000 askar tetap dan 43,000 kakitangan simpanan termasuk simpanan tambahan.[123] Tentera Kanada (Canadian Forces, CF) terdiri daripada tentera darat, tentera laut, dan tentera udara. Kanada ialah sebuah negara berindustri yang berkembang pesat dalam sektor sains dan teknologi. Sejak Perang Dunia Pertama, Kanada telah menghasilkan sendiri kapal-kapal Frigate and Destroyer, kereta perisai infantri, peluru berpandu anti-kereta kebal dan senjata kecil untuk Tentera Kanada, khususnya tentera darat dan laut.

Disebabkan hubungan erat dengan Empayar British dan Komanwel, Kanada banyak bergiat dalam misi ketenteraan British dalam Perang Boer Kedua dan kedua-dua Perang Dunia. Sejak itu, Kanada mendukung amalan multilateralisme dan berusaha untuk menyelesaikan permasalahan global bersama bangsa-bangsa lain.[124][125] Kanada ialah sebuah negara pengasas PBB pada tahun 1945 dan NATO pada tahun 1949. Ketika Perang Dingin, Kanada ialah salah satu penyumbang utama kepada angkatan PBB dalam Perang Korea serta menubuhkan Pusat Kawalan Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (North American Aerospace Defense Command, NORAD) dengan kerjasama Amerika Syarikat demi perlindunga daripada kemungkinan serangan udara dari Kesatuan Soviet.[126]

Kapal frigat kelas Halifax HMCS Regina, sebuah kapal perang milik Tentera Laut Kanada (2004)

Sewaktu Krisis Suez pada tahun 1956, bakal Perdana Menteri Lester B. Pearson melegakan ketegangan dengan mengusulkan kemasukan Angkatan Pengamanan PBB, oleh itu beliau dihadiahkan Hadiah Keamanan Nobel 1957.[127]Memandangkan inilah misi pengamanan PBB yang pertama, Pearson sering dihargai sebagai pencipta konsep pengamanan. Sejak itu, Kanada mengambil bahagian dalam lebih 50 misi pengamanan, termasuk setiap satu usaha pengamanan PBB hingga tahun 1989,[57] dan sejak itu menghantar angkatan ke dalam misi antarabangsa di Rwanda, bekas Yugoslavia, dan lain-lain; Kanada adakalanya berdepan dengan kontroversi mengenai pelibatannya di negara luar, khususnya dalam Peristiwa Somalia1993.[128]

Provinsi dan wilayah

Kanada ialah sebuah negara persekutuan yang terdiri daripada 10 provinsi (province) dan tiga wilayah (territory) yang boleh dihimpunkan kepada kawasan:Kanada Barat, Kanada Tengah, Kanada Atlantik, dan Kanada Utara (Kanada Utara terdiri daripada tiga wilayah: Yukon, Wilayah Utara, dan Nunavut). Kanada Timur memaksudkan Kanada Tengah dan Kanada Atlantik sekali. Provinsi-provinsi lebih kuasa autonomi berbanding wilayah. Provinsi-provinsi ini bertanggungjawab atas kebanyakan rancangan sosial Kanada (seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, dan kebajikan) dan bersama-sama mengutip lebih banyak hasil berbanding kerajaan persekutuan, dalam suatu struktur yang agak unik berbanding negara-negara persekutuan yang lain di dunia. Dengan kuasa perbelanjaannya, kerajaan persekutuan boleh melaksanakan dasar-dasar kebangsaan di kawasan provinsi, seperti Akta Kesihatan Kanada; provinsi boleh memilih untuk menerima atau menolaknya, tetapi jarang sekali menolak. Bayaran penyamaan dibuat oleh kerajaan persekutuan untuk memastikan supaya piawaian perkhidmatan dan pencukaian cukup seragam antara provinsi yang berada dan kurang berada.[129]

Sebuah peta Kanada yang boleh diklik mempamerkan sepuluh provinsi dan tiga wilayah, dan ibu negara berkenaan.