Sejarah Pertanian

Sebilah sabit penuai Sumeria yang diperbuat daripada tanah liat bakar (kk. 3000 SM).

Sejak permulaannya kira-kira 10,000 tahun yang lalu,[21] pertanian telah berkembang pesat daripada segi keluasan dan hasilnya. Pada sepanjang tempoh perluasan itu, teknologi dan tanaman baharu disepadukan. Walaupun amalan pertanian seperti pengairan, penggiliran tanaman, baja, dan racun perosak sudah lama diperkenalkan, namun pencapaian kemajuan yang besar hanya berlaku pada abad yang lalu. Sejarah pertanian memainkan peranan yang utama dalam sejarah manusia kerana kemajuan pertanian merupakan salah satu faktor yang penting dalam perubahan sosioekonomi di seluruh dunia. Tumpuan kekayaan dan pengkhususan ketenteraan yang jarang ditemui dalam budaya pemburu-pemungut umumnya dilihat dalam masyarakat yang mengamalkan pertanian. Demikian juga halnya dengan seni seperti kesusasteraan epik dan seni bina tersergam dan bersejarah, serta juga sistem undang-undang terkanun. Apabila petani mampu menghasilkan makanan yang melebihi keperluan keluarga masing-masing, orang lain di dalam masyarakat mereka dibebaskan untuk mengabdikan hidup mereka dalam projek bukan pemerolehan makanan. Ahli sejarah dan ahli antropologi telah lama berpendapat bahawa pembangunan pertanian memungkinkan peradaban.

Asal-usul purba

Kawasan Sabit Subur yang terletak di Asia Barat, Mesir, dan India merupakan tapak penyemaian dan penuaian terancang yang terawal terhadap tumbuhan yang dahulunya dipungut dari hutan liar. Perkembangan pertanian yang berasingan berlaku di bahagian utara serta bahagian selatan China, dan di Sahel di Afrika, serta juga di New Guinea dan sebilangan kawasan di benua Amerika. Lapan tanaman yang dikenali sebagai tanaman pengasas Zaman Neolitik ialah: pertamanya gandum emer dan gandum einkorn dan kemudiannya barli tersekam, kacang pea, lentil, vec pahit, kacang kuda, dan flaks.

Menjelang 7000 SM, pertanian skala kecil tiba di Mesir. Sejak sekurang-kurangnya seawal 7000 SM, subbenua India memperlihatkan perladangan gandum dan barli, sebagaimana dibuktikan oleh ekskavasi arkeologi di Mehrgarh, Balochistan. Menjelang 6000 SM, pertanian skala pertengahan berakar umbi di tebing Sungai Nil. Sekitar saat itu, pertanian dibangunkan secara berasingan di Timur Jauh, dengan padi (bukan gandum) dijadikan tanaman utama. Petani Cina dan Indonesia selanjutnya menjinakkan keladi dan kacang, termasuklah kacang hijau, kacang soya, dan azuki. Untuk melengkapi sumber karbohidrat yang baharu ini, penangkapan ikan berjala yang amat teratur di sungai, tasik, dan pantai lautan memperoleh banyak protein yang diperlukan. Kaedah pertanian dan penangkapan ikan yang baharu ini bersama-sama memulakan ledakan kelahiran manusia yang mengerdilkan semua perkembangan dahulu dan masih berterusan pada hari ini.

Menjelang 5000 SM, Sumeria telah membangunkan teknik pertanian teras yang termasuk penanaman giat skala besar, penanaman tanaman tunggal, dan pengairan terancang, serta juga penggunaan tenaga buruh yang khusus, terutamanya di sepanjang jalan air yang kini dikenali sebagai Shatt al-Arab (dari delta Teluk Parsi sehingga kuala Sungai Tigris dengan Sungai Furat). Pembelajinakan aurok dan mouflon liar yang masing-masing menjadi lembu dan biri-biri membawa kepada penggunaan haiwan skala besar sebagai makanan/gentian serta juga sebagai binatang beban. Gembala menyertai petani sebagai pembekal utama dalam masyarakat menetap dan nomad separa. Jagung, ubi kayu, dan ubi garut dijinakkan buat pertama kali di benua Amerika sejauh 5200 SM.[22] Ubi kentang, tomato, lada, labu, dan beberapa jenis kacang, serta juga tembakau, dan berbagai-bagai tanaman yang lain juga dimajukan di Dunia Baharu. Demikian juga halnya dengan peneresan lereng bukit yang curam secara meluas di kebanyakan kawasan Banjaran Gunung Andes di Amerika Selatan. Orang Yunani dan orang Rom memajukan lagi teknik yang dipelopori oleh orang Sumeria tetapi tidak membuat banyak kemajuan yang baharu pada asasnya. Orang Greek selatan bersusah payah mengerjakan tanah mereka yang sangat tidak subur, tetapi berupaya menjadi sebuah masyarakat yang paling berpengaruh buat bertahun-tahun. Orang Rom terkenal kerana menitikberatkan penanaman tanaman untuk perdagangan.

Zaman Pertengahan

Si Penuai (1565). Pieter Bruegel.

Semasa Zaman Pertengahan, para petani di Afrika Utara, Timur Dekat, dan Eropah mula memanfaatkan teknologi pertanian, termasuklah sistem pengairan berdasarkan prinsip hidraulik dan hidrostatik, serta juga mesin noria (kincir air), mesin penaik air, empangan, dan takungan. Kesemua itu, bersama-sama dengan rekaan penggiliran tanaman sistem tiga petak dan bajak sepak, mempertingkat kecekapan pertanian dengan ketara.

Zaman moden

Gambar foto daripada ensiklopedia 1921 yang menampilkan sebuah traktor membajak ladang alfafa.Imej satelit ladang di Minnesota.Imej inframerah ladang. Kepada mereka yang tidak terlatih, imej ini kelihatan terdiri daripada warna yang bercampur aduk, tanpa sebarang tujuan. Namun bagi petani yang kini dilatih, kuning menunjukkan tanaman yang mengalami serangan; merah menunjukkan tanaman yang sihat; hitam menunjukkan kawasan terbanjir; dan perang menunjukkan racun perosak yang tidak diingini di kawasan tanaman yang bebas daripada bahan kimia.

Selepas 1492, suatu pertukaran sejagat terhadap tanaman tempatan dan baka ternakan berlaku. Tanaman utama yang terlibat dalam pertukaran itu termasuk:

Pengeksportan haiwan yang paling penting dari Dunia Lama ke Dunia Baharu ialah kuda dan anjing (anjing sudah wujud di benua Amerika pra-Columbus tetapi tidaklah dalam bilangan dan baka yang sesuai untuk mengerjakan ladang). Walaupun biasanya tidak digunakan sebagai haiwan makanan, kuda (termasuk keldai dan kuda padi) dan anjing pantasnya memainkan peranan pengeluaran di ladang hemisfera Barat.

Ubi kentang kemudian menjadi satu tanaman ruji yang penting di Eropah utara.[23] Sejak jagung dan ubi kayu dibawa masuk ke Afrika oleh orang Portugis pada abad ke-16,[24] kedua-dua tanaman itu telah menggantikan tanaman Afrika yang tradisional sebagai tanaman ruji benua yang paling penting.[25]

Menjelang awal 1800-an, teknik dan alat pertanian, simpanan biji benih, dan kultivar (tumbuhan tanaman yang dipilih dan diberikan nama tersendiri kerana ciri hiasan atau kebergunaannya) telah diperbaik sehingga hasil daripada setiap unit tanah bertambah berkali-kali, berbanding dengan daya pengeluarannya pada Zaman Pertengahan. Dengan kebangkitan penjenteraan yang pesat pada akhir abad ke-19 dan abad ke-20, khususnya dalam penggunaan traktor, kerja perladangan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan pada skala yang mustahil sebelumnya. Kemajuan ini telah menyebabkan kecekapan yang membolehkan sesetengah ladang moden di Amerika Syarikat, Argentina, Israel, dan Jerman, serta sebilangan negara yang lain untuk mempertingkat daya pengeluaran hasil bermutu tinggi pada takat tertinggi yang praktikal.

Kaedah Haber-Bosch untuk mensintesis ammonium nitrat merupakan suatu pencapaian yang cemerlang dan membenarkan hasil tanaman untuk mengatasi kekangan yang dahulu. Pertanian pada abad yang lalu telah dicirikan oleh daya pengeluaran tertingkat, penggantian buruh dengan baja tiruan dan racun perosak, pencemaran air, serta subsidi ladang. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat tindak balas yang hebat terhadap kesan persekitaran luaran bagi pertanian konvensional yang telah melahirkan gerakan organik.

Tiga jenis bijirin, iaitu beras, jagung, dan gandum, membekalkan 60% daripada jumlah makanan manusia.[26] Antara 1700 hingga 1980, "keluasan kawasan tanaman di seluruh dunia naik sebanyak 466%", dengan hasilnya bertambah dengan pesat, terutamanya kerana kelainan pembiakbakaan pilihan yang berhasil tinggi, baja, racun perosak, pengairan, dan jentera.[26] Sebagai contoh, pengairan di Colorado timur meningkatkan hasil jagungnya sebanyak 400% hingga 500% dari 1940 hingga 1997.[26]

Bagaimanapun, kebimbangan telah diutarakan tentang kebolehkekalan pertanian intensif. Pertanian intensif telah dikaitkan dengan kemerosotan mutu tanah di India dan Asia, dan terdapat rasa bimbang yang semakin meningkat tentang kesan buruk baja dan racun perosak pada alam sekitar, khususnya kerana jumlah penduduk serta permintaan makanan kian bertambah. Monokultur yang biasanya digunakan dalam pertanian intensif mengakibatkan pertambahan bilangan perosak yang dikawal menerusi racun perosak. Pengurusan perosak sepadu (IPM), yang "digalakkan selama berdekad-dekad dan telah mencapai setakat kejayaan" tidak banyak mempengaruhi penggunaan racun perosak kerana dasar menggalakkan penggunaannya, selain daripada fakta bahawa IPM sungguh berpengetahuan-intensif.[26] Walaupun "Revolusi Hijau" meningkatkan hasil padi dengan ketara di Asia, tidak terdapatnya sebarang kenaikan hasil yang dilihat pada 15-20 tahun yang lalu.[26] "Potensi hasil" genetik untuk gandum telah meningkat tetapi potensi hasil untuk padi tidak menunjukkan sebarang kenaikan sejak 1966, dengan potensi hasil untuk jagung "hampir tidak naik pada sepanjang tempoh 35 tahun yang lalu".[26] Rumpai yang tahan racun perosak mengambil masa satu atau dua dekad untuk muncul, dengan serangga mencapai ketahanan terhadap racun perosak dalam tempoh sekitar sedekad.[26]

Ekspedisi pemeriksaan teliti pertanian sejak akhir abad ke-19 telah dilancarkan untuk menemukan spesies dan amalan pertanian yang baharu di merata-rata kawasan di dunia. Dua contoh ekspedisi tersebut yang awal termasuk:

Pada 2005, keluaran pertanian China adalah tertinggi di dunia dan terdiri daripada hampir satu perenam daripada seluruh keluaran di dunia, diikuti oleh Kesatuan Eropah, India, dan Amerika Syarikat, menurut Kumpulan Wang Antarabangsa. Ahli ekonomi mendapati bahawa daya pengeluaran di Amerika Syarikat adalah lebih kurang 2.6 kali lebih tinggi daripada daya pengeluarannya pada 1948, berdasarkan ukuran daya pengeluaran faktor keseluruhan pertanian. [29]

Enam buah negara negara (Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Australia, Argentina, dan Thailand) membekalkan 90% daripada eksport gandum di seluruh dunia.[30] Kekurangan air yang dihadapi oleh banyak negara yang sederhana besarnya, termasuk Algeria, Iran, Mesir, dan Mexico, [31] telah mendorong import bijian secara besar-besaran, dengan itu mungkin akan dilakukan juga oleh negara yang lebih besar seperti China dan India.[32]

Rujukan

WikiPedia: Pertanian http://www.scq.ubc.ca/?p=704 http://www.ucalgary.ca/news/feb2007/early-farming/ http://www.atimes.com/atimes/South_Asia/HG21Df01.h... http://www.csmonitor.com/2007/0724/p01s01-wogi.htm... http://www.financialpost.com/story.html?id=213343 http://www.history-magazine.com/potato.html http://www.marketwatch.com/story/bioengineers-aim-... http://news.mongabay.com/2006/1214-unu.html http://environment.newscientist.com/channel/earth/... http://www.nytimes.com/1989/09/08/us/science-acade...