Biologi Kuda

Anatomi kuda diperikan oleh banyak istilah khusus. begitu juga dengan umur, warna dan baka kuda.

Jangka hayat dan kitaran hidup

Bergantung pada baka, pengurusan dan persekitaran, kuda jinak moden boleh hidup menjangkau 25 ke 30 tahun.[4] Terdapat juga beberapa ekor kuda yang hidup menjangkau 40-an ke atas.[5] Rekod paling tua yang dapat ditentusahkan adalah dipegang oleh seekor kuda dari abad ke-19 bernama "Old Billy" yang hidup hingga usia 62 tahun.[4]

Tanpa mengira tarikh kelahiran sebenarnya, mengikut adat resam pertandingan, umur seseekor kuda ditambah umur setahun hanya pada 1 Januari setiap tahun di Hemisfera Utara[4][6] dan setiap 1 Ogos di Hemisfera Selatan,[7] kecuali untuk lumba kuda lasak, yang mana usia minimum untuk bertanding adalah berasaskan umur jitu sebenar kuda.[8]

Saiz dan ukuran

Ketinggian kuda diukur hingga ke titik tertinggi kelasa, iaitu di mana leher bertemu dengan belakang.[9] Titik ini digunakan kerana ia merupakan titik anatomi yang stabil, tidak seperti kepala atau leher yang naik turun berhubung dengan tubuh kuda.

Dunia berbahasa Inggeris mengukur ketinggian kuda dengan tangan dan inci: satu tangan bersamaan dengan 4 inci (101.6 mm). Ketinggian disebut sebagai bilangan tangan yang bundar, diikuti oleh titik, diikuti bilangan inci tambahan, dan berakhir dengan singkatan "h" atau "hh" (untuk "hands high"). Oleh itu, seekor kuda yang berukuran "15.2 h" adalah 15 tangan tambah 2 inci, iaitu tinggi sejumlah 62 inci (157.5 cm).[10]

Saiz banyak berbeza antara baka kuda, as misalnya antara kuda bersaiz penuh dengan kuda mini ini.

Saiz kuda berbeza-beza mengikut baka, malah juga dipengaruhi oleh pemakanan. Kuda tunggangan ringan lazimnya mencapai tinggi 14 to 16 tangan (56 to 64 inci, 142 to 163 cm) dan berat 380 hingga 550 kilogram (840 hingga 1,210 lb).[11] Kuda tunggangan yang lebih besar pula berukuran sekurang-kurangnya 15.2 tangan (62 inci, 157 cm), tetapi lazimnya mencapai ketinggian 17 tangan (68 inci, 173 cm), dan beratnya 500 hingga 600 kilogram (1,100 hingga 1,300 lb).[12] Kuda penarik pula tidak kurang 16 tangan (64 inci, 163 cm) tingginya dan boleh mencecah 18 tangan (72 inci, 183 cm). Beratnya sekitar 700 hingga 1,000 kilogram (1,500 hingga 2,200 lb).[13]

Kuda padi

Rencana utama: Kuda padi

Kuda padi ditakrifkan sebagai kuda yang membesar hingga takat yang lebih kecil berbanding kuda yang biasa. Mengikut kelaziman, seekor kuda dikira sebagai kuda padi atau pony jika ia mencapai ketinggian dewasa di bawah 14.2 tangan (58 inci, 147 cm).[14] Namun demikian terdapat sesetengah pihak yang mengenakan had tinggi yang berbeza. Misalnya di Australia, kuda yang tingginya di bawah 14 tangan (56 inci, 142 cm) dikira sebagai kuda padi.[15] Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) selaku penaung sukan berkuda sedunia menggunakan ukuran metrik dan menakrifkan kuda padi sebagai kuda yang berukuran kurang daripada 148 sentimeter (58.27 in) tingginya setakat bonggol tanpa ladam, iaitu sedikit lebih daripada 14.2 tangan, dan 149 sentimeter (58.66 in), atau sedikit lebih daripada 14.2½ tangan jika memakai ladam.[16]

Genetik

Kuda memiliki 64 kromosom.[17] Genom kuda dijujukkan pada tahun 2007, mengandungi 2,700 juta pasangan bes DNA,[18] iaitu lebih besar daripada genom anjing, tetapi lebih kecil daripada genom manusia atau lembu.[19] Peta genom kuda tersedia untuk para penyelidik.[20]

Warna dan corak

Bay (serba perang hitam, kiri) dan Berangan (serba perang cerah) adalah dua warna bulu kuda yang paling utama, terdapat pada hampir kesemua baka.

Kuda terdiri daripada pelbagai warna bulu dengan corak bintik tersendiri yang diperikan dengan peristilahan yang khusus. Selalunya, seseekor kuda dikelaskan mengikut warna bulunya sekali dengan baka dan jantina.[21] Kuda-kuda yang sama warna pun bolrh dibezakan mengikut tanda-tanda putihnya[22] yang antara pelbagai percorakan bintiknya diwarisi secara berasingan dengan warna bulu.[23]

Telah dikenalpastinya sejumlah besar gen yang menentukan warna dan corak bulu kuda. Ujian genetik masa kini boleh mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 alel berlainan yang mempengaruhi warna bulu,[24] sementara usaha penyelidikan terus menemui gen-gen baru yang dikaitkan dengan sifat-sifat tertentu. Warna bulu kuda yang umum iaitu merah berangan (chestnut) dan hitam adalah ditentukan oleh gen yang dikawal oleh reseptor melanokortin 1,[25] yang juga dikenali sebagai "gen sambungan" atau "faktor merah,"[24] kerana bentuk resesifnya adalah berangan sementara bentuk dominannya adalah hitam.[26] Terdapat gen-gen tambahan yang mengawal penindasan warna hitam kepada perbezaan warna anggota dengan badan yang menyebabkan bay, corak berbintik-bintik seperti pinto atau leopard, gen cairan seperti palomino atau dun, dan juga kejadian uban, antara lain-lain faktor yang mewujudkan pelbagai warna bulu yang didapati pada kuda.[24]

Kebanyakan kuda yang kelihatan berwarna putih sebenarnya tidak tepat dilabelkan putih; kuda yang kelihatan "putih" sebenarnya merupakan kuda kelabu yang berusia pertengahan ke lanjut. Kuda kelabu lahir dengan warna yang suram, tetapi bertambah cerah selaras sambil meningkat umur, tetapi lazimnya masih menyimpan kulit hitam di dasar bulu putih (kecuali di dasar tompok putih yang berkulit merah muda). Semamangnya wujud kuda putih sebenar yang dilahirkan dengan bulu yang rata-rata putih dengan kulit merah muda, namun itu jarang-jarang sekali ditemui.[26] Terdapat faktor-faktor genetik berlainan sama sekali yang menghasilkan bulu kuda berwarna putih, termasuk beberapa alel berbeza untuk gen putih dominan dan sabino-1.[27] Bagaimanapun, tidak wujudnya sebarang kuda "balar" yang ditakrifkan sebagai berkulit merah muda serta bermata merah.[28]

Pembiakan dan tumbesaran

Kuda mengandung anak selama kira-kira 340 hari dalam julat purata 320–370 hari,[29] dan lazimnya melahirkan seekor anak sekali; anak kembar jarang-jarang sekali.[30] Anak kuda mampu berdiri dan berlari dalam masa yang singkat selepas dilahirkan.[31] Anak kuda biasanya dilahirkan pada musim bunga. Kitaran estrus seekor ibu kuda berlaku kira-kira sekali dalam 19–22 hari and berlaku dari awal musim bunga hingga musim luruh. Kebanyakan ibu kuda memasuki tempoh anestrus pada musim sejuk, dan oleh itu tidak berkitaran pada masa tersebut.[32] Anak kuda biasanya bercerai susu daripada ibu pada umur empat ke enam bulan.[33]

Sesetengah kuda, terutama sekali kuda muda jantan, mencapai kemampuan untuk membiak pada umur sekitar 18 bulan, tetapi kuda jinak jarang sekali dibenarkan untuk membiakbaka sebelum umur tiga tahun, lebih-lebih lagi kuda betina.[34] Kuda dikira matang pada umur empat tahun walaupun rangkanya pada kebiasaannya masih berkembang hingga umur enam tahun; kematangan juga bergantung pada besar, baka, jantina dan tahap penjagaan kuda. Makin besar kuda itu, maka makin besarlah tulang-tulangnya; maka bukan sahaja tulang-tulangnya menelan masa yang lebih lama untuk membentuk tisu tulang, malahan plat epifisisnya lebih besar dan lebih lama untuk berubah dari rawan menjadi tulang. Plat-plat ini berubah selepas bahagian-bahagian tulang yang lain, malah adalah penting untuk pertumbuhan.[35]

Bergantung pada kematangan, baka dan kerjanya, kuda lazimnya dipasangi pelana dan dilatih untuk ditunggang pada umur dua ke empat tahun.[36] Biarpun kuda lumba belima diturunkan ke balapan pada umur semuda dua tahun di sesetengah negara,[37] namun pada umumnya kuda yang dibiakbaka khusus untuk sukan-sukan seperti dressage hanya dipakaikan pelana until pada umur tiga ke empat tahun kerana tulang ototnya belum berkembang dengan mantap.[38] Untuk sukan lumba kuda lasak pula, kuda hanya mencapai kematangan pada umur lima tahun.[8]

Anatomi

Sistem rangka

Sistem rangka kuda moden.

Rangka kuda terdiri daripada purata 205 batang tulang.[39] Salah satu perbezaan paling ketara antara rangka kuda dengan rangka manusia adalah tiadanya tulang selangka, yang mana batang kaki depan kuda bercantum dnegan turus vertebra oleh selengkap otot, tendon dan ligamen yang melekatkan tulang belikat kepada torso. Batang kaki dan telapuk kuda juga merupakan struktur yang unik. Tulang kaki kuda berbeza perkadarannya dengan tulang kaki manusia. Contohnya, anggota badan yang digelar "lutut" kuda sebenarnya terdiri daripada tulang-tulang karpus yang bersamaan dengan pergelangan tangan manusia. Begitu juga, hok kuda mengandungi tulang-tulang yang bersamaan dengan tulang-tulang buku lali dan tumit manusia. Tulang kering kaki kuda bersamaan dengan tulang tangan atau tapak kaki manusia, sementara ketingnya merupakan tulang sesamoid di antara "tulang kering" (bersamaan dengan tulang metakarpus atau metatarsus manusia) dan falanks proksimal, iaitu terletak di tempat yang bersamaan dengan "buku jari" manusia. Kuda juga tidak mempunyai otot di bawah lutut dan hok di dalam kakinya, sebaliknya hanya ada kulit, rambut, tulang, tendon, ligamen, rawan, dan beraneka tisu khas yang membentuk telapuknya.[40]

Telapuk

Kepentingan terulung kaki kuda disimpulkan oleh pepatah "tiada kaki, tiada kuda".[41] Telapuk kuda berpangkalkan falanks distal yang bersamaan dengan hujung jari manusia, disaluti oleh rawan dan lain-lain tisu lembut khusus yang kaya dengan darah seperti laminae. Kulit telapuk luaran dan hujung tapak kaki diperbuat daripada bahan yang sama seperti kuku manusia.[42] Hasilnya adalah bahawa seekor kuda yang purata berat badannya 500 kilogram (1,100 lb),[43] berjalan di atas tulang-tulang yang sama seperti manusia yang berjalan berjengket-jengket.[44] Untuk perlindungan telapuk dalam keadaan-keadaan tertentu, sesetengah kuda dipakaikan ladam di tapak kakinya oleh tukang ladam profesional. Telapuk itu membesar tanpa henti, maka bagi kebanyakan kuda jinak, telapuknya harus dipotong (dan ladam yang terpakai dilaraskan) setiap lima ke lapan minggu,[45] meskipun telapuk kuda liar menghaus dan tumbuh semula pada kadar yang sesuai untuk rupa buminya.

Gigi

Kuda tersesuai dengan meragut rumput. Pada kuda dewasa terdapat 12 batang gigi acip di hadapan mulutnya yang sesuai untuk menggigit rumput atau dedaun seumpamanya. Terdapat 24 batang gigi yang sesuai untuk mengunyah, iaitu geraham kecil dan geraham di belakang mulut. Kuda jantan dewasa memiliki empat batang gigi tambahan di belakang gigi acip, iaitu suatu jenis 'gigi taring'. Sesetengah kuda, baik jantan mahupun betina, akan juga tumbuh satu hingga empat batang gigi sisa di hadapan geraham, iaitu gigi "serigala" yang lazimnya dicabut kerana boleh mengganggu kekang. Terdapat celah kosong di antara gigi acip dan gigi geraham di mana kekang itu terletak terus di atas gusi, ataupun "palang" di dalam mulut kuda yang dikekang.[46]

Umur kuda boleh dianggarkan dengan mengamati giginya. Gigi itu terus tumbuh sepanjang hidup dan dihauskan dengan meragut. Oleh itu, gigi acip memperlihatkan perubahan sambil kuda itu meningkat usia; gigi itu mendapat corak kehausan yang tersendiri, perubahan pada bentuk gigi, serta perubahan pada sudut pertemuan antara permukaan gigi yang mengunyah. Ini membolehkan penganggaran umur kuda yang kasar sekali, tetapi pemakanan dan penjagaan turut mempengaruhi secepat mana gigi itu haus.[4]

Pencernaan

Kuda merupakan haiwan maun dengan sistem pencernaan yang sesuai untuk pemakanan rumput dan bahan-bahan tumbuhan seumpamanya secara berterusan sepanjang hari. Oleh itu, berbanding dengan manusia, kuda mempunyai perut yang agak kecil tetapi ususnya amat panjang untuk melicinkan aliran zat. Seekor kuda yang beratnya 450-kilogram (990 lb) mampu memakan 7 hingga 11 kilogram (15 hingga 24 lb) makanan sehari serta meminum 38 liter (8.4 imp gal; 10 US gal) hingga 45 liter (9.9 imp gal; 12 US gal) air dalam kegunaan biasa. Kuda bukan ruminan, maka perutnya hanya satu seperti manusia, tetapi tidak seperti manusia, ia mampu mencerna selulosa, iaitu satu komponen utama dalam rumput. Pencernaan selulosa berlku di dalam sekum atau "usus air" yang dilalui oleh makanan sebelum mencapai usus besar. Kuda tidak boleh muntah, maka masalah pencernaan boleh cepat menyebabkan penyakit kolik, iaitu punca utama kematian.[47]

Deria

Mata kuda.

Pancaindera kuda adalah berasaskan tarafnya sebagai haiwan mangsa, yang mana ianya mesti sentiasa peka akan keadaan di sekelilingnya.[48] Mata kuda adalah yang paling besar dalam kalangan semua mamalia daratan,[49] malah terletak di sisi-sisi kepala.[50] Ertinya, kuda memiliki julat penglihatan yang menjangkau 350°, yang mana sekitar 65° daripadanya adalah penglihatan dwimata sementara 285° yang selebihnya penglihatan ekamata.[49] Penglihatan kuda jelas sekali baik siang mahupun malam, tetapi hanya mampu mencerap dua warna; penglihatan warnanya lebih kurang seumpama manusia yang buta warna merah-hijau, yang mana warna-warna yang sepatutnya kemerahan tampak kehijauan.[51] Deria bau kuda, biarpun jauh lebih tajam daripada manusia, namun bukanlah kelebihannya yang terbesar; kuda lebih bergantung pada penglihatan berbanding bau.[48]

Pendengaran kuda itu tajam,[48] malah cuping telinganya boleh berpulas sehingga 180°, maka bolehnya pendengaran 360° tanpa perlu mengalihkan kepala.[52] Hingar mempengaruhi kelakuan kuda, malah hingar-hingar tertentu boleh menyebabkan tekanan: Sebuah kajian di UK pada tahun 2013 menunjukkan bahawa kuda di dalam kandang adalah paling tenang di dalam suasana yang senyap ataupun apabila mendengr lagu rakyat atau klasik, tetapi mempamerkan tanda-tanda kegemuruhan apabila mendengar lagu jazz atau rock. Kajian ini turut mencadangkan supaya muzik dipasangkan di bawah takat 21 desibel.[53] Satu lagi kajian dari Australia mendapati bahawa kuda-kuda lumba yang mendengar radio sembang-sembang mengalami kadar ulser gastrik yang lebih tinggi daripada kuda-kuda yang mendengar lagu, malahan kuda-kuda lumba dikandangkan di tempat radio berkumandang mencatat kadar pemborokan yang lebih tinggi berbanding kuda-kuda yang dikandangkan di tempat tiada radio berkumandang.[54]

Kuda memiliki deria imbangan yang mantap, antara lainnya disebabkan kemampuannya untuk merasai pijakannya serta propriosepsi (deria tanpa sedar akan di mana letaknya badan dan anggotanya sepanjang masa) yang amat maju.[55] Deria sentuh kuda juga maju sekali. Anggota-anggota kulit yang paling peka adalah di sekitar mata, telinga dan hidung.[56] Kuda mampu merasai sentuhan sehalus serangga yang menghinggap di mana-mana pada tubuh.[57]

Deria rasa kuda juga maju sekali, membolehkannya untuk mengasing-asingkan foder dan memilih makanan yang paling digemarinya,[58] malah bibirnya yang boleh paut senang mengasingkan biji-bijian yang sehalus mana pun. Kuda pada umumnya tidak memakan timbuhan beracun, namun itu pun ada kecualinya; adakalanya kuda sanggup makan sejumlah tumbuhan beracun yang toksik walaupun makanan berkhasiat mencukupi.[59]

Pergerakan

Rencana utama: Lenggok jalan kuda
Kuda lumba menderap

Kesemua kuda bergerak semula jadi dengan empat lenggok yang asas, iaitu berjalan berdepak empat yang purata lajunya 6.4 kilometres per hour (4.0 mph); trot berdepak dua pada 13 hingga 19 kilometres per hour (8.1 hingga 11.8 mph); kanter berdepak tiga pada 19 hingga 24 kilometres per hour (12 hingga 15 mph); dan derap.[60] Derap itu puratanya 40 hingga 48 kilometres per hour (25 hingga 30 mph),[61] tetapi rekod dunia untuk kuda yang menderap sepanjang jarak pecutan yang singkat ialah 88 kilometres per hour (55 mph).[62] Selain tiga lenggok asas ini, sesetengah kuda melakukan ligasan sebagai ganti trot.[63] Terdapat juga beberapa gaya "gontai" empat depakan yang lebih kurang selaju ligasan, tetapi lebih senang untuk menunggang. Antaranya ialah rack, jalan lari, dan tölt yang bercorak sisian (lateral) serta fox trot yang bercorak pepenjuru (diagonal).[64] Gaya gontai tersebut biasanya tersemai secara genetik dalam sesetengah baka kuda.[65]

Perilaku

Kuda merupakan haiwan mangsa dengan respons lari atau lawan yang tangkas. Reaksi pertama mereka kepada ancaman adalah terkejut dan berlari pada kebiasaannya, tetapi ia boleh mempertahankan diri tanpa berganjak jika berlari itu mustahil atau jika anaknya diugut.[66] Kuda juga cenderung ingin tahu; apabila terkejut, ianya seing teragak-agak sebentar untuk memastikan punca ketakutannya, dan tidak semestinya berlari dari sesuatu yang ia anggap sebagai tidak mengancam. Kebanyakan baka kuda tunggangan ringan dibiakbakakan untuk kelajuan, ketangkasan, kewaspadaan dan kelasakan; sifat-sifat semula jadi yang dianjurkan daripada leluhur liarnya Akan tetapi, menerusi pembiakbakaan berpilih, sesetengah baka kuda agak jinak, terutamanya jenis-jenis kuda penarik tertentu.[67] Kuda merupakan haiwan berkawanan dengan tatatingkat yang nyata, dipimpin oleh seekor ketua dominan yang lazimnya betina. Kuda juga merupakan makhluk sosial yang mampu membentuk ikatan persahabatan sesama kuda dan juga dengan haiwan jenis lain, termasuk manusia. Kuda berkomunikasi dengan pelbagai cara, termasuk penyuaraan seperti meringkik, saling merapikan badan, dan bahasa gerak-geri. Lazimnya kuda akan sukar diuruskan jika diasingkan, tetapi setelah dilatih, kuda boleh belajar menerima manusia sebagai teman, dan oleh itu mampu selesa berjauhan dari kuda-kuda yang lain.[68] Akan tetapi, jika dikurung dengan kurangnya pertemanan, senaman, atau rangsangan, seseekor kuda mungkin terjebak dalam pelbagai tabiat buruk yang berpunca daripada masalah jiwa, termasuklah mengunyah kayu, menyepak dinding, berbuai-buai mundar-mandir, dan sebagainya.[69]

Kecerdasan dan pembelajaran

Pada zaman dahulu, kuda dianggap tidak pintar, tiada kebolehan pemikiran abstrak, tidak mampu membuat anggapan umum, dan didorong terutama sekali oleh mentaliti kawanan. Bagaimanapun, kajian-kajian moden menunjukkan bahawa kuda melakukan beberapa tugas yang kognitif secara sehari-hari, berdepan dengan cabaran mental yang merangkumi pencarian makanan dan pengenalan sistem sosial. Kuda juga memiliki kebolehan mengarifi ruang.[70] Kajian-kajian telah menilai kecerdasan kuda dalam bidang-bidang penyelesaian masalah, kecepatan belajar, serta daya ingatan pembelajaran. Hasil kajian menunjukkan bahawa kuda cemerlang dalam pembelajaran ringkas, malah mampu menyelesaikan cabaran kognitif lanjutan yang melibatkan pengkategorian dan pembelajaran konsep. Kuda belajar dari pembiasaan, penyahpekaan, pelaziman ala Pavlov, dan pelaziman operan. Kuda bertindak balas dan belajar dari peneguhan positif dan negatif.[70] Kajian terkini turut berpendapat bahawa kuda mampu mengira asalkan bilangannya kurang daripada empat.[71]

Kuda jinak cenderung menghadapi cabaran mental yang lebih besar berbanding kuda liar kerana kuda jinak hidup di persekitaran buatan manusia yang membantutkan sifat kenalurian sambil mempelajari tugas-tugas yang tidak semula jadi.[70] Kuda merupakan makhluk yang terikat pada tabiat, yang mampu bertindak balas dan cepat menyesuaikan diri dengan disiplin yang ketat, serta paling baik bertindak balas apabila rutin dan teknik yang sama dijalankan secara tekal. Sesetengah pelatih percaya bahawa kuda yang "pintar" mencerminkan kepintaran pelatihnya yang menggunakan teknik-teknik perapian respons secara berkesan serta peneguhan positif untuk melatih mengikut gaya yang paling sesuai dengan kecenderungan semula jadi seseekor kuda. Ada juga penjaga kuda yang memperhatikan bahawa personaliti mungkin juga memainkan peranan yang berasingan dengan kepintaran dalam menentukan bagaimana seseekor kuda bertindak balas kepada pelbagai pengalaman.[72]

Pembawaan

Kuda merupakan mamalia, dan oleh yang demikian "berdarah panas", bertentangan dengan reptilia yang berdarah sejuk. Bagaimanapun, istilah-istilah ini telah mendapat pengertian yang berbeza khusus buat peristilahan kuda untuk memerikan pembawaan daripada suhu badan. Misalnya, yang "berdarah panas" (hot-blooded) seperti kebanyakan kuda lumba lebih mempamerkan kepekaan dan tenaga,[73] sementara yang "berdarah sejuk" (cold-blooded) seperti kebanyakan kuda penarik pula lebih senyap dan tenang.[74] Adakalahnya "darah panas" digolongkan sebagai "kuda ringan" atau "kuda tunggangan",[75] sementara "darah sejuk" pula "kuda penarik" atau "kuda kerja".[76]

Ilustrasi baka-baka mengikut pembawaan darah panas, sedang dan sejuk

Antara baka "berdarah panas" termasuk "kuda timur" seperti Akhal-Teke, Arab, Barb dan Turkoman yang kini pupus, serta baka Belima (Thoroughbred) yang dimajukan di Inggeris daripada baka-baka timur yang terdahulu.[73] Kuda berdarah panas selalunya kuat semangat, berani dan cepat belajar. Ianya dibiakbakakan untuk ketangkasan dan kelajuan.[77] Kuda berdarah panas selalunya berkulit jarang halus dan berkaki panjang.[78] Kuda-kuda timur yang asli dibawa ke Eropah dari Timur Tengah dan Afrika Utara sewaktu para pembiakbaka dari Eropah ingin menyemai sifat-sifat ini pada kuda lumba dan kuda tentera ringan.[79][80]

Kuda penarik yang serba berat dan berisi daging digelar "berdarah sejuk" kerana ia dibiakbakakan bukan sahaja untuk kekuatan, malah memerlukan pembawaan tenang dan sabar yang diperlukan untuk menarik bajak atau pedati yang sarat dengan penumpang.[74] Antara baka yang terkenal termasuk Belgium dan Clydesdale.[81] Terdapat sesetengah baka yang lebih ringan dan cergas seperti Percheron, direka untuk menarik pedati atau membajak sawah di kawasan-kawasan beriklim gersang.[82] Ada juga baka yang lebih perlahan tetapi lebih berkuasa seperti Shire, dibiakbakan untuk membajak sawah yang tanahnya tebal dan liat.[83] Kelompok darah sejuk ini turut termasuk sesetengah baka kuda padi.[84]

Baka-baka "berdarah suam" (warmblood) seperti Trakehner atau Belima direka ketika kuda pedati dan kuda perang Eropah dikacukkan dengan kuda Arab atau Belima Inggeris untuk membuahkan kuda tunggangan yang lebih berpekerti halus daripada kuda penarik, tetapi lebih besar dan lebih lembut barannya daripada baka yang lebih ringan.[85] Sesetengah baka kuda padi yang bersifat darah panas telah pun direka untuk penunggang yang berbadan lebih kecil.[86]

Kini, istilah warmblood atau "berdarah suam" memaksudkan baka-baka kuda sukan tertentu yang digunakan untuk pertandingan dalam dressage dan show jumping.[87] Sebenarnya, istilah warmblood memaksudkan sebarang kacukan sesama baka darah panas dan darah sejuk.[88] Antara contohnya ialah Penarik Ireland dan Cleveland Bay. Istilah ini pernah digunakan untuk memaksudkan baka-baka kuda tunggangan ringan selain Belima atau Arab seperti kuda Morgan.[77]

Corak tidur

Sementara sesetengah kuda berbaring untuk tidur, ahli-ahli kawanan yang lain kekal berdiri atau separuh berjaga separuh tidur sambil menjaga keselamatan kawanan.

Kuda mampu tidur sambil berdiri mahupun berbaring. Dalam suatu adaptasi dari hidup secara liar, kuda mampu tidur ringan dengan menggunakan suatu "penambat" di dalam kaki-kakinya yang membolehkannya untuk tidur tanpa rebah.[89] Kuda tidur dengan lebih lena secara berkumpulan kerana sesetengah dibiarkan tidur sementara yang lain berjaga-jaga untuk pemangsa. Seekor kuda yang bersendirian tidak senang tidur disebabkan naluri untuk sentiasa mengawasi untuk bahaya.[90]

Tidak seperti manusia, kuda tidak tidur pada waktu yang tetap dan tidak terputus, sebaliknya banyak kali berehat sejenak-sejenak. Kuda menelan masa empat ke lima belas jam sehari untuk berehat sambil berdiri, di samping berbaring selama beberapa minit ke beberapa jam. Jumlah masa tidur dalam tempoh 24 jam mungkin selama beberapa minit atau beberapa jam,[90] lazimnya dalam selang-selang yang sesingkat 15 minit.[91] Purata jangka masa tidur seekor kuda jinak dikatakan pada 2.9 jam sehari.[92]

Kuda mesti berbaring untuk mencapai tidur REM. Ia hanya perlu berbaring selama satu ke dua jam setiap tempoh hari untuk mencapai keperluan tidur REM asasnya.[90] Bagaimanapun, jika seseekor kuda dilarang sesekali berbaring, selepas beberapa hari ia akan kekurangan tidur, dan jarang-jarang mungkin rebah tiba-tiba sambil ia tertidur REM di luar kawalan sambil masih berdiri.[93] Keadaan ini berbeza dengan narkolepsi, tetapi kuda juga boleh mengalami gangguan ini.[94]

Rujukan

WikiPedia: Kuda http://www.abc.net.au/radionational/programs/scien... http://www.studbook.org.au/DisplayPDF.aspx?ty=RULE... http://www.cbc.ca/quirks/episode/2009/03/07/horsey... http://www.omafra.gov.on.ca/english/livestock/hors... http://www.sfu.ca/~donyang/adnaweb/Cai%20DW%20JAS2... http://www.aqha.com/Home/Racing/~/media/Files/Raci... http://www.baseball-fever.com/showthread.php?p=309... http://www.blackwell-synergy.com/doi/abs/10.1111/j... http://kudakelate.blogspot.com/ http://cs.bloodhorse.com/blogs/nicanor/archive/200...