Politik Thailand

Rencana utama: Politik Thailand

Politik negara Thai kini dijalankan dalam kerangka raja berperlembagaan dengan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan dan Raja pewaris takhta sebagai ketua negara. Cabang kehakiman seharusnya bebas bertindak daripada cabang perundangan dan eksekutif, namun tindakan kehakiman disyaki berasaskan kepentingan politik daripada ketentuan undang-undang sedia ada.[16]

Tugu Demokrasi Bangkok menggambarkan Perlembagaan 1932 Constitution di atas dua biji mangkuk sembahan di atas menara kecil.

Semenjak pembaharuan politik dari raja mutlak pada 1932, Thailand telah mempunyai 19 perlembagaan dan piagam.[17][18] Sepanjang tempoh ini, bentuk kerajaan bersilih ganti antara kediktatoran tentera dan demokrasi berpilih, tetapi semua pemerintahan memperakui seorang raja pewaris takhta sebagai ketua negara.[19][20]

Sebelum 1932, Kerajaan Siam tiada badan perundangan kerana semua kuasa perundangan terserah kepada sang raja. Demikianlah caranya sejak penubuhan Kerajaan Sukhothai pada abad ke-12, apabila sang raja dipandang sebagai "Dharmaraja" atau "raja yang memerintah mengikut Dharma", (hukum sila agama Buddha). Namun pada 24 Jun 1932 sekumpulan orang awam dan pegawai tentera yang bergelar Khana Ratsadon (atau Parti Rakyat) menjalankan rampasan kuasa tanpa tumpah darah yang menamatkan 150 tahun pemerintahan mutlak Dinasti Chakri. Sebagai gantinya, kumpulan tersebut memperjuangkan sistem raja berperlembagaan dengan badan perundangan pilihan rakyat.

"Perlembagaan Draf" 1932 yang ditandatangani oleh Raja Prajadhipok (Rama VII) mencipta badan perundangan pertama Thailand, iaitu sebuah Dewan Perhimpuan Rakyat dengan 70 orang ahli lantikan. Perhimpunan bersidang buat julung kali pada 28 Jun 1932 di Dewan Singgahsana Ananta Samakhom. Khana Ratsadon menilai bahawa rakyat belum bersedia untuk perhimpunan pilihan awam, tetapi kemudian berubah pendirian. Ketika perlembagaan "tetap" berkuatkuasa pada Disember 1932, pilihan raya dijadualkan untuk 15 November 1933. Perlembagaan baharu ini mengubah komposisi perhimpuan kepada 78 orang pilihan awam dan 78 orang yang dilantik (oleh Khana Ratsadon), jadi kesemuanya 156 orang ahli.Sejak Mei 2014, Thailand diperintah oleh kerajaan tentera yang bergelar Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara yang sedikit sebanyak memansuhkan perlembagaan 2007, mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung seluruh negara, mengharamkan himpunan politik, menangkap dan menahan ahli-ahli politik dan aktivis-aktivis anti rampasan kuasa, mengetatkan penapisan Internet dan menguasai media massa.

Raja Thailand semasa ialah Raja Vajiralongkorn (or Rama X) yang naik takhta pada 1 Disember 2016 ekoran kemangkatan ayahandanya Bhumibol Adulyadej (Rama IX) pada 13 Oktober 2016. Termaktub dalam perlembagaan bahawa kedaulatan negara terletak pada rakyat tetapi raja akan melaksanakan kuasa-kuasa melalui ketiga-tiga cabang pemerintahan negara Thai. Raja selaku ketua negara diberi kuasa dan peranan tertentu dalam kerajaan walaupun terhad oleh perlembagaan. Menurut perlembagaan, raja ialah ketua angkatan tentera. Baginda dikehendaki menganut agama Buddha serta mempertahankan semua agama di negara. Raja juga memelihara beberapa kuasa tradisional seperti pelantikan pewaris, pengampunan, dan perkenan diraja. Raja dibantu menjalankan tugas oleh Majlis Privi Thailand.

Rujukan

WikiPedia: Thailand http://asiapacific.anu.edu.au/newmandala/2014/05/1... http://rspas.anu.edu.au/pah/human_rights/papers/20... http://www.ctv.ca/servlet/ArticleNews/story/CTVNew... http://asian-efl-journal.com/quarterly-journal/201... http://www.asiasentinel.com/politics/thailands-mas... http://www.bangkokpost.com/learning/learning-from-... http://www.bangkokpost.com/print/421966/ http://www.britannica.com/EBchecked/topic/589625/T... http://www.britannica.com/blackhistory/article-241... http://www.foxnews.com/story/0,2933,214562,00.html